Bab 9

Short Story Series 55082

Berita kehamilan Rina tidak lagi menjadi satu rahsia. Hampir ke semua orang di universiti mengetahui bahawa wanita itu sudah berbadan dua. Terdapat banyak versi cerita yang mereka dengar tentang kehamilan Rina itu dan kebanyakan cerita itu berunsur negatif dan ditokok tambah. Rina sudah tidak kuasa mahu melayan gosip-gosip liar tentang dirinya. Mulut tempayan saja susah ditutup apatah lagi mulut manusia. Mereka hanya mahu percaya apa yang mereka dengar dan lihat tanpa mahu mengetahui yang sesungguhnya. Biarlah apa yang mereka mahu katakan yang penting Allah tahu dia tidak melakukan sesuatu yang terkutuk.

Hubungan Jun dan dirinya sudah semakin renggang semenjak mereka pulang dari hospital sebulan yang lalu. Syahiran juga begitu bahkan langsung tidak bertegur sapa dengannya selepas ibu Syahiran datang berjumpa dengannya secara langsung dan meminta agar menjauhi anak lelakinya itu kerana salah satu gosip liar tentang Rina mengaitkan Syahiran sama. Rina tidak pula memujuk Jun mahupun Syahiran agar tidak menjauhinya malah sebaliknya dia melepaskan kedua kawannya itu demi kebaikan mereka. Hanya Aqilah satu-satunya yang masih setia bersamanya walaupun Rina sudah meminta agar gadis itu tidak terlalu rapat dengannya kerana takut Aqilah terkena tempias sama seperti kawannya yang lain tetapi Aqilah kembali memarahi dirinya agar tidak memperdulikan kata-kata orang lain.

Hari ini adalah hari terakhir dia berada di universiti itu sebelum menjalani latihan industri. Peperiksaan akhir Rina sudah pun berakhir sejak semalam tetapi gadis itu baru mahu pulang hari ini kerana Abang Atan orang yang sekampung dengannya berbaik hati mahu menumpangkan dirinya pulang ke kampung. Memandangkan Abang Atan merupakan kakitangan universiti di situ dia mengetahui kisah yang menimpa Rina dan bersimpati terhadap nasib anak yatim piatu itu. Dia mempercayai Rina kerana dia tahu Rina seorang gadis yang baik dan pandai menjaga maruah dirinya hanya nasib tidak menyebelahi gadis itu hingga harus berakhir seperti ini.

"Betul ni? Kau nak tinggal di kampung saja tak nak ikut aku balik ke Kuala Lumpur?" Aqilah bertanya sambil memimpin tangan Rina ketika mereka berjalan menuju ke kafeteria untuk membeli makanan sebelum masing-masing pulang ke kampung halaman.

"Betullah, Abang Atan nanti datang lepas solat zuhur angkut barang aku. Kau tak payah risau, InsyaAllah, Allah akan menjaga aku." Rina menggelengkan kepalanya apabila ini sudah kali kesepuluh Aqilah bertanya tentang perkara yang sama. Risau benar daripada gayanya.

"Itulah kau, aku sudah cakap mohon latihan industri di Melaka sama seperti aku tapi kau tak nak. Nanti kalau ada apa-apa senang aku boleh tolong kau." Aqilah memarahi Rina yang berdegil mahu menjalani latihan industri di syarikat kecil di pekan kampungnya.

"Aku tak nak susahkan kau. Kau pun di Melaka duduk dengan nenek dan atuk kau bukannya duduk di rumah sewa. Malu aku nak menumpang di rumah mereka. Kau janganlah risau sangat, pandailah aku jaga diri aku nanti. Aku tak nak susahkan kau lagi." Rina menjelaskan keadaannya kepada Aqilah. Sudah cukup dia menyusahkan orang disekelilingnya biarlah kini dia berdikari sendiri.

"Susahkan apanya, tak susahkan langsunglah. Aku kan kawan kau mestilah aku kena tolong kau. Senang sama-sama susah pun kenalah sama-sama bukan macam orang tu." Aqilah memandang ke arah Jun yang menikmati makan tengaharinya bersama Iqmal dan beberapa kawan yang lain termasuk Syahiran di hujung penjuru kafeteria.

"Janganlah cakap macam itu. Mereka ada hak untuk memilih dengan siapa mereka mahu berkawan." Rina menarik tangan Aqilah jauh dari situ kerana dia tidak mahu Aqilah menyimpan dendam terhadap Jun dan Syahiran hanya disebabkan dirinya.

"Betullah tu, di sini saja dah nampak mana yang boleh dianggap kawan mana yang tidak." Aqilah masih tidak dapat melupakan apa yang dilakukan oleh Jun terhadap Rina dan dirinya.

Seminggu selepas Rina keluar daripada hospital perangai Jun terus berubah dan mula menjauhi mereka secara perlahan-lahan sehinggalah satu hari Jun mengemas barang-barangnya dan berpindah bilik tanpa memberitahu sebabnya. Hanya satu pesanan Jun ketika keluar daripada bilik mereka agar mereka tidak lagi menyapa dirinya dan anggap saja mereka tidak pernah berkawan. Semenjak daripada situlah, Aqilah menghapus nama Jun sebagai kawan baiknya seperti yang dikehendaki oleh gadis itu sendiri.

"Kenang saja kebaikan dia sepanjang dia menjadi kawan kita." Rina mengusap lembut belakang Aqilah. Dia faham akan kesedihan Aqilah kehilangan seorang kawan baik dan dia juga cuba memahami situasi Jun yang tidak mahu terlibat dengan mereka. Semuanya kembali berpunca disebabkan dirinya.

Aqilah dan Rina sama-sama membungkus makanan mereka di gerai seorang wanita yang mereka panggil Nek Pah kerana diusia yang sudah lanjut itu masih saja tetap bekerja keras untuk mencari rezeki.

"Sikit saja makan, Rina. Kenyang ke? Bayi tu kena dapat banyak khasiat barulah sihat." Nek Pah mengira makanan Rina yang sangat sedikit itu. Selama ini memang gadis itu makan sedikit sahaja tetapi sekarang lebih sedikit semenjak mengandung. Risau juga dia dengan keadaan Rina itu yang semakin kurus.

"Tak berapa nak selera lah nek, kalau makan lebih nanti takut keluar balik." Rina menghulurkan not sepuluh ringgit kepada Nek Pah itu dan menunggu kembaliannya.

"Kamu ada mengidam apa-apa tak? Atau mual-mual yang teruk?" Nek Pah itu bertanya semakin risau apabila mendengar kata-kata Rina tadi.

"Alhamdulillah, setakat ini dia tak ada nak makan apa-apa yang susah dicari. Mual-mual pun cuma pagi saja." Rina menerima kembaliannya dan menunggu giliran Aqilah pula yang dikira makanannya oleh Nek Pah. Cepat dan pantas saja Nek Pah itu mengira dan memulangkan duit baki pelanggan. Melihat Nek Pah itu kembali dia merindui Nek Jah yang sudah meninggal dunia.

"Alhamdulillah, dia tahu ibunya sudah susah dan tidak mahu menambah kesusahan ibunya." Nek Pah sempat bangun dari tempat duduknya dan mengusap perut Rina yang tidak begitu ketara bahawa gadis itu sedang berbadan dua. Kecil dan comel saja perut Rina seakan-akan seperti mengandungkan sebiji bola kecil.

Rina dan Aqilah mengucapkan terima kasih sebelum berlalu pulang ke asrama sebelum jalan mereka dipintas oleh Aqil dijalan kaki lima. Aqilah sudah menjulingkan mata ke atas, lelaki ini juga sama seperti Jun dan Syahiran malah lebih teruk. Jika dua sahabatnya itu menjauhi Rina dengan mendiamkan diri tetapi lelaki ini terang-terangan mempermalukan Rina dikhalayak ramai. Rina yang rajin ke masjid universiti juga tidak lagi berkunjung kesana akibat dengan sengaja lelaki itu mengatakan bahawa orang yang melakukan zina tidak berhak berada di rumah Allah dengan sangat kuat sewaktu melihat wanita itu baru saja masuk ke perkarangan masjid sehingga membuatkan jemaah yang lain memandangnya. Rina memang tidak menangis ketika diperlakukan seperti itu tetapi apabila sampai di dalam bilik mereka gadis itu menangis dengan hiba di dalam sujudnya.

"Apalagi yang kau mahukan, Aqil? Masih tidak cukup ke makian yang kau lemparkan pada Rina di masjid tempoh hari?" Aqilah bertanya bagi pihak Rina. Sudah hilang rasa hormatnya terhadap senior mereka itu.

"Saya nak bercakap dengan awak sekejap, Rina." Aqil tidak memperdulikan Aqilah yang bertanya kepadanya. Dia hanya memandang Rina dan mahu bercakap dengan wanita itu sebentar.

"Dia tak nak bercakap dengan kau. Pergilah, jangan nak buat kecoh disini kerana nanti bukan kau yang dipersalahkan melainkan Rina nanti yang menjadi bahan umpatan." Aqilah tidak mengizinkan Aqil untuk bercakap dengan Rina.
Sakit hati yang kawannya itu rasakan turut sama dirasakan oleh dirinya. Dia tidak mahu melihat Rina menangis lagi.

Aqil memandang Rina meminta pertolongan untuk melepasi Aqilah. Perlahan-lahan Rina menarik Aqilah ke sisinya. Aqilah merengus geram apabila melihat Aqil yang sudah menapak selangkah mendekati mereka.

"Katakanlah dengan segera apa yang Aqil inginkan?" Rina bersuara datar. Dia memang tidak mahu berlama-lama berada di dalam keadaan itu. Benar kata Aqilah, kelak nanti bukan Aqil yang dipersalahkan melainkan dirinya sendiri. Seeloknya dia yang mengambil langkah berjaga-jaga kerana itu lebih baik.

"Aqil tahu Syahiran bukan bapa kepada bayi itu. Katakanlah kepada Aqil dengan sejujurnya Rina. Benarkah apa yang mereka katakan? Bahawa bayi yang dikandung Rina itu tidak berbapa? Jika benar, Aqil sanggup untuk menjadi bapanya asalkan Aqil dapat menjadi suami Rina. Kita lupakan apa yang terjadi. Aqil janji Rina tidak akan hidup susah lagi dan Aqil akan berikan apa saja yang diminta oleh Rina asalkan Rina menjadi milik Aqil seorang saja." Aqil meluahkan isi hatinya. Lupa dia bahawa dia pernah memalukan gadis itu sehingga tidak malu menyatakan hasrat hatinya yang benar-benar mencintai gadis itu.

"Bahkan sampai sekarang pun Aqil menganggap Rina perempuan tidak bermaruahkan? Jadi kenapa perlu Aqil kotorkan diri sendiri yang sudah dianggap mulia demi hidup bersama perempuan macam Rina ni? Sudahlah, lupakan semuanya. Bayi ini berbapa atau tidak bukan urusan Aqil, Rina boleh menjaga anak ini sendiri tanpa pertolongan sesiapa." Rina cuba menahan air matanya daripada membasahi pipi lagi. Dia sudah berjanji pada dirinya sendiri agar tidak mudah mengalirkan air mata dihadapan orang lain. Biarlah air matanya itu hanya disaksikan oleh Allah yang Maha Mengetahui.

"Mana janji Rina pada Aqil satu ketika dulu? Dasar penipu! Rina taburkan janji untuk hidup semati dengan Aqil tapi Rina berpeleseran dengan jantan lain. Rina tipu Aqil hidup-hidup sampai buatkan Aqil merana!" Aqil menjerit sewaktu Rina dan Aqilah sudah agak jauh meninggalkan dirinya. Jeritan itu membuatkan orang yang berada di kafeteria memandang mereka dan ada juga yang sudah mula berkumpul bagi menyaksikan 'drama' secara langsung itu.

Aqilah sudah hilang sabar. Dia sudah menggenggam penumbuknya dan mahu berpatah balik untuk menampar wajah lelaki yang tidak tahu malu itu tetapi ditahan oleh Rina. Rina menoleh ke arah belakang dan melihat orang yang sudah berkumpul melihat dirinya. Diantara mereka ada Jun dan Syahiran yang berdiri disebalik celah-celah orang yang berkumpul itu.

"Bukan ke kau sepatutnya berterima kasih kalau ada orang yang sudi kutip kau lagi walaupun dia tahu kau sudah ditebuk tupai?" Satu suara yang cukup dikenali Rina. Suara itu milik Areen yang sudah berjalan mendekati Aqil untuk menunjukkan bahawa kononnya dia bersimpati pada nasib lelaki itu.

Rina berpatah balik mendapatkan Aqil yang tidak berganjak dari tempatnya tadi. Dibelakangnya ada Aqilah yang sudah bersiapa sedia untuk mempertahankan Rina jika berlaku apa-apa disitu kerana ada Areen disisi Aqil.

"Bicaralah jujur Aqil dengan suara yang sama lantang seperti tadi. Demi Allah dan Rasulullah s.a.w. pernahkah Rina berjanji sama seperti yang Aqil katakan tadi? Bersumpahlah atas nama Allah bahawa pernahkah selama ini Aqil melihat Rina berpelesaran dengan mana-mana lelaki seperti yang dikatakan tadi? Demi kebesaran Allah yang Maha Mengetahui, saya tidak berzina dan anak yang dikandung ini adalah anak daripada hasil pernikahan yang sah. Jika saya berdusta saya bersedia diazab oleh Allah s.w.t." Mata Rina mencerlung memandang Aqil dihadapannya. Pertama kali dia bertentangan mata dengan lelaki itu. Dadanya turun naik kerana masih cuba mengawal amarahnya yang mula bermukim.

"Dia sudah menyatakan kesaksiannya, kini giliran kau. Bersumpahlah jika kau berkata benar." Aqilah meminta Aqil bersaksi sama yang dilakukan oleh Rina tetapi lelaki itu hanya membisu mendiamkan diri. Perlahan-lahan Aqil berlalu dari situ diikuti oleh Areen.

"Kalau kau semua merasa orang yang paling suci tanpa dosa sekarang, ambillah batu-batu di tanah itu dan lemparkan kepada dirinya. Tapi ingat! Hanya orang yang berasa tidak berbuat dosa sahaja yang boleh melemparkan batu untuk merejam gadis ini yang kau semua tuduh sebagai perempuan zina. Gadis ini bersedia menerima azab Allah jika dia berbohong, tapi jika ternyata dia tidak berbohong ingatlah azab Allah adalah milik kau semua." Nek Pah yang ikut melihat kejadian itu menghulurkan batu-batu kepada orang yang berkumpul di situ tetapi mereka semua tidak mengambil dan menjauhi Nek Pah termasuk Jun dan Syahiran.

Nek Pah dapat merasakan kesakitan yang di alami oleh Rina walaupun dia tidak dapat melihat riak wajah wanita berpurdah itu. Dia yakin gadis itu tidak akan melakukan perkara yang terkutuk dan keji seperti yang dikatakan oleh gosip-gosip liar tentang gadis itu. Nek Pah meminta Aqilah membawa Rina balik ke asrama untuk menenangkan diri.

"Kawan ketika senang itu mudah didapatkan tapi kawan ketika sedih itu susah mahu dilihat." Nek Pah itu sempat bercakap seakan menyindir Jun dan Syahiran yang mahu bersurai dari situ sehingga membuatkan kedua-duanya saling bertukar pandangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience