BAB 11

Horror & Thriller Completed 2427

“Bu...Safar tak faham. Apa yang dah jadi dengan Safar ni bu?” Akhirnya kekalutan fikirannya diluahkan.

“Hmmm...biar ibu jelaskan. Ada masanya kamu beranggapan Nora masih hidup. Kamu bercakap sendiri...ketawa, tersenyum macam kamu layan Nora semasa hidupnya. Tiap pagi kamu masih pilihkan baju untuk Nora pakai.”

Seperti tidak percaya dengan apa yang Mak Eton perkatakan. Safar gelisah. Duduknya tidak selesa. Dahinya ditekan beberapa kali. Kepalanya sakit tiba-tiba. Dia cuba meyakinkan dirinya kata-kata Mak Eton adalah benar. Seorang ibu tidak akan berbohong. Apatah lagi ibu tua itu adalah Mak Eton. Orang yang sangat jujur sifatnya.

“Astaghfirullah...betul ke bu?” akhirnya Safar tidak mampu lagi menolak kata-kata itu.

“Kalau kamu kurang yakin, mari kita tengok apa yang ada atas katil kamu.” Mak Eton bangun dan meminta Safar mengikutinya. Mereka menuju ke bilik tidur Safar semula.

“Tengok tu...baju siapa? Nora punya kan? Macam tulah setiap hari. Kamu akan pilihkan baju untuk Nora pakai, kemudian ibu yang akan letakkan semula ke dalam almari.”

“Ya Allah...” Tubuh Safar lemah. Dia tidak menyangka perlakuannya seperti itu.

“Ya nak, kamu masih tak dapat terima kenyataan. Kalau kamu sayang dia, ikhlaskan pemergiannya. Doakan dia banyak-banyak. Ibu tak nak kamu lemah.”

Perlahan-lahan Safar melangkah masuk. Dia mengambil gaun labuh dan menciumnya. Kemudian dimasukkan semula ke dalam almari. Selepas itu dia memandang setiap inci bilik. Di dalam bilik itu terlalu banyak kenangan.

Dari atas meja solek, diambilnya foto Nora yang berbingkai warna emas. Direnung lama dan dikucup perlahan. Apabila telah puas menatap, foto itu dimasukkan ke dalam laci almari. Laci dikunci lalu kunci itu diserahkan kepada Mak Eton. Sebak dada Mak Eton melihat wajah Safar yang sayu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience