New President!

Romance Completed 117449

BAB 3

            AKU sudah menduga singa jadian itu pasti naik darah apabila melihatku di taman itu bersama Sallyna. Matanya mencerlung tajam memandangku dengan bengis.

            “Kau cuba nak cakap apa dengan dia?” Harry menyoalku dengan tegas.

            “Tak... tak ada apa-apa.” Aku berdalih. Selangkah kakiku ke belakang. Bersedia untuk cabut lari jika singa jadian itu ingin membuat sesuatu di luar jangkaan.

            “Aku ada banyak benda yang kena settle. Lepas ni aku akan uruskan kau pulak. Kau larilah dalam lubang cacing pun. Kau tetap tak akan terlepas dari tangan aku. Faham?!”

            “Tapi, saya nak tanya...” Aku beranikan diri meninggikan suara. “Kenapa mesti awak nak tipu Cik Sallyna? Dia betul-betul sukakan awak!”

Harry ketawa sinis. Sakit hati aku dibuatnya.

“Kau tak ada hak nak campur urusan peribadi aku.”

“Saya tak akan menyamar jadi kekasih awak, Tuan Muda Harry! Awak ni lelaki paling teruk pernah saya jumpa dalam dunia ni!”

Harry membesarkan matanya. “Perempuan celupar! Kau fikir kau sedang bercakap dengan siapa!” Harry melangkah pantas mendekatiku.

Aku tidak tunggu lama untuk melarikan diri. Sekuat hati aku membuka langkah menuju ke pintu pagar belakang yang berhampiran dengan Asrama Puteri Kristal. Debukkk!! Kepalaku seperti dibaling dengan sesuatu dan aku terus terjatuh tertiarap. Hidungku terasa seperti ingin patah, nasib baik tak ada tahi lembu kalau tidak sudah pasti aku tertelan kek coklat paling enak di dunia!

“Adoiii!!” Aku menjerit kesakitan. Kulihat sebiji bola sepak terguling-guling di padang rumput itu. Celaka! Mana dia dapat bola tu!

“Thanks, guys!” Laung Harry sambil mengangkat tangan kepada sekumpulan pelajar berbaju sukan yang dalam perjalanan ke padang sekolah. Mereka tersenyum kembali kepada Harry. Ada juga yang ketawa besar.

“Anything for you, new president!” Mereka ketawa beramai-ramai apatah lagi melihat keadaanku yang pening-pening lalat.

            New President!!! Oh, My god! Aku berusaha untuk bangun. Bertambah berkuasa la mamat gila kuasa ni nampaknya!

            “Macam mana, best tak?” Tanya Harry sambil menyepak bola itu semula kepada sekumpulan junior-juniornya itu.

            Aku menggosok-gosok kepalaku yang terasa pening dek penangan bola itu sebentar tadi. Memang lelaki ni... argghhhh!!

            Harry menggosok-gosok kepalaku dengan kasar. “Sebab tu la jangan nak berani menentang aku. Kau yang degil! Sekarang padanlah muka!” Harry sempat tersenyum sinis kepadaku.

            “Awak ni memang tak berhati perut layan perempuan macam ni!”

            “Kau perempuan ke?” Harry berpura-pura ketawa besar. Seronok sungguh dia mentertawakan aku nampaknya.

            “Balik asrama dan teruskan kerja kau. Ingat! Jangan sesekali bocorkan rahsia tu kepada sesiapa. Kalau tidak, kau akan menyesal!” Ujar Harry sambil menolak kepalaku dengan hujung jarinya.

            Kasar sungguh lelaki ini. Main kepala pulak! Aku menjerit dalam hati kerana terlampau geram. Tak ada batu ke dekat-dekat sini?! Macam nak lastik aje kepala singa jadian bermulut busuk ni!

**********

            HARI isnin yang paling suram bagiku. Dengan langkah yang lemah aku memasuki pintu pagar sekolahku. Sekolah harian biasa yang bersebelahan dengan Sekolah Tinggi Adam Taylor. Mulutku muncung sedepa sambil mengumpat lelaki kasar itu dalam hati. Kalau bukan kerana terdesak. Aku tak akan pijak sekolah itu lagi! Mana lagi aku nak dapatkan kerja sambilan yang sesuai dengan statusku yang masih pelajar sekolah. Sabar... sabar, Aya!

            “Wuuuu!!” Jeritan bergema dalam bilik kelasku sebaik saja aku melangkah setapak memasukinya.

            “Wah... wahhh! Seronoklah dia dapat masuk sekolah hot tu! Mesti ramai gila mamat-mamat handsome, kan!” Rita menjerit kecil dan menarikku ke depan.

            “Aya cubalah cerita sikit. Tak kan tak nak kongsi kut. Kau ada jumpa Tuan Muda Rayyan?? Ataupun William anak duta tu?! ceritalahhh!!”

            Begitu ramai rakan-rakanku mengerumuni aku dengan harapan aku membawa cerita menarik dari sekolah putera-putera idaman mereka. Aku mengeluh...

            “Jumpa...” jawabku dengan lemah.

            “Waahhh!!” Mereka semua menjerit keriangan.

            “Tuan Muda Harry... betul ke dia jadi presiden baru?” Kini Bella pula menyoal dengan teruja.

            “Kau orang pergilah tanya dia sendiri. Aku tak ada mood ni!” Aku terus menuju ke tampat dudukku dan meletakkan beg dengan kasar. Nama jin tu lagi... tak ada orang lainkah?!

            “Lah... dapat jumpa lelaki paling hot kat sekolah tu pun boleh hilang mood ke?” Rita menyoalku dengan hairan.

            “Blahh la hot! Kurang ajar je semua tu!” Bentakku dengan kuat sehingga semua rakanku terdiam. Mereka memandang sesama sendiri. Pelik dengan perubahan sikapku gamaknya, dari periang kepada moody.

            “Berani kau cakap putera kami macam tu. Tak baik tau!” Jeslina menepuk mejaku dengan kuat. Terperanjat aku dibuatnya. Susahlah bercakap dengan peminat fanatik lelaki-lelaki hot sekolah sebelah ni. Nanti aku pula yang di tibainya. Silap haribulan direjam sampai mati.

            “Kelab tari sekolah kita dijemput ke majlis tari-menari kat sekolah dia orang tau. Aku nak pergi shopping baju yang paling cantik nanti!” Ujar Bella dengan riang. Dia adalah Presiden Kelab Tarian sekolah ini. Kelab Tarian itu di bawah Persatuan Seni dan Budaya.

            “Jelousnya... nak pergi jugak!” Kata yang lain pula. Masing-masing menarik tangan Bella menunjukkan betapa mereka cemburu akan rakanku yang seorang itu. Isabella walaupun anak orang berada namun dia sangat merendah diri.

            Aku menjelir lidah. Tak kuasanya aku. Nanti! dia orang pun akan pergi ke? Alamak... macam mana dengan penyamaran itu nanti. Tak kan seluruh isi perut sekolah aku ni akan tahu kut. Walaupun tak masuk melodi TV3, tapi aku sudah rasa bahang-bahang gosip yang bakal tercetus. Lagi tungang-langang la hidup aku lepas ni. Ini singa jadian tu punya pasallah!

*******

            WAKTU rehat. Aku terlalu rimas dengan beberapa pelajar perempuan yang mengerumuni aku dan bertanya tentang pelajar sekolah sebelah itu. Aku macam nak naik sawan jadinya!

            “Tuan Muda Harry comel tak bila tengok dekat-dekat?!” Soal juniorku dengan wajah berbunga-bunga.

            “Dik... muka dia banyak sopak! Hidung dia penyek macam roti canai ni! Nampak tak?!” Aku mengangkat roti canai yang masih tidak diusik itu depan mata mereka.

            Rita dan Bella ketawa kecil mendengar kata-kataku. Dan junior-juniorku itu dengan wajah hampa terus meninggalkan aku.

            “Kau dah jadi popular kat sekolah kita sebab dapat masuk sekolah hot tu!” Ujar Rita dengan riang. Gadis yang sederhana namun suka memakai make up. Kadang-kadang dia boleh mengalahkan aku dalam kategori badut sekolah! Aku sedar aku ni memang buta fesyen. Pakai pun, apa orang kedah cakap. Ikut dan ja!

            “Tak kuasa aku.” Aku tiba-tiba hilang selera makan.

            “Aaa...”

            Jeritan pelajar-pelajar perempuan tiba-tiba meletus menyebabkan aku tidak jadi meneruskan suapan.

            “Ada pelajar Adam Taylor masuk kawasan sekolah kita!!!”

            Jeritan itu bergema lagi dan mereka beramai-ramai berlari meninggalkan kantin sekolah.

            “Biar betul?!” Bella dan Rita berpandangan sendiri. Kemudian mereka serentak bangun dari tempat duduk.

            “Jom! Tunggu apa lagi!” Rita mengorak langkah meninggalkan makanannya.

            Aku ternganga. Gila! Apa sudah jadi ni? Aku memandang sekeliling dan hampir tiada sesiapa pun di kantin itu kecuali aku dan pelajar lelaki yang tidak ambil pusing dengan kehadiran pelajar Adam Taylor itu.

            “Cepatlah Aya!!”Bella kembali kepadaku apabila melihat aku masih tidak meninggalkan tempat duduk.

“Woi! roti canai aku belum makan lagi la, woi!” Tanganku direntap oleh Bella sehingga aku terpaksa juga bangun dan berlari mengikuti mereka. Sempat juga aku mencapai sekeping roti canai aku. Sayang kot! Sekeping seringgit tu.

            “KACAKNYAAA....” beberapa pelajar yang lebih junior dariku menjerit kecil. Semua pelajar mencuri pandang dari tingkap kelas dan ada juga yang berkerumun di kawasan lobi sekolah sambil memerhati dari jarak dekat lelaki berseragam kemas dengan lencana Adam Taylor High School terpampang di dadanya. Lelaki itu sedang bercakap dengan ketua pengawas sekolah kami dan disertai juga beberapa pengawas lain.

            “Ini... kad jemputan untuk Kelab Tarian sekolah ni untuk menghadiri majlis tari-menari tahunan Adam Taylor. Saya selaku Ketua Projek majlis tu mewakili pihak sekolah kami untuk menjemput kalian.” Ujar lelaki kacak itu dengan bergaya. Senyumannya mampu membuatkan beberapa pelajar-pelajar perempuan terjerit kecil.

            “Tuan Muda Rayyaannn!!” Seorang pelajar perempuan berlari menghampiri lelaki itu. Semua orang kelihatan terpinga.

            Aku menjenguk di sebalik pelajar-pelajar lain yang memenuhi kawasan lobi pada waktu rehat yang hampir ke penghujung itu. Mataku dapat melihat dengan jelas Ray tersenyum ramah kepada pelajar perempuan tadi. Rita dan Bella sudah hilang dari pandanganku. Mungkin mereka menyelit sehingga ke depan. Aduhai...

            “Terimalah... hadiah ni. Saya dah lama simpan untuk berikan kepada Tuan Muda Rayyan.” Ujar pelajar itu sambil menghulurkan sekotak hadiah kepada Ray.

            “Terima kasih...” Ray menyambut. Maka, seluruh pelajar perempuan terlompat-lompat keseronokan. Rayyan pandai mengambil hati!

            Aku ternganga dengan luas. Ngeri betul... Rayyan memang berbudi bahasa dan tidak memalukan peminat-peminatnya. Tidak seperti Harry yang selalu menolak mentah-mentah sesiapa saja yang ingin memberikannya hadiah. Tapi, tak ada siapa yang serik pun. Hairan!

            Kemudian Rayyan melambai tangan kepada kami semua kerana dia sudah ingin pulang ke sekolahnya.

            “Alahai... kacaknya dia...” riuh pula keadaan ketika itu.

            Ray ingin melangkah pergi tetapi dia terpandang aku yang juga turut ingin melangkah ke kelasku.

            “Aya!”

            Langkahku terhenti dan aku menoleh kepadanya. Dari jauh aku melihatnya tersenyum kepadaku.

            “Jumpa petang nanti ya!” Dia melambai tangan ke arahku dan apalagi semua pelajar perempuan melopong.

            “Bertuahnya kakak senior tu...” Itulah yang aku dengar dari mereka.

            “Jumpa nanti, Ray!” Aku sengaja menghangatkan lagi suasana. Apa salahnya... tumpang populariti!! Hahaha...

**********

                        TUAN Muda Harry. Singa jadian itu sememangnya sangat berpengaruh. Apatah lagi sekarang ini dia memegang jawatan Presiden Persatuan Pelajar Sekolah Tinggi Adam Taylor. Dan dia telah meletak jawatan sebagai presiden asrama. Tempatnya itu digantikan oleh Ray. Namun, biliknya tetap tidak berubah, tetap di sebelahku walaupun itu bilik khas untuk presiden asrama. Ray lebih selesa berada di bilik lamanya yang dikongsi dengan Will dan Sam.

            Oh! Aku terlupa untuk menceritakan tentang Sam. Nama sebenarnya Syamir Datuk Iskandar. Anak lelaki ahli politik yang berpengaruh. Dia adalah kapten bola sepak sekolah ini. Sama seperti Ray, Will dan singa jadian itu. Sam juga ada peminat-peminatnya yang tersendiri. Apatah lagi title yang dipegangnya playboy terhangat yang paling dikehendaki kaum wanita!

            Itulah antara jejaka-jejaka paling top, hot, dan popular di sekolah ini. Bukan sahaja kerana rupa paras mereka yang kacak-kacak belaka, malah mereka ini sangat berpengaruh di sekolah dengan memegang jawatan-jawatan terpenting dalam persatuan. Kenapa Persatuan Pelajar sekolah ini sangat penting dan berpengaruh? Ini kerana penubuhan persatuan pelajar adalah untuk menjaga kebajikan semua pelajar elit sekolah ini yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Malah ahli-ahli Persatuan Pelajar sekolah ini terdiri dari mereka yang memiliki kepimpinan yang sangat luar biasa.

Jika mereka diberi tugas oleh para guru, mereka tidak akan mengambil masa yang lama untuk melaksanakannya dengan baik. Sebab itulah mereka... ahli Persatuan Pelajar Adam Sekolah Tinggi Adam Taylor menjadi individu terpenting di bawah pengetua. Suara presiden lebih berkuasa dari tenaga pengajar sekolah ini kerana beliau mewakili suara beribu pelajar anak golongan ternama yang bakal menjadi individu elit masa hadapan.

            Pintu biliku diketuk bertalu-talu. Aku yang sedang sibuk menelaah buku fizik itu terasa sangat terganggu. Sudahlah sejak petang tadi aku tidak sempat mengulang kaji kerana membantu Kak Siti uruskan beberapa perkara, malam ini pula aku diganggu.

            “Ada apa?” Aku terus sergah sebelum aku melihat siapakah tetamuku itu.

            “Masuk bilik aku kejap!” Arah Harry lalu terus memusingkan badannya dan melangkah ke biliknya di sebelah.

            Aku ternganga dengan luas. Bodoh ke apa?! Aku gadis melayu terakhirlah. Ingat mudah-mudah nak masuk bilik lelaki! Dasar mamat celup!

            “Aaaaa!!!” Aku terjerit kecil apabila kolar bajuku ditarik dengan tiba-tiba. Harry rupanya berpatah balik apabila melihatku masih tidak bergerak.

            Aku ditarik masuk ke dalam bilik lelaki itu. Kemudian, pintu bilik itu ditutup rapat. Aku seperti tidak percaya dengan lelaki ini!

            “Kenapa kau susah sangat nak dengar arahan aku hah? perempuan lembap!” Harry mencekak pinggang.

            “Saya tak lembaplah! Setiap tahun saya dapat nombor satu dalam kelas tahu tak?!!” Aku turut menengkingnya. Putera angkuh yang tak sedar diri! Namun ayat itu aku hanya simpan untuk masa yang terdesak. Kini aku berada dalam biliknya. Aku harus atau wajib tidak menaikkan darahnya yang sepanas lava gunung berapi itu.

            “Kelas kau mesti yang paling tercorot kat sekolah tu, kan?!”

            “Heyy!!” Aku menjerit sepuas hati. Kelas aku walaupun tidaklah yang paling teratas tapi bukanlah yang paling tercorot! Aku ingin membalas namun dia lebih pantas menekup mulutku dengan tangan kasarnya.

            “Cukup!” Atau kau nak aku cium mulut murai kau tu?!” Harry seperti bersungguh-sungguh menyebabkan aku menggeleng kepala berkali-kali.

            “Kalau macam tu duduk!” Arahnya sambil meletakkan kerusi belajarnya di sebelahku. Tanganya turut dialihkan dari mulutku. Lega...

            Aku duduk dengan berjaga-jaga. Mataku sentiasa awas memerhati setiap pergerakannya. Aku tidak mahu terleka walau sesaat. Sempat juga mataku meliar di sekitar biliknya. Bilik yang agak luas, disertakan juga penyaman udara. Katil bujang diperbuat dari kayu berkualiti tinggi, juga terdapat meja tulis, serta rak buku yang agak tinggi. Rak itu dipenuhi buku-buku dan pelbagai fail, mungkin terdapat pelbagai data disimpan dalam fail-fail itu. Di kananku pula terdapat set sofa kecil untuk tetamunya barangkali, atau tempat untuk perbincangan sesama rakan-rakan persatuan pelajar. Almarinya besar dan tiada baju yang bersepah. Semunya teratur, cukup kemas. Lelaki ini ada gaya lelaki maskulin! Sempat aku memuji dalam benci. Sebenarnya... taklah benci sangat.

            Harry duduk di atas tilam empuknya. Tubuhnya lampai, wajahnya kacak, hidungnya mancung dan yang paling seksi bibirnya yang merah merekah. Aku sedikit leka apabila menilik dirinya itu. Bangun Aya! Jangan kau terpedaya dengan lelaki ini! Aku kembali ke dunia yang nyata. Mataku kembali segar dan dapatku lihat Harry merenungku dengan lain macam.

            “Kita akan jadi couple lepas ni. Aku nak tahu semua tentang diri kau. Cerita kepada aku dengan ringkas, padat dan tepat!” Harry bersuara dengan tegas.

            Aku menjelingnya dengan sinis. “Eh... saya tak pernah bersetuju nak jadi kekasih awak!”

            Harry semakin merenungku dengan tajam. Matanya semakin mengecil dan menikam jantungku. Errkk..!

            “Sa... saya...” Aku menelan liur yang terasa pahit. “Saya... tak ada apa-apa yang nak diceritakan...” Aku menunduk. Aduh... takut sungguh aku dengan lelaki ini. Aku terasa seperti hamba abdi pula!

            “Ayah kau dah sihat?” Soalnya perlahan.

            Aku kembali menentang matanya. Terkejut aku dibuatnya. “Ma... macam mana awak tahu pasal ayah saya?!”

            Harry hanya diam seribu bahasa. Aku pula yang terasa cuak sendirian.

            “Perempuan lembap, aku bekas presiden asrama! Apa yang aku tak tahu tentang seluruh warga asrama ni?!” Jawabnya selang beberapa saat.

            Aku mencebik. Buat aku gabra saja mamat ni. Ingatkan dia ni cucu Sir Adam Taylor. Majikan ayahku dahulu. Villa Taylor sangat besar dan mempunyai ramai pelayan. Ayahku tidak pernah membawaku masuk dalam villa itu namun aku selalu berjumpa dengan ayah di pintu pagar villa yang gah itu. Kereta yang keluar masuk di villa itu mewah-mewah belaka namun aku tidak pernah melihat orang di dalam kereta itu kerana semuanya bercermin gelap gelita! Sudahnya... aku hanya mendengar cerita dari ayah yang cucu bekas pengetua merangkap pengasas sekolah Adam Taylor juga bersekolah di sekolah ini. Namun, identitinya dilindungi. Mustahillah singa jadian ini! Kalau tidak dia mesti tinggal di Vila Taylor yang terletak tidak jauh dari sekolah ini dan bukannya di asrama ini!

            “Abang saya... yang jaga ayah saya dengan adik-adik saya. Saya tinggal kat sini sebab senang untuk ke sekolah dan senang saya nak buat kerja saya kat asrama ni. Tak perlu nak berulang alik. Mak saya pula dah meninggal selepas melahirkan adik bongsu saya. Kami jatuh miskin sejak ayah dah tak boleh kerja. Tapi, kami tak pernah meminta bantuan orang. Sedangkan Tuan Adam pun ingin membantu dengan mengambil salah seorang dari kami dan dijadikan cucu angkat. Ayah saya menolak... dia tak rela memisahkan kami adik-beradik.” Aku terasa sebak setiap kali salasilah keluargaku dibuka.

            Harry terdiam lagi. Matanya merenungku dengan lembut.

            “Tak semestinya kamu adik-beradik akan berpisah selepas menjadi cucu angkat Tuan Adam. Dia bukannya akan mengurung kamu!”

            “Tapi... kami pun tak mahu!” Aku membalas. “Kami rela hidup macam ni dari berpisah adik beradik!”

            Harry ketawa sinis. “Habis kau tinggal kat sini macam mana pulak?! Sama saja kan?!”

            Aku pula terdiam. Betullah kata mamat tu! Ahh... pedulikan semua itu, aku tak rela melihat adik-adikku berpisah dengan ayahku. Semestinya aku juga tidak mahu menjadi cucu angkat Tuan Adam yang berhati mulia itu. Lelaki itu sudah memeluk islam bertahun lamanya, semenjak dia berkahwin dengan seorang wanita melayu. Anak-anaknya juga ada yang berkahwin dengan wanita melayu. Tapi, kebanyakannya tidak tinggal di Malaysia kerana urusan kerja masing-masing. Itu apa yang aku dengar dari ayahku yang selalu sangat bercerita tentang keluarga kaya-raya itu.

            “Awak pula yang cerita. Kenapa mesti saya aje!” Aku sengaja mencari jalan keluar dari topik tentang kisah hidupku. Kali ini biarlah aku mengetahui latar belakang lelaki garang seperti singa ini.

            “Aku... “Harry menarik nafas panjang. Kukira tentu panjang kisahnya untuk diceritakan. Maklumlah anak golongan elit!

            “Aku... aku rasa kau dah tahu semua yang kau perlu tahu tentang aku. So, kau boleh balik bilik kau sekarang.” Arahnya dengan selamba.

            “Mana aci macam ni.” Aku tidak puas hati. Sangkaan aku meleset tentang lelaki yang tidak boleh diramal sikapnya itu.

            “Kau nak balik ke tak nak? Ke kau nak tidur kat sini? Come!!” Harry menarikku tanpa sempat aku mengelak.

            “Awak buat apa ni!” Aku meningkah. Pucat wajahku ketika itu. Harry dengan selamba merebahkan tubuhku di katilnya.

            “Kau kan girlfriend aku. Lepas ni kau tak boleh nak segan-segan lagi dengan aku.” Harry memicit kedua belah pipiku.

            “Lepaskan saya, Tuan Muda Harry. Please!” Aku merayu. Walaupun aku tahu dia sengaja mengusikku.

            “Back to your room. Sebelum aku mengubah fikiran.” Harry tersengih. Dia bangun dan duduk di hujung katil.

            “Keji!” Aku menjerit. Lantas aku bangun dan berlari ke pintu biliknya. Sakit betul hatiku dengan sikap diktatornya itu. Namun debaran di dadaku masih belum berkurang, mujurlah dia hanya main-main!

            Aku membuka pintu itu dengan kasar dan sempat aku dengar ketawa besarnya apabila pintu itu ditutup. Aku yang terasa wajahku hangat terus menuju ke biliku. Langkahku mati apabila aku terlihat Ray di depan. Tidak jauh dari tempatku berdiri dan lelaki itu mempamerkan wajah yang sukar aku gambarkan. Ya Allah!! Ray nampak aku keluar dari bilik presiden!

            “Se... senior Ray...” Aku cuba menegurnya. Mukaku terasa lebih membahang. Malunyaaa....

            “Saya datang nak berjumpa dengan presiden. Ada hal sedikit.” Ray masih tersenyum walaupun aku rasa pelik riaksi wajahnya. Seperti senyum paksa!

            “Iye...” Aku menunduk sedikit lalu memulas tombol pintu biliku. “Selamat malam, senior.” Ucapku sebelum masuk ke bilik dan menutup pintu rapat-rapat. “Malunya!!” tiba-tiba aku terasa ingin menangis pula. Kenapa aku tak boleh lari dari singa jadian itu? Atau kau yang sebenarnya tak mahu lari Aya?! Ahhh... serabutnya!

**********

Share this novel

Indah Nabiah Kanun
2021-06-03 10:42:19 

xbox!,


NovelPlus Premium

The best ads free experience