BAB 7

Mystery & Detective Completed 6353

Tubuhnya mula menggigil apabila Fatma mengangkat tangan, menunjukkan perakam suara yang telah berjaya merekod setiap perbualannya dengan lelaki miang itu tanpa sebarang gangguan.

“Kau! Kau bangsat! Kau tolong aku lepaskan diri tapi akhinya kau khianati aku! Kau perempuan bangsat!” Datuk Marzuki meraung marah sambil cuba mendekati tubuh Fatma. Hampi sahaja tangannya mencecah pipi perempuan itu, tangannya terlebih dahulu dicengkam kuat oleh tangan Ali Fattah.

“Datuk, kita jumpa di court. Jika lima tahun lepas kau bebas atas pertolongan peguam bela Fatma Hanim, tapi kali ni kau akan masuk lokap dengan bantuan peguam yang sama.”

Pegangan Ali Fattah pada pergelangan tangan Datuk Marzuki terlerai. Dia melirik Fatma. ‘Well done, Fatma Hanim!’ Perempuan itu menyisipkan senyuman manis. ‘Terima kasih, Ali Fattah. Kau dah bantu aku untuk hilangkan rasa bersalah yang aku tanggung selama ini.’

Datuk Marzuki terduduk. Wajahnya diraup lemah. Hilang. Dia bakal kehilangan segala-galanya. Harta yang bertimbun kini bakal lenyap sekelip mata!

Perbicaraan berjalan dengan lancar. Dengan bukti yang kukuh, akhirnya Datuk Marzuki disabitkan bersalah di mahkamah. Dan beliau sendiri mengaku bersalah atas tuduhan palsu terhadap arwah Datuk Asran.

Siapa sangka Datuk Marzuki yang selalu bersedekah dan menghulurkan sumbangan untuk orang lain terlibat dalam perkara sedemikian? Niat tidak menghalalkan cara. Kerana tamak, Datuk Marzuki kehilangan apa yang pernah menjadi miliknya sebelum ini.

“Kau dah tolong aku, Fatma. Tapi aku takkan berterima kasih pada kau walaupun aku berjaya bersihkan nama arwah papa aku dengan bantuan kau. Aku anggap itu memang tanggungjawab kau setelah apa yang terjadi lima tahun lepas,” tutur Ali Fattah tanpa memandang Fatma. Matanya asyik melatari keindahan ciptaan Allah S.W.T di kaki langit.

Fatma menggenggam tangannya yang kedinginan. Malam ini agak sejuk daripada kebiasaannya. Angin bertiup perlahan menyapa tudung labuhnya.

“Aku minta maaf. Kerana aku buta hati, aku biarkan arwah Datuk Asran masuk penjara. Aku biarkan arwah menderita. Maafkan aku. Selama lima tahun hidup aku tidak tenang. Aku seperti seorang pesalah. Baru aku sedar, rupanya aku telah berbuat salah pada orang yang tak sepatutnya. Kalaulah arwah Datuk Asran masih ada, aku benar-benar nak minta maaf dengan dia. Tapi itu dah terlambat kan? Aku berterima kasih pada kau, Ali Fattah sebab kau dah bebaskan aku dari rasa bersalah aku ni.”

Ali Fattah menjeling sekilas gadis itu. Dia tidak mampu lagi menghukum Fatma. Dia bukan Tuhan. Dia hanya manusia biasa. Lazimlah manusia berbuat salah dalam hidup ini.

“Aku pernah cakap pada diri aku. Orang yang bertanggungjawab atas penderitaan arwah papa aku harus terhukum di tangan aku tapi sekarang aku fikir aku tak layak nak hukum kau atas apa yang dah berlaku. Kau dah bebas dari game aku, Fatma.”

Fatma menoleh ke sisi. Ali Fattah turut berbuat demikian. Mereka saling bertatapan.

“Ali Fattah, aku minta maaf. Dan terima kasih sebab sudi maafkan aku,” ujar Fatma dalam nada penuh kesyukuran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience