BB - BAB 1

Drama Completed 309196

QAIREENA yang baru sahaja pulang dari kuliah meletakkan beg dan failnya di atas meja sebelum terus melabuhkan badannya di atas katil. Baru sahaja matanya mahu terlelap, telefon bimbitnya pula berbunyi. Perlahan dia bangun dari katil dan menuju ke meja belajarnya. Tangan dimasukkan ke dalam beg kuliah yang dibawanya tadi untuk mengambil telefon bimbit yang sedang menyanyikan lagu Albi Nadak yang dinyanyikan semula oleh Dai Syed itu, sambil mulutnya turut menyanyikan lagu tersebut. Saat melihat nama yang tertera di skrin telefon, hatinya berbunga riang lantas menjawab panggilan tersebut dengan senyuman yang menghiasi bibirnya.

"Assalammualaikum Ibu". Ucap Qaireena apabila telefon sudahpun dilekapkan di telinga.

"Waalaikumsalam. Reen sihat?". Soal Puan Qamariyah di hujung talian.

"Alhamdulillah Reen sihat. Ibu dan Sara sihat?". Soalnya pula kepada Puan Qamariyah.

"Ibu Alhamdullah sihat, Sara pula macam biasalah, badan sentiasa lemah. Beberapa hari ni pula dia asyik batuk saja, muka pun semakin pucat. Ibu harap cepatlah dapat penderma tulang sum sum yang sesuai dengan Sara, Ibu dah tak sanggup nak tengok keadaan dia macam tu". Kata Puan Qamariyah dengan suara yang kedengaran sangat risau.

"Ibu jangan risau ya, In shaa Allah akan ada penderma untuk Sara dalam masa terdekat ni, kita sama-sama berdoa kepada Allah". Pujuk Qaireena untuk menenangkan hati Puan Qamariyah. Namun jauh disudut hatinya dia juga risau saat mendengar berita mengenai adik kesayangannya itu.

"Reen, hujung minggu ni Reen balik ya, Ibu rindulah. Minggu depan pula Ibu akan pergi ke Sarawak untuk menghadiri kursus selama tiga hari, sebelum bertolak Ibu nak jumpa dulu anak Ibu ni, boleh kan?". Ujar Puan Qamariyah.

"Boleh Ibu, esok Reen ada kuliah sebelah pagi saja. Petang Reen tak ada kuliah, jadi bolehlah Reen terus balik rumah. Reen pun dah rindu dengan masakan Ibu". Jawab Qaireena ceria.

"Kalau macam tu esok Ibu masakkan makanan kegemaran Reen ya". Kata Puan Qamariyah di hujung talian.

"Yeay, terima kasih Ibu, sayangggg Ibu". Kedengaran suara Puan Qamariyah ketawa dihujung talian apabila mendengar suara ceria anak sulungnya itu.

"Ibu letak telefon dulu ya, kita jumpa esok. Assalammualaikum sayang".

"Waalaikumsalam Ibu". Qaireena kemudian menamatkan panggilan bersama segaris senyuman yang terukir di bibirnya.

Fikirannya menerawang mengingatkan yang sudah dua minggu dia tidak berjumpa dengan Ibu dan adiknya disebabkan terlalu sibuk menyiapkan assignment. Rasa rindu mula beraja dihatinya, tidak sabar menanti hari esok untuk bertemu dengan dua insan yang disayanginya itu.

Seketika Qaireena menoleh ke arah pintu apabila terdengar suara tombol pintu dipulas dari arah luar. Dilihatnya Adira iaitu rakan sebiliknya melangkah masuk sambil memberikan salam. Dia menjawab salam rakannya dengan senyuman.

"Reen, Nasrul tunggu kau dekat depan blok kita ni, dia kata dia cuba call kau tadi tapi tak dapat". Kata Adira sambil meletakkan beg sandangnya di atas kerusi.

"Aku tengah bercakap dengan ibu aku tadi. Kau dah makan ke ni?". Soal Qaireena pada Adira.

"Belum lagi. Habis saja kuliah tadi, aku terus jumpa Puan Hayati hantar assignment untuk kumpulan aku. Memandangkan kumpulan aku paling lewat hantar assignment, terpaksalah aku dengar tazkirah dari dia sekejap, siap kena potong sepuluh markah lagi. Terus aku hilang selera nak makan, sebab tulah aku terus balik". Jawab Adira yang sudah pun melabuhkan punggungnya di atas katil.

"Kalau macam tu, jom kita pergi makan sekali dengan Nasrul". Ajak Qaireena.

"Tak naklah, aku nak berehat sekejap, sebab pukul 2.30 petang ni aku ada kuliah lagi". Kata Adira sambil menanggalkan tudung dari kepalanya.

"Kalau macam tu, aku pergi dulu ya. Kau nak aku bungkuskan makanan untuk kau?". Sambil bangun dari katil dan membetulkan ikatan rambutnya.

"Emm...boleh juga, kau bungkuskan aku nasi goreng pataya dan teh ais ya. Thank you Reen, sayang kau". Kata Adira sambil mengenyitkan matanya pada Qaireena.

Qaireena hanya tersenyum memandang sahabatnya itu sambil melangkah keluar dari bilik mereka.

~~~

Dari jauh lagi Nasrul sudah mengukir senyuman memandang Qaireena yang sedang menapak ke arahnya.

Nasrul merupakan senior Qaireena dari bidang yang sama dengannya dan kini sudah pun berada dalam semester akhir pengajiannya. Walaupun Nasrul lebih tua dua tahun darinya namun Qaireena selesa berkawan dengan lelaki itu.

"Dah lama Nas tunggu?". Soal Qaireena dengan senyuman.

"Taklah lama sangat, Nas call Reen tadi nak bagitahu Nas tunggu dekat depan ni, tapi tak dapat pula". Jawab Nasrul sambil jalan beriringan dengan Qaireena menuju ke Cafe yang berdekatan dengan blok asrama perempuan itu.

"Sorry, Reen tengah bercakap dengan ibu Reen tadi". Kata Qaireena.

"Oh patutlah call tak dapat. So macam mana dengan bakal ibu mentua Nas, sihat ke?". Soal Nasrul dengan senyuman sambil menoleh ke arah Qaireena di sebelahnya.

"Amboi, belajar pun tak habis lagi ada hati nak jadi bakal menantu ibu Reen". Jawab Qaireena sambil tersenyum apabila mendengar gurauan Nasrul itu.

"Nas kan dah semester akhir, lepas tu dah boleh kerja dan kumpul duit untuk pinang Reen". Kata Nasrul lagi dengan senyuman yang masih menghiasi bibirnya.

Qaireena yang mendengar hanya tersenyum mendengar kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulut Nasrul itu.

Mereka berdua kemudian masuk ke dalam Cafe dan terus membuat pesanan makanan dan minuman sebelum mereka mengambil tempat duduk.

"Ibu Alhamdulillah sihat. Cuma ibu kata Sara kurang sihat, beberapa hari ni asyik batuk saja dan badan dia pun semakin lemah". Sambung Qaireena apabila mereka berdua sudah pun melabuhkan punggung di tempat yang mereka pilih.

Nasrul dapat melihat perubahan wajah Qaireena yang nampak risau apabila wanita itu menceritakan tentang adik kesayangannya.

"Reen janganlah risau sangat ya, In Shaa Allah Sara akan sembuh". Kata Nasrul, cuba untuk menenangkan hati Qaireena yang dilanda kerisauan itu.

Selama setahun lebih mereka berkawan, segala tentang kisah hidup wanita itu sudah pun diketahuinya. Dia juga tahu tentang penyakit yang dihidapi oleh Qaisara dan perkara itulah yang seringkali menjadi kerisauan Qaireena. Namun apakan daya, sebagai seorang sahabat dia hanya mampu menjadi pendengar setia dan memberikan semangat kepada wanita itu.

"Macam mana Reen tak risau bila dengar suara ibu yang susah hati apabila melihat keadaan kesihatan Sara yang semakin merosot setiap hari. Dah berapa lama kami menunggu penderma tulang sum sum yang sesuai untuk Sara, tapi sampai ke hari ni masih tak ada. Reen sendiri tak pasti berapa lama lagi Sara dapat bertahan. Bila fikirkan perkara tu, Reen jadi takut sangat Nas, Reen tak nak kehilangan satu-satunya adik yang Reen ada". Ujar Qaireena. Berkali-kali matanya dikelipkan agar air jernih yang mula bertakung dikelopak matanya itu tidak jatuh membasahi pipinya.

"Allah tu maha mendengar, banyakkanlah berdoa Reen, semoga ada keajaiban yang berlaku dalam masa terdekat ni". Tutur Nasrul sambil memandang wajah Qaireena. Dia dapat melihat mata Qaireena yang merah akibat menahan diri daripada menangis.

"Kalau ibu setuju dengan cadangan Reen, mesti Sara dah sihat sekarang ni. Tapi ibu degil, ibu tetap dengan pendiriannya untuk menunggu penderma lain". Ujar Qaireena lagi.

"Reen kena faham, pasti ibu Reen ada sebabnya tersendiri kenapa dia tak nak Reen yang menjadi penderma tulang sum sum kepada Sara. Betul, ibu Reen nak Sara sembuh, tapi dalam masa yang sama Nas yakin ibu Reen juga takut untuk mengambil risiko yang kemungkinan berlaku seandainya Reen menjadi penderma". Kata Nasrul.

"Maksud Nas, ibu Reen takut seandainya Reen dan Sara akan pergi meninggalkan dia kalau pembedahan tu tak berjaya?". Soal Qaireena sambil memandang tepat ke wajah Nasrul.

Nasrul yang juga sedang memandang wajah Qaireena mengangguk perlahan.

"Itu apa yang Nas rasalah. Reen kena faham, dalam hidup ibu Reen, dia cuma ada Reen dan Sara sahaja, ayah Reen sebagai tempat untuk dia bergantung pun dah pergi bertemu Ilahi meninggalkan ibu Reen sendirian untuk melalui kehidupan yang penuh ujian ni. Nas dapat rasa yang ibu Reen lebih rela jika dia hanya kehilangan seorang anak sahaja daripada dia kehilangan kedua-duanya sekali. Reen fahamkan maksud Nas?".

Qaireena terdiam sejenak, memikirkan setiap kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulut Nasrul. Perlahan dia menganggukkan kepalanya sebagai tanda menjawab persoalan sahabatnya itu. Nasrul yang melihat terus mengukir senyuman.

"Dahlah tu, jangan fikirkan sangat ya. Banyakkan berdoa, kerana Allah tidak pernah mengecewakan hambaNya selagimana hambaNya itu bersujud dan meminta pertolongan daripadaNya". Ujar Nasrul dengan senyuman.

"Terima kasih Nas, sebab selalu bagi semangat pada Reen". Ucap Qaireena dengan senyuman.

"Sama-sama. Dahlah tu, jom kita makan, nasi goreng ni pun dah sejuk asyik dengar kita berbual". Jawab Nasrul sambil membalas senyuman Qaireena.

Mereka berdua kemudian menikmati makan tengah hari bersama.

~~~

Tepat pukul 3 pagi, Qaireena terjaga dari tidurnya. Dia cuba untuk melelapkan matanya semula namun matanya semakin segar. Lantas perlahan dia bangun dari katilnya dan keluar menuju ke bilik mandi. Setelah membasuh wajah, dia kemudian mengambil air wudhuk.

Sejadah dibentangkan dan dia mula menyarungkan telekung ke badannya. Takbir diangkat dan niat solat sunat tahajud dibaca. Usai menunaikan solat tahajud, Qaireena terus menunaikan solat sunat hajat sebanyak dua rakaat. Segala hajatnya diluahkan kepada Sang Pencipta melalui setiap sujudnya.

Selesai melakukan solat sunat hajat, kedua tangannya ditadah untuk berdoa.

'Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, aku memohon kepadaMu, Kau tunaikanlah segala hajatku Ya Allah, Kau pertemukanlah penderma tulang sum sum untuk adikku Qaisara Azalea, Kau permudahkanlah segala urusan pembedahannya nanti. Aku memohon kepadaMu Ya Allah, Kau kuatkanlah juga semangatku dan ibuku untuk menempuhi setiap ujian yang Kau berikan kepada kami. Sesungguhnya kami hanyalah hambaMu yang lemah. Hanya padaMU sahaja tempatku bergantung harap dan meminta pertolongan kerana Engkaulah yang mentadbir seluruh alam ini, Engkaulah yang Maha Mendengar, Maha Berkuasa, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Aamin ya rabbalalamin'

Setitis demi setitis airmata jatuh membasahi pipinya. Dihatinya penuh pengharapan agar dalam masa terdekat ini akan ada penderma tulang sum sum untuk Qaisara. Sungguh dia tidak mahu melihat ibunya susah hati dan bersedih memikirkan keadaan adiknya itu. Dia juga tidak sanggup untuk menghadapi kehilangan buat kali kedua setelah pemergian ayahnya dalam satu kemalangan jalan raya.

Perlahan kepalanya dilabuhkan di atas sejadah. Airmatanya masih belum berhenti mengalir saat fikirannya masih lagi mengingatkan keadaan Qaisara. Akhirnya dia terlelap bersama telekung yang masih lagi melekat ditubuhnya.

Untuk pengetahuan readers tersayang semua, Jue akan update BB ni setiap 2 hari sekali ye.. Jue tak dapat nak update hari2 memandangkan Jue juga ada kerja hakiki... so happy reading korang, sorry kalau membosankan... Happy New Year...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience