TIGA

Other Series 3280

Iman termenung sendiri. Terlalu banyak masa dihabiskan dengan termenung. Setiap hari jiwanya terduga. Apa yang patut dilakukannya pun dia tak pasti.

“Hoi, termenung apa tu??” Tiba-tiba satu suara mengejutkannya daripada lamunan.

Iman mengusap dada dengan harapan debarannya hilang. “Mak aihh kau ni Nadia, apalah buat macam tu? Terkejut monyet aku, tau?!” Marah Iman pada teman rapatnya.

“Habis, kau tu termenung jauh sangat. Ingat kat siapa tu? Salman Khan eah?” Nadia bertanya dengan sengihan nakal.

Sengaja Nadia mengusik Iman. Dia tahu Iman banyak masalah terutamanya dari segi kewangan. Akan tetapi, apa yang dia mampu cumalah cuba menyenangkan hati sahabatnya itu.

“Takde apa lah. Memang teringat kat Salman Khan pun.” Iman ketawa kecil.

“Kau ni Mann, sekali-sekala balik kampung ni jangan la asyik lepak sorang je. Datang la jalan-jalan rumah aku. Bukan jauh pun. Sejengkal tu je ha!” Iman hanya tersenyum mendengar omelan Nadia yang memuncungkan bibirnya menunjuk arah rumahnya yang selang hanya dua buah rumah jiran yang lain.

Bukan Iman tidak mahu ke rumah Nadia. Tetapi keadaan sekarang sudah berbeza. Nadia sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak berumur 6 tahun. Seganlah dia untuk selalu ke rumah Nadia melainkan pada hari-hari tertentu seperti hari raya atau jika ada perkara-perkara penting yang perlu disampaikan.

“Kau tu, anaknya mana? Kan mencari pulak si Fatia tu.”

“Ada tu, tengah layan TV dengan ayah dia. Alahh, kau jangan risau. Aku dah bagitahu kat Fatihi nak ke rumah kau ni sekejap. Dia ok je. Biasalah hujung-hujung minggu macam ni, suami aku tu suka kalau habiskan masa ngan anak tunggal dia tu.” Panjang lebar Nadia bercerita.

Kadang-kadang Iman terfikir, seronok juga jadi Nadia. Sudahlah cantik, dikurniakan pula suami yang baik dan anak yang comel.

Nadia berkahwin ketika berumur 19 tahun. Dia mengambil keputusan untuk menangguhkan pelajaran sementara selama dua tahun apabila dia mengandungkan Fatia.

Selepas dua tahun, dia menyambung belajar secara separuh masa dan bekerja sebagai kerani akaun di syarikat kecil-kecilan yang tidak jauh daripada tempat asuhan Fatia.

Sekarang Nadia bekerja sebagai pembantu akauntan di syarikat pembekal bahan-bahan dan peralatan sekolah di bandar terdekat dengan sijil diploma yang didapatinya.

“Hairi apa cerita sekarang?” Pertanyaan Nadia membuatkannya tersentak.

Sudah lama dia cuba untuk melupakan nama itu. Tetapi hari ini terkeluar pula di mulut Nadia. Nadia tahu semua tentang Hairi. Sebab Iman sering menceritakan kisah-kisah perasannya pada Nadia. Nadia seorang teman yang baik. Dia sentiasa mendengar walaupun Iman sering berulang-kali bercerita tentang perasaanya pada Hairi. Malah, dia menyokong pilihan Iman. Tetapi itu dulu. Dua hingga tiga tahun yang lalu. Sekarang dia sudah tidak mahu menyebut nama itu lagi. Biarpun nama itu sentiasa mekar di hati.

“Hmm,” Iman mengeluh.

“Macam itulah. Entah. Dah kahwin kot.” Jawab Iman bersahaja.

Sebenarnya, kali terakhir Iman ‘stalk’ Hairi adalah dalam setahun yang lepas. Dia mendapat tahu Hairi sudah mempunyai calon isteri. Itulah sebabnya juga dia berhenti berharap dan berhenti mengambil tahu tentang lelaki itu.

“Biar betul?? Kau tak sedih? Kecewa?” Nadia melopong.

“Hei, elok-elok bukak mulut tu. Nanti lalat masuk. Kelakar lah kau ni, tak macam mak budak.” Iman ketawa melihat ekspresi wajah Nadia yang kelihatan lucu di matanya.

“Ya. Mungkin lah dah kahwin. Kau ingat kan, aku selalu bagitahu kau yang aku menghargai perasaan yang aku rasa selama ni. In shaa Allah, aku redha dan aku doakan dia bahagia.” Itu sahaja jawapan yang dapat Iman berikan.

Nadia hanya mengangguk faham. Ya, dia ingat. Setiap kali Iman bercerita tentang Hairi, dia sering menegaskan bahawa perasaanya jika tidak dibalas sekali pun, dia tetap akan bahagia.

Itulah Iman, setiap kali dia sukakan seseorang, jika tiada balasan, dia tetap tersenyum. Mendoakan kebahagiaan orang yang disukainya. Hairi bukanlah orang pertama. Sebelum ini ketika di kolej dia pernah menyukai Amri. Dia hanya menyukai Amri dari jauh. Tidak pernah meluahkan perasaanya pada orang yang disukainya. Apabila Amri mula berpunya, dia hanya diam dan berhenti bercerita tentang lelaki itu.

Nadia kagum dengan Iman. Walaupun tidak pernah bercinta, dia kelihatan biasa-biasa sahaja. Tidak seperti dirinya. Sebelum bertemu dengan suaminya ini, dia mempunyai banyak ‘scandal’ atau cinta monyet. Jika tiada sesiapa yang dijadikan teman, pasti dia merasa sunyi, sebab itulah dia tanpa sengaja terpasang ‘scandal’ di sana sini. Dan dia berhenti dengan sifat nakalnya apabila hatinya terpaut pada Fatihi, pensyarah ‘part-time’ di kolej tempat dia dan Iman mengambil sijil asasi dahulu.

Cuma, dia tidak sempat menghabiskan pelajarannya di peringkat asasi kerana mengandung setelah beberapa bulan berkahwin dengan suaminya itu.

“Takpe Mann, In shaa Allah, jodoh kau akan sampai tak lama lagi. Banyak-banyakkan bersabar ya” Itu sahaja yang mampu Nadia ungkapkan. Dia tahu Iman Daniela seorang yang tabah. Dia juga tahu, Iman menyembunyikan kedukaan hatinya dengan senyuman dan ketawa. Tapi itulah, sahabat yang dia kagumi dan sayangi.

“In shaa Allah.” Kata Iman sambil tersenyum.

“Aaminn, ya Allah.” Detik hati Iman Daniela.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience