Bab 10
Dia terus melangkah. Terlihat pula pokok daun kesom dan daun kaduk… Di dalam hutan ini terdapat pelbagai pokok dan dedaun yang boleh dijadikan ulam-ulaman dan ubat. Hanya generasi sekarang sahaja yang kurang arif. Dia segera mengangkat kamera dan mengambil gambar daun-daun itu.
Leo menoleh ke belakang. Dia mengerut dahi apabila melihat Amalina tiada di belakangnya. Dia berpatah kembali ke belakang mencari Amalina. Dilihatnya Amalina sedang terbongkok-bongkok mengambil gambar daun kaduk. Hmmm, memang pelik perempuan tu! Bukan hanya berminat pada binatang buas tetapi juga pokok dan dedaun…
Amalina melangkah kembali mengekori Leo. Dahinya mulai disimbah peluh. Perjalanan terasa kian jauh ke dalam hutan.
“Tunggu sini!” kata Leo.
“Ehhh… Kau nak ke mana?” Tanya Amalina sambil memandang tepat ke muka Leo.
Leo tidak menjawab. Amalina rasa marah melihat sikap Leo yang tidak suka menjawab apabila ditanya.
“Aku tak mahu tinggal sorang kat sini!” Amalina setengah membentak.
“Ingat! Aku bayar kau untuk temankan aku, bukannya tinggalkan aku sorang di tengah-tengah hutan macam ni.”
“Aku tahulah! Aku pergi ke sana sekejap nak tebang pokok, buat pondok. Kau nak kena baham dengan binatang buas ke, duduk tunggu kat bawah pokok macam ni?” kata Leo sambil menentang mata Amalina.
Serta merta mata Amalina mengecil, mukanya merah padam. Dia rasa marah dan geram. Dia bukannya penakut. Tetapi kata-kata Leo itu membayangkan Amalina seorang yang penakut.
“Kau ingat aku takut? Kalau aku penakut tentu aku takkan nak duduk dalam hutan ni… Bersama dengan engkau pulak! Orang yang aku tak kenal!” balas Amalina sambil menegakkan badannya ingin menandingi ketinggian Leo. Tetapi dia sedar, dia memang kalah. Lelaki itu tinggi dan tegap.
“Tunggu sajalah, jangan banyak cakap!” kata Leo lagi tidak mahu bertengkar dengan Amalina.
Amalina asyik merakam setiap aksi sepasang kijang itu dengan kameranya. Namun dia dikejutkan dengan bunyi batang pokok ditebang diikuti dengan dahan yang rebah ke tanah tidak berapa jauh dari situ. Bunyi bising itu telah menyebabkan kijang-kijang itu melarikan diri dengan pantas. Amalina merengus geram.
Dia menoleh ke belakang. Dilihatnya Leo datang dengan memikul kayu-kayu sebesar paha kanak-kanak. Tidak lama kemudian dia hilang semula, mengambil sisa-sisa kayu yang telah ditebangnya tadi. Amalina duduk di pangkal pokok jering itu. Dia benar-benar kecewa setelah pertemuan pertamanya hari itu gagal untuk dirakam. Dia hanya sempat mengambil beberapa keping gambar sahaja.
Dia juga tidak sempat menghalakan kamera videonya ke arah pasangan kijang itu.
Amalina duduk di bawah pokok jering itu sambil memerhati Leo yang tekun bekerja. Lelaki itu sedang membina pondok di atas pokok.
“Kau nak cuba naik?” tanya Leo sambil mendekati Amalina.
Amalina lihat seluruh badan dan wajah Leo bermandi peluh. Rambutnya yang panjang mencecah bahu juga kelihatan basah dan lembab. Dia menghela nafas dengan tenang, cuba membuang rasa letih yang menghambat diri.
“Air?” tanya Amalina sambil menghulur air.
Amalina memanjat tangga kayu itu dengan hati-hati. Saat dia sudah berada di atas pelantaran kecil yang berukuran lebih kurang 4 kaki persegi itu, dia dapat melihat pemandangan hutan dari tempat yang tinggi. Wah! Dia dapat melihat satu pemandangan yang menakjubkan.
“Wow!!!” ucapnya sepatah sambil memandang ke arah Leo yang berada di bawah pokok, sedang mendongak ke arahnya.
“Macamana?”
“Pemandangan yang menarik,” kata Amalina sambil mengangkat kameranya dan mulai mencari-cari sesuatu untuk merakam gambar.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Leo sudah menerima kehadiran Amalina dengan baik?
Share this novel