Bab 54: Keputusan

Romance Series 20066

"SAYANG jangan nak mengarut. Memang dah tak ada soalan lain ke nak tanya?"

Dan seperti yang dijangka, ia menjadi realiti hari ini. Baru aje tanya satu soalan tu, tapi suaminya bukan main melenting lagi. 

Tahulah penat baru habis berniaga, tapi tak boleh ke jawab elok-elok? Damia tu lagi penat. Ulang-alik balik kerja dari Kuala Perlis tu, lepas tu balik pun bukannya awal. Hari ni dalam pukul 8:15 malam baru dapat keluar ofis. Tambah pula, dia bawa perut yang makin membesar tu lagi. Memang tak tertandinglah penatnya tu.

"Damia tanya pendapat abang je. Kalau abang tak bagi, Damia okey sebab Damia pun faham kalau abang tak setuju." Damia membalas. 

"Dah tahu jawapan yang akan abang bagi, kenapa masih nak tanya jugak?" Syafiq masih lagi menangkan ego. Tak nak kalah berperang mulut. 

Entahlah kenapa kalau benda pasal VeoBay Group tu, hatinya jadi panas semacam. Tak suka kalau isterinya tu tanya lebih-lebih pasal syarikat tu. Lagi-lagi kalau semua tu berkaitan Zaid Zaffran. Dari dulu lagi dia paling sebal nak berbincang semua yang berkaitan syarikat tu.

Nak menjerit. Nak melalak. Nak mencarut. Itulah apa yang Damia nak buat sekarang. Kalau boleh, biar terkeluar anak tekak dia tu. Tapi nasib baiklah dia masih ingat yang dirinya tu masih seorang isteri kepada Syafiq. Kalau tak, jangan harap dia nak tahan. Jadi Damia hela nafas, tahan diri dari meletup.

"Abang ni kenapa, eh? Damia tanya je bukannya Damia nak paksa-paksa abang pun. Abang boleh je jawab elok-elok tapi kenapa abang pilih untuk tengking Damia?" Tertahan-tahan nada suaranya daripada melambung gelombang amarah yang meragut jiwa. 

Dua hari dua malam Damia berfikir pasal hal berpindah kerja ke KL, sama ada mahu berbincang dengan suaminya tu atau tak. Hari ini, dia putuskan untuk bertanya perihal itu kepada suaminya. Tapi tak sangka, perbincangan malam ni boleh tahan juga panasnya. Boleh bawa gaduh tu.

Syafiq raup wajahnya sebelum jari-jemarinya menyelerakkan bahagian rambutnya. Memang kalau boleh, dia tak nak marah-marah isterinya tu. Isterinya tengah mengandung, jadi tak patut dia tinggikan suara walaupun senada hanya kerana perkara kecil. 

Tapi pasal VeoBay Group tu ... dia pun dah naik muak. Ditambah lagi dia teringat akan ancaman ibu mertuanya kelmarin. Ya, kelmarin ketika dia mahu ambil Damia di rumah Mak Siti tu. Mak Siti tu siap menggeledek kat Syafiq agar lelaki tu kasi kebenaran untuk Damia kerja kat sana.

Tahulah Mak Siti tu ibu kandung Damia. Tapi Syafiq sebagai suami pun, dia lagi berhak untuk membuat keputusan ke atas isterinya tu.  Syafiq tu suami Damia, Damia adalah tanggungjawabnya 100 peratus. Kenapa Mak Siti tu yang sibuk?

Sebab tu, Syafiq rasa marah semacam bila Damia tanya pasal hal ni. Marah kat mak mentua kelmarin, macam dia baru lampiaskan kat Damia tadi pulak. 

Hmm ... tak patut. Sepatutnya dia kena berbincang elok-elok. Mungkin betul juga apa yang Damia fikirkan tadi. Suaminya tu penat baru balik kerja la, kut.

Syafiq pejam seketika matanya sebelum menghela nafasnya. "Baik. Abang mintak maaf sebab tertinggikan suara kat sayang. Abang tak bermaksud nak marah sayang. Tapi pasal hal kerja kat KL tu, abang tetap dengan pendirian abang. Abang tak benarkan." Kini, Syafiq jawab dengan nada yang penuh rendah. Amarahnya tadi dah dapat dikawal.

Tiada kejutan. Tiada harapan. Jadi Damia mampu angguk aje. Dia pun tak mengharap sangat dengan keizinan suaminya tu. Ye la, kalau ikut logik pun, macamlah suaminya tu nak benarkan. Baru kahwin beberapa bulan, dan lepas ni mereka bakal dapat anak pertama, jadi takkanlah Syafiq tu sanggup berjauhan dengan si isteri.

Tiada sebarang kata, Damia terus baringkan tubuhnya di atas katil. Selimut ditarik menutupi tubuh. Sekarang jawapan pasal hal ni, sudah ada dalam pengetahuannya. Jadi tak payahlah dia mundar-mandir mahu bertanya pasal hal ni lagi. 

Tapi tengok pada gaya Damia tu, nampak macam marah aje. Padahal sebelum ni, dalam hati siap kata lagi yang dia tu tak kisah. Ni, suami tak bagi kebenaran, macam nak merajuk pulak.

Tengoklah, Damia tu tidur terus mengiring ke kanan. Secara tepatnya, membelakangi suaminya. Padahal sebelum ni, dia orang suami isteri tidur saling menghadap satu sama lain. Entahlah pasal apa Damia tu hari ni. Rasanya sebab dia masih terasa hati dengan jawapan tegas suaminya tadi. Syafiq pun tak pasti. Jadi dia biarkan ajelah Damia tu nak tunjuk perangai. Malas layan!

*****

Air sirap limau disedut perlahan-lahan. Hari ni Damia memilih untuk minum aje kat kafeteria dengan kawan-kawan. Nak makan, rasa tak lalu pula. Jadi dia pilih untuk teman kawan-kawannya tu je kat kafeteria ni, sambil-sambil berbual.

Dah lebih setengah jam dia dan kawan-kawannya tu berborak kat meja, tapi air yang dicicip Damia masih lagi tersisa separuh. Macam tak luak pula diminumnya. 

Dari tadi dia jadi tukang mendengar aje kawan-kawannya tu bersembang. Dia buka mulut pun kadang-kadang aje bila perlu, dan bila ditanya. 

Sebenarnya dia tak ada mood pun nak turun kat kafeteria ni, cuma dia terpaksa ikut kawan-kawannya tu ke sini. Maklumlah, dah dua hari dia tak makan kat kafeteria ni. Yang dia makan selama dua hari tu pun, hanya bekal dua bungkus roti yang dibeli kat kedai runcit ibunya tu. Hari ni kenalah teman kawan-kawannya turun ke kafeteria, nanti dicop sombong dan berlagak pula. Haih ... harap dia orang tak fikir macam tu la.

Kawan-kawannya tu dari tadi bersembang pasal hal yang dia tak tahu, dan hal yang dia malas ambil tahu. Pasal keluarga dia orang la, pasal travel luar negara la, jadi Damia no idea tentang topik yang dibincangkan dia orang tu. Sekarang ni, fikirannya tengah berserabut memikirkan tentang suaminya tu.

Dia benci!

Kenapalah suaminya tu nak meradang eh beberapa hari lepas tu? Damia pun masih mati akal dengan tindakan suaminya tu. Padahal dia tanya elok-elok aje, bukannya dia memaksa pun.

Ah! Aku tengah mengandung ni tapi dia senang-senang nak marah aku. Dia tahu tak, yang aku ni mengandung anak dia, tapi berani betul eh dia tinggikan suara kat aku time aku mengandung ni. Selalunya sepanjang aku mengandung ni, okey aje. Tak pernah dia marah-marah macam tu. Kalau ye pun dia tak suka aku ditranfer kat KL tu, at least bagitahu la elok-elok. Kritiknya dalam hati.

Eii ... lepas tu bila dah sejuk sikit, mulalah nak minta maaf bagai padahal hari tu bukan main marah-marah. Ingat dengan minta maaf tu, boleh lembutkan balik hati aku ke? Memang tak. Damia masih lagi menangkan ego.

Ya, kalau boleh dia nak tengok suaminya tu menangis, melutut memohon maaf kepadanya atas kesilapan dirinya tu. Biar suaminya tu tahu, Damia ni tengah sakit hati. Malah, sakitnya masih terasa sampai sekarang.

Hal kecil pun jadi besar macam ni. Dan Damia salahkan suaminya tu. Kalau suaminya tu cakap baik-baik, jawab baik-baik, Damia tak adalah nak bermasam muka dan menangkan ego sebegini. 

"Psst ... Damia." Kak Zetty memanggil apabila dia terperasan Damia yang nampak muram tu.

Tapi Damia tidak membalas. Matanya kekal tertumpu pada permukaan air sirap limau sambil mengacau air di dalam gelas tu. Suasana riuh kat kafeteria pun sudah lesap dalam dirinya. Sekarang ini, dirinya bagaikan ditemani dengan dunianya yang tersendiri. Dunia yang sepi tetapi penuh dengan relung masalah.

"Damia."

Damia terus tersedar dari lamunannya apabila terasa bahunya dicuit. Siapa lagi kalau bukan Kak Zetty yang buat begitu. Pandangannya diangkat ke arah Kak Zetty sebelum diimbas wajah kesemua kawan-kawannya yang lain. 

Mereka semua serentak tengah pandang Damia!

Damia angkat keningnya berkali-kali. Tanda kenapa. Dia ada buat salah ke? Atau dia tu terlepas train?

"Kamu ni tengah teringatkan siapa, Damia? Rindu suami kat rumah ke? Sampaikan akak tanya dua kali, kamu buat tak tahu aje," seloroh Kak Zetty cuba menghalau ketegangan yang Damia rasakan. 

Dan ... betul. Damia tertinggal train. Itulah, mengelamun punya pasal sampaikan tak dengarlah apa yang kawan-kawannya tu bincangkan. Lain kali dengar dan fokus bila orang tengah bersembang, sekarang baru terkebil-kebil mahukan jawapan. Aduh ... malu betul!

Damia hanya tertawa kecil. "Err mana ada, kak. Cuma mengantuk sikit aje." Damia bagi alasan. Takkanlah nak membenarkan kata Kak Zetty yang dia tu teringatkan suami dia kat rumah? Ceh, dalam mimpi ajelah. Dia teringat suaminya tadi sebab sakit hati aje, bukan rindu. "Akak tanya apa tadi? Sorry Damia mengelamun tadi."

"Tadi kita orang tengah bersembang pasal transfer kerja kat KL tu. Kan tahun depan company kat KL tu dah start beroperasi. Jadi kami bersembang pasal benda tulah tadi." Bukan Kak Zetty yang jawab, tapi Kak Riana yang jawabkan dulu.

Damia angguk kepalanya perlahan. Ooo ... pasal hal kat KL ke. Cakap pasal hal tu, secara automatik wajah Damia terasa ketat. Liurnya pula terasa kelat. Macam ada serbuk kaca yang menghalang liurnya daripada melalui rongga kerongkong. Tiba-tiba dirinya dipanah rasa gugup.

Memang hal transfer ke KL tu ... takkan habis dibincangkan ke?

Tadi hatinya bergelut sendiri tentang hal tu. Kali ni kawan-kawannya pula berbincang pasal benda alah tu? Adui ... mulalah Damia rasa nak lari. Ye la, kawan-kawannya tu dah tahu tentang keputusannya. Ya, keputusan yang dia tu menolak untuk transfer kat KL tu. Ikut perintah suami punya pasal. Jadi benda apa lagi nak dibincangkan kalau dah mereka semua tahu tentang keputusan Damia tu? 

"Kamu memang dah betul-betul takkan transfer kat KL tu ke? Kerja sama-sama lagi dengan kita orang, dengan Encik Zaid?" tanya Kak Zetty. Memang dia tahu keputusan Damia tu, tapi dia mahukan kepastian.

Sejak Damia umumkan keputusannya untuk menolak dipindahkan ke KL, Damia tu jadi lain sikit. Nampak serabut. Muka tu dah tak manis dengan hiasan senyuman macam selalu, dan Damia lebih banyak menyendiri akhir-akhir ni. Nak bersembang pun, nampak ketara bezanya. Cakap apabila ditanya, jawab apabila disoal. 

Takkan semua tu effect mengandung? Dah enam bulan lebih Damia usung perut boyotnya tu, tak pernah dia tunjuk perangai macam ni. Mungkin semua tu memang ada kaitan dengan keputusannya. Dan mungkin juga, keputusannya itu bukan daripada kemahuannya. Sebab tu Kak Zetty tertanya-tanya juga dengan keadaan Damia tu.

Sontak Damia kaku. Sekarang ni tangannya saja yang lincah mengacau straw dari tadi. Padahal tak berubah apa-apa pun kat air tu. Tak bertambah, tak berkurang. 

Ah! Ini yang dia tak suka. Kena bagi jawapan yang dia rasa tak perlu. Jawapan pasal kejujuran hatinya. Tapi kalau dia tak jawab soalan Kak Zetty tu, rasa macam dia tu menyimpan pekung yang terlalu besar yang mampu menjerihkan dadanya. Jadi, apa salahnya kalau dia luahkan kepada kawan-kawannya, kan? Mana tahu, salah seorang dari mereka boleh bantu ringankankan sikit beban fikiran Damia tu.

"Haah. Suami saya tak nak pindah KL sama-sama. Tu yang terpaksa tolak."

"Kalau macam tu, kau duduk je la KL sorang-sorang, stay dengan aku. Dulu masa aku mula-mula kerja kat VeoBay Group tu, aku duduk kat rumah sewa mak lang aku. Jadi nanti boleh la kalau kau nak tumpang sekali dengan aku kat KL tu," celah Suraya. Nampak bersungguh-sungguh betul dia nak Damia tu ikut dia transfer kerja kat KL.

"Ha, betul. Sewa rumah sekali dengan Suraya. Takkanlah kamu nak ulang-alik dari KL balik Perlis, kan? Lagipun, setiap hujung minggu bolehlah kamu tu balik jumpak family kamu tu nak lepaskan rindu. Kak Riana pun macam tu, tau," sokong Kak Riana pula. Kak Riana tak apalah, duduk dengan mak mentuanya kat KL tu, jadi tak ada masalahlah kalau dia nak transfer ke sana semula. 

Ini bukan masalah tempat tinggal atau apa, tapi ni pasal suaminya! Kalau suaminya tu benarkan dari awal lagi, tak adalah dia nak runsing pasal benda ni. 

"Tapi suami saya tetap tak bagi saya kerja sana. Dia nak saya berhenti, dan cari kerja dekat-dekat Perlis ni je." Damia buntu, jadi dia jawab jujur. 

Terus senyap suara-suara kat meja tadi. Masing-masing memandang wajah antara satu sama lain. Kalau dah suami tak kasi, memang susahlah. Keizinan suami tu paling utama. Paksa macam mana pun, tetap tak boleh kalau suami kata tidak.

Nampak kesedihan yang terpancar pada wajah Damia, Kak Zetty cuba memujuk, "Damia, kamu pasti ke dengan decision kamu ni? Bukan apa, kamu tu muda lagi, dan baru lagi kat VeoBay Group tu, takkanlah kamu nak berhenti? Encik Zaid pun nampak suka betul dengan prestasi kerja kamu. Lainlah macam akak, dah tua. Nak transfer kat KL tu, memang akak terpaksa tolak sebab faktor usia. Akak nak fokus kat family aje bila dah berhenti nanti. Tapi kamu? Kamu tu baru mulakan kerjaya kamu je. Rugi tau kalau kamu tolak." Panjang lebar Kak Zetty sampaikan 'tazkirah' dia tu kat Damia. 

Damia tak bereaksi tapi hatinya masih libang-libu. Dia gundah. Apa yang Kak Zetty tu cakap, memang betul pun tapi Damia rasakan yang Kak Zetty tu tak faham keadaannya. Berapa kali dia nak bagitahu yang semua ni terjadi sebab suaminya tu! Sebab dia tak dapat keizinan suaminyalah, dia tak boleh transfer kerja kat KL.

"Macam ni, apa kata kau pujuk suami kau lagi. Mana tahu, kali ni dia benarkan pulak? Kau bagilah alasan, nak dapat kerja sekarang susah. Daripada kau cari kerja baru, baik stay aje kat VeoBay Group tu, kan? Pasal hal family, pasal hal anak, nanti kau orang suami isteri bincanglah baik-baik. Kalau suami kau faham, mesti menjadi punya," cadang Suraya pula. Adham dan Kak Riana nampak bersetuju dengan cadangan Suraya tu.

Err ... nak bincang lagi sekali dengan Syafiq? Damia angkat kaki dulu. Dia tak naklah cari pasal dengan suaminya tu. Memanglah suaminya tu nampak reda sikit, tapi kalau sekali aje dia tanya pasal hal VeoBay Group tu kat Syafiq, tak mustahil kalau kemarahan Syafiq tu boleh meletus semula. 

Dia pun dah muak nak tanya pasal benda ni. Buat apa tanya kalau asyik kena marah aje? 

Damia masih senyap. Fikirannya kini terasa makin berat dan sempit. Nak fikir itu dan ini. Satu-satu hal masuk kat kepala tanpa henti. 

"Damia ..." panggil Kak Zetty. "Kalau ikut kata hati kamu, kamu memang nak ke pindah kerja kat KL tu?"

Damia kini tatap Kak Zetty lama. Soalan yang agak dijangka tapi ia tetap mengejutkan. 

Kalau tanya isi hatinya, sama ada nak atau tak, dia akan jawab ya. Dulu dia memang berbelah bahagi tapi dia berubah fikiran. Dia memang teringin nak berpindah kat KL tu. Nak bawa suami sekali ke, nak bawa ibu kandungnya yang mulut peluru tu ke, dia tak kisah asalkan dia dapat kerja kat sana.

Dia maksudkan. Ikut logiklah, dia nak dapat kerja kat sini pun dikira bertuah, takkanlah dia senang-senang nak buang segala yang dia dapat daripada keberuntungan dirinya tu? Memang rugilah.

Kalau dia berhenti, dan lepas bersalin nanti nak cari kerja baru, belum tentu ada orang yang nak ambilnya bekerja. Dalam pangkat sebagai seorang ibu lagi. Itu memang payah. Jadi dia kena bersedia awal-awal. Iaitu dengan mempertahankan kerjanya sebagai personal assistant Zaid Zaffran di syarikat ni.

"Saya memang nak. Tapi nak buat macam mana, suami tak bagi." Sayu aje Damia membalas.

Renungan simpati diberi oleh setiap seorang kawannya. Kesiannya kau, Damia. Nak kerja, tapi suami tak bagi. 

Tapi fahamlah suaminya tu tak bagi sebab apa. Pertama, sebab KL tu jauh. Dan yang kedua, Damia tu akan bersalin tak lama lagi. Memang banyak sebablah kenapa suami Damia tu tak bagi Damia bekerja kat sana.

Tapi, kalau ikut dari pandangan Damia pula, dia nak bekerja. Damia memang seorang yang rajin dan komited dengan kerjanya. Rasa sia-sia pula kalau Damia kena paksa berhenti macam tu aje. Takkan suaminya tu tak nak kasi peluang kepada isterinya ni?

"Apa kata kalau kamu ikut je apa yang Suraya cakap tadi. Bincang balik pasal hal ni. Bincang elok-elok dengan suami kamu. Mana tahu kali ni suami kamu tu terbuka hati nak kasi peluang?" Kak Zetty mengurut-urut bahu Damia. Cuba untuk menyalurkan sokongan.

Damia mati kata. Tak ada cadangan yang lebih baik lagi yang aku perlu buat? Kenapa nak kena bincang balik dengan suami aku tu? 

Kawan-kawannya ni pun satu. Beria-ia suruh Damia terima transfer kerja kat KL tu. Macam dia orang tu cuba menghasut Damia pula. Tapi Damia faham, kawan-kawannya tu mesti nakkan yang terbaik untuk dirinya. Dan dirinya pun tahu tentang keputusannya tu.

Arghhh! Nantilah dia fikirkan. Makin berserabut kalau bercakap pasal hal ni. Seorang kata 'A' tapi yang lain kata 'B'. Kepala Damia pun rasa macam nak pecah!

Bersambung...

Ada ralat masa update. tu yg republish. Sorry

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience