Bab 59

Detective Completed 54058

DARA sangat berterima kasih pada Haris yang sangat memahami dengan membiarkan dia berpantang di rumah emak. Malah Haris itu sanggup bermalam di rumah orang tuanya selama berpantang tanpa sebarang rungutan. Apa yang disuruh emak, lekas saja Haris ringan tulang membantu. Habis segala tenaga Haris dikerah emak untuk membantu dalam proses menjaga Dara.

Alhamdulillah…Berkat kesabaran Haris itulah, Dara berjaya mengembalikan jiwanya semula. Dia tidak melatah bila ditanya soalan-soalan dari makcik-makcik bawang.

“Bukan Dara dah bersalin ke? Mana anaknya?”

“Dengar-dengar, anak Dara meninggal. Betul ke?”

“Macam mana boleh maknya pengsan? Kalau macam ni, macam mana nak bersalin lagi?”

“Budak sekarang mana kuat macam orang dulu-dulu. Lembik.”

Itu antara soalan-soalan panas yang sering diajukan. Soalan yang ada kalanya menipiskan kesabaran. Jawapan balas Dara cukup ringkas. Tiada rezeki. Dan sejurus itu dia tersenyum. Takut nanti dia bakal dikecam geng-geng makcik bawang dan dicop anak muda tiada adab, tak boleh nak ditegur terus melenting.

“Muda lagi...Usaha lebih sikit, nanti bila dah berderet anak jangan merungut pula.”

Ini yang Dara pertikaikan bila ada suara sumbang berbunyi tanpa memikirkan kebarangkalian seseorang untuk memiliki anak. Apa mereka fikir semudah itu menghasilkan seorang zuriat? Usahalah banyak mana pun kalau sudah tertulis belum rezeki, maka tak merasalah dia memiliki anak berderet-deret seperti yang digembar-gemburkan itu. Jadi, bukan setakat usaha. Dara juga akan terus berdoa dan percaya dengan rezeki Allah.

“Kenapa lama sangat? Any good news?”

Hilang suara-suara sumbang yang menyapa fikiran. Kini, Dara garit kening. Pening melayani karenah Haris. Pening dengan permintaan suaminya.

“Sekejap.” Jerit Dara dari dalam. Memang patut pun Haris risau. Sudah dua puluh minit dia di dalam bilik air. Bertambah pula dia mengelamun lagi sampaikan lupa ada yang sedang menunggu di pintu bilik air.

Tangan Dara memegang sesuatu. Lama dia merenung ke situ.

“Don’t you think you have taken time too long, Dara?” Haris bersuara lagi dari luar.

Dara bingkas bangun. Kalau nada suara Haris sudah begitu, Dara tidak boleh lama-lama. Boleh jadi mereka berdua terpaksa keluar mencari pintu bilik air yang baru nanti.

Seminit bertanya, barulah terdengar bunyi pintu dibuka. Tak jadi Haris ingin marah. Yang ingin dia dengar adalah hasil ujian tersebut.

“Negative.” Ujar Dara perlahan.

Haris melebarkan senyuman.

Dara semakin kurang faham dengan Haris. Sepatutnya dia yang teruja untuk membuat ujian kehamilan. Tapi sejak akhir-akhir ini, yang bersungguh-sungguh itu Haris. Pantang haidnya lewat, Haris akan muncul dengan pregnancy test di tangan. Subuh-subuh Haris akan kejutkan dia untuk melakukan ujian tersebut.

Setakat ini, hasilnya tidak memberangsangkan. Jawapan yang sama Dara ulang sejak dua bulan ini. Anehnya, bukan raut wajah kecewa yang dia terima daripada suaminya. Tetapi senyuman yang cukup lebar. Senyuman yang sering membuatkan Dara dilanda tanda tanya.

“Abang…” Dara takut Haris kecewa lagi.

“Let’s work hard!”

Tadi elok-elok Dara ingin memujuk hati suaminya supaya tidak kecewa, kini dia rasa mahu layangkan penumbuk di dada Haris. Muka suaminya seperti ingin mengajak dia sambung tidur sekarang juga demi memastikan usaha mereka bakal membuahkan hasil.

“Please...Lepas ni berhenti suruh D buat pregnancy test. D takut abang kecewa.” Tetap saja dia memujuk Haris.

Dara hanya layankan saja permintaan suaminya. Tapi dalam waktu yang sama dia takut Haris bakal patah hati dengan keputusan yang mereka sendiri sudah jangka.

“Mana ada abang kecewa. Itu hanya langkah selamat. Awal-awal kita dapat kesan, lagi bagus. Dapat elak perkara yang tak elok berlaku.”

Baru sebentar tadi, Dara nak tampar manja muka Haris sebab buat muka gatal. Sekarang dia menukar tamparan lembut itu menjadi belaian. Pipi Haris diusap perlahan. Dara titipkan senyuman bangga dengan suaminya yang tidak pernah menunjukkan kesedihan di depannya.

“I hate you, Haris.” Dia benci bila Haris itu lebih kuat. Lebih pandai menyembunyikan semua perasaan di matanya.

“Benci tapi sayang…Kan?”

Dara malas mahu melayani Haris. Angkat lebih baik. Hari ini dia ada rancangan ingin menghabiskan masa di Café mereka. Ekor mata Dara nampak ada bayang hitam yang mengekori dia rapat.

“Hei, where are you going?”

Dara capai beg tangannya. Dibiarkan saja Haris ikut dari belakang.

“Café.” Jawab Dara pendek. Jangan Haris nak buat-buat hilang ingatan. Dia pun sudah maklumkan perkara ini sejak semalam lagi.

“Awal-awal macam ni?” Haris mengerling jam di dinding.

“Ermm…” Itu saja jawapan Dara, nanti semakin banyak soalan Haris.

“Abang hantar.”

Kening Dara terjongket. Tadi Haris kata nak keluar, ada urusan yang perlu diselesaikan. Hal yang melibatkan kewangan Café katanya. Takkan rancangannya bertukar pula?

“Abang hantar, baru abang pergi bank settlekan check yang kena tendang tu.”

Bagus juga cadangan Haris. Lagipun Dara masih malas untuk memandu. Lebih teruk, tak tahu mengapa fokus dia sering terganggu jika memandu. Pernah sekali, tanpa sedar pemanduan dia tersasar dari lorong yang sepatutnya. Mujur bunyi hon yang panjang dari belakang menyedarkan dia.

Sejak hal tersebut sampai ke pendengaran Haris, dia diberi mandat untuk jadi mem besar. Tak perlu susah payah pandu kereta. Haris yang sudi bawa dia ke mana saja. Tanpa gaji. Tanpa sebarang rungutan atau bantahan.

“Macam mana tak risau. Selalu sangat mengelamun. Selalu buat abang risau nak tinggalkan D seorang diri.”

Dara sedikit terkejut bila ada tangan yang melingkar di pinggangnya. Mata dia bertentang dengan sepasang mata Haris. Laju gelengan dia muncul.

“Oh, no Haris! Kita perlu pergi sekarang.” Dara menolak tubuh Haris menjauh bila suaminya mula dekatkan wajah. Haris sedang mencari sasaran untuk melabuhkan ciumannya.

“One shoot.” Pinta Haris.

“No!”

Satu boleh jadi dua. Dua boleh jadi empat. Dan akhirnya dia perlu batalkan hasrat untuk ke Café gara-gara Haris punya ‘one shoot’.

“Come on, Dara.”

Dara mula mengorak langkah bila berjaya melepaskan diri. Kemudian dia terdengar suara Haris ketawa. Tak perlu Dara menoleh. Dia akan diperlihatkan ketawa gatal milik Haris.

CAFÉ mereka ditutup seketika, dan akan dibuka beberapa jam nanti. Ada beberapa orang yang sibuk melakukan kerja-kerja dekorasi. Ikutkan hati, Dara ingin melakukan sendiri. Namun cadangan dia dibantah sekeras-kerasnya oleh Haris.

Terpaksalah mereka menggunakan khidmat interior designer untuk mengubahsuai kedai. Saja ingin menghidupkan suasana baru. Dia juga pahatkan nama arwah anak mereka dalam bentuk tulisan khat lalu dibingkaikan untuk gantung dalam Cafe.

Kerja-kerja mengubahsuai hampir selesai. Hanya tinggal meletakkan bunga hidup untuk menebarkan haruman tersebut ke seluruh café. Bunga yang dipilih sendiri oleh Dara.

“Flower?”

Dara menoleh bila ada suara yang kedengaran pelik saat bunga menghiasi ruang. Tangan Haris mendarat pada bahu kanannya. Bunga ini cadangan yang menyusul saat-saat akhir. Sengaja Dara tidak beritahu suaminya. Takut cadangan ini bakal ditolak mentah-mentah.

“Abang tak rasa D suka bunga.” Haris bersuara pendapatnya.

“I love it.” Kali ini tak bohong. Memang Dara suka bunga.

Haris pandang isterinya. Dia mencari kejujuran dengan melihat sisi wajah isterinya. Apa yang dia nampak, bibir isterinya melengkung, mengambarkan betapa Dara sukakan bunga tersebut.

“Sejak bila?”

Pandangan Dara beradu suaminya. Dia tiada jawapan untuk soalan Haris. Apa yang dia tahu, dia mula suka pada bunga. Kalau boleh, semua tempat dia ingin penuhkan dengan bunga. Bila memikirkan kos untuk bunga hidup itu agak mahal, Dara akan mencari jalan lain pula nanti.

“Don’t know.” Jawab Dara bersahaja.

Haris mengecilkan matanya. Sejak mereka berkahwin, bunga itu tidak tersenarai dalam item yang paling digemari Dara. Kalau ada hadiah yang ingin diberikan, bunga itu jatuh ke tangga tercorot. Malah, bunga dihapuskan menjadi kesukaan isterinya bila mengandungkan Lukman Haris.

“Jangan buat muka pelik Haris. I really love it.” Dara tak faham kenapa Haris buat muka begitu. Normal kalau perempuan sukakan bunga.

Ada sesuatu yang Haris ingin katakan. Namun sulit dia berkata di sini. Ada yang lalu lalang. Boleh jadi mereka juga mendengar nanti. Akhirnya, dia kuburkan saja niatnya. Mungkin dia terlalu fikir yang bukan-bukan dan terlalu menaruh harapan.

“Dah nak siap…Cepat buat final check up. Jangan nanti ada yang tak kena.”

Kata-kata Dara mematikan lamunan Haris. Dia mula menebarkan pandangan ke seluruh Café yang berubah dari segi susunan. Dia yang sering cerewet dalam hal-hal begini. Dia akan pastikan aspek keselamatan menjadi yang utama. Barulah dia akan menitik beratkan hal-hal lain pula.

“But it weird, Dara.” Tetap saja Haris merasakan ada yang tak kena.

“Apa yang pelik? Kalau konsep garden, rasanya tiada yang pelik.” Dara tak faham kenapa sejak dari tadi Haris asyik memberi dia pandangan aneh.

Dara melangkah pada kaunter pembayaran yang berada tidak jauh dari sini. Dia mencapai kataloq yang diberikan oleh pihak designer lalu dia suakan pada Haris.

“D cuma ikut contoh yang ada. Lebih mudah. Tak payah pening kepala fikirkan konsep baru. Pihak designer pun senang nak buat kerja.”

Haris tidak menyambut. Dia hanya pandangan muka isterinya. Tiada lagi pandangan pelik yang dia tunjukkan untuk tatapan Dara.

“D dah cakap sebelum ni…Jangan terlalu mengharap, nanti jadi macam ni lah.” Sehabis lembut Dara bersuara. Dia takut bakal mengguris hati suaminya. Bohonglah kalau dia juga tidak berharap untuk mendapatkan zuriat.

Dara merapatkan jurang, hanya tinggal beberapa inci saja jarak yang memisahkan mereka berdua. Kali ini, tangan Haris dia capai. Dan dia dapat rasakan betapa kejungnya Haris ketika ini.

“Abang sebenarnya fikir D mengandung sebab tiba-tiba sukakan bunga…Betul tak?”

Bukan jawapan yang diterima. Tetapi Haris memberi bukti bahawa suaminya sedikit gugup kerana tertangkap. Dia nampak dengan jelas halkum Haris bergerak sekali.

“Mungkin Allah nak kita luangkan lebih masa berdua. Nak D beri lebih perhatian pada abang.” Tangan Haris digenggam erat. Dia ingin Haris jalani kehidupan seperti biasa. Seperti sebelum-sebelum mereka berkahwin. Dan Dara sedar, dek melayani kesedihannya, dia telah mengabaikan Haris.

Tangan Haris dibawa rapat ke bibir sekilas.

“Terima kasih sentiasa ada dengan D.” Dara melukis senyuman paling manis.

“Terima kasih saja tak cukup, Dara.”

Senyuman Dara terbantut. Apa yang Haris mahukan? Dia sedia tunaikan. Ketika itulah Haris memanggil dia rapat untuk berbisik sesuatu.

“I need a kiss…Here…Here, and here.”

Dara menoleh. Mencari di mana tempat yang dimaksudkan Haris. Pertamanya, di mata kiri. Kemudian beralih ke mata kanan pula. Dua tempat itu bukan masalah besar bagi Dara. Tapi yang ketiga yang menjadi masalah. Kerana jari Haris jatuh pada bibirnya yang merekah senyuman.

Tangan Dara naik, melekap pada pipi Haris. Ditepuk perlahan.

“Malam nanti.”

Jawapan balas Dara mengundang keterujaan Haris. Mata dia tampak bersinar.

“Jangan mungkir janji!”

Pernah ke Dara buat begitu? Setakat ini belum pernah lagi dia mungkir janji. Namun tadi Dara tidak pula menabur janji.

“Abang nak buat pengumuman.”

Dara mula kalut bila Haris buka langkah menghampiri kumpulan pekerja mereka yang hampir siap kerja-kerja mengemas bahagian dapur.

Ah, sudah! Haris selalu begini. Selalu mendatangkan masalah.

“Haris!” Dia perlu menghalang suaminya. Takut kalau Haris itu bercakap tidak pandang kiri dan kanan Habis luar dan dalam dicerita.

“Semua dah siap?” Haris menyertai kumpulan kecil pekerja mereka.

Sudah terlambat untuk Dara menghalang suaminya. Apa yang mampu dia lakukan, hanya berdiri tidak jauh dari situ sambil memerhati dan mendengar perbualan antara majikan dan pekerja. Dalam hati sempat berdoa semoga Haris tidak cerita yang bukan-bukan.

“Dah bos!”

“Bagus.”

“Semua boleh balik.” Arah Haris.

Mereka semua saling berpandangan. Malah, muka mereka nampak bingung seketika.

“Kita akan off dua hari…Saya nak pergi honeymoon dengan lady boss.”

Oh, no!

Dara rasa darah menyerbu ke wajahnya ketika ini bila kesemua pandangan mereka tertumpu pada dia. Haris sengaja ingin nak dirinya menjadi perhatian.

“Jangan layan bos awak tu…Pergi balik. Balance tu biar bos buat.” Dara usir mereka cepat-cepat pergi sebelum suhu wajahnya berubah gara-gara percutian tidak dijangka tadi.

Mereka semua bersorak gembira. Cepat saja apron tersarung ditanggalkan. Kesempatan ini Dara panjangkan langkah ke tandas.

“Sayang…Where are you going?” Suara Haris menegur bila Dara menonong, pandang muka dia pun tidak.

“Toilet!”

Haris tersenyum. Rutin isterinya bila malu. Dara akan habis masa di dalam beberapa minit. Terkadang boleh menjadi berjam-jam lamanya.

Sepuluh minit Dara menguncikan diri di dalam bilik air. Detak jantung dia tidak keruan sejak dari pagi tadi lagi. Sekarang, dia sedang mengalami simptom yang sama sambil menunggu keputusan. Mata dia tertumpu pada kit ujian yang diletakkan di atas sinki basuh tangan. Agak lama dia merenung.

Perlahan-lahan kit ujian tersebut mula naik. Dara semakin tidak keruan. Pagi tadi, dia sudah punya jawapan. Namun dia ingin memastikan apa yang dia lihat itu tidak salah. Jadi dia putuskan untuk buat kali ke duanya.

Dara mengerdip mata beberapa kali. Kit ujian itu sudah menunjukkan keputusan sepenuhnya. Keputusan yang membuatkan Dara berdiri tegak. Merenung wajahnya yang terpantul pada cermin.

“Your dad always right…” Ujar Dara perlahan sambil tangan mengusap perutnya lembut. Bibirnya automatik tersenyum, kepala jatuh memandang pada perut dia.

Haris itu selalu yang pertama tahu kalau dia berbadan dua. Kali ini juga suaminya tidak gagal. Haris berjaya mengesan nyawa yang baru tumbuh di rahimnya lagi.

“Sayang!”

Dara tersentak. Cepat dia capai kit ujian lalu dicampak ke dalam tong sampah. Tak mungkin Haris akan masuk ke sini kerana tandas ini khas untuk kaum Hawa. Semestinya rahsia dia akan selamat. Bila ada masa yang sesuai, dia akan berikan kejutan buat suaminya.

"Coming!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience