MATI kata-kata seorang abang itu buat seketika. Wajah Maya dipandang, tepat dan penuh. Kemudian dengan cara lirikan yang sama, wajah Datuk Adrian pula yang diamati, juga penuh tanpa tersisa setengah inci sekalipun.
"Betul ke ni, Maya? Kamu dah fikir masak-masak?" Andika menyoal sambil kembali menarik nafas berat. Ragu-ragu dan penasaran dengan pengakuan daripada Maya yang dia terima pada pagi Ahad itu. "Bukan adik couple dengan...Syahril ke?" soalnya lagi, teragak-agak namun nadanya tetap sahaja tegas.
Maya terus mendengus dalam. Benci dan bengang tika nama itu yang disebut. "Abang, se-sebenarnya..."
"Sebenarnya apa?" Andika mencantas, sementara Datuk Adrian pula tetap sahaja tenang menunggu jawapan seperti apa yang akan dilontarkan oleh bakal isterinya itu. Jangan pula dia dibelasah, sedih-sedih kerana sudah tidak mampu berjalan, terlantar kaku pula tubuhnya nanti.
"Se-sebenarnya...Syahril ada orang lain. Maya benci dia, abang! Benci sangat-sangat!" ujar Maya seraya melirik ke arah Datuk Adrian. "Dan Maya dah buat keputusan untuk....berkahwin dengan Datuk Adrian. Maya tak kira."
"Bagi satu sebab, kenapa kamu nak kahwin dengan Datuk Adrian? Sebab nak buat Syahril tu marah? Ke nak buat dia cemburu?" Andika menebak dingin. Lelaki itu sememangnya tidak yakin dengan keputusan adiknya sendiri. Maya pasti sedang menyimpan satu rahsia besar, atau perasaan dendam. "Ke adik dah..." tidak sanggup untuk meneruskan kata-katanya. Andika terus bangkit membawa wajahnya yang garang.
"Ma-mana ada! Abang yang fikir lain!" Maya laju berdalih sebelum sempat abangnya mengamuk. Sememangnya perkara inilah yang sangat dia takutkan untuk berterus terang, iaitu amukan tegas seorang Andika.
"Habis tu?"
"Sebenarnya, Maya dengan Syahril tak guna tu lama berpisah. Allah temukan Maya dengan Datuk Adrian beberapa bulan lepas. Lama dah, tapi Maya tak ada masa nak cerita kat abang. Ma-Maya dah...ja-ja-jatuh cinta pada Abang Adrian. Tu je, dan dia pun sama. Kan sa-sayang?"
Datuk Adrian yang sedang ternganga mendengar pengakuan palsu Maya langsung tersentak. "Haa? Ak-ak..."
"Asal ak-ak pula ni sayang? Kalau kita berdua je, bukan main lagi sayang...romantik." Maya bercurian mencerlungkan bebola matanya dengan garang sebagai amaran.
"Aaa, be-betul tu. Saya dengan Maya memang...bercinta. Saya jatuh hati pada adik...abang. Ya, abang. Abang." ujar Datuk Adrian setelah sedikit lama terkelu. Tambahan pula, dia kekok mahu memanggil gelaran hormat itu kepada lelaki yang lebih muda daripadanya.
"Mestilah sayang kena panggil Abang Dika tu abang. Walaupun dia muda daripada sayang, tapi tak lama lagi kita akan berkahwin kan?" ujar Maya lagi dengan nada yang lebih manja dan mesra. Kali ini dia yakin, Andika sudah pasti hampir terpancing, dan wanita itu tersenyum menang ketika melihat anggukan Andika.
"Haa, betullah tu. Kalau memang kamu berdua ni bercinta, abang tak perlulah nak risaukan apa-apa. Tadi, abang cuma ingat...adik abang ni..."
"Hissh, mana ada! Kan sayang? Maya masih tahu jaga...maruah Maya, abang. Abang ni je yang asyik fikir ke lain." ungkap Maya bersungguh-sungguh dan jujur. Ya, sememangnya dia jujur.
"Haa, ya. Abang yang fikir lain." Datuk Adrian mengemam bibir, terpegun sungguh dengan kelicikan wanita itu.
"Lega abang dengar. Kalau dah tu keputusan kamu berdua, abang restu asalkan kamu berjanji dengan abang, akan jaga dan bimbing Maya ni dengan baik." bahu Datuk Adrian ditepuk lembut dan rasa simpati. Hati lelaki itu juga sempat memuji keikhlasan adiknya dalam menerima segala kekurangan Datuk Adrian.
"Terima kasih abang. Saya berjanji akan jaga Maya semampu mungkin." hampir luluh air mata Datuk Adrian. Dia yakin, Andika ikhlas merestui pernikahan mereka, bahkan lebih ikhlas daripada Maya barangkali. "Janji dengan abang Maya, akan jadi seorang isteri dan ibu tiri yang baik. Perkahwinan ni bukan dasar cinta semata-mata, tetapi juga melibatkan soal keikhlasan. Bila kamu terima Adrian, bermakna kamu juga terima anak-anak dia. Faham?"
"Faham abang. Abang tak perlu risau pasal semua tu." Maya tersenyum. Lega penuh hatinya saat sudah mendapat perkenan daripada Andika yang tegas. Memang Andika seorang abang yang sangat menjaga tingkah adiknya. Semua tentang Maya haruslah sempurna.
"Korang lunch kat sini nanti ya? Lama dah abang tak rasa masakan Maya, rindu. Maya ni pandai masak tahu tak Ad? Sekali rasa, tiga kali bertambah nasi." Andika mula mampu mengusik. Kata-katanya diselitkan dengan satu pembayang agar wanita itu turun ke dapur.
"Sayangggg...awak nak makan apa? Nanti Maya masakkan. Kita makan sama-sama."
Hampir hilang deria pendengaran Datuk Adrian ketika mendengar leretan suara manja wanita itu. Wajah Maya spontan ditoleh.
"Maya..."
"Panggil sayang! Hishhh, lembap!" Maya laju berbisik sambil mencerlungkan mata dengan garang. Dia enggan disebabkan Datuk Adrian, Andika menjadi ragu-ragu semula. Drama yang dilakonkan haruslah sempurna jalan ceritanya.
"Aduh!" Datuk Adrian mengerang. Wajah Maya dijeling sekilas, namun kerana mahu menjaga rahsia wanita itu, laju juga dia menurut. "Haa, ya-ya. Sayang. Sa-sayang pandai masak apa?" soalnya sambil membalas genggaman tangan Maya.
"Apa-apa pun Maya pandai. Asalkan masakan tu khas untuk abang." ujar Maya sambil melentokkan kepala pada bahu Datuk Adrian tanpa rasa segan. Buatlah apa sekalipun, asalkan abangnya yang garang itu percaya.
"Amboi, romantiknya bakal suami isteri ni. Asyik duduk berkepit je. Sepadan sangat." Dahlia yang datang menatang dulang minuman terus mengusik. Walaupun sedia tahu 'sepasang kekasih' itu agak jauh jarak usianya, namun tetap sahaja mereka terlihat sangat sepadan bahkan lebih sepadan daripada Syahril.
"Mestilah kak. Maya sayang sangat kat Abang Ad ni tau. Betul tak abang?" senyuman amaran ditayangkan ke arah Datuk Adrian, laju-laju lelaki itu mengangguk lantaran takut kulit tubuhnya menjadi perih seperti tadi. Cukuplah dicubit untuk kali kedua oleh wanita itu.
"Haaa, betul kak. Betul!"
Dahlia hanya tersenyum bermaksud sedang menumpang bahagia. Agaknya semua itu benar, kerana ketika bersama Syahril, Maya tidak pernah seceria itu walaupun Syahril sangat sempurna jika hendak dibandingkan dengan Datuk Adrian.
"Kak, nanti biar Maya yang masak. Akak mesti penat dengan jaga baby lagi."
"Tak menyusahkan ke?" soal Dahlia serba salah.
"Taklah. Lagipun Abang Ad kata dia teringin nak makan....er...makan daging masak merah ala-ala Thai." Maya melirik ke arah lelaki itu yang sedang melongo. Entah apa yang dikejutkannya sangat? Takkan tak pernah makan daging?
"Kalau macam tu, nanti Maya cari je bahan-bahan kat dapur. Lama tak makan sama-sama dengan Maya." Dahlia tersenyum senang.
"Nanti kita makan sama-sama ya kak. Bonus ada Abang Ad sekali." Maya ikutan tersenyum sambil melirik semula ke arah Datuk Adrian.
"Haa, be-betul tu. Saya pun baru pertama kali makan dengan Maya." lantaran kalut dengan menu khas yang akan dihidangkan untuknya, Datuk Adrian juga semakin kalut ketika melihat lirikan licik Maya. Oleh itu, laju juga mulutnya memberi pengiaan tanpa sedar ayatnya teramat salah.
"Hahhh? Tak kan tak pernah makan sama-sama langsung?" Andika mencelah hairan.
"Err, tak. Bukan. Maksud saya, makan sama-sama dengan akak dan Abang Andika. Aduhh!" meringis lagi Datuk Adrian ketika pinggangnya mendapat cubitan kuat untuk kali yang ketiga.
"Oh, akak ingatkan apalah tadi. Korang minumlah dulu. Akak nak naik atas, tengokkan baby."
Secawan demi secawan kopi panas dihidangkan di atas meja sebelum Dahlia berlalu semula ke tingkat atas untuk memeriksa keadaan bayi mereka yang sedang terlena.
"Mana maid abang? Kak Dahlia busy sangat nampaknya." Maya menyoal setelah keadaan menjadi sunyi semula.
"Bibik balik kampung, seminggu." Andika menjawab lalu mencicip kopi panasnya. Mata lelaki itu bercurian memandang ke arah adik kesayangannya, juga ke arah Datuk Adrian. "Korang berbuallah dulu. Abang nak naik mandi jap. Melekit ni. Lepas mandi abang turun." ujar Andika lalu melangkah.
Melihat kepergian abangnya, Maya terus memalingkan wajahnya kembali ke arah Datuk Adrian.
"Macam mana sayang? Pandai tak saya ...eh, sayang pula! Tersasul! " Maya ketawa sendiri, bagai tiada rasa malu langsung sementara Datuk Adrian pula terus bergeleng kepala sambil mengusap kulit tubuh yang masih terasa pedih.
"Awak ni memang...penipu kan Maya? Bijak bakal isteri abang ni. Otak bergeliga. Tak terlanjur konon. Sampai bila nak menipu?" Datuk Adrian memerli namun wajahnya pula hanya tenang dengan senyumam mengejek.
"Datuk sanggup ke tengok bakal Datin ni kena marah? Abang Andika tu...garang tahu tak? Datuk...berlakon baik-baik tahu. Barulah...saya sayang. Muahh!" pipi bersih bakal suaminya dicubit lantaran penat menahan rasa gemas. Lesung pipit itu yang paling membuatkan Maya tidak kuat memandang. Manis sungguh!
"Tahu pun takut. Sebelum buat, tak pula takut!" Datuk Adrian menjeling manja sambil bercurian memandang ke arah wajah nakal wanita itu. "Bawa sini kopi saya tu."
Permintaan Datuk Adrian tidak terus diikut. Datang pula akal licik Maya ketika itu.
"Kejap, kita praktis kejap. Saya nak Datuk cuba minta dengan cara yang...romantik dulu. Saya nak pastikan yang Datuk boleh berlakon macam saya. Anggap je ada Abang Andika dengan Kak Dahlia kat sini. Cepat!"
Datuk Adrian terus melepaskan keluhan. Walau hakikatnya dia seorang yang tenang dan penyabar, namun tidak hairan juga jika sikap hantunya yang muncul. Siapa yang tahan berhadapan dengan wanita yang banyak akal seperti Maya?
"Cepatlah. Saya nak...Datuk praktis sampai berjaya. Kalau tak, saya cubit perut tu lagi."
Kali ini berkali-kali jelingan dihadiahkan buat wanita itu. Geram, geram! 'Ya Allah, kenapa Engkau tega menemukan aku dengan wanita sesewel ini? Lagi baik aku duda!'
"Cepatlah Datuk tua! Praktis!"
"Ye, ye! Sabar boleh tak? Tahu kan sabar tu apa? Ke nak saya gigit pipi tu?" Datuk Adrian menekankan suaranya.
"Garangnya dia. Macam macan." Maya tersengih tidak takut.
"Macan? Apa tu, Maya?"
"Datuk carilah kat Google. Dah, dah. Cepat berlakon. Saya nak Datuk...eh kejap. Saya pun nak praktis." Maya melepaskan batuk kecil untuk memperbaiki kemerduan nada suaranya, malahan wajahnya juga dicorakkan dengan senyuman yang sangat cantik dan manja.
"Abang...mintalah air tu cepat."
Terpicing seketika mata Datuk Adrian. 'Ya Allah, datang balik sewel perempuan ni!'
"Sayang, boleh tolong ambilkan air kopi tu untuk abang?" Datuk Adrian akhirnya melayan juga. Dalam menayang wajah rimas, namun di dalam masa yang sama, lelaki itu sudah sedang gigih menahan tawa. Mengapa dia harus menurut sedangkan tahu semua itu hanya untuk kepentingan Maya?
"Tak romantik. Muka Datuk tu macam datar je. Nada tu kena...lembut tapi macho, macam...Dato' Jalaluddin Hassan "
"Ya Allah, bukan ada abang awak pun kat sini, Maya." Datuk Adrian menggelengkan kepala.
"Cepat!"
Datuk Adrian menarik nafas panjang, matanya juga ditutup seketika untuk sekali lagi kerana dia mahu menjadi dirinya yang sebenar. Wajahnya kembali beralih ke arah Maya, mata bundar wanita itu ditatap penuh. "Maya sayang, boleh tolong ambilkan kopi tu untuk abang? Please sayang..."
-
-
-
-
Untuk seketika Maya terpana, terkelu dan terkaku. Senyuman manis lelaki itulah yang selalu membuatkan nafasnya seakan-akan mahu habis. Ditambah pula dengan suaranya yang begitu maskulin dan romantis kedengaran.
'Masya Allah, bakal suami aku!'
"Maya?"
Sepi.
"Maya...awak okay tak ni? Kenapa diam?" Datuk Adrian memanggil lagi.
Geram melihat Maya yang masih sahaja terkaku, satu cubitan geram sayang terus diberikan pada pipi mulus wanita itu. Langsung tersedar Maya.
"Apa ni?Suka hati je nak pegang-pegang orang! Belum sah lagi tahu tak?" Maya menyoal bengang. Duda miang! Sedangkan Syahril sahaja, tidak pernah sekalipun menyentuhnya.
"Tadi yang awak usap-usap tangan saya depan abang awak tu, tak apa pula? Kalau dah sah, boleh peganglah ya? Sudi dipegang? Tak sabar pula nak kahwin, kan Maya?"
"Gatal!"
"Siapa suruh jadi patung kat situ tadi? Yang awak pandang saya sampai macam tu sekali tadi, dah kenapa? Jatuh hati dah?" semakin menjadi-jadi usikan Datuk Adrian.
"Eeee, sorry je lah Datuk. Saya tak berminat langsung. Ingat, semua ni untuk kandungan saya semata-mata!" " Nah, minum. Saya nak ke dapur, masakkan lauk special khas buat atukku." tidak menunggu lama, Maya terus bangkit pergi.
"Eh Maya, kejap Maya..." Datuk Adrian memanggil panik. Terlupa pula mahu memberitahu yang dirinya alah daging. Namun Maya pula sudah jauh menghilang. Datuk Adrian terus menepuk dahi. "Bertuah punya bakal bini-to-be!"
********************
"Thanks untuk hari ni. Datuk memang hebat dalam menjayakan drama saya. Nasib Abang Andika tak syak apa-apa. Kalau tak, masak saya kena bebel." Maya tersenyum bersama lirikan sekilas ke arah jejaka yang sedang duduk di sisinya, namun fokusnya tetap juga ke arah pemanduan.
Datuk Adrian tertawa sinis namun kekal tenang. Sedari tadi matanya tidak pernah lepas untuk mencuri pandang ke arah wajah cantik bakal isterinya itu. "Saya pun tak tahu, macam mana boleh terjebak dengan plan gila awak ni, Maya. Tapi...tahu pula awak takut kan? Masa buat salah, tak takut pula. Kan Maya?"
"Takdir, Datuk. Saya tak minta pun nak jadi macam ni." Maya menjeling geram. "Mahu Datuk ataupun diri saya sendiri, tak layak untuk pertikaikan semua tu. Datuk kena ingat, tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ni. Lagi-lagi Datuk sendiri!"
Beberapa saat berpergian, laju Maya menekup mulut. Dia sendiri tidak menyangka yang dirinya akan mengungkapkan kata-kata sekejam itu. Bukan maksudnya seperti itu. "Sa-saya minta maaf, Datuk. Saya tak berniat pun nak cakap macam tu. Saya cuma..."
Sementara itu, Datuk Adrian tetap memaksa dirinya agar kekal tenang walau rasa retak di hati sudah amat kuat terasa ketika itu. Bibirnya cuba dihiaskan dengan senyuman, namun...tetap juga tawar. Tawar setelah Maya mengungkapkan perihal kesempurnaan tadi. Ya, dia sedar diri, dia tahu keadaan fizikalnya seperti apa.
"Tak apa Maya. Memang betul pun apa yang awak cakap tu. Takkan ada manusia yang sempurna, dan saya sedar keadaan saya macam mana." nafas berat dihela perlahan. "Cuma satu je, Maya. Saya nak awak fikir dengan betul-betul sekali lagi. Saya tak nak awak menyesal di kemudian hari sebab macam yang saya dah cakap, sekali saya dah ungkapkan akad untuk menjadi suami awak, semua tu bermaksud hanya mati yang dapat memisahkan kita. Saya tak akan sesekali lepaskan awak, Maya."
Sedikit lama keadaan menjadi sunyi setelah itu. Masing-masing seperti sedang berbicara dengan hati mereka sendiri.
Nafas berat dihela sekali lagi sebelum Datuk Adrian kembali membuka kata. "Saya tak sempurna, Maya. Saya...cacat. Saya tahu awak buat semua ni sebab...dendam, awak marah pada adik saya. Alasan kandungan awak tu, mungkin alasan yang kedua. Sebab tu saya nak awak fikir baik-baik. Sebaiknya, awak minta petunjuk daripada Allah. Jangan bila dendam awak tu dah habis nanti, awak minta...cerai pula dengan saya. Masa tu, biar awak menangis air mata darah sekalipun, saya tetap tidak akan lepaskan awak, Maya. Tak ada manusia yang mahukan perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian, kan Maya?" sesudah mengungkapkan kata-kata itu, Datuk Adrian terus membuang wajahnya ke luar sementara Maya pula, langsung tidak memberi respon apa-apa. Memang rahangnya bergerak-gerak mahu membalas, namun entah mengapa tiada satupun suaranya yang tertembus keluar. Lalu pada akhirnya, wanita itu hanya mampu untuk mendiamkan diri sehinggalah kereta yang dipandu selamat tiba di perkarangan rumah agam Tan Sri Ashdan.
"Awak tolong panggilkan Pak Mail, ya." Datuk Adrian kembali bersuara lembut tanpa memandang.
"Kejap Datuk." Maya akur dengan arahan bakal suaminya juga tanpa memandang. Segan pada Datuk Adrian, segan juga pada dirinya sendiri. Ruangan dalaman rumah didatangi dengan langkahan yang perlahan, namun yang membuatkan wanita itu terkejut adalah saat mendengar jeritan tangis seorang budak lelaki, juga suara makian seseorang. Seperti suara...ah, tak mungkin!
"Cik...Cik Maya? Bi-bila sampai? Errrr..." entah mengapa, boleh pula Bibik Salimah tergagap-gagap berbicara ketika itu. Matanya tidak lepas daripada menoleh ke tingkat atas, juga ke arah Maya. Riaknya bahkan seperti takut juga ada.
"Datuk Adrian suruh...Pak Mail tolong dia. Mana Pak Mail, bik?" soal Maya dalam perasaan yang mula ragu-ragu, namun tetap juga wanita itu berlagak tenang.
"A-ada. Kejap ya. Puan tolong bagitahu Datuk suruh tunggu ya." Maya tersentak ketika Bibik Salimah menolak lembut tubuhnya, seolah-olah takutkan sesuatu hal.
"Tu...suara Arfan kan? Kenapa dia nangis sampai macam tu?" soal Maya sambil menepis dorongan Bibik Salimah.
Dengan pantas Bibik Salimah menggeleng, malah riaknya semakin sahaja terlihat kalut. "Tak, tak Cik Maya. Tadi, dia bergaduh dengan Cik Lia. Sebab tu, Puan Sri tegur. Mereka berdua tu tak akan dengar kalau kita bercakap lembut-lembut. Degil sangat." ujar Bibik Salimah bersungguh-sungguh.
"Saya nak naik tengok Arfan dulu, bik." belum sempat Maya membuka langkah, sekali lagi Bibik Salimah menolak tubuhnya.
"Jangan cik. Puan Sri tengah tidurkan mereka tu. Nanti Puan Sri marah saya pula. Cik tolong ya. Biar saya panggil Pak Mail, Cik Maya tolong bagitahu Datuk suruh tunggu."
Lantaran tewas dengan desakan Bibik Salimah, Maya akhirnya akur meski matanya kadang kala tetap menoleh ke tingkat atas. Penasaran perasaannya ketika itu, jika mahu menegur cucu sekalipun, tidak mungkin sampai perlu menengking selantang itu.
Dengan hati yang berat, Maya mula mengatur langkah menuju ke arah keretanya semula. Posisi Datuk Adrian dituju, namun lelaki itu seolah-olah sedang menyibukkan diri melayan telefon.
"Datuk, tunggu kejap. Bibik panggilkan Pak Mail."
"Baik, Maya." jawapan yang dilontarkan adalah bersama senyuman tawar, lirikan sekilas. Bersungguh-sungguh Maya mencari sepasang lesung pipit yang lelaki itu miliki, namun gagal total. Tidak mahu melayan lebih, Maya terus melangkah ke bahagian belakang untuk mengeluarkan kerusi roda Datuk Adrian.
"Maya, berat tu. Tak apa, biar je. Nanti Pak Mail angkatkan." Datuk Adrian laju menegah bimbang. Namun belum pun sempat lelaki itu meneruskan kata, Maya pula terlebih dahulu datang mendekat dengan menolak kerusi roda itu bersama.
"Tak apa, Datuk." Maya cuba tersenyum, dengan harapan agar lelaki itu akan membalas. Memang wajah Datuk Adrian setiap saat terlihat manis bergula, namun yang menyedihkan, kemanisan itu seakan-akan semakin tawar. Merajukkah dia?
Hampir 10 minit menunggu, jangankan susuk Pak Mail, kepala botaknya juga langsung tidak kelihatan. Malah, Bibik Salimah juga tidak keluar langsung. Di mana suami isteri itu?
"Lama lagi ke Pak Mail tu, Maya? Tunggu lama dah ni." Datuk Adrian menyoal sambil memusingkan wajah ke arah Maya. Tersentak lelaki itu melihat keadaan Maya. Bakal isterinya itu sedang duduk berteleku di atas kerusi rodanya. Mahu ketawa ada, geram juga ada.
Maya yang sedari tadi sedang memikirkan tentang tangisan Arfan, sekadar menjongketkan bahu sebelum bangkit mendekati Datuk Adrian. Timbul akalnya mahu menyuruh lelaki itu mendengar suara tangisan anaknya sendiri.
'Ah, mengapa akal itu lambat muncul?'
"Jomlah saya tolong Datuk. "
"Eh, awak boleh ke? Awak tu mengandung Maya. Janganlah, saya boleh tunggu Pak Mail. Tak apa." Datuk Adrian laju menolak, namun Maya tetap juga berkeras. Kedudukan kerusi roda itu diatur, lalu tangannya juga mula didepangkan.
"Saya boleh Datuk, jangan risau. Lagipun, kaki sebelah tu okay lagi kan?" soal Maya lembut, kali ini dengan nada yang berhati-hati. Dia tidak mahu selancang tadi. Melihat kesungguhan Maya, Datuk Adrian kemudian mengangguk. Ketika Maya sudah mula memapah tubuhnya, dia juga memegang kuat sisi kereta lantaran enggan memberi beban yang banyak kepada tubuh wanita itu. Namun, ketika masing-masing mula berpaling, entah bagaimana boleh pula wajah mereka saling bersua pandang. Masing-masing menjadi bangkar buat beberapa saat. Ketika mata saling merenung, ketika itu juga tangan mereka saling mencengkam kuat tubuh pasangannya.
'Cantiknya Maya.'
'Kacaknya Datuk.'
Hati mereka ligat memuji, tanpa sedar bibir mereka juga sedang seronok mengukir senyum. Malah, lesung pipit Datuk Adrian juga mula jelas terpamer keluar. Sedar tak sedar, dua ulas bibir itu semakin sahaja merapat.
"Datuk?"
"Ma-maaf!" Maya laju memalingkan wajah, begitu juga dengan Datuk Adrian. Saat itu, Pak Mail pula yang berubah menjadi kaku sebelum berdeham berkali-kali. Hati tua itu gigih memaki diri lantaran terlanjur muncul di saat yang salah.
Share this novel
okey