SEBAIK sahaja dia memarkirkan kereta Perodua Kancil berwarna putih yang bertompok-tompok ditampal simen miliknya di kawasan parkir, kelam kabut dia keluar dari kereta dan berlari masuk ke dalam bangunan.
"Ain Azreen!"
Serta merta dia keras pada kedudukannya. Matanya dipejam buat seketika sambil mendecit. Haih! Bersedialah wahai telinga dengan bebelan si mak cik ni.
Ain Azreen menoleh sambil menundukkan sedikit kepalanya. Usia wanita itu sebaya sahaja dengannya, tetapi pangkat mereka berbeza, jadi dia kenalah sedar diri.
"Dah pukul berapa sekarang ni?" soal Leona kasar sambil berpeluk tubuh. Kening nipisnya yang dilukis tinggi mencanak itu dijongketkan dengan lagak seorang ketua yang kononnya tegas dan garang.
Ain Azreen pura-pura mengerling sekilas jam di pergelangan tangannya. "Pukul 9.00 pagi," jawabnya. Padahal, bukannya dia tidak melihat jam sebelum dia masuk tadi.
"Dah banyak kali kau lewat datang kerja. Kali ni, apa alasan kau? Kau sepatutnya ada kat sini pukul 8.00 tepat lagi, faham tak?"
Ain Azreen mengemam bibir sambil mengangguk perlahan.
"Kau faham tak ni?" bentak Leona mengulangi ayatnya tadi.
"Faham, Leona."
"Apa kau panggil aku?" soal Leona dengan mata terjegil.
Aduh! Tersasullah pula. "Err, maaf. Saya faham, Cik Leona."
"Kalau kau faham, kenapa kau masih selalu datang lewat? Kali ni, tak ada kompromi. Aku akan adukan hal ni kepada bos dan buat surat pemecatan!"
Serta merta matanya membulat. "Cik, jangan, cik. Jangan pecat saya. Saya baru je lima bulan kerja kat sini, cik. Saya janji, lepas ni saya takkan datang lewat lagi. Saya ada tanggungan, cik... tolong jangan pecat saya," rayu Ain Azreen.
"Aku peduli apa kau ada tanggungan ke tak? Yang aku tahu, kau tak layak kerja kat sini! Aku akan minta kerani siapkan surat pemecatan kau dan kau boleh berambus dari si..."
"Apa kecoh-kecoh ni?" soal satu suara garau dari arah kanan mereka. Serentak kedua-duanya menoleh.
"Eh, Tuan Ferdi. Selamat pagi, tuan," ucap Leona dengan suara yang sengaja dilunakkan lalu dia menguntum senyuman paling manis buat CEO Biz Express itu.
"Selamat pagi, tuan," sapa Ain Azreen sopan sambil menunduk.
"Kenapa ni? Dari pintu masuk lagi saya dengar suara bising-bising. Ada masalah ke?" soal Ferdi sambil memandang wajah dua orang wanita di depannya silih berganti.
"Dia nilah, tuan. Selalu datang lewat. Kalau dah memang tak nak kerja, baik berhenti terus. Jadi, lepas ni, saya akan minta kerani buat surat pemecatan dengan notis 24 jam," jawab Leona sambil melempar jelingan tajam kepada Ain Azreen.
Ferdi merenung wajah Ain Azreen dengan lagak tenang. "Surat pemecatan tu perlukan tandatangan dan kelulusan daripada siapa?" Sengaja dia menyoal wanita berkening tinggi itu.
"Errr... Daripada tuan," jawab Leona sambil mengerutkan dahi.
"Ya, daripada saya. Jadi, kalau saya tak luluskan, macam mana?" soalnya lagi.
Leona melepaskan keluhan. "Pemecatan tak sah, tuan."
"Bagus, faham pun. Tiada sesiapa di dalam syarikat ni yang berhak memecat mana-mana pekerja tanpa arahan daripada saya, walaupun dia cuma penjaga kaunter tiket," ujarnya serius lalu mengalihkan pandangannya ke wajah wanita cantik berpakaian ringkas di sebelah Leona. "Awak, ikut saya ke pejabat." Langkah kakinya lantas diorak menuju ke bilik pejabatnya setelah dia selesai menuturkan arahan.
Cepat-cepat Ain Azreen mengejar langkah bosnya menuju ke ruangan pejabat. Sempat lagi dia melirik wajah Leona yang sedang memandangnya dengan pandangan tidak berpuas hati.
"Masuk!" laung suara dari dalam bilik sederhana besar milik CEO syarikat pengangkutan itu selepas Ain Azreen mengetuk pintu beberapa kali.
"Awak ada masalah ke?" soal Ferdi sambil menyandarkan tubuhnya pada kerusi dan berpeluk tubuh setelah Ain Azreen duduk di depannya.
"Masalah? Err... saya... ermmm, tadi tu, sebenarnya kereta saya termati kat simpang lampu isyarat, tuan. Terpaksa saya tunggu foreman datang," jawabnya jujur.
"Saya dah lama perhatikan awak sebenarnya..."
Ain Azreen menelan liur. "Maaf, tuan. Saya tahu saya salah. Tapi, bukan niat saya sengaja nak datang lewat. Kereta saya selalu buat hal pagi-pagi. Enjin susah nak hidup."
Ferdi tersenyum lalu dia bingkas berdiri dan menghampiri Ain Azreen. "Saya faham..." Tangannya diletakkan di atas penyandar kerusi yang sedang diduduki oleh Ain Azreen pada ketika ini. "Saya tak marah pun. Kalau saya marah, dah lama saya sendiri yang pecat awak," ujarnya sambil membongkok dan merendahkan kedudukan wajahnya menyamai wajah Ain Azreen.
"Saya seorang lelaki yang baik hati. Lagipun saya tak sampai hati nak marah perempuan cantik macam awak," sambungnya dengan suara berbisik di sebelah telinga Ain Azreen yang dilitupi oleh rambutnya yang terhurai cantik separas bawah bahu.
Ain Azreen mengetap gigi lalu dia bingkas berdiri menjauhi lelaki itu. Dia bukannya kanak-kanak lagi yang tidak mengerti akan situasi yang sedang berlaku pada ketika ini. Walaupun lelaki itu bosnya, dia tidak akan membiarkan dirinya diperlakukan seperti perempuan murahan.
"Errr... tuan. Kalau tak ada apa-apa, saya pergi buat kerja saya dulu. Nanti, Cik Leona bising lagi," kata Ain Azreen hendak cepat-cepat melarikan diri dari situ.
Ferdi ketawa kecil melihat muka cuak wanita di depannya itu. "Siapa yang bos? Dia atau saya?" soalnya sambil melangkah menghampiri Ain Azreen.
"Err... tuan. Tuan yang bos," jawab Ain Azreen takut-takut sambil berundur selangkah demi selangkah sehingga tubuhnya tersandar pada dinding.
Kedua-dua tapak tangannya dengan pantas menapak pada dinding mengurung tubuh Ain Azreen yang berketinggian separas kening tebalnya. "Ya, saya yang bos. Jadi, buat apa awak nak risau pasal dia?"
Ain Azreen mengecutkan tubuh. Perasaan risau dan takut menyelubungi diri. Arghhh! Tolong! Tolonglah sesiapa masuk kat sini sekarang, jeritnya dalam hati.
"Saya nak awak jadi girlfriend saya. Jangan risau, apa yang awak nak, semua saya boleh bagi, anything. Tapi, awak pun kena bagi semua yang saya nak," ujar Ferdi terus terang lalu mengelus sisi wajah Ain Azreen dengan berani tanpa segan silu.
Ain Azreen mengepal penumbuk. Aku ni nampak macam perempuan murahan ke? Apa dia ingat aku ni terdesak sangat ke sampai sanggup nak serah diri dengan lelaki buaya macam dia ni? getus hatinya. Bukannya dia tidak tahu lelaki itu sudah bertunang.
"Ma... maaf, tuan. Saya tak boleh. Lagipun, tuan dah bertunang. Saya tak nak jadi orang ketiga dalam hubungan orang," kata Ain Azreen terus terang. "Err... saya pergi buat kerja saya dulu," katanya lagi lalu dia melurutkan tubuhnya dan cepat-cepat melangkah menuju ke pintu, tetapi tangannya ditarik.
"Pantang saya... awak nak tahu tak apa pantang saya?" soal Ferdi lalu menolak tubuh Ain Azreen sehingga tersandar semula pada dinding seperti tadi, lantas bibirnya didekatkan di telinga wanita itu. "Saya pantang ditolak," bisiknya lalu tersenyum sambil menyentuh bibir lembap milik wanita yang telah lama mencuri perhatiannya itu, cuma dia tidak berkesempatan untuk mendekatinya sahaja selama ini.
Ain Azreen mengetap gigi. Dia berasa sangat jijik dengan perlakuan lelaki itu terhadapnya pada ketika ini. Dia bukanlah sejenis perempuan yang boleh disentuh dengan sewenang-wenangnya. Tidak! Dia tidak semurah itu. Lututnya dihayun kuat tepat dicelah kangkang lelaki itu.
"Argh! Damn it!" bentak Ferdi lalu berundur beberapa langkah sambil menyeringai menahan kesakitan dan memegang bahagian yang ditomoi tadi.
Ain Azreen mengambil peluang itu untuk melarikan diri, namun belum sempat dia memulas tombol pintu, tubuhnya dipeluk kuat dari belakang dan dia dibawa menuju ke sofa yang berada di sudut pejabat itu.
"Lepaskan saya! Lepaskan saya!" jerit Ain Azreen sambil meronta-ronta.
"Saya bagi awak tawaran baik-baik tadi, kan? Tapi tengoklah apa yang awak dah buat. Awak dah kejutkan harimau yang sedang tidur!" bentak Ferdi lalu menghempas kasar tubuh Ain Azreen di atas sofa dan lantas menindih tubuhnya.
"Tolong... tolong jangan buat saya macam ni. Lepaskan saya," rayu Ain Azreen sambil menangis. Dia sedar bahawa dia tidak akan mampu melawan kudrat lelaki bertubuh tegap itu.
"You smell so good," ujar Ferdi sambil menjelajah kawasan leher Ain Azreen menggunakan bibir dan hidungnya. Sebelah tangannya mencengkam kuat rambut wanita itu dari belakang dan sebelah tangannya pula sedang membuka tali pinggangnya.
"Tuan, please. Lepaskan saya," rayu Ain Azreen kini dengan juraian air mata yang semakin deras membasahi pipi, namun rayuannya tidak diendahkan, malah lelaki itu bertindak semakin liar dan ganas.
"Tuan... please..." rayu Ain Azreen lagi. Dia tidak rela kesuciannya diragut sedemikian rupa.
"Shut up and enjoy it." Lelaki itu berbisik dengan nafas tercungap-cungap di telinga Ain Azreen sambil melurutkan seluarnya menampakkan seluar pendek dalam bercorak petaknya.
Matanya terbeliak ketika lelaki itu cuba melurutkan seluar slack yang dipakainya. Pada saat-saat genting begini, otaknya masih ligat berputar memikirkan cara untuk melepaskan diri sambil melilau mencari objek terdekat. Pandangan matanya kemudian tertancap pada pasu kaca di atas meja di sebelah sofa, lalu dengan sekuat hati dia menolak tubuh Ferdi dari atas tubuhnya dan lantas dia bingkas berdiri mencapai pasu tersebut.
Pranggg!
"Auchhh!!! Damn it!" Ferdi terduduk di atas lantai. Darah pekat mengalir keluar dari bahagian hujung keningnya yang terkoyak. Pandangannya berpinar.
Ain Azreen mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri dari situ dalam keadaan panik dan takut. Air mata yang masih mengalir pada kedua-dua belah pipinya, diseka berkali-kali.
"Kau ada masalah ke ni? Dah dua hari kau berkurung dalam rumah. Kau tak kena cari ke tak datang kerja?" soal Nadia teman serumah yang paling rapat dengan Ain Azreen. Punggungnya lantas dihenyakkan di atas katil, lalu dia merebahkan tubuhnya di sebelah rakannya itu.
Ain Azreen yang tadinya dalam posisi mengerekot, terus mengubah posisinya kepada posisi menelentang. "Aku dah tak kerja kat syarikat tu lagi."
Nadia mengerutkan dahinya selepas mendengar kata-kata Ain Azreen. "Bukan kau perlukan duit ke? Habis tu, kerja kau kat kelab malam tu macam mana? Kau berhenti juga?"
Ain Azreen melepaskan keluhan berat lalu dia bingkas duduk. Selama ini, dia bekerja siang dan malam semata-mata untuk membayar hutang kakaknya dan juga untuk menampung kos perubatan ayahnya. Dengan kehilangan salah satu daripada pekerjaannya, mana mungkin dia dapat menampung segala kos belanja yang diperlukan.
Syarikat Biz Express merupakan syarikat keenam tempat dia bekerja dalam tempoh tiga tahun dan punca dia berhenti kerja di semua tempat adalah disebabkan perkara yang sama. Bukannya dia tidak bersyukur kerana dikurniakan rupa paras yang cantik, tetapi kerana rupa paras yang cantik itulah dia sering menjadi mangsa lelaki hidung belang.
"Kau dah makan ubat ke ni?" soal Nadia prihatin.
Ain Azreen geleng. "Ubat aku dah habis. Bajet aku bulan ni dah lari. Nanti tunggu aku dapat gaji waiter tu baru aku beli."
Nadia bangkit daripada perbaringan dan duduk menghadap rakan baiknya itu dengan muka tidak puas hati. "Kenapa kau tak bagitahu ubat kau dah habis? Kalau kau bagitahu aku, setakat ubat untuk kau, aku mampulah. Kau ni kan! Jom, kita pergi farmasi."
"Aku tak nak menyusahkan oranglah, Nad. Lagipun, setakat seminggu dua tak makan ubat, okey jelah," kata Ain Azreen sambil memandang sisi wajah Nadia yang sedang fokus memandu.
"Menyusahkan apa pula? Hisy, kau ni! Kau jangan cakap okey, Ain. Ubat saraf kau tu penting. Sekarang ni pun, ingatan kau belum pulih sepenuhnya sebab gangguan saraf otak lepas kemalangan. Kan doktor dah pesan, jangan skip makan ubat. Kau ni, tak dengar, kan?" bebel Nadia.
Tiba-tiba, ada seekor kucing melintas jalan. Spontan Nadia menekan brek sekuat hati, tetapi malang sekali, kerana kereta di belakang mereka tidak sempat mengelak lalu menghentam belakang kereta Perodua Axia milik Nadia itu.
"Keluar sekarang!" jerkah suara lelaki yang sudah berdiri di tepi pintu bahagian pemandu.
"Aduh! Apa kita nak buat ni?" Nadia menggenggam tangan Ain Azreen dengan muka takut dan cemas.
"Keluar!!!" tempik lelaki memakai sut hitam itu sambil memukul bumbung kereta Nadia.
"Ain... Aku takut. Aku tak berani nak keluar."
Ain Azreen melepaskan keluhan lalu menepuk-nepuk perlahan tangan Nadia. "Tak apa. Biar aku yang bercakap dengan dia." Ain Azreen pun segera keluar dari kereta. Dia melepaskan keluhan berat sebaik sahaja dia melihat kereta yang melanggar mereka. Alamak! Mercedes! jeritnya dalam hati.
Ain Azreen bercakap-cakap dengan lelaki itu agak lama. Tetapi nampaknya lelaki itu tidak mahu bertolak ansur, kerana kereta yang dipandunya itu merupakan kereta majikannya, jadi apa-apa kerosakan yang disebabkan kecuaiannya, dia sendiri yang akan menanggungnya. Tetapi, masalahnya dia sendiri pun belum sampai sebulan bekerja dengan majikannya itu.
"Darwish! Apa yang lama sangat ni?" soal satu suara garau dari belakang.
Ain Azreen menoleh. Alamak! Ni ke majikan dia? getus hati Ain Azreen sambil memandang lelaki berjambang nipis dan berpakaian segak itu dari atas sampai ke bawah.
Lelaki itu terkedu. Wajah Ain Azreen dipandang dengan mata tidak berkedip.
"Encik, saya minta maaf bagi pihak kawan saya. Tadi ada kucing melintas, jadi kawan saya pun brek mengejut. Tapi kan... Kalau driver encik ni jaga jarak tadi, mungkin dia sempat berhenti atau elak. Kalau bawa kes ni pergi balai pun, memang sah-sahlah korang yang salah." Ain Azreen membela diri sambil memandang wajah dua orang lelaki di depannya bersilih ganti.
Lelaki segak berjambang itu tidak bercakap apa-apa. Dia keras pada kedudukannya berdiri dan matanya tidak lepas daripada memandang wajah wanita di depannya. Aku salah orang ke ni? Tak! Tak mungkin dia! Kalau dia, kenapa dia tak kenal aku?
Share this novel