RIUH suasana di halaman rumah Juwita apabila dia dan Zailani bertekak. Sakit hati Juwita saat Zailani mula tergedik-gedik macam kurita.
"Engkau kalau nak aku hempuk kau dengan pasu bunga ibu ni, kau buatlah gedik serupa kurita tu. Macam takde tulang dah aku tengok. Elok-elok dah keras yang nak jadi kurita balik ni apahal?" Merah padam wajah Juwita menahan marah.
"Ala... kau ni macam tak biasa je kan? Dulu okey je." Suaranya mula dilunakkan. Naik kembang tekak Juwita mendengarnya.
Zailani ralit menonggeng melihat bunga orked yang sedang cantik berkembang. Berang melihat aksi Zailani macam perempuan miang sambil menonggekkan punggung, tanpa rasa bersalah Juwita menyebat punggung Zailani menggunakan getah paip.
Menjerit Zailani menahan rasa pedih di punggungnya. Berkerut wajahnya memandang Juwita yang buat muka tak bersalah. Tangannya menggosok lembut punggung yang terasa berbirat dilibas dengan getah paip.
"Main kasar nampak." Zailani tayang muka tak puas hati. Juwita jungkit kening seraya menayang muka ketat.
"Baik kau berambus sebelum aku sebat kau lagi sekali." Buntang mata Zailani mendengar arahan Juwita. Kemain kasar bahasa. Tak boleh agaknya menggunakan bahasa yang indah.
"Kau jangan tunjuk muka kau kat aku kalau nak terus menerus jadi kurita!" Tegas sekali amaran yang Juwita berikan.
Tanpa sebarang kata, Zailani berlalu pergi meninggalkan Juwita. Panas hatinya dengan layan Juwita.
Sampai saja di dalam rumah, dihenyak punggungnya keatas sofa. Alat kawalan jauh dicapai lalu dia membuka TV. Lepas satu ke satu saluran ditukar. Tiada satu pun rancangan yang menarik minatnya. Sudahnya dia menutup semula TV.
"Dah kenapa muka tu?" tegur Salmiah lalu melabuhkan punggung di sofa yang terletak di depan Zailani.
Teguran Salmiah langsung tidak dihiraukan. Sakit hatinya masih belum hilang. Kalau Salmiah tahu, makin bertambah sakit hatinya dibebelkan.
"Ya Allah... aku ni bercakap dengan patung cendana ke? Ke dah bisu? Tak pun pekak?" Sinis sekali sindiran Salmiah.
Gitulah orang Melaka. Cakapnya memang kasar. Belum lagi keluar kata-kata carutan yang tak sepatutnya.
"Hawau betul. Buat dek je aku tanya." Haaa... kan dah keluar hawaunya. Zailani tarik senyum segaris. Bukan boleh tarik senyum dua tiga garis pun. Entah apa rupa nanti.
"Malaslah nak cerita. Nanti mak membebel macam takde hari esok." Selamba badak Zailani menjawab. Salmiah cekak pinggang mendengar jawapan Zailani.
"Ewah... ewah... ewah... sedap mulut kau je kan cakap aku macam tu. Ni mesti ada buat salahkan? Kau gaduh dengan Juju lagi, kan? Apa pula kau buat kali ni Zai?" Faham benar dia dengan perangai Zailani.
Pasti ada saja benda yang membuatkan dia dan Juwita bergaduh. Entah apa kena macam anjing dan kucing. Bercekau je kalau jumpa. Jaranglah nak berdamai.
Hari tu elok dah gagah perkasa. Keluar dah sifat kejantanannya. Penyudahnya dua tiga hari ni buat balik lembutnya. Kalau dah lembut gitu, memang akan bergaduh sesajalah dengan Juwita.
Entah apa yang Juwita tu alergik sangat dengan kelembutan Zailani, dia pun tak tahu. Tapi apabila difikirkan semula, matanya sendiri sakit.
"Tu sengih-sengih mesti mengata Zai dalam hati, kan?" Zailani sudah tayang wajah cemberut. Salmiah tahan geli hati.
Ish... menyampah pula tengok anak bujangnya itu merajuk. Kot handsome takpelah juga. Ni dah macam muka tempe basi je.
"Kau tak payah nak merajuk sangat dengan mak. Tu ayam kat dapur, pergi bersihkan. Lepas tu masak. Mak nak rehat hari ni." Zailani ketap bibir. Malas mahu berbalah, dia terus ke dapur untuk menyediakan makan tengah hari.
Buntang mata Zailani melihat bahan-bahan yang terhidang. Ni tak lain tak bukan, nak suh masak rendang hijau le ni.
"Mak ni nak buat kenduri tahlil ke sampai nak masak tiga ekor ayam pula." Tersengih Zailani ketika itu. Namun dia cepat menangkap sesuatu.
Tanpa menunggu lama, dia segera menyiapkan rencah dan mulakan aktiviti memasak. Mujurlah bukan ayam tua. Kalau ayam tua, jenuh nak tunggu empuk.
Hari raya kalau makan rendang ayam tua, memang sedap. Ish... ni yang buat nafsu makan mencanak-canak naik. Tak boleh jadi ni.
Siap menu ayam masak rendang cili api berserta kubis masak lemak putih, Zailani tersenyum puas. Biar memasing ternak lemak. Makin berlemak-lemak le jawabnya.
Dia melangkah masuk ke dalam bilik lalu mencapai tuala untuk membersihkan diri. Sempat dia mengintai emaknya yang sedang kusyuk menonton drama Korea.
Sebaik membersihkan diri, kelihatan Juwita adik beradik berada diruang tamu. Tertunduk malu Juwita melihat Zailani yang hanya bertuala.
"Jalan cepatlah pakai baju. Tak payah nak tayang sangat body tu." Berdesing telinga Zailani mendengar sindiran Sahak. Ish... ayahnya tu ada je cara nak mengusik.
Zailani mempercepatkan langkahnya masuk ke dalam bilik. Sayup-sayup dengar ketawa mereka diruang tamu.
"Hari ni Zai yang masak, nanti Ju bawa balik sikit ye rendang tu. Ibu Ju cakap teringin nak makan. Tu yang mak suruh Zai masak lebih sikit hari ni."
Oh... gitu ceritanya sampai masak tiga ekor. Bakal besan teringin nak makan rupanya. Zailani tersengih sendiri.
Usai bersiap, Zailani melangkah ke dapur. Rupanya semua dah siap terhidang. Air pun dah siap bancuh. Eh... kenapa pula dia tak perasan masa keluar dari bilik air tadi.
"Mak jemputlah tetamu makan. Zai dah lapar ni." Geleng kepala Salmiah mendengar laungan Zailani dari dapur.
Mujurlah anak jantan, kalau anak perempuan memang kena pelangkung dah Zailani ni. Duk terjerit-jerit macam tarzan.
"Jom kita ke dapur." Mereka sama-sama melangkah ke dapur.
Juwita langsung tidak memandang Zailani. Sebal rasa hati Zailani dengan sikap Juwita. Ralit betul mereka berbual seakan dirinya tak wujud di situ.
"Alhamdulillah. Kenyang. Thank you Abang Zai. Sedap betul abang masak rendang ni." Junaidi mengusap perutnya kekenyangan. Juwita pantas menampar tangan Junaidi.
"Berapa kali pesan tak elok buat macam tu?" Tersengih Junaidi dibuatnya.
"Ju nak terus balik. Tak boleh lewat. Takut ibu risau pula. Semalam janji nak balik pagi. Lupa mak ajak makan. Pagi tadi Ju call, membebel dah ibu. Katanya belum tua dah lupa." Juwita tersengih.
"Tak apa. Ju kirim salam semua ye. Ni kirim pada ibu ye." Salmiah menghulurkan sebuah beg kertas berisi rendang ayam kepada Juwita.
"Terima kasih mak, ayah, Zai. Kami minta diri dulu ye."
Zailani hanya memerhati kereta Juwita berlalu pergi. Dia tersenyum lemah.
Mengapa sukarnya untuk menawan hati kau? Adakah aku yang silap percaturan?
Share this novel
fazz...apasal jd zai smula...biar ke la jd lan...