BAB 1

Crime Completed 2825

Jangan bimbang hari ini saya tidak membunuh. Saya cuma memerhati sasaran saya. Sedang berdiri berhampiran pintu tren LRT ini, itulah dia. Seorang lelaki berambut kerinting, berkulit coklat gelap memakai jaket denim berwarna biru. Citarasanya pada fesyen sangat hambar. Jaket itu mungkin dibeli secara bundle dari pasar malam, mungkin. Lelaki ini pada zahirnya kelihatan naif. Tapi jangan mudah tertipu. Dia bukan seperti penumpang lain. Dia punya misi. Menyeluk saku. Itulah misinya. Dia licik dan tidak mudah tertangkap. Tetapi malang, semalam dia telah menyeluk kocek seluar seorang lelaki yang menyedari dompetnya hilang ketika mahu membayar di kaunter sebuah pasar raya.

Malang, kerana lelaki pencopet itu telah menempah maut. Dompet yang dicuri itu bukan milik sebarangan orang. Ia milik saya, seorang pembunuh upahan. Ya saya seorang pembunuh upahan. Pekerjaan ini sudah saya lakukan sejak lima tahun lepas. Tapi saya tidak membunuh tanpa sebab. Sasaran saya cuma golongan Penyeluk Saku, Pencuri, Perompak, Peragut, Pembunuh dan Perogol yang tidak dapat dikesan oleh undang-undang. Mahu tahu kenapa saya boleh terjebak dalam perilaku yang dipenuhi dosa ini? Nanti saya ceritakan. Tapi sebelum itu biar saya uruskan lelaki berambut kerinting itu dulu.

Tentu anda mahu tahu bagaimana saya menyedari yang lelaki berambut kerinting itu telah mencopet dompet saya kan? Mari saya jelaskan. Semalam saya naik LRT dari stesen IOI Puchong ke stesen Tesco Puchong. Memang niat saya mahu membeli sesuatu di pasar raya Tesco setelah menyelesaikan urusan perbincangan dengan seorang klien. Ketika di dalam LRT saya sudah perasan gerak laku lelaki berambut kerinting itu yang agak mencurigakan. Ketika keluar dari LRT lelaki itu telah melanggar bahu saya dan tanpa rasa bersalah tidak mahu meminta maaf. Mungkin pada ketika itu dia telah menyeluk kocek seluar saya, mungkin.

Untuk menguatkan lagi telahan saya, rakaman cctv di stesen LRT Tesco Puchong telah mendedahkan segalanya. Dan hari ini saya bernasib baik bertemu dengan lelaki itu lagi setelah dari pagi menghabiskan masa di dalam tren LRT dari satu stesen ke satu stesen tapi nasib baik itu sudah pasti tidak berpihak padanya.

Next Station Pasar Seni

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience