BB - BAB 4

Drama Completed 309207

SAMPAI sahaja dirumahnya, Qaireena terus berlari masuk untuk mendapatkan Qaisara. Ibu saudaranya yang sedang duduk di ruang tamu langsung tidak dipedulikannya. Qaireena memulas tombol pintu bilik Qaisara, saat pintu bilik itu dibuka, dilihatnya Qaisara duduk di tepi katil sambil memeluk lutut.

"Sara". Tegur Qaireena bersama airmata yang mengalir dipipinya.

"Kak Reen". Qaisara terus bangun dari duduknya dan memeluk Qaireena. Airmatanya mengalir semakin deras.

"Kita pergi hospital sekarang ya sayang". Kata Qaireena lembut bersama esakan dan tangisnya.

"Tolong kata semua ni tak betul Kak Reen". Raung Qaisara di dalam pelukan Qaireena.

Qaireena mati kata, sungguh dia tidak tahu bagaimana mahu memujuk Qaisara sedangkan dia sendiri juga tidak kuat untuk menerima kenyataan itu.

"Sara, Kak Reen sendiri berharap yang ini hanyalah mimpi semata-mata, Kak Reen juga tak kuat untuk menerima ujian ini. Tapi siapa kita untuk menolak takdir Allah sayang". Ujar Qaireena sambil mengusap belakang Qaisara lembut untuk menenangkan adiknya itu.

Seketika mereka berdua hanyut dengan perasaan sedih masing-masing. Setelah tangisan Qaisara semakin reda, perlahan Qaireena melepaskan pelukannya. Tangannya naik menyeka airmata Qaisara yang mengalir di pipi.

"Sara siap, kita pergi hospital sekarang ya". Arah Qaireena lembut. Qaisara mengganggukkan kepala sambil mengesat sisa airmata yang membasahi pipinya.

Qaireena dan Qaisara melangkah ke Jabatan Forensik bersama Puan Azarina iaitu adik kepada arwah ayah mereka. Kelihatan suasana di hadapan bangunan itu agak sibuk dengan pihak polis yang keluar masuk dan juga beberapa orang pembantu pegawai perubatan yang sedang mengangkat jenazah daripada nahas kapal terbang yang terhempas semalam turun dari van ambulans. Ramai ahli keluarga dan waris juga sedang berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan itu.

Perlahan Qaireena menapak menuju ke satu meja yang sedang diduduki oleh pegawai polis dan juga pegawai perubatan. Setelah mendaftarkan diri sebagai waris kepada Puan Qamariyah dan memberikan segala maklumat yang diperlukan kepada pegawai polis dan pegawai perubatan itu, Qaireena dan Qaisara duduk di ruang menunggu yang disediakan.

Qaireena menoleh ke sisinya, Qaisara yang sedang melentokkan kepala dibahunya itu dipandang sekilas. Sayu hatinya melihat wajah pucat adik kesayangannya itu. Sungguh dia tidak menyangka, Qaisara yang sangat dirisaukannya akan pergi meninggalkan mereka, tapi kini Puan Qamariyah pula terlebih dahulu yang meninggalkan mereka dua beradik.

Teringat dia kata-kata Puan Qamariyah sewaktu mereka bercuti di Pahang minggu lalu, ibunya itu mengatakan bahawa ajal dan maut itu rahsia Allah, dan tidak semestinya yang sedang sakit itu akan pergi menghadap Ilahi terlebih dahulu, boleh jadi orang yang sedang sihat walafiat akan pergi dahulu bertemu penciptanya. Dan kini apa yang dikatakan oleh ibunya itu terjadi ke atas diri wanita itu sendiri. Perginya dalam keadaan yang mengejut.

Qaireena tidak menyangka bahawa pelukan erat ibunya pada empat hari yang lalu adalah pelukan terakhir yang dapat dirasanya. Kini tiada lagi tangan yang akan menyentuh pipinya, tiada lagi tangan yang akan memeluknya dan tiada lagi tangan yang akan mengusap lembut rambutnya. Perlahan tangannya naik menyeka airmata yang kembali mengalir di pipinya. Dia harus kuat demi Qaisara, kerana segala tanggungjawab kini berada dibahunya.

••••••••••

Satu persatu rakan-rakan ibunya yang datang ke majlis pengkebumian itu meninggalkan tanah perkuburan setelah mengucapkan takziah kepada mereka. Tinggallah Qaireena dan Qaisara yang masih lagi duduk di tepi pusara arwah Puan Qamariyah. Masing- masing sedang memujuk hati untuk menerima pemergian insan tersayang dalam hidup mereka. Sukar. Ya, itu sudah pasti. Namun, mahu atau tidak mereka harus redha dengan ketentuan Ilahi ini.

Perlahan Qaireena bangun dari duduknya apabila mendengar suara ibu saudara mereka memanggil mereka kerana terlalu lama menunggu di dalam kereta.

"Sara, mari kita balik, Mak Ngah dah bising tu". Ajak Qaireena lembut sambil menyentuh bahu adiknya itu.

Qaisara berdiri dari tikar yang didudukinya bersama Qaireena itu, namun baru sahaja dia mahu melangkah pandangannya tiba-tiba menjadi gelap dan dia terus tidak sedarkan diri.

"Ya Allah Sara!". Jerit Qaireena sambil menahan tubuh badan Qaisara daripada jatuh di atas tanah.

"Sara...Sara...bangun Sara. Jangan buat Kak Reen takut Sara". Kata Qaireena sambil menepuk-nepuk pipi Qaisara perlahan. Namun Qaisara masih tidak sedarkan diri.

Cepat-cepat Qaireena memanggil Puan Azarina agar membantunya untuk mengangkat Qaisara. Mereka perlu membawa Qaisara ke hospital secepat mungkin. Dia bimbang jika sesuatu terjadi kepada adiknya itu. Cukuplah dia baru sahaja kehilangan ibu, dia tidak sanggup jika dia kehilangan Qaisara pula dalam waktu yang sama.

~~~

Qaireena memandang wajah pucat Qaisara yang sedang tidur di atas katil hospital itu. Dia tahu Qaisara masih terkejut dengan pemergian ibu mereka. Dulu sewaktu ayah mereka meninggal dunia juga Qaisara turut pengsan sebaik sahaja jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad. Adiknya itu memang sangat rapat dan manja pada ibu dan ayah mereka, lebih-lebih lagi setelah dia mengetahui tentang penyakit yang dihidapinya itu.

Baginya dia tidak mempunyai masa yang lama untuk berada di sisi ibu dan ayah kerana dia yakin bahawa dia yang akan pergi dahulu meninggalkan mereka. Oleh itu, dia sentiasa ingin dimanja dan mendapat perhatian dari Puan Qamariyah dan Encik Azamudin.

Qaireena menoleh ke arah pintu apabila terdengar suara pintu itu dibuka. Dilihatnya Nasrul dan Adira muncul dari balik pintu tersebut.

"Hai Reen". Sapa Adira sambil melangkah mendekati rakannya itu. Bungkusan buah-buahan yang dibawa olehnya diletakkkan di atas meja yang berada di sebelah katil Qaisara.

"Hai Dira, Nas. Terima kasih sudi datang lawat Reen dan Sara". Ucap Qaireena bersama segaris senyuman.

"Takziah Reen. Maaf kami tak dapat datang masa pengkebumian ibu Reen pagi tadi, sebab jadual kuliah padat sangat". Ucap Nasrul sambil memandang wajah Qaireena.

"Tak apa, Reen faham Nas". Ujar Qaireena dan turut memandang wajah Nasrul sambil mengukir senyuman.

"Apa doktor kata pasal Sara?". Soal Adira pula sambil memandang sekilas ke arah Qaisara yang sedang tidur di atas katil.

"Sara masih dalam keadaan terkejut, badan dia pula lemah, mungkin sebab dari semalam dia tak ada selera nak makan dan seharian kami dekat hospital uruskan tuntutan jenazah ibu sampai Sara terlepas makan ubat". Terang Qaireena.

"Reen okay?". Soal Nasrul apabila dia melihat wajah Qaireena yang seakan tenang walaupun mata wanita itu kelihatan sedikit bengkak.

Qaireena tersenyum tawar saat mendengar pertanyaan Nasrul itu.

"Tak mudah sebenarnya untuk Reen terima kenyataan ni, tapi Reen cuba sedaya upaya untuk kuatkan semangat Reen sendiri. Reen perlu kuat demi Sara, sebab Reen tahu Sara perlukan Reen lebih-lebih lagi dengan keadaan diri Sara sekarang ni". Jawab Qaireena sambil menyeka airmatanya yang mula membasahi pipi.

"Kami hilang tempat bergantung Nas, dan kini Reen perlu menggalas semua tanggungjawab ibu dan ayah. Berat, tersangat berat, tapi inilah realiti yang perlu Reen hadapi". Sambung Qaireena lagi. Adira yang berdiri di sebelah Qaireena mengusap bahu rakannya itu dengan lembut.

"Banyakkan bersabar Reen. Allah uji Reen sebab Allah tahu Reen mampu untuk menghadapi ujian ni. Kalau Reen perlukan apa-apa pertolongan, Reen bagitahu je pada Nas, in shaa Allah mana yang Nas mampu tolong Nas akan tolong". Kata Nasrul.

Sungguh, dia juga turut sedih dengan nasib yang menimpa Qaireena. Hatinya pilu melihat wanita yang disayanginya itu mengalirkan airmata. Andai saja dia kini sudah bekerja dan memiliki sumber kewangan yang kukuh, sudah pasti dia akan menghalalkan wanita itu agar dia bisa menjadi tempat untuk Qaireena bergantung dan menempuhi segala ujian yang datang bersama.

"Terima kasih Nas". Ucap Qaireena sambil mengesat airmatanya.

"Reen, ini ada sedikit sumbangan daripada para pensyarah, mereka minta kami sampaikan pada Reen". Sambil menghulurkan satu sampul coklat kepada Qaireena.

"Tolong sampaikan salam dan ucapan terima kasih aku pada mereka ya Dira. Aku sendiri tak tahu bila aku dapat hadiri kuliah semula". Kata Qaireena sambil menyambut sampul yang diberikan oleh Adira kepadanya.

"In Shaa Allah nanti aku sampaikan. Kau tu jaga diri dan jaga kesihatan, jangan banyak fikir sangat ya". Pesan Adira. Qaireena hanya mengukir senyuman sambil memandang wajah rakannya itu.

••••••••••

Dua hari Qaireena menemani Qaisara yang ditahan di hospital. Hari itu Qaisara sudah pun dibenarkan pulang. Sampai sahaja mereka di rumah, kelihatan Puan Azarina bersama suaminya Encik Talib sedang mengangkat barang-barang mereka masuk ke dalam rumah arwah Puan Qamariyah.

"Dari mana barang-barang ni semua Mak Ngah?". Soal Qaireena. Dia sedikit hairan kenapa barang-barang tersebut dibawa masuk ke dalam rumah mereka.

"Barang-barang Mak Ngah lah. Ibu kamu kan dah tak ada, jadi bermula hari ni, Mak Ngah akan pindah ke sini untuk jaga kamu berdua". Jawab Puan Azarina sambil menarik beg pakaiannya yang besar masuk ke dalam rumah.

"Reen rasa tak perlulah Mak Ngah, sebab Reen boleh jaga Sara. Reen tak naklah menyusahkan Mak Ngah dan Pak Ngah pula". Ujar Qaireena sambil cuba mengukir senyuman.

"Reen nantikan tinggal dekat asrama, takkan nak biarkan Sara tinggal di rumah ni sorang-sorang pula. Lagipun sebelum ibu Reen pergi ke Sarawak dia ada pesan supaya selalu tengok-tengokkan keadaan Sara, dia bimbang kalau Sara pengsan tak ada orang nampak. Sekarang ni ibu Reen dah tak ada, Mak Ngah rasa secara tak langsung tanggungjawab menjaga kamu berdua jatuh ke tangan Mak Ngah". Kata Puan Azarina sambil memandang Qaireena.

"Reen tak pasti lagi sama ada Reen akan teruskan belajar atau tak Mak Ngah. Mungkin Reen akan tangguhkan semester buat sementara waktu ni sampai Sara sembuh, jadi tak perlulah menyusahkan Mak Ngah sampai nak berpindah randah pula, In Shaa Allah Reen boleh jaga Sara dengan baik". Terang Qaireena..

Sebolehnya dia tidak mahu tinggal bersama adik arwah ayahnya itu. Baginya biarlah dia sendiri yang akan mencari jalan bagaimana mahu meneruskan kehidupan mereka dua beradik. Qaireena sudah cukup masak dengan perangai mereka suami isteri, dia tidak mahu akan timbul masalah lain sekiranya dia dan Qaisara tinggal bersama mereka.

"Tak perlulah Reen tangguhkan semester, Reen teruskan je belajar, Mak Ngah boleh jaga Sara. Lagipun lebih jimat kalau Mak Ngah tinggal sekali di sini, tak perlu lagi nak bayar sewa rumah. Mak Ngah jimat, Reen pun senang sebab tak perlu fikir pasal siapa yang nak jaga Sara bila Reen dekat asrama". Ujar Puan Azarina lagi.

Qaireena mati kata saat mendengar kata-kata ibu saudaranya itu. Dia sudah dapat meneka maksud disebalik tindakan mereka suami isteri. Pasti mereka mahu mengelak daripada membayar sewa rumah. Sebelum ini mereka sering meminta wang daripada Puan Qamariyah untuk membayar sewa rumah, kini bila ibunya sudah tiada, mereka datang untuk tinggal dirumah itu pula.

"Tapi Reen tak dapat nak berikan Mak Ngah duit sebagai upah menjaga Sara, sebab tulah Reen ambil keputusan untuk menjaga Sara sendiri. Reen tak nak susah sesiapa. Lagipun takkan Mak Ngah dan Pak Ngah pula yang nak menyara hidup kami dua beradik". Kata Qaireena lagi. Sengaja dia berkata begitu untuk melihat reaksi suami isteri itu.

"Duit dari kumpulan wang simpanan pekerja ibu kamu kan ada, kenapa pula kamu nak risau". Celah Encik Talib suami Puan Azarina.

Qaireena sedikit terkejut mendengar kata-kata suami ibu saudaranya itu. Sungguh dia tidak menyangka yang lelaki itu berani menyentuh tentang duit yang diwariskan oleh Puan Qamariyah kepada mereka dua beradik. Sedangkan dia sendiri pun masih belum terfikir akan perkara itu memandangkan baru dua hari ibunya pergi meninggalkan mereka.

"Duit tu Reen sendiri tak pasti bila dapat dikeluarkan, banyak perkara yang nak diuruskan dan diselesaikan satu persatu-satu. Bila duit tu dah boleh dikeluarkan, Reen kena langsaikan dahulu segala hutang piutang ibu yang ada. Reen juga kena tumpukan pada kos pembedahan Sara nanti". Jelas Qaireena. Dia kemudian terus membawa Qaisara berlalu dari situ.

"Kak Reen, Sara tak nak tinggal dengan Mak Ngah dan Pak Ngah". Kata Qaisara sebaik sahaja mereka berada di dalam bilik.

"Entahlah Sara, Kak Reen pun dah tak tahu lagi macam mana nak buat supaya mereka tak tinggal di sini. Sara tengoklah tu, barang-barang mereka pun mereka dah bawa ke sini". Ujar Qaireena bersama satu keluhan.

"Kalau Kak Reen masuk asrama semula, macam mana dengan Sara?". Soal Qaisara lagi.

"Nanti Kak Reen fikirkan ya sayang. Sara jangan risau, Kak Reen takkan tinggalkan Sara bersendiri". Jawab Qaireena sambil menyentuh pipi Qaisara.

"Terima kasih Kak Reen". Ucap Qaisara sambil mengukir senyuman.

"Sara rehat ya, kalau Sara nak apa-apa, panggil je Kak Reen dekat bilik". Kata Qaireena. Dia kemudian melangkah keluar dari bilik Qaisara dan menuju ke biliknya.

Qaireena melabuhkan punggung di meja belajar yang berada di dalam biliknya. Gambar mereka sekeluarga sewaktu ayahnya masih ada dipandang. Perlahan bingkai gambar itu diambilnya. Wajah ibu dan ayahnya di sentuh pada gambar itu. Rasa rindu mula bertandang dihatinya.

"Ayah, ibu, kenapa tinggalkan Reen dan Sara? Kami perlukan ayah dan ibu". Bicaranya sendiri bersama airmata yang mula membasahi pipinya.

"Ayah dan ibu tinggalkan Reen bersama tanggungjawab yang Reen sendiri tak pasti sama ada Reen mampu untuk memikulnya atau tak. Lebih-lebih lagi dengan keadaan kesihatan Sara yang macam tu. Reen benar-benar tak kuat untuk menghadapinya ayah, ibu". Tangisannya mula berlagu. Dia benar-benar merasa kehilangan. Seolah-olah dia sedang terkapai-kapai sendirian. Hilang tempat bergantung dan hilang tempat mengadu.

Happy Reading korang... sorry sangat sebab lambat update...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience