Berpusu-pusu orang ramai datang ke rumah Dato' Bahrin dan Datin Surayya untuk melawat anak mereka buat kali terakhir. Majlis yang sepatutnya menjadi hari kebahagiaan buat keluarga Dato' Bahrin dan Tan Sri Mansur bertukar menjadi majlis duka apabila pengantin perempuan yang sepatutnya dibaluti dengan pakaian indah kini hanya dibaluti kain putih. Wajah yang sepatutnya dihias cantik berseri kini pucat lesi tidak berdarah. Tangan yang dihiasi inai merah kini sejuk membeku.
Kedengaran tangisan disekeliling sekujur tubuh yang terbaring di ruang tengah rumah besar itu. Aqil yang berada di sebelah kanan Shofwah juga turut mengalirkan air matanya. Dia baru saja berjumpa dengan Shofwah semalam dengan senyuman manis tersungging dibibir gadis itu tetapi hari ini Shofwah tidak sama seperti semalam. Gadis itu sudah dijemput Ilahi. Hari perkahwinan mereka bertukar menjadi hari pengebumian Shofwah.
Shofwah terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu mahu pulang ke rumah apabila semalaman berada di hospital. Dipercayai kereta Shofwah hilang kawalan apabila mencuba mengelak lori dari arah bertentangan yang turut sama hilang kawalan sebelum kereta dan lori itu terbabas dan terbalik. Shofwah dan pemandu lori itu dikhabarkan meninggal di tempat kejadian. Berita duka itu disampaikan kepadanya sebaik saja Shofwah dikejarkan ke hospital dan baru pukul sepuluh tadi Shofwah dibawa pulang ke rumah untuk diuruskan jenazahnya.
"Sabar, Bahrin. Shofwah pasti sudah bahagia di sisi Allah." Tan Sri Mansur menenangkan Dato' Bahrin yang menangis meratapi anak perempuan satu-satunya itu. Hilang sudah cahaya mata yang mata yang dipinjamkan kepada Allah selama dua puluh tahun kepada mereka.
"Lihat Mansur, dia masih cantik dengan senyuman. Sepatutnya hari ini adalah hari pernikahannya. Pukul dua belas sepatutnya dia diijab kabul dengan Aqil. Aqil, nikahilah Shofwah. Dia masih cantik walaupun sudah menjadi mayat." Dato' Bahrin sudah mula terbawa emosi. Akal warasnya dapat dikalahkan oleh syaitan yang berbisik ketika itu.
"Mengucap Dato' Bahrin. Sesungguhnya kita ini milik Allah dan akan juga kembali kepada Allah. Janganlah dipaksakan bakal suaminya menikahi tubuh yang sudah tidak bernyawa. Ingat, Allah tidak melarang hambanya untuk menangis atas kehilangan orang tersayang kerana itu adalah rasa cinta dan sayang yang Allah kurniakan untuk kita tetapi Allah melarang orang yang berlebih-lebihan dalam kesedihannya sehingga lupa akan syariat. Bawa bersabar dan banyakkan istighfar." Ustaz Kadir yang bakal mengimamkan solat jenazah Shofwah menasihati Dato' Bahrin yang masih meratap diatas kepergian puteri kesayangannya.
Aqil menunduk mendengar sama nasihat daripada Ustaz Kadir itu. Dia beristighfar untuk menenangkan hatinya. Jika seandainya Shofwah itu isterinya, dia akan menghadiahkan kucupan terakhir di dahi wanita itu sebagai tanda selamat tinggal.
Pengebumian Shofwah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Aqil melihat pusara Shofwah yang merah itu sambil berdoa agar Allah menempatkan Shofwah ditempat orang-orang beriman. Dia yakin sepanjang kehidupan wanita itu, wanita itu adalah wanita yang soleha yang mencintai Allah dan Rasululullah s.a.w. Semoga Allah menerima semua amal kebaikan Shofwah. Aamin.
"Terima kasih atas segalanya Shofwah. Abang tak menyesal memilih Shofwah sebagai tunang abang." Aqil berbisik syahdu. Ada perasaan bersalah di dalam dirinya kerana dia tidak dapat mencintai gadis itu seperti dia sangat mencintai Rina.
"Aqil, papa harap kamu bersabar. Ini semua ujian untuk kamu agar kamu lebih dekat pada Allah." Tan Sri Mansur menepuk belakang Aqil lembut memujuk anaknya itu. Siapa yang tidak sedih jika hari pernikahan bertukar menjadi hari pengebumian. Dirinya yakin Aqil mampu menanganinya dengan baik.
"Kamu mahu balik ke rumah Dato' Bahrin semula atau mahu ikut papa balik ke rumah?" Tan Sri Mansur bertanya.
"Biarkanlah Aqil bersama mereka dahulu. Mereka sangat memerlukan Aqil ketika ini, papa baliklah ke rumah dan berehat. Sejak daripada tadi papa tidak tidur, papa juga harus jaga kesihatan." Aqil meminta izin untuk berada di rumah Dato' Bahrin untuk menemani mereka suami isteri kerana Dato’ Bahrin tidak mempunyai anak lain selain Shofwah. Sekurang-kurang dengan kehadirannya keluarga Shofwah tidak akan terlalu sedih. Tan Sri Mansur menganggukkan kepala dan berlalu pergi meninggalkan Aqil di pusara sendirian.
Sewaktu Aqil dan keluarga Shofwah mahu pulang ke rumah mereka, Aqil disapa oleh Syahiran. Disebelah lelaki itu ada Syuhada bersama. Melihat Syuhada ada perasaan sebal yang bersarang di dalam hatinya ketika itu. Jika bukan disebabkan Syuhada, Shofwah tidak akan mengetahui tentang Rina dan Shofwah tidak perlu berjumpa dengan Rina. Mungkin jika hari ini memang ditakdirkan Shofwah meninggal seperti sekarang hati perempuan itu tidak akan terluka. Aqil beristighfar. Semua manusia pasti melakukan kesilapan dan kita harus belajar memaafkan.
“Aku berdukacita Aqil. Aku harap kau sabar dengan apa yang menimpa.” Syahiran memeluk Aqil erat dan pelukannya itu dibalas oleh Aqil dengan sama eratnya.
“Terima kasih kerana datang menziarah.” Aqil mengucapkan terima kasih kepada Syahiran dan Syuhada.
“Syuhada pergi jumpa makcik dan pakcik dulu ya.” Syuhada berjalan meninggalkan Syahiran dan Aqil bersendirian.
“Aqil…kau tahu Rina di mana?” Syahiran bertanya. Matanya ditundukkan memandang tanah kerana ada perasaan malu di dalam dirinya ketika itu. Dia dengar daripada datuknya tentang apa yang dilakukan oleh penduduk kampung kepada Rina tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana menurut datuknya Rina sudah dibawa pergi oleh bapa mertuanya.
“Kenapa kau tanya aku, Syah? Kau kan kawan baik dia. Kau seharusnya lebih tahu berbanding aku.” Aqil sengaja menduga. Dia juga tahu punca Rina dihalau oleh orang kampung disebabkan perbuatan Syuhada yang membuka keaiban Rina.
“Aku tidak tahu dia berada di mana senarang ini. Dia hilang tanpa jejak Aqil. Risau aku dibuatnya. Merata-rata aku dengan kawan-kawan yang lain cari dia tetapi kami tidak dapat petunjuk apa-apa pun tentang dimana keberadaannya. Semuanya salah aku, Aqil. Aku tak sepatutnya tinggalkan dia sendirian disaat dia memerlukan aku.” Syahiran mengeluh menyesal dengan apa yang terjadi.
“Maaf, Syah. Aku bukan tak mahu tolong kau tetapi aku dalam keadaan berduka sekarang. Aku harus temani ibu bapa Shofwah. Kau jangan risau, Allah pasti akan melindungi wanita yang pernah kita zalimi dahulu.” Aqil menepuk bahu Syahiran sebelum berlalu pergi meninggalkan Syahiran bersendirian di situ.
Ain mengelap tubuh Rina dengan lembut. Terasa lama dia tidak berjumpa dengan Rina dan Qalifh sehingga menimbulkan rasa rindu di hatinya itu untuk kedua-dua orang itu. Hari ini dia mula bekerja semula untuk membantu Mak Sofi menguruskan Rina. Dia diarahkan datang sebaik saja tiada orang di dalam rumah kerana Mak Sofi juga mengikuti Tan Sri Mansur sekeluarga ke rumah Shofwah untuk melawat jenazah. Kasihan Aqil kerana dihari perkahwinannya dia diuji oleh Allah swt.
Ain menukar pakaian Rina dengan pakaian yang bersih sebelum membawa baju kotor itu ke bawah apabila melihat Qalifh sudah tertidur di dalam katil kecilnya. Dia sempat bersarapan di dapur kerana tidak sempat untuk bersarapan sebelum ke rumah Tan Sri Mansur. Setengah jam dia berada di bawah, Ain naik semula. Tiba-tiba Ain menjerit dengan sangat kuat apabila dia melihat mata Rina terbuka luas dan sedang memandang dirinya.
"Puan...puan sudah bangun?" Ain mendekati Rina dengan segera dan mencapai tangan kanan Rina yang cuba diangkat ke atas.
"Siapa awak?" Perlahan saja suara Rina sehingga Ain mendekatkan telinganya ke bibir Rina yang pucat dan kering itu.
"Saya Ain puan, jururawat peribadi dan pengasuh anak puan. Puan nak air? Sekejap saya ambilkan air untuk puan." Ain berlari ke bawah semula dengan tergesa-gesa kerana mahu mengambil minuman untuk Rina.
Rina tidak sempat menghalangi Ain pergi kerana jururawat itu terlampau pantas bertindak. Rina cuba menggerakkan kakinya tetapi tidak boleh. Kakinya terasa bukan miliknya dan terasa begitu berat untuk disuruh bergerak.
"Ya Allah, kenapa dengan kakiku ini?" Perlahan-lahan Rina cuba membangunkan dirinya daripada berbaring dengan menggunakan tangannya yang kurus. Tidak lama kemudian Ain masuk semula membawa air. Ain membantu Rina duduk bersandar di kepala katil sebelum menyuakan air ke mulut Rina. Perlahan-lahan Rina meneguk air itu dan dia berasa hausnya hilang seperti sudah lama dia tidak meneguk air.
"Apa yang terjadi kepada saya, Ain?" Rina bertanya ingin tahu apakah yang terjadi kepada dirinya. Mengapa dia berada di tempat asing dan kakinya tidak boleh digerakkan.
"Puan koma selama setahun selepas melahirkan. Jadi mungkin puan tidak dapat berjalan buat seketika kerana kaki puan sudah lama tidak bergerak. Puan jangan risau, puan akan sembuh kalau puan rajin buat terapi." Ain memujuk apabila melihat Rina memegang kakinya yang lumpuh tidak bergerak.
Dia sudah melahirkan! Itulah apa yang didengarinya daripada Ain sebentar tadi. Matanya melilau sebelum terpandang katil kecil dihadapan katilnya.
“Bawakan dia ke mari Ain. Sudah lama saya menantikan kelahirannya.” Rina meminta Ain mengambil Qalifh untuk dibawa ke pangkuannya.
Ain mengangguk tidak membantah. Langsung saja jururawat itu mengambil Qalifh yang sedang lena tidur daripada katil kecil itu sebelum dibawa kepada Rina.
Rina melihat anak kecil lelaki yang sihat dan berisi didukung oleh Ain itu dan serta merta air matanya mengalir deras. Tangannya terketar-ketar saat menyambut anak kecil itu ke dalam pelukannya. Dicium lembut anak kecil itu berkali-kali seperti tiada hari besok menanti. Inilah bayi yang dikandung selama sembilan bulan di dalam perutnya dan yang dinanti-nantikan saat kelahirannya oleh Rina. Air matanya yang bercucuran terkena pipi Qalifh dan serta merta anaknya itu terjaga dari lenanya.
Mata mereka bertemu, seakan-akan mengetahui bahawa wanita itu adalah ibunya tangan Qalifh naik ke atas dan menyentuh pipi Rina. Rina memegang tangan itu dan menciumnya berkali-kali. Ain takjub melihat kejadian itu yang tidak pernah dilihatnya sepanjang hidupnya menjaga pesakit. Dia memang dapat merasakan wanita itu berbeza dengan wanita-wanita yang lain. Adakah Rina seorang wali Allah? Adakah wali dikalangan kaum wanita?
"Apa khabar anakku, Muhammad Qalifh Althar? Ummi sangat merindukanmu sehingga ummi masih sangat rindukan kamu walaupun kamu berada di hadapan ummi." Rina menangis dan mengusap kepala anaknya dengan penuh kasih.
"Ummi." Dengan pelat anak kecil itu menyebut panggilan buat Rina dan tangan kecilnya segera merangkul leher Rina dan dipeluknya erat.
"Bagaimana puan tahu nama anak puan kerana setahu saya bapa mertua puan yang memberikan nama itu." Ain bertanya semakin takjub bagaimana wanita itu boleh mengetahui nama penuh Qalifh sedangkan Rina koma ketika itu nama itu diberikan oleh Tan Sri Mansur.
Rina tidak menjawab pertanyaan itu. Dia masih ingat dengan jelas 'mimpi'nya itu di dalam ingatannya. Mimpi itu seperti sesuatu yang nyata. Dia masih ingat keindahan wajah wanita di sebalik pagar di tempat yang sangat indah itu. Wanita itu yang memberitahu bahawa nama anaknya adalah Muhammad Qalifh Althar. Wanita itu juga sempat berpesan kepadanya agar dia menjadi seorang yang lebih pemaaf dan sabar di dalam ujian yang Allah sebelum dia terjaga dari lenanya yang panjang.
"Rina Althafunisa?" Tiba-tiba mereka terdengar suara seseorang di depan muka pintu bilik yang terbuka luas itu. Ain terlupa untuk menutupinya kembali seperti yang dipesan oleh Tan Sri Mansur agar dia sentiasa menutup pintu bilik itu kerana tiada sesiapa yang harus tahu bahawa ada penghuni di dalam bilik itu.
"Alhamdulillah, Ya Allah. Terima kasih kerana mengabulkan doa hamba." Tan Sri Mansur meluru masuk ke dalam dan memeluk Rina dengan air mata yang bercucuran.
Rina terkejut dengan tindakan Tan Sri Mansur yang memeluknya tiba-tiba tetapi perlahan-lahan Rina membalas pelukan Tan Sri Mansur itu apabila dia mendengar tangisan yang semakin menjadi-jadi daripada bapa mertuanya itu. Dia ingat sekarang, Tan Sri Mansur yang membantunya daripada orang kampung saat dia hampir saja dicelakakan oleh orang kampung. Tan Sri Mansur yang membawanya ke hospital ketika dia mahu melahirkan sehingga dia tidak sedarkan diri.
"Ain, telefon doktor peribadi saya sekarang juga dan khabarkan kepadanya menantu saya sudah terjaga." Tan Sri Mansur meminta Ain menelefon doktor peribadinya yang merawat Rina sepanjang menantunya itu sakit.
Tanpa membuang masa Ain menjalankan tugasan yang diberikan oleh Tan Sri Mansur sebentar tadi. Dia keluar daripada bilik itu untuk memberikan ruang kepada Tan Sri Mansur dan Rina berbual.
"Terima kasih kerana membantu saya, pakcik. Saya tidak mampu membalas jasa pakcik kepada saya dan Qalifh tetapi Allah sahaja yang mampu membalas kebaikan pakcik." Rina memandang Tan Sri Mansur. Dilembutkan hatinya agar tidak menyimpan dendam pada orang yang tidak mengetahui apa-apa. Tan Sri Mansur tidak pernah melakukan kesalahan terhadapnya jadi dia tidak mempunyai sebab mahu membenci lelaki tua itu.
"Jangan cakap macam itu, nak. Kamu tanggungjawab papa dan papa akan menjaga kamu dan Qalifh sehingga nafas papa terhenti." Tan Sri Mansur mencium dahi Rina sebelum mengusap kepala menantunya itu.
"Terima kasih kerana bertahan dan kembali kepada kami. Papa sangat takut kehilangan kamu. Qalifh masih perlukan kamu untuk membesar dengan baik." Tan Sri Mansur menggenggam tangan Rina dan memandang Qalifh yang sudah tidur kembali di dalam pelukan hangat Rina.
"Terima kasih juga kerana terus mendoakan saya, pakcik." Rina menggenggam kembali tangan Tan Sri Mansur. Dia tidak pernah tahu kasih sayang seorang lelaki bergelar ayah kerana ayahnya meninggal dunia ketika dia masih di dalam kandungan Puan Mawar. Ini adalah peluang yang Allah berikan kepadanya agar mendapat kasih sayang seorang ayah daripada bapa mertuanya itu.
Tan Sri Mansur berasa satu bebanan besar hilang di dalam hatinya yang selama ini dia rasakan. Rina sudah menerimanya sebagai bapa mertua kepada wanita itu walaupun Rina masih tidak memanggilnya dengan gelaran 'papa' tetapi itu sudah mencukupi buat Tan Sri Mansur. Biarlah waktu nanti yang menentukan dia tidak mahu memaksa Rina.
Share this novel