BAB 2

Romance Completed 4317

“Yalah... walaupun kau mualaf, tapi kau tak pernah tinggal Quran. Orang yang dah memang Islam sejak kecik pun liat nak baca,” gumam Rohani. Itu yang membuatkan dia amat mengagumi Dahlia. Hingga kadang-kadang, dia rasa malu sendiri jika membandingkan dirinya dengan Dahlia. Dia dilahirkan Islam tetapi selalu tersasar dengan keindahan syurga dunia sedangkan Dahlia yang belajar mencari nur Islam itu sentiasa berusaha untuk selalu ada di jalan-Nya.

“Lin... janganlah puji aku sampai macam tu. Kalau nanti aku riak macam mana?” Dahlia menjeling, sengaja berkata begitu untuk paksa Rohani berhenti memujinya. Puji-pujian hanya menambahkan rasa riak dalam hati, itu yang Dahlia tidak mahu. Rohani tergelak. Bahu Dahlia dipaut erat.

“Tak ada maknanya kau nak riak. Aku kenal kaulah!” Pipi Dahlia pula yang dicubitnya.

“Aduh!” Pipi yang sakit digosok-gosok. Dahlia memuncung.

“Manusia boleh berubah, kan? Kalau hari ni aku tak riak, besok aku boleh riak. Begitu juga dengan orang lain. Mungkin hari ini tak selalu baca Quran, siapa tahu esok-esok akan setanding dengan hafiz dan hafizah?” balas Dahlia. Walau cuba dikawal, lenggok loghat Sabahnya masih belum boleh dibuang sepenuhnya. Rohani mengangguk sambil buat muka. Dahlia kalau bercakap, memang macam ustazah!

“Okeylah, mak cik. Aku faham cakap kau.”

“Bagus!” Dahlia pula yang angguk sambil tertawa halus.

“Jom turun makan. Mak Cik Nita dah siap masak.” Rohani turun dari katil lalu menarik tangan Dahlia untuk sama-sama turun ke tingkah bawah.

Pin dikemaskan pada selendangnya. Memandang arca sendiri yang terbias di cermin, Dahlia menguntum senyum.

Kemudian dia mencapai beg tangan bersama beberapa fail yang akan digunakan untuk mesyuarat sebentar lagi. Turun ke bawah, sarapan sudah pun siap terhidang di atas meja. Pagi ini giliran Rohani pula yang memasak sarapan.

“Eh, aku dengar kan... wakil dari YT Holding tu handsome.” Rohani tersenyum-senyum dengan kening yang dinaik-naikkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience