“Najla…Najla jangan sedih ya. Mummy dan daddy menerima Najla sebagai menantu kami seikhlas hati kami. Doa mummy…Najla dan Elman segera bertaubat dengan apa yang telah kalian lakukan sebelum berkahwin. Allah Maha Pengampun. Jangan pernah melupakanNya, ya nak.”
Lembut suara mummy Elman, Datin Seri Qasrina memujuk Najla. Terubat hati Najla melihat kebaikan ibu dan bapa mertuanya. Malahan, keluarga korporat ini turut sudi menerima Mak Yam menjadi sebahagian dari ahli keluarga mereka. Syukur, di saat dirinya dibuang keluarga sendiri, masih ada yang sudi memberi kasih.
“Mummy, daddy. Ermm…Kejap lagi Elman nak balik ke rumah Elman. Najla…Elman akan bawak sama. Cuma…boleh tak kalau Mak Yam tinggal di sini?”
Belum pun panas punggung duduk di rumah keluarga mertuanya, Najla terkejut mendengar saranan Elman. Dia duduk berdua dengan Elman di rumah lelaki itu? Bersediakah dia? Kenapa suaminya itu tidak mahu membawa Mak Yam sekali? Najla buntu. Pandangannya masih tak berkelip-kelip menatap wajah kacak suaminya.
“Tapi kenapa cepat sangat nak balik ke rumah Elman? Mummy Elman masih tak puas lagi berborak dengan Najla. Tidurlah sini dalam seminggu dua. Lepas tu nak balik sana, baliklah. Daddy tak kisah. Just not today.” Pujuk Dato’ Seri Tajul Ariffin. Berharap sangat Elman akan mengikut cakapnya.
“Tak boleh daddy. Elman tak free. Jangan risau daddy. Elman tak buat apa-apa dekat menantu kesayangan daddy ni. Elman hanya nak balik rumah. Tak sabar nak rehatkan diri. Otak ni dah penat, stress dengan apa yang dah berlaku. I need rest, daddy.”
“Sini kan boleh rehat jugak. Mummy ada banyak benda nak dibualkan dengan Najla. Bolehlah Elman…ya?” Pujuk Datin Seri Qasrina pula.
“Next time, mummy. Next time ya. I promise….” Senyuman dihadiahkan kepada Puan Sri Qasrina. Berharap mummynya akan lembut hati dan melepaskan Najla supaya isterinya itu dapat mengikutnya pulang ke rumah Elman di Cyberjaya. Dia mahu berbincang empat mata dengan Najla. Tentang permasalahan yang telah menghancurkan hubungan cinta mereka suatu masa dahulu dan juga tohmahan yang telah Najla lemparkan ke atas dirinya kepada Wazien, Fizo dan Joe.
“Ikut suka Elmanlah. Najla kan isteri Elman. Memang tanggungjawab isteri untuk berada di sisi suaminya. Cuma satu je yang mummy nak cakap. Jangan Elman berani naik tangan pada menantu dan bakal cucu mummy ni. Kalau mummy dapat tau Elman sakitkan lagi Najla, mummy takkan teragak-agak untuk saman Elman. Mengerti?”
Elman tersenyum kelat. Mummy nak saman dia? Anak sendiri? Najla yang duduk di sebelah mummy dikerling sekilas. Seronok betul wajah isterinya itu apabila mendengar dia bakal disaman oleh Datin Seri Qasrina.
‘Senyumlah…senyum. Aku nak tengok, lepas ni kau akan terus tersenyum manis macam tu ke ataupun tidak.’ Elman mencebik namun lakonan harus ditunjukkan selancar mungkin. Dia tidak mahu mummy dan daddynya mengesyaki sesuatu yang tak kena antara mereka berdua.
“I will love her till the winds don’t blow, mummy. Don’t worry. Elman akan jaga isteri Elman ni baik-baik. You have my words.”
Tanpa segan-silu, Elman duduk di belakang isterinya. Tubuh Najla dirangkul dari belakang lalu sebuah ciuman dihadiahkan di pipi isterinya. Najla nyata terkejut melihat aksi tak disangkanya itu. Merona merah wajah isterinya menahan malu. Elman telan liur. Hampir dia terpesona melihat wajah manis itu namun cepat-cepat ditepis perasaan halus yang mula menular di dalam hatinya.
Dato’ Seri Tajul Ariffin dan Datin Seri Qasrina saling memandang antara satu sama lain. Walaupun cara pernikahan Elman dan Najla tidak seperti yang mereka angankan selama ini, jauh di sudut hati Dato’ Seri Tajul Ariffin dan Datin Seri Qasrina, mereka tetap mendoakan kebahagiaan anak dan menantu mereka. Doa mereka sentiasa mengiringi perjalanan hidup baru Elman dan Najla.
Share this novel