Pertama kalinya matahari galak menyinar pagi itu. Tiada lagi awan tebal hitam yang menyelubungi dada langit. Tiada lagi gerimis diikuti hujan lebat yang turun mencurah-curah. Alhamdulilah. Menurut laporan Polis Diraja Malaysia, Pahang, beberapa jalan utama negeri sudah mula dibuka untuk dilalui kenderaan berikutan banjir yang semakin surut di beberapa buah daerah di negeri Pahang. Mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan juga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat-peringkat.
Pun begitu, hujan dalam hati masih belum reda apabila melihat sekujur jasad tidak bernyawa yang sudah siap dimandikan dan dikafan, diusung ke tanah perkuburan. Sebak menyelubungi suasana. Dia cuba mencari hikmah, andai itu yang ALLAH mahu tunjukkan dalam kesenianNYA yang cukup halus sekali.
“Banjir dah surut. Apa perancangan kau lepas ni?”
“Balik ke Kuala Lumpur semula. Teruskan sesi kemoterapi aku yang entah bila akan berkesudahan...”
“Bertabahlah, aku doakan kau cepat sembuh...”
Ammar hanya menganggukkan kepala. Untuk tersenyum, tidak pada saat ini. Jiwanya tersayat sedih. Sebelum berangkat pulang, sekali lagi dia menoleh ke arah batu nisan yang bertaburan kelopak-kelopak bunga mawar merah di permukaan tanah pusara. Airmata lelakinya menghujani pipi untuk sekalian kali.
“Awak mahu pergi mana? Boleh saya ikut?”
Terngiang-ngiang lagi pertanyaan Mawar kepadanya beberapa ketika sebelum arwah bertemu Tuhannya. Ketika itu, Mawar malu-malu ulahnya. Ammar terasa seperti hendak meraung mengingatkan itu semua.
“Berseru seorang penyeru di dalam syurga bahawa kamu akan selalu sihat dan tidak akan jatuh sakit selama-lamanya, akan muda dan tidak akan tua selama-lamanya, akan berasa senang gembira tidak susah atau bosan selama-lamanya,”
“Maksud awak, syurga ALLAH?”
Mawar dengan mudah dapat menangkap apa yang cuba disampaikan lelaki itu. Ammar menganggukkan kepala.
“Saya dah tak tahan menderita sakit, Mawar. Saya mahu sihat selama-lamanya...”
“Awak sakit?”
Mawar sayu hatinya tiba-tiba. Kasihan Ammar. Melirih batinnya.
“Cuba awak pandang luar sana, apa yang awak nampak?”
Mawar cuba mengentalkan semangatnya dengan senyuman di wajah.
“Banjir... airnya coklat kekuning-kuningan... kotor...” jawab Ammar jujur. Dia tidak mengerti akan signifikan kepada pertanyaan perempuan itu.
“Dunia, begitulah sifatnya. Dan sifat syurga ALLAH yang dijanjikan untuk orang yang bertakwa, adanya sungai-sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya dan sungai-sungai dari arak yang lazat bagi peminumnya, dan sungai-sungai dari madu yang suci bersih. InsyaALLAH, syurga ALLAH akan terbuka pintunya untuk seorang pemuda yang baik seperti awak, Ammar.”
Mawar mengukir senyuman paling indah. Ammar benar-benar tersentuh.
Airmatanya menitis terharu.
“Terima kasih, Mawar kerana menyelamatkan aku. Tunggu aku di syurga...” bisik Ammar pada angin yang setia mendengar.
Share this novel