Bab 11
“Ya Allah… Subhana-Allah. Subhana-Allah. Subhana-Allah.”
Kini Zira duduk berteleku memeluk lutut. Wajahnya disembunyikan di celah lututnya. Air matanya masih mengalir laju. Jantungnya berdegup kencang.
Perlahan, dia menarik selimut di kaki untuk menyelimuti dirinya hingga ke bahu. Ada juga terniat di hatinya ingin mengejutkan Maria tetapi tidak sampai hati pula melihat wajah mulus kawannya yang sedang lena itu.
Tangisan Zira yang tidak bernada tadi menjadi semakin rancak. Dia menangis teresak-esak. Bahunya terhinggut-hinggut menahan ketakutan berbaur kesedihan.
Saat ini, dia berasa sangat lemah. Tidak mampu hendak berhadapan dengan ujian seperti tadi. Tidak mahu lagi. Tidak.
Maria berkalih ke kiri. Tubuhnya menghadap ke meja solek. Dia masih tidak sedar apa yang terjadi kepada rakan sebiliknya.
*****
“Aku laparlah. Jom kita pergi mamak, nak? Pekena megi goreng sepinggan. Teh tarik secawan.”
“Eh, Siti ni. Asyik lapar je. Tadi kan kita dah makan,” balas Zira yang baru hendak membaca novel yang berada di tangannya.
“Ya, tapi aku masih lapar. Nak buat macam mana?” jawab Siti sambil membuat raut muka seperti kucing comel, Puss dalam cerita kartun Shrek.
Dia mengerdip-ngerdipkan matanya lalu meletakkan dua tangannya di bawah dagu. Memang menjadi sungguh gaya manjanya itu.
Emi ketawa sambil menepuk bahu Siti langsung berkata, “Aku benci betul bila kau buat muka macam tu. Okeylah. Jomlah. Aku temankan.”
“Serius ke?”
“Memanglah serius. Jomlah Zira,” jawab Siti dengan senyum lebar. Gembira kerana taktik menggodanya berjaya.
Dia dan Emi masuk ke dalam bilik untuk menyarung tudung segera. Juga untuk mengganti pijama kepada pakaian yang lebih bersesuaian. Zira meletakkan bukunya di atas meja kopi dan dia pun turut bangun untuk ke biliknya. Juga untuk menukar pakaian dan menyarung tudung.
Sambil berjalan, sempat juga Zira menegur Maria yang sedang leka membaca novel online di laptop. Maria tidak duduk di sofa, sebaliknya dia memilih untuk duduk di meja makan kerana mahu menumpukan perhatian kepada cerita yang sedang dibacanya.
Hari ini, Maria membaca sebuah karya klasik iaitu tentang kisah seorang gadis yang berubah menjadi serigala jadian tetapi masyarakat umum menganggapnya telah dihinggapi penyakit misteri. Cerita yang penuh misteri itu agak sedih apabila dihayati dan ditekuni.
“Tak apalah, tak nak ikut. Cerita tengah best niiii,” jawab Maria tanpa mengalihkan mata daripada laptop. Terlalu asyik dengan pembacaannya.
Sebenarnya, Zira, Emi dan Siti berpakat tidak mahu menceritakan kepada Maria pengalaman ngeri yang mereka alami empat hari lepas. Tidak mahu kawan mereka yang baik terganggu fikirannya. Apatah lagi, memang Maria sering keseorangan di apartment itu. Mungkin kerana faktor tempat kerjanya yang dekat dengan rumah. Juga mungkin sebab kekasih Maria lebih banyak berada di luar negara dan tidak dapat meluangkan banyak masa untuk Maria.
“Okey,” jawab Zira dan terus berlalu ke biliknya.
Sebentar, ketiga-tiga mereka sudah bersedia lalu selepas mengucapkan salam kepada Maria, seorang demi seorang melangkah keluar. Siti paling gembira. Entah apa mood dia hari ini, lapar sahaja perutnya itu.
“Maria! Take care ya uols! Weols nak pegi makan! Kalau ada apa-apa, call tau!” jerit Zira sebelum menutup daun pintu.
Maria yang masih asyik membaca hanya mengangguk tanpa mengangkat muka.
Televisyen yang tidak dipadamkan oleh Zira tadi sedang rancak menyiarkan siaran ulangan satu rancangan realiti mencari pelawak. Berasa agak terganggu, Maria bangkit lalu bergerak ke sofa.
Dia mencari-cari alat kawalan jauh TV sambil merungut kecil. Kalau dah banyak tangan memang begitulah jadinya. Sekejap alat kawalan jauh itu ada di meja kopi, sekejap ada di sofa, sekejap ada di atas lantai. Selepas memandang ke sekitar, akhirnya Maria menemuinya di bawah sofa yang diduduki oleh Siti tadi.
Maria terus menekan punat tutup di alat kawalan itu lantas bergegas ke meja makan semula. Hendak menyambung pembacaannya yang tergendala tadi.
Cerita yang dibacanya sudah hampir tamat. Saat ini dia sedang membaca adegan di hospital sakit jiwa, tentang kepiluan si gadis kerana tidak berjaya menyakinkan perawatnya bahawa dia merupakan mangsa serigala jadian. Dia bukan penghidap sakit jiwa.
Mata Maria perlahan pindah dari satu aksara ke satu aksara. Dari satu baris ke satu baris. Dari satu perenggan ke satu perenggan. Perlahan-lahan. Saat gadis itu menangis kepiluan di kurungannya, Maria turut berasa sedih.
‘Kesian,’ gumamnya dalam hati.
Tiba-tiba dia mengangkat kepala dan memandang ke bilik Siti dengan kehairanan. Kalau tidak silap, sebentar tadi Maria terdengar pintu bilik itu bergerak.
‘Oh, angin agaknya,’ fikirnya.
Kemudian Maria menjatuhkan pandangannya ke laptop semula.
‘This is true. I am not making any story.’ Kata watak itu.
…bersambung
Bab akan datang:
Ada sesuatukah yang masuk ke bilik Siti?
Share this novel