Rate

TERANIAYA

Crime Series 765

Aku menuruti sahaja arahannya. Seterusnya, aku capai beg milik Ijoi itu dan berjalan ke tempat menunggu terakhir sebelum boleh menaiki pesawat. Ijoi berada jauh di hadapan dan sedang duduk. Aku segera merapatinya.

Aku baru sahaja nak duduk, tiba-tiba sahaja Ijoi memegang bahuku.

"Aku nak pergi tandas sekejap", katanya

"Boleh, jangan lama-lama sangat nanti terlepas flight", aku berkata dengan nada gurauan.

Ijoi berlalu pergi ke tandas. Aku duduk sambil mengeluarkan telefon milikku, dan menghantar pesanan ringkas kepada ayah, menyatakan bahawa aku bakal berlepas beberapa minit lagi. Aku termenung, melihat beberapa buah pesawat yang diletakkan berhampiran pintu pelepasan.

Aku mula membayangkan hari-hari seterusnya di Kuala Lumpur. Bolehlah aku membeli sesetengah barang yang tak dijual di Kedah ini. Aku berhasrat juga untuk membuat lawatan ke beberapa tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur.

Lamunanku terhenti apabila muncul beberapa orang lelaki secara tiba-tiba yang berdiri betul-betul dihadapanku. Saat mereka merapati diriku terlalu dekat, aku mulai bangkit dari tempat duduk. Aku meletakkan telefon aku semula ke dalam poket seluarku, dan tanpa aku sedar, salah seorang daripada mereka merentap tanganku serta memulasnya ke belakang.

Aku ditolak dengan daya yang begitu kuat ke lantai. Salah seorang lelaki itu kemudiannya mengambil beg hijau milik Ijoi yang aku jagakan serta merentap keras zip beg tersebut, membuka dan mendedahkan isi perut beg tersebut. Aku dihenyak rapat ke simen, terasa betapa sakitnya dadaku ini.

Isi beg milik Ijoi tadi diburaikan dihadapanku. Pada asalnya terdapat beberapa helai pakaian, tetapi apabila seorang lelaki tersebut menyelongkar beg terbabit, mereka menemui beberapa bungkusan plastik yang terkandung sesuatu bewarna putih.

"Ini kau punya kan?!". Tegas seorang lelaki berbadan besar itu sambil menonyohkan bungkusan tersebut kepada pipiku. Tanganku yang dipulas di belakang menyebabkan aku tak boleh bergerak.

"Ini kau punya?! Jawab!", katanya dengan nada yang semakin keras.

Mana-mana penumpang pesawat yang berada di pintu masuk mulai membanjiri kawasan tersebut. Aku berasa agak malu kerana diperlakukan sedemikian. Diperlakukan macam orang salah.

"Bukan, ini kawan saya punya", kataku cuba menerangkannya.

"Siapa punya?! Mana kawan kau?!", katanya.

"Dia pergi tandas, sekejap lagi dia datang semula", aku menjawab dengan keadaan yang memaksa.

"Kau jangan nak tipu! Aku polis", katanya sambil menunjuk lencana polis membuatkan aku terpinga-pinga.

Aku ditekan semakin kuat ke lantai. Tanpa aku sedari, satu sepakan kuat membenam di rusuk kiriku. Terasa kesakitannya yang amat. Bukan itu sahaja, tumbukan-tumbukan liar yang datang tanpa aku sempat bertindak menyebabkan aku hampir rebah.

Dalam hatiku, terfikir di mana Ijoi? Hanya dia sahaja yang boleh menyelamatkan aku ketika ini. Ini bukan barang aku, tetapi barang Ijoi. Aku tunggu dalam keadaan tangan yang terpulas ke belakang, di manakah Ijoi?.

Beberapa orang polis menuju ke tandas, mencari Ijoi. Mereka mengikuti apa yang aku jelaskan kepadanya. Namun Ijoi tidak kelihatan di tandas atau di mana-mana. Anggota polis menuju kearahku, dengan muka yang begitu masam, ibarat baru sahaja dia ditipu oleh aku.

Aku dihumban ke Black Maria. Tanganku bergari di belakang. Kemudian aku diheret ke lokap. Satu bilik kecil yang menyesakkan nafas.

Sepasang tangan yang kasar tiba-tiba menyentapku sambil satu lampu bewarna putih ditujukan tepat ke arah mukaku. Aku terkebil-kebil menahan silauan lampu tersebut.

"Sekarang aku bagi kau peluang. Kau nak mudahkan perkara ini, kau mengaku sahajalah barang itu milik kau! Sekarang, kau mengaku atau tidak?" kata salah seorang anggota bermisai tebal. Matanya dijegilkan kepada ku.

"Tidak, bukan saya punya". Jawapan aku menyebabkan pegawai tersebut mencekak kolar bajuku, sebelum dia menghumban aku ke dinding.

Dua, tiga empat tumbukan mengenai kepalaku, badanku.

"Mengaku atau tidak?!", jerkahnya lagi.

"Tidak, bukan".

Aku seperti mahu menjerit. Apa jawapan yang engkau mahukan daripadaku? Kau nak aku mengaku? Kau nak memaksa aku untuk mengaku? Masalahnya macam mana aku mahu mengaku kalau dah barang itu bukan milik aku. Aku tak tahu apa yang aku harus jawab.

"Saya cakap terus terang, bukan barang saya. Tolonglah percaya", aku mulai meraih simpati.

Meraih sedikit kelembutan atau paling tidak, sedikit kepercayaan. Aku seperti mahu menangis apabila setiap jawapan yang aku berikan dijawab dengan tumbukan dan sepakan.

Aku sumpah. Demi Allah, demi nama ibuku, ayahku. Demi segalanya, aku bersumpah barang itu bukan aku punya.

Aku didera. Ditumbuk, ditampar dan disepak macam orang salah. Soalan demi soalan yang aku tak dapat bayangkan betapa mengarutnya jikalau seseorang itu mengenali aku. Aku cuba, aku berusaha nak bagi mereka tahu, aku ini hanyalah seorang pelajar universiti yang tidak pernah terlibat dengan apa-apa jenayah.

Seluruh kolej gempar dengan penahanan aku. Mohamad Farid bin Alias ditahan di lapangan terbang Sultan Abdul Halim bersama 5 kilogram dadah jenis heroin.

Pihak universiti menghantar beberapa pensyarah yang cukup aku kenali. Tetapi untuk apa? Untuk medapatkan pengakuan daripada aku? Untuk kononnya apabila aku dihadiri oleh orang-orang yang aku percayai, aku akan mengaku? Bagaimana aku harus mengaku untuk sesuatu yang aku tidak buat?

"Demi Allah Prof. Demi Allah saya teraniaya. Barang itu milik kawan saya, namanya Izzul. Mohd Izzul bin Rostam, saya ke lapangan terbang untuk ke Kuala Lumpur bersamanya", itu sahaja yang mampu aku katakan kepada salah seorang pensyarah yang hadir menemuiku di dalam lokap. Dia hanya hadir dengan kehairanan, dan pulang dengan kebingungan.

"Encik Farid, awak cakap dengan saya betul-betul. Mengikut tiket yang dibeli itu pun, tiada nama penumpang bernama Izzul", kata Puan Rahimah, peguambelaku dalam satu pertemuan.

Aku faham benar sikap Izzul. Kalau mengenai bab menipu dokumen, mengubahsuai sijil cuti sakit, meniru tandatangan ayah dan ibunya apabila rekod sekolahnya tidak baik, dia memang nombor satu.

Aku tahu dia menggunakan kad pengenalan palsu sewaktu mendaftar masuk dan membuat pembelian tiket kapal terbang. Aku ibarat terjerat. Terperangkap dengan sesuatu yang dirancang olehnya.

Hari-hari berikutnya tiada bezanya dengan hari-hari selepas aku ditangkap. Tidak pernah sehari aku terlepas daripada deraan-deraan anggota polis dan warden penjara. Tanpa aku sedari, tanganku teramas sendiri. Teramas dengan penuh kegeraman dan kebencian.

Aku cuba bertenang. Bertenang dengan kesabaran biarpun jiwaku hancur luluh oleh nasib yang menimpa, Bertenang dengan kesabaran yang paling dalam. 2 - 3 nafas aku hela sepanjang-panjangnya. Aku cuba sepenuh hati untuk bersabar, bertenang.

Namun, manalah aku boleh bersabar apabila tarikh maut aku sudah ditetapkan. Tarikh tetap yang beransur-ansur mendekati tubuhku. Aku menadah tangan, meminta doa. Tanganku yang kian lemah kuangkat sedaya-upaya. Aku tarik sekuat hati badanku yang cengkung untuk duduk. Untuk kuat dan tabah. Ketabahan yang aku usaha bagi mendapatkan perhatian agar doa aku dimakbulkan.

Saat terbayang kengerian alam barzakh, kengerian seksaan sakarulmaut. Soalan-soalan malaikat saat mayat aku ditanam enam kaki di dalam tanah, aku menjadi gelisah. Jantungku mulai berdegup pantas. Dahiku mulai dibasahi oleh peluh dingin. Tubuhku yang cengkung bagai mayat mulai terketar-ketar.

Ketaran-ketaran yang tidak dapat dikawal ibarat di makan oleh satu sumpah. Sumpah yang datang dari sebuah persahabatan. Sumpah yang datang dari rasa kepercayaan dan hubungan silaturahim sesama manusia. Sumpah yang mana mulai memamah tubuh aku dari dalam.

Tubuhku yang cengkung. Tubuh sial yang cuma dibaluti pakaian maut yang cukup usang. Melihat pakaian itu aku seperti melihat mayat. Menghidu bau pakaian itu aku seperti terhidu bau neraka. Perasaanku yang semakin tipis dan kian kosong seperti terkoyak oleh kehadiran kenangan-kenangan yang amat memilukan.

Segala-galanya seperti menggigit-gigit seluruh diriku yang terlalu amat sengsara. Segala-galanya seperti terpancung oleh kekaburan yang semakin menemui titik perhentian. Aku cuba dan cuba tapi ketenangan itu seperti dipancung oleh beribu gambaran pilu yang amat mengerikan dan menakutkan.

Sesekali kudengar beberapa orang tahanan yang masih boleh meneruskan hidup esok hari bercakap-cakap di bilik sebelah luar. Suara mereka sesekali tenggelam timbul mencuri-curi masuk ke kamarku yang terasing sekali.

"Daripada bukti-bukti yang telah dihujahkan oleh pendakwaraya,  mahkamah telah mendapati bahawa tertuduh yang didakwa di bawah seksyen 39 (A), Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh didapati....

Bersambung

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience