Bab 5

Romance Series 72307

SEDARI tadi Hayyan hanya membisu. Pandangannya dilempar ke luar kafe. Memerhati orang yang lalu-lalang di situ.

“Hayyan,” panggil Trisha. Memecahkan kesunyian antara mereka.

Hayyan mengalihkan pandangannya wajah Trisha. Dia senyum segaris.

“You okey? You tak selesa ke keluar dengan I?” soal Trisha. Daripada tadi Hayyan diam. Buatkan dia tak senang duduk. Rasa macam Hayyan terpaksa pula ikut dia keluar.

“I bukan tak selesa. Cuma... Entahlah... Mungkin sebab kita dah lama tak jumpa kut. Janggal sikit,” balas Hayyan teragak-agak. Entah kenapa dia rasa bersalah bila keluar berdua-duaan dengan Trisha begini. Tiba-tiba dia terbayangkan wajah Rhea.

“Takpa. I faham. Take your time Hayyan.”

“Trisha, kenapa kita tak jadi kahwin? Kenapa I kahwin dengan Rhea?”

Trisha terdiam seketika mendengar soalan Hayyan.

“You... You left me.”

Hayyan terkedu. Dia tinggalkan Trisha? Tapi kenapa? Sedangkan dia sangat mencintai wanita itu.

“Trisha, I minta maaf. Tapi...”

Trisha menggeleng perlahan. Tangan naik ke wajah berpura-pura seperti sedang mengesat air mata.

“It’s okay, Hayyan. Kalau I cakap pun, you tak akan ingat. Benda dah lepas. I pun terkejut sangat waktu you buat keputusan untuk kahwin dengan isteri you. I love you so much tapi waktu tu you lebih memilih untuk bersama dengan isteri you.”

Hayyan bungkam. Wajah Trisha dipandang dengan perasaan bersalah. Kenapa? Kenapa dia sanggup sakitkan hati wanita yang dia cintai?

“Tapi I tak salahkan you Hayyan. Rhea tu licik. Mungkin dia gunakan cara kotor untuk dapatkan you sampai you sanggup tinggalkan I.”

“Cara kotor?” Dahi Hayyan berkerut seribu. Dia tak faham apa yang Trisha maksudkan.

Trisha diam. Wajah simpati ditayangkan pada Hayyan. Waktu inilah kesempatan yang dia ada untuk dapatkan Hayyan semula. Kalau dia berterus-terang dengan Hayyan kenapa mereka tidak jadi berkahwin, sudah tentu lelaki itu akan membencinya.

Cukuplah sekali Hayyan membencinya. Dia tidak mahu hal yang sama berulang kali. Kali ini walau apapun yang terjadi, dia tak akan lepaskan Hayyan lagi.

“Hayyan, I bukan tak reda dengan takdir. Tapi bukan senang untuk I buang perasaan ni jauh-jauh. I masih sayangkan you walaupun I tahu perasaan I ni salah. I tak patut ada perasaan lagi pada suami orang.”

“Trisha, macam mana hubungan I dengan Rhea? I bahagia?” soal Hayyan ingin tahu. Sebelum ini dia tak berani nak bertanyakan soalan itu pada Rhea sendiri.

Trisha tersenyum kelat seraya menggeleng perlahan. “I tak berani nak cakap apa-apa. Tapi... Hidup you langsung berubah lepas you kahwin dengan Rhea. You dah tak macam Hayyan yang I kenal dulu. Rhea banyak buat you berubah. Sampai Mak Cik Jauriah banyak makan hati dengan you.”

Hayyan terdiam. Walaupun dia tidak mengingati Rhea, tapi dia nampak Rhea itu seperti seorang perempuan yang baik. Patutlah maknya sendiri tidak sukakan Rhea. Ada sebab rupanya. Sekarang Hayyan sedar yang daripada awal lagi dia tak patut percayakan Rhea. Boleh saja Rhea mereka-reka cerita tentang hubungan mereka. Hakikat yang sebenar hanya orang di sekelilingnya yang tahu.

“KENAPA mak layankan sangat Trisha tu?” soal Hayati tak puas hati. Sebal dengan sikap Jauriah.

“Kenapa pula mak tak boleh nak layan dia?” Soalan dibalas kembali dengan soalan.

Hayati angkat punggung daripada sofa. Riak tidak senang terpeta di wajahnya.

“Mak, Trisha tu cuma masa lalu Hayyan. Sepatutnya sebagai seorang ibu, mak nasihatkan Hayyan tu. Bukannya bagi galakkan untuk dia orang berdua tu berbaik semula. Cubalah fikirkan sikit perasaan Rhea,” ujar Hayati keras. Dia tahu kalau dia berlembut sekali pun, Jauriah tidak akan mahu mendengar nasihatnya.

“Yang Hayyan ingat sekarang ni, Trisha. Bukannya perempuan tu. Dah tu, along nak mak buat apa lagi?” Selamba saja Jauriah membalas.

“Mak... Along tak sampai hati tengok Rhea. Dah lah selama Hayyan koma, dia yang jaga Hayyan. Besarkan anak seorang-seorang. Hargailah sikit mak pengorbanan Rhea tu.”

Jauriah mencebikkan bibirnya. Entah kenapa anaknya yang seorang ni tak habis-habis nak menyebelahi Rhea. Sayang sangat dekat adik iparnya itu!

“Macamlah along tak tahu kenapa mak baik sangat dengan menantu tak jadi mak tu. Sebab Trisha tu kaya kan? Sebab tu mak bersungguh sangat nak Trisha tu jadi menantu mak,” sindir Hayati.

Jauriah ketawa. “Pandai juga kepala otak kau ni berfikir ya. Kalau Trisha tu kahwin dengan Hayyan, kita akan hidup senang. Kau pun tumpang senang juga.”

Hayati menggeleng perlahan kepalanya. “Along tak gila harta lah mak. Lagi-lagi harta orang. Mak jangan lupa apa yang keluarga Trisha tu dah buat pada keluarga kita dulu. Kalau Hayyan tu, along faham lagi. Tapi mak tak hilang ingatan juga kan?”

Jauriah mengetap kuat bibirnya. Dia mengesan sindiran halus pada ujaran anak sulungnya itu.

“Mak, sudahlah tu mak... Along tak sanggup nak tengok Rhea tu menderita lagi. Takkanlah sampai hujung nyawa dia, hidup dia nak berterusan menderita macam ni?” Hayati bersuara seperti orang terdesak sekarang ini.

“Dah itu nasib dia. Nak tak nak, dia kenalah terima. Kalau dia tak nak hidup menderita, tinggalkan Hayyan. Pergi jauh daripada sini.”

Hayati mengeluh panjang. Sudah tidak tahu bagaimana lagi untuk bercakap dengan Jauriah. Wanita itu tetap keras kepala dengan pendiriannya. Benarlah, harta dan kekayaan mampu membuat manusia jadi buta hati.

TRISHA memandu keretanya menghantar Hayyan pulang ke rumah. Hari sudah lewat malam. Senang hatinya dapat meluangkan masa sehari suntuk bersama dengan lelaki itu. Dan apa yang paling membuatkan dia gembira, dia sudah menang tanpa perlu bertanding dengan Rhea.

“Trisha, kenapa waktu I koma dulu you tak datang tengok I? Kenapa baru sekarang you datang jumpa I?”

Terus mengeras tubuh Trisha yang sedang memandu itu saat Hayyan ajukan soalan itu kepadanya. Ligat dia berfikir mencari alasan untuk diberikan kepada lelaki itu.

“Hayyan... I bukan tak nak datang tengok you selama you koma. Tapi wife you yang tak izinkan. Sampai I terpaksa curi-curi datang ke hospital. Pernah sekali I tertangkap dengan dia. Dia mengamuk. Dia halau I. Sejak tu I tak berani nak datang tengok you lagi.” Trisha mula mengada-ngadakan cerita yang tidak pernah terjadi pun.

Hayyan tergamam. Sungguh dia tidak sangka disebalik kelembutan Rhea di hadapannya selama ini rupanya wanita itu seorang yang hipokrit.

“Tapi I faham. I tak salahkan dia. Mungkin dia takut kita bersama kembali.”

“Trisha... Jujur dengan I, you masih cintakan I?”

Hampir terlepas pegangan di stereng kereta. Mujurlah dia cepat-cepat mengawal diri kembali. Trisha menjeling sekilas ke arah Hayyan.

“Kalau I cakap yang I masihkan cintakan you?”

Hening menguasai mereka. Hayyan terus melemparkan pandangan ke luar tingkap. Trisha pula terus menanti balasan Hayyan.

RHEA tidak senang duduk. Jam sudah menunjukkan hampir pukul sebelas malam tapi Hayyan masih lagi belum pulang. Kemanakah suaminya itu pergi?

Dia cuba menghubungi Hayyan tapi Rhea baru perasan yang suaminya tidak membawa telefon bimbit. Telefon bimbitnya ada di rumah.

Nafas dihela berat. Rhea tak sedap hati. Kemanalah agaknya Trisha membawa Hayyan pergi. Rhea tidak kisah jika Hayyan pulang ke rumah keluarganya. Yang dia risaukan sekarang ini Trisha.

Membayangkan Hayyan dan Trisha berdua-duaan meluangkan masa bersama sudah cukup buat hatinya bagai ditikam tanpa belas. Apatah lagi jika hal itu benar-benar terjadi.

Rhea tak sanggup!

Perutnya yang mula terasa lapar diabaikan. Seharian dia menunggu Hayyan pulang sampai terlupa dia masih belum makan sejak pagi tadi. Lagipun dia sibuk menyiapkan tempahan kek.

Hampir terpejam mata Rhea ketika menunggu Hayyan yang masih belum pulang. Armel pula sudah lama dibuai mimpi. Daripada petang tadi dia asyik bertanya kepada Rhea, di mana Hayyan? Mungkin rindu kerana seharian dia tidak bertemu dengan Hayyan.

Rhea bangun dan berlalu ke kamar mandi. Pili air dibuka. Dia membasuh wajahnya untuk menghilangkan rasa mengantuk. Walaupun matanya terasa berat sekarang ini, dia tidak mahu tidur selagi Hayyan masih belum pulang.

Tak lama selepas itu, telinganya menangkap bunyi enjin kereta di luar rumah. Tanpa berlengah, laju kakinya melangkah ke pintu utama.

“Abang...” Buka saja pintu, pandangan Rhea jatuh pada seraut wajah yang sedari tadi dinantikan kepulangannya.

Pandangan mata mereka saling beradu buat seketika sebelum Hayyan bergerak melangkah masuk ke dalam rumah tanpa sepatah kata.

“Abang dah makan? Kalau abang nak makan, Rhea boleh hidangkan untuk abang.” Rhea membuntuti langkah Hayyan.

Hayyan masih lagi diam. Tanpa menghiraukan Rhea, dia langsung masuk ke dalam bilik. Pintu ditutup rapat.

Langkah Rhea terhenti betul-betul di hadapan pintu bilik Hayyan. Nafas dihela perlahan. Hatinya jadi sayu mengenangkan nasib sendiri.

“Sabar Rhea... Sabar...” ujarnya perlahan. Cuba memujuk hati sendiri. Kalau bukan dia yang memujuk hati sendiri, siapa lagi yang mahu memujuknya?

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience