Bab 6: Pak Ya

Romance Series 20066

LANTUNAN ayat suci al-Quran yang dialunkan kanak-kanak itu bergema di seluruh ruang rumah. Pelajar lelaki mahupun perempuan khusyuk membaca surah mengikut giliran masing-masing.

Hujan deras turut mengiringi alunan mereka. Sudah masuk sejam hujan menemani dari tadi. Sejuk dan tenang sahaja suasana yang dirasakan di situ.

Najihah yang duduk bersila berhadapan mereka umpama mengawasi setiap lafaz yang dilontarkan pelajarnya. Tajwid yang salah, dia betulkan. Sebutan yang tak kena, dia luruskan.

"Sadaqallahul Azim ... ."

Kalimat itu dilaungkan menandakan sudah selesai bacaan al-Quran untuk hari ini. Cepat-cepat pelajar-pelajar Najihah bersalam dengan ustazah mereka itu, tak sabar mahu pulang rumah. Dahlah hujan makin lebat.

"Tunggulah hujan seriat dulu, baru balik." Najihah kerisauan melihat mereka yang bersiap-sedia mahu berlari menempuh hujan yang menderu turun.

Tapi pelajar-pelajarnya menolak. Tak mahu menunggu takut-takut hujan makin lebat pula. Nanti kalau makin lebat, tak baliklah dia orang tu. Nak tunggu hujan reda, bila pula?

Najihah mengiringi mereka keluar rumah. Syafiqah melambaikan tangan kepada kawan-kawannya yang beransur-ansur pulang.

Basah-basah pun, mereka redahkan ajelah. Yang penting mahu balik cepat, nak tengok televisyen katanya.

"Sampai je rumah, terus mandi. Nanti demam!"

Sempat Najihah berpesan kepada pelajar-pelajar tersebut. Kalau diikutkan mahu saja dia hantar mereka menggunakan kereta miliknya tetapi kereta itu ayahnya pula yang guna.

"Eh? Syafiq?" Terkejut Najihah bila dia menoleh ke kanan. Syafiq sudah duduk di kerusi batu di halaman rumah.

Boleh pula tak terperasan Syafiq di situ. Sibuk sangat dengan budak-budak tadilah tu.

Memang menghantar dan menunggu Syafiqah dari kelas mengaji sudah menjadi rutin harian Syafiq, tetapi selalunya dia tinggalkan Syafiqah bersama Najihah sehingga malam hari, tepat dia habis berniaga.

Syafiq terus berdiri dan menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat. Syafiqah yang berada di sisi Najihah terus mendapatkan abangnya itu.

"Aik? Along hari ni tak meniaga ke? Kenapa nak ambil adik?" Tertanya-tanya Syafiqah dengan kehadiran abangnya.

"Hmm ... hari ni along tak meniaga sebab hujan lebat. Lagipun kawan along tu ada hal emergency," balas Syafiq. Syafiqah hanya mengangguk.

Lalu Syafiq menyeluk poket seluarnya, dan segera dia memberi lima keping not sepuluh ringgit kepada Najihah.

"Nah, duit mengaji dan upah jagakan adik saya. Maaf, ini je yang saya mampu. Ambillah walaupun tak banyak macam budak lain bagi."

Seperti mahu migrain Najihah mendengar ucap Syafiq. Bukan kerana wang yang diberi tetapi ayat terakhir yang dikatakan lelaki itu.

Tak banyak macam budak lain bagi? Sebenarnya itu sudah lebih dari cukup. Lelaki itu saja yang terlalu merendah diri.

"Ya Allah! Awak ni ... kan saya dah kata jangan bagi duit ni. Lagipun saya memang ikhlas nak jagakan Syafiqah. Saya dah anggap dia macam adik sendiri dah." Najihah menolak untuk menerima pemberian Syafiq.

Tapi Syafiq tak betah berputus asa. Dia tahu sangat dengan Najihah tu, pasti menolak punya. Alasannya, tak mahu susahkan dirinya. Alasan lainnya pula, sudah anggap Syafiqah sebagai adik sendiri. Itu sahaja alasan yang berpusing-pusing setiap kali Syafiq mahu hulurkan suatu bentuk bantuan.

"Ambik la. Rezeki ni. Lagipun simpanan saya cukup untuk makan minum dan keperluan kami berdua." Tangan masih tak lepas dari menyerahkan duit. Mahu lenguh tangan kalau lama-lama macam tu.

"Takpelah awak. Lagipun dah enam tahun saya ajar dan jaga Syafiqah ni. Macam tak biasa pulak. Ni kalau abi tahu yang saya terima duit ni, mahu marah dia nanti." Najihah masih berkeras tak mahu menerima.

"Okeylah, kalau macam tu ambil ni sebagai upah ajar mengaji. Boleh? Lagipun macam tak adillah pulak tengok budak lain bayar duit, adik saya pulak tak. Seganlah saya."

Najihah menghela nafas berat. Akhirnya dia mengalah jua melihatkan Syafiq yang nampak tekad memberi hasil titik peluhnya itu. Pandai-pandailah dia rahsiakan ini dari ayahnya nanti.

"Terima kasih, Syafiq."

"Sama-sama."

Syafiq mengangguk dan tersenyum. Boleh pun Najihah itu lembut hati nak ambil duit yang diberi. Kalau tidak, sepuluh kali hulur, sepuluh kali tolak.

"Ha! Baru tadi awak cakap pasal abi. Pak Ya mana, ya? Macam dah lama pulak tak nampak dia."

Masin mulut Syafiq, ketika itu juga sebuah kereta Avanza berwarna hijau masuk dan memarkir di perkarangan rumah. Hon dibunyikan sekali untuk menyedarkan kedatangannya.

Seorang lelaki berkopiah yang kelihatan berumur separuh abad keluar dari perut kereta. Tersenyum dia melihat kelibat tiga orang itu di luar rumah. Macam sedang menunggu dia pulang pula. Pantas dia berlari-lari anak mendapatkan teduhan di bawah bumbung rumah.

"Assalamualaikum!" ucap lelaki itu seraya berjalan ke arah mereka.

"Waalaikumussalam," jawab mereka bertiga serentak.

"Pak Ya! Lama tak jumpa," laung Syafiq lalu mengucup tangan lelaki tua itu.

Dakapan hangat saling dihadiahkan mereka berdua. Sudah lama benar dia tak bertemu dengan lelaki yang sudah seperti 'ayah' kepada dia dan adiknya.

Tak lain tak bukan, dialah Haji Yahya yakni ayah kepada Najihah. Panggilan Pak Ya sentiasa melekat bukan pada mereka sahaja, tetapi juga orang-orang kampung.

"Biasalah Syafiq. Ada hal nak kena handle kat Arau tu. Itu yang busy sikit." Pak Ya lalu menepuk lembut belakang Syafiq.

"Ni kamu nak hantar Syafiqah balik ke?" Pak Ya sambung bertanya.

"Ha, Pak Ya. Kami dah nak balik ni."

"Takkanlah nak balik hujan-hujan macam ni. Meh, masuk dulu Syafiq, Syafiqah. Kita minum-minum," pelawa Pak Ya.

"Jihah, pergi bancuh air tu," arahnya pula kepada Najihah.

Syafiq belum sempat mahu menjawab sudah dihalang Pak Ya. Terpaksa jualah dia turuti pelawaan lelaki tua itu.

Lagipun takkan mahu menolak pula. Orang dah pelawa masuk tu. Najihah pula terus meluru ke dalam rumah setelah menerima perintah dari ayahnya.

*****

Pak Ya mengurut-urut kakinya. Tiba-tiba terasa kebas pula pangkal kaki dari tadi. Terlalu banyak berjalan sangat la tu.

"Abi sakit kaki lagi ke?" tanya Najihah sambil menghidang sedulang teko berisi air kopi yang dibancuhnya. Perlahan-lahan dia tuangkan kopi itu ke dalam tiga biji cawan yang Syafiqah bantu bawa tadi.

"Biasalah, dah tua-tua ni. Apa ja yang tak sakit."

"Abi patut berehat je. Duduk kat rumah. Lagipun abi dah 11 tahun jadi ketua kampung. Jumpa Penghulu Mukim la, jumpa Pegawai Daerah la. Nak tolong settlekan kebajikan orang kampung, memang penatlah abi," bebel Najihah. Turut dia menjemput mereka semua minum.

Kepala Syafiq naik turun bersetuju. Memang kerja keras betul Pak Ya ini. Dari dulu lagi.

Pak Ya menggeleng perlahan. "Jihah, Jihah. Ketua kampung tu jawatan saja. Lagipun abi kuat lagi ni ha," seloroh Pak Ya sambil menampar-nampar kakinya.

Najihah juling mata ke atas. Dah banyak kali dia nasihatkan. Memang takkan mahu didengar ayahnya seorang ni. Kerja terlalu keras sangat sampaikan kesihatan sendiri terabai.

"Ni anak abi pulak? Macam mana dengan gerai sate kamu? Okey ke?" Pak Ya merenung Syafiq yang sedang menghirup kopi. Mahu tukar topik.

Hampir tersembur Syafiq. Tersedak-sedak dan terbatuk-batuk dia. Nasiblah masih sempat dikawal.

Anak abi? Terkebil-kebil matanya. Memanglah dia sudah menganggap lelaki itu seperti ayahnya tetapi tak pernah-pernah lelaki itu bahasakan diri sebagai 'abi' kepada dirinya. Lainlah kalau dia menjadi anak angkat atau menantunya, barulah tak terkejut sangat dipanggil sebegitu.

"Kamu ni, Syafiq. Macam tak biasa pulak. Keluarga kita ni kan dari dulu rapat, dari kamu kecik lagi. Tapi kamu buat Pak Ya macam orang asing pulak. Tadi tu Pak Ya melawak ja aih," gurau Pak Ya melepaskan tawa besar.

Syafiq hanya menunjukkan susunan giginya sahaja. Terasa janggal? Mestilah. Lagi-lagi di hadapan Najihah yang sedang duduk bersimpuh di satu sudut. Tapi mujurlah Najihah kelihatan sibuk kerana sedang melayan Syafiqah mewarna.

Tapi tak tolak kemungkinan juga jika Najihah mencuri dengar perbualan mereka kerana kedudukannya bukannya jauh sangat. Ah! Tak kisahlah Najihah nak fikir apa pun.

"Mana ada, Pak Ya. Syafiq okey je. Pasal perniagaan sate Syafiq tu, Alhamdulillah semua berjalan lancar. Semuanya berkat bantuan Pak Ya," jawab Syafiq dengan tenangnya.

"Ala, kamu ni. Pak Ya bukannya bantu sangat. Tolong bagi modal dan sediakan tapak gerai kamu je pun."

"Pak Ya, Pak Ya la yang banyak bantu Syafiq tau. Kalau tak ada Pak Ya, memang tak ada gerai sate tu. Pasal modal tambahan tu, Syafiq nak tolak tapi Pak Ya berkeras jugak nak bagi." Syafiq tersenyum mengungkit sikap Pak Ya.

"Sebab kamu tolaklah Pak Ya lagi semangat nak tolong."

"Kalau macam tu lepas ni Syafiq kena terima bantuan Pak Ya dengan rela hatilah ni? Baru Pak Ya tak semangat tolong?"

"Kalau macam tu Pak Ya dua kali ganda lagi semangat nak tolong."

Tepuk dahi. Syafiq dan Pak Ya tertawa besar. Tergelak dengan jawapan Pak Ya yang tak mahu kalah berdebat itu. Dah macam ayah dan anak betul mereka berdua ni.

Sempat mata Najihah melirik ke arah mereka. Bibir terukir sedikit senyuman. Mesra betul lihat abi dan Syafiq tu. Suka sangat.

"Ustazah, tolong warnakan yang ni boleh tak?" Segera Najihah membuang senyumannya tadi jauh-jauh tatkala Syafiqah yang sibuk mewarna tadi bersuara.

Senyum sambil lihat Syafiq? Nanti kantoilah.

Hujan yang lebat tadi mulai reda. Hanya gerimis sahaja yang menyembah bumi ketika itu. Jam di dinding Syafiq kerling sepintas lalu, sudah pukul 6:30 petang. Lama juga dia luangkan masa di rumah itu. Sekaranglah masa yang tepat untuk dia meminta diri. Lagipun senja dah hampir menjelang.

Usai bersalam, dua beradik itu berpamitan. Seperti biasa, tubuh kecil Syafiqah hanya memeluk erat tubuh bidang Syafiq dari belakang.

Najihah melambaikan tangannya. Kepalanya hanya dijengulkan di sebalik dinding pintu yang terbuka. Senyum sendiri tatkala melihat dua beradik tu sedikit demi sedikit hilang dari pandangan.

"Amboi! Anak abi ni. Tak lepas mata tu pandang anak teruna orang." Pak Ya mengusik Najihah.

"Mana adalah. Orang tengok Syafiqah tu." Najihah berdalih. Tak terperasan pula ayahnya kat depan sudah menoleh memandangnya. Malunya rasa.

"Syafiqah ke abang Syafiqah?" Mata Pak Ya dikecilkan. Sengaja mengusik anaknya itu.

Bebola mata Najihah dilarikan. Tak tahu mahu pandang apa. Ada-ada ajelah ayahnya ini.

"Kamu ni, dari kecik sampai besar, suka memendam. Sakit pendam, marah pendam, suka pun pendam. Perangai tak tumpah macam arwah umi kamu. Sampai bila kamu nak berubah ni Najihah? Hmm?"

Mata Najihah membulat. Ayah dia dah tahukah? Ayahnya dah syak sesuatu? Tidak!

Tipulah kalau Najihah tidak faham maksud ayahnya itu. Dia bukannya budak kecil lagi. Pertanyaan serius yang terisi 1001 maksud tersirat itu umpama semacam petunjuk yang cuba disampaikan ayahnya.

"Ish, abi ni. Ke situ pulak. Tak apalah ... Najihah masuk bilik dulu. Kalau ada apa-apa, panggil Najihah tau." Sengaja tukar topik mahu beredar.

Dalam fikirannya, apa yang dia mahu lakukan sekarang adalah lari, bukan memberi jawapan. Jawapan dari soalan ayahnya itu nantilah dijawabnya.

Jihah, Jihah. Tengok riak muka kamu pun abi dah tahu. Pak Ya menggeleng sahaja kepalanya.

Bersambung...

Have a nice day ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience