TIGA TAHUN BERLALU...
HARUM ZAWANI duduk termenung di atas buaian rumahnya. Hampir setiap petang Harum Zawani menghabiskan masanya di situ. Menunggu dan terus menunggu. Dia sentiasa berdoa suaminya akan pulang semula ke sisinya. Sebelum Zulfaqar Warid pergi meninggalkan dia, suaminya itu telah mengubah semua aset harta kepada namanya. Suaminya juga telah meninggalkan sejumlah wang yang banyak untuk membiayai kos pembedahan matanya. Kini Harum Zawani sudah boleh melihat semula. Dia amat berharap satu hari nanti dia akan bertemu kembali dengan suaminya dan menjalani kehidupan yang bahagia bersama.
“Abang...” Harum Zawani merintih seorang diri. Mentari sudah mulai merunduk. Harum Zawani berjalan perlahan-lahan masuk semula ke dalam rumah. Semasa melewati ruang tamu, dia terpandang pisau belati milik Zulfaqar Warid. Tidak semena-mena kemarahannya memuncak. Dia mencapai pisau itu lalu dibaling ke dinding.
“Tak guna! Semuanya sebab kau. Sebab kau aku hilang ibu dan ayah aku! Sebab kau jugak suami aku pergi tinggalkan aku! Aku benci kau Zack! Aku benci! Aku akan cari kau sampai ke lubang cacing sekalipun. Hutang darah mesti di bayar dengan darah!” Harum Zawani membentak keras. Hatinya sakit setiap kali terpandang belati itu. Baginya, Zacklah punca suaminya pergi meninggalkan dia. Sekiranya dia tidak menceritakan perihal Zack pada suaminya, sudah semestinya Zulfaqar Warid tidak akan nekad meninggalkan dia secara tiba-tiba begini.
“Abang... Abang dah janji nak jaga Wani. Kenapa abang pergi...” Harum Zawani terjelepok di atas lantai.
Share this novel