PROLOG

Drama Completed 619598

BAYI berjantina perempuan yang baru berusia dua hari itu tertidur pulas dalam dakapan ibunya. Nafasnya teratur dengan mata terpejam rapat serta bibir sedikit terbuka. Tersenyum si ayah memandang makhluk kecil yang begitu sempurna itu. Sempurna kejadiannya sebagai seorang manusia. Cukup anggota tubuh badannya, rambut hitam lebat terpacak, kulit bersih persis telur dikupas. Tidakkah itu sudah cukup sempurna?

Tidak percaya, akhirnya dia menjadi seorang bapa. Anugerah terindah yang tidak boleh dibanding dengan suatu apa pun. Dipandang wajah si isteri yang kelihatan begitu asyik menatap bayi mereka. Sesekali melihat isterinya itu tersenyum, dia turut tersenyum. Namun mengingat kata-kata isterinya beberapa minit lalu, perlahan senyumnya memudar.

Ditatap lama wajah teduh isterinya. Bersih. Jernih. Walau sedikit pucat, namun tetap terasa damai hatinya setiap kali memandang.

“Terima kasih,” ujarnya.

Tatapan si isteri dari wajah comel bayi mereka, teralih kepadanya. Perlahan, terbit senyum pada wajah ayu itu. Entah mengapa hati terbersit rasa sayu saat melihat senyuman itu. Dada sebak tidak semena-mena.

“Saya yang kena ucapkan terima kasih pada awak. Banyak yang awak dah buat untuk saya.”

Dia geleng. Banyak yang dia lakukan, tidak sebanding dengan apa yang dilalui isterinya.

“Terima kasih sudi jadikan saya isteri awak walaupun…”

“Sayang…” Cepat-cepat dia menyela sebelum isterinya mula mengungkit tentang masa lalu. “…kenapa cakap macam tu? Saya bukan sekadar sudi. Tapi saya nak awak jadi isteri saya. Saya berdoa supaya Allah tetapkan jodoh saya dengan awak. Saya berdoa supaya Allah bukakan pintu hati awak untuk saya. Awak tak ada kekurangan. Awak sempurna untuk saya.”

Isterinya tersenyum. Mungkin bahagia mendengar luahannya.

“Awak dah fikir nama untuk anak kita?” Isterinya mengubah topik perbualan.

“Dah.” Mereka sudah bersetuju untuk masing-masing memilih satu nama untuk anak mereka setelah mengetahui jantinanya ketika usia kandungan tujuh bulan.

“Apa?”

“Nama bunga. Saya dah list beberapa nama. Nanti kita pilih sama-sama.”

“Saya suka bunga,” ujar isterinya.

“Saya tahu.”

“Saya pilih nama Naura.”

“Naura?”

Angguk.

“Kenapa?”

“Sebab maksudnya bunga.”

Dia tersenyum. “Okey. Nama depan dia Naura. Nama belakang nanti kita pilih sama-sama.”

Tiada jawapan. Isterinya kembali menunduk, memandang bayi mereka yang masih tertidur pulas. Samar-samar dia mendengar isterinya memanggil bayi mereka dengan nama Naura.

“Awak rehatlah dulu sementara dia tengah tidur,” ujarnya lantas berdiri lalu mengambil bayi mungil itu dari pangkuan si isteri. Berhati-hati dia meletakkan bayi itu di dalam katil bayi supaya tidurnya tidak terganggu.

“Shhh…Shhh…” Ditepuk-tepuk sedikit paha si kecil yang merengek kerana tidak lagi merasa sentuhan pada tubuhnya.

Setelah bayinya tertidur semula, dipandang si isteri yang bersandar pada katil yang telah ditegakkan sedikit.

“Tidurlah dulu. Saya nak pergi solat.”

Isterinya mengangguk dengan seulas senyum pada bibirnya.

“Kalau ada apa-apa, tekan je button ni.” Ditarik sedikit wayar butang untuk memanggil jururawat supaya dekat dan mudah dicapai oleh isterinya.

Sebelum beranjak, sempat dipandang sekilas wajah isterinya sebelum tiba-tiba dia mengesan sesuatu yang aneh.

"Sayang..." Pipi si isteri ditepuk lembut apabila ulas bibir yang tadinya mengukir senyum kini bertukar muram. Renunga matanya juga kelihatan jauh tidak terjangkau.

"Sayang..." Diusap pula dada si isteri apabila desah nafasnya terdengar laju.

"Kenapa ni sayang?" Semakin panik melihat si isteri mula mencungap sebelum tubuhnya kejang. Tersentak-sentak tubuhnya dengan tangan dan kaki tiba-tiba mengerekot.

"Ya Allah..Ya Allah...Ya Allah..." Pantas tangannya menekan butang memanggil jururawat.

"Sayang...Ya Allah kenapa ni?" Jatuh air matanya tanpa sedar melihat keadaan si isteri.

Dua orang jururawat berlari masuk sebelum salah seorangnya keluar memanggil doktor setelah melihat keadaan wanita yang baru sehari melahirkan anak itu.

Hanya dalam hitungan saat, seorang doktor wanita berlari masuk dan dia diarahkan keluar oleh jururawat. Akur walaupun keberatan sambil kepala masih tertoleh-toleh melihat keadaan si isteri.

"ISTERI encik mengalami pulmonary embolism, atau salur darah paru-paru tersumbat."

"Jadi?" Jantung berdetak hebat, namun dia berusaha tenang. Dia yakin semuanya akan baik-baik saja. Ya, dia harus yakin.

"Banyak rawatan untuk pulmonary embolism ni tapi untuk isteri encik saya sarankan pembedahan."

Dia terdiam. Liur yang ditelan terasa kesat. Mata melirik si isteri yang terbaring dengan mata terpejam rapat di atas katil hospital. Bertambah luluh hati melihat kaki dan tangan isterinya terpaksa diikat kerana keadaannya ketika sawan tadi berada di luar kawalan.

"Lepas pembedahan, dia akan pulih?" tanyanya. Hampir tidak kedengaran suaranya kerana terlalu lemah. Seluruh tubuhnya terasa longlai. Malah kakinya juga bagai tidak jejak di lantai.

" Apa yang saya boleh kata, pembedahan ni sangat berisiko. Tapi, tanpa pembedahan peluang untuk dia hidup sangat tipis."

Bagai seisi langit jatuh menimpa kepalanya saat mendengar penuturan doktor. Air mata jatuh meluncur tanpa dapat ditahan. Mengalir begitu sahaja seperti air hujan di musim bah.

Kenapa dengan isteriku, Ya Allah? Apa tidak cukup dengan apa yang dia telah lalui selama ini sehingga Kau mengujinya lagi dan lagi?

Baru beberapa jam lalu isterinya tersenyum memangku anak pertama mereka, menyusukan bayi itu sambil memeluk dan menciumnya berkali-kali.

Ya Allah, tolong jangan ambil isteriku. Tolong beri aku peluang untuk membahagiakan isteriku. Tolong beri peluang untuk kami membesarkan anak kami bersama-sama. Aku janji Ya Allah. Tidak akan sekali-kali aku sakiti hatinya. Tidak akan sekali-kali aku menyakiti tubuh badannya. Tolonglah Ya Allah. Masih banyak janjiku padanya yang tidak tertunai. Masih banyak dosaku padanya yang belum ku tagih kemaafan. Masih banyak harapannya padaku yang belum aku tunaikan.
Sekali ini saja Ya Allah. Beri aku peluang.

Share this novel

Guest User
2024-06-25 21:59:26 

bagus

jruuoy
2024-05-20 19:30:03 

test_account

mubin0007
2024-05-20 18:05:08 

Hi


NovelPlus Premium

The best ads free experience