47

Romance Completed 51694

Tiada apa-apa komunikasi antara Ammar dan Julia selepas kes mereka bertengkar pada lewat petang Ahad itu. Beberapa kali Ammar mencuba untuk menghantar WhatsApp kepada Julia namun setiap kali itu jugalah egonya menghalang.

'Julia pun tak mesej kau apa-apa. Mestilah sebab dia tengah melayan Firhan. Lupakan ajelah Ju tu. Kau kan dah ada Bell' Sebaik sahaja selesai mindanya meracun hati, Ammar menghentak kasar dashboard kereta. Dia menarik nafas panjang untuk menenangkan diri sebelum dia berjumpa dengan pelanggan yang mahu mencetak risalah untuk mempromosikan menu restoran mereka.

Jurugambarnya, Hanifah, telah keluar dari kereta terlebih dahulu kerana dia mahu mencari komik di Pustaka Rakyat memandangkan mereka tiba lebih awal dari masa yang dijanjikan. Restoren pelanggan itu pula hanyalah terletak selang 4 buah kedai dari kedai buku itu. Betul-betul di sebelah kedai buku itu adalah My Home Hotel.

Kunci kereta Hanifah dicabut. Baru sahaja Ammar mahu membuka pintu, kelihatan kereta mahu memasuki parkir kosong disebelah kiri kereta Hanifah itu. Ammar menutup pintu semula untuk memberi laluan kepada kereta itu.

Pemandu kereta itu, lelaki, keluar serentak bersama penumpangnya, seorang perempuan. Mereka berjalan seiringan sambil tangan lelaki itu merangkul erat tangan teman wanitanya dan terus menuju masuk ke hotel. Ammar tergesa-gesa keluar. Rasanya matanya tidak salah lihat.

'Bell?'

"Bos? Tunggu saya ke?" Tepuk Hanifah dibahunya menyebabkan Ammar terperanjat.

"Hah? Ha ya. Ni kunci kereta kau" Jawab Ammar. Kunci kereta diserahkan kepada Hanifah.

"Bos pergilah dulu ke restoran tu. Saya ambil kamera dengan kelengkapan nak shoot gambar kejap dalam kereta" Balas Hanifah.

Tanpa apa-apa balasan, Ammar berjalan perlahan melepasi hotel dan kedai lain untuk terus ke restoran pelanggannya. Dia duduk di kerusi dan meja yang terletak di kaki lima kedai yang berbumbung itu. Dia yakin matanya tidak salah melihat.

Sebaik Hanifah tiba bersama kelengkapannya, pemilik restoren mula menghidangkan makanan yang perlu ditangkap gambar untuk diletak pada risalah promosi. Ammar bangun meninggalkan restoren itu dan terus melangkah menuju pasaraya yang menjual pakaian. Dia membeli sebuah topi berwarna hitam dan pelitup muka kain yang juga berwarna hitam.

Ammar kembali semula ke restoran itu. Hanifah yang ralit menangkap gambar langsung tidak menyedari apa yang dilakukan Ammar. Ammar sudah bernekad, sekiranya Hanifah sudah menghabiskan kerjanya pun Shasabila masih belum keluar dari hotel itu, dia sendiri yang akan masuk ke dalam hotel itu mencari Shasabila.

'Kamarul?'

Bagaimana aku harus membuang kenangan, lantas dirimu terus berada dalam bayang ingatan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience