Bab 9
Siang tadi, Siti memang kepenatan. Selain daripada terpaksa menghadiri dua mesyuarat jabatan, dia juga terpaksa keluar untuk bertemu pelanggan. Seharian dia menghabiskan masa dengan berfikir, bercakap, berdebat dan… menguap.
Apabila otak sudah penat, mulut dan mata mula meriakkan pelbagai reaksi yang agak kurang sopan tanpa disedari. Itulah sebabnya tadi semasa menonton rancangan realiti Runningman, Siti lebih banyak berdiam diri. Sesekali dia akan ketawa melihatkan gelagat lucu spontan dan selamba daripada Kwang Soo, si zirafah.
Kira-kira satu jam tadi, Emi juga sudah terlena. Tetapi sekarang dia sedang menggelisah di katilnya. Katil bujang yang disusun selari dengan tingkap bilik. Dihujung kepalanya ialah katil Siti. Susunan katil dalam bilik itu berbentuk L. Di dinding bersebelahan pintu terletak dua buah almari pakaian dan cermin rias digantung di hujung katil Siti.
Tiba-tiba Emi berasa panas dan tekaknya kehausan. Lenanya sudah mula kabur. Bilah-bilah kipas dinding yang sedang berpusing dirasakan amat perlahan. Tubuhnya mula mengeluarkan peluh. Lehernya sudah mula berasa miang, lekit dan merimaskan.
Emi membuka mata lalu mengeluh. Dia menghela nafas panjang dan selepas menghembuskannya, dia mengiring ke kiri. Emi mencuba menutup matanya semula.
Namun percubaan itu sia-sia sahaja. Emi mengiring pula ke kanan, menghadap ke tingkap yang hanya ditutupi dengan sehelai langsir kain kasa yang nipis berwarna maroon dengan taburan corak bunga kekwa.
Bilik itu menghadap ke hutan, itulah sebabnya Emi dan Siti tidak memasang langsir tebal. Lain pula halnya dengan bilik utama. Bilik itu menghadap ke jalan dan berhadapan dengan blok lain, jadi Zira dan Maria memang memasang langsir tebal di bilik mereka.
“Hmm…” Emi mengeluh lagi. Tubuhnya yang mengiring ke kanan tadi kembali menelentang menghadap siling. Dia mengangkat sedikit kepalanya untuk melihat Siti. Ternyata, Siti memang sedang lena dibuai mimpi.
“Untunglah.” Sempat juga dia merungut sebelum mencuba untuk mengatup kelopak matanya semula.
Tetapi tiba-tiba niatnya tersekat, kelopak matanya kini terbuka luas. Emi terkebil-kebil dengan mulut ternganga.
“Aik? Sejak bila pulak kat tingkap ni ada akar-akar kayu ara bergayutan?” soalnya seperti sedang mengajukan soalan kepada dirinya sendiri.
Sepasang bola matanya merenung tajam ke tingkap dengan kehairanan. Mindanya tertanya-tanya dari mana datangnya akar-akar kayu ara yang banyak di tepi tingkapnya. Tiba-tiba akar-akar kayu ara itu kelihatan bergerak-gerak dan berbuai-buai perlahan-lahan. Mungkin ditiup angin. Pergerakannya menghala ke bawah. Sambil menelentang, Emi memandang dengan penuh asyik peristiwa yang agak ganjil itu.
Tanpa dirancang, Emi menggerakkan tubuhnya untuk duduk. Matanya masih terus memerhatikan akar-akar kayu ara yang sedang bergerak ke bawah. Dalam beberapa saat, akar-akar kayu ara yang kelihatan jarang-jarang tadi menjadi bertambah lebat dan tebal.
Dan akhirnya kelihatan satu bentuk di hujung akar itu. Atau mungkin juga di pangkalnya.
Suatu wajah sebesar kuali bersaiz sederhana mula kelihatan. Sedikit demi sedikit mula kelihatan. Turun ke bawah secara perlahan-lahan sehingga kelihatan keningnya yang berceracak seperti beberapa rimbunan lalang. Kemudian, bulu matanya yang tampak kasar seperti bulu penyapu mula dapat dikesan oleh penglihatan Emi. Lalu muncullah pula sepasang mata yang berurat-urat merah, bola mata yang berwarna hitam legam dengan anak mata yang berwarna keperang-perangan.
Seketika, batang hidungnya mula kelihatan. Batang hidungnya besar sebesar lengan seorang lelaki dewasa. Hidung itu herot di sebelah kanan seolah-olah ada daging yang berlebihan berjuntaian di situ. Kulit mukanya juga sangat menggerunkan dengan kulit yang menggerutu dan berbenjol-benjol. Ada beberapa bahagian kelihatan bernanah dengan daging berwarna pucat kekuningan kelihatan samar-samar disimbah cahaya bulan penuh.
“Maaakkk!!!!!!!!!”
Emi menjerit dan terjatuh dari katil. Tanpa membuang masa, sepantas kilat dia melompat ke katil Siti. Terus melompat di atas tubuh Siti dan jatuh tersembam di dinding di tepi Siti. Kepalanya terhantuk di dinding dan tanpa ucapan salam, Emi terus menarik selimut Siti lalu menyelubungkan dirinya hingga ke muka.
*****
Emi, Siti, Zira dan Diana memang bertuah mendapat tuan rumah yang prihatin. Dia telah menyediakan sebuah katil kelamin dan dua buah katil bujang di apartmentnya. Siap dengan tilam dan bantal. Jadi, mudahlah bagi penyewa. Mereka hanya perlu mengangkut barang keperluan berupa pakaian dan lain-lain barang-barang yang ringan untuk pindah masuk.
Meja makan dan set kerusi untuk ruang tamu juga sudah disediakan. Selain itu, setiap bilik tidur ada disediakan kipas dan bilik tidur utama mendapat penghawa dingin. Sebagai orang yang mula-mula masuk ke apartment itu, Zira memilih untuk mendiami bilik tidur utama.
Sudah tiga tahun Zira menghuni apartment itu dengan Maria dan Siti. Emi pula sudah menjadi penghuni semenjak dua setengah tahun yang lalu.
…bersambung
Bab akan datang:
Pernahkah tingkat atas apartment itu berpenghuni selama ini?
Share this novel