SIMPATI Dara itu masih menggunung saat melihat keadaan Haris. Dia silap lagi. Sangkaan dia rasa mual suaminya telah pun menghilang sepenuhnya ketika kandungannya memasuki trimester ke dua. Siapa tahu kalau loya-loya Haris itu muncul kembali saat kandungan dia masuk rimester ke tiga. Sekarang, dia masih diambang melahirkan zuriat mereka pun Haris masih begitu.
“Abang…” Lembut Dara memanggil.
Haris yang sedang baring di sofa tidak jauh dari katilnya, celik mata. Tegak terus kepala dia sebaik mendengar suara Dara memanggil. Mujur dia hanya tidur-tidur ayam. Takut-takut kalau Dara memerlukan dia.
“Baby dah nak keluar?”
Dara perlahan-lahan bangun. Baru lima belas minit berbaring, dia sudah merasa penat macam berjam-jamnya. Sakitnya badannya semakin menjadi-jadi bila dengar Haris tidak jemu bertanyakan soalan yang sama sejak satu jam yang lalu.
“Tak perlu…D boleh bangun sendiri.” Ekor mata dia menangkap Haris ingin angkat punggung menghampiri dia.
“Dah rasa any contraction?”
Soalan kedua Haris itu mengundang tawa Dara. Haris itu tamak orangnya. Semua kerja ingin disapu. Daripada polis, suaminya menjadi suri rumah. Sekarang Haris sedang berjinak-jinak pula ingin menjadi doktor tidak bertauliah.
“Belum lagi…”
Dara perasan raut wajah Haris semakin risau. Kerisauan Haris tidak akan surut selagi anak mereka tidak keluar. Haruslah dia tanam harapan supaya anak kecil ini cepat keluar dan lihat sendiri betapa resahnya seorang ayah menunggu kelahirannya.
“Abang patut balik.” Seharian Haris menemaninya di sini. Makan minum suaminya juga di sini. Boleh dikatakan Haris itu hanya menghilang untuk solat saja. Sudah masanya Haris pulang dan rehat secukupnya.
“D dah bosan tengok muka abang?”
Lain pula sisi pemikiran Haris. Sangat keterlaluan tuduhan suaminya. Dara punyalah elok beri sorotan simpati atas pengorbanan Haris yang setia menemani dia. Boleh pula dia dikatakan bosan.
“D bosan sebab setiap minit rasa kasihan itu datang bertandang. Dah jadi kawan baik setiap kali pandang muka abang. Siang malam tak pernah bosan temankan D dan anak.” Jujur Dara.
“Jadi, hapuskan rasa kasihan tu. Penyakit tu tak baik. Boleh merebak. Dan boleh menyebabkan pergaduhan.”
Tiada yang salah pun kata Haris itu. Yang selalu besar-besarkan hal yang kecil itu, Dara sendiri. Terlampau memikir yang bukan-bukan. Kalau orang lain, mungkin rasa gembira bila suami di sisi. Tidak bagi Dara. Dia merasa dirinya itu membebankan Haris. Sedangkan suaminya perlu keluar bekerja walaupun bekerja sendiri.
“D boleh jaga diri. Nurse pun ada.” Dara tetap rasa dirinya masih di dalam pengawasan. Semestinya Haris tidak perlu risau.
Dara berganjak sedikit memberi ruang pada Haris duduk dibirai katil. Tangan suaminya digapai.
“Why?”
Haris suka beri dia soalan. Soalan pendek itu yang bahaya. Dia lebih rela mendengar soalan yang panjang berjela biarpun terkadang dia tidak punya jawapan.
“Dari dulu sampai sekarang, suka fikir bukan-bukan.” Marah Haris. Sekadar marah-marah manja.
“Berhenti fikir orang lain. Fikirkan diri sendiri.” Titip Haris lagi.
Tak boleh. Orang lain yang Dara fikir itu suaminya sendiri. Bahkan impatinya itu khas untuk suaminya seorang saja.
“Jangan macam ni…Abang cakap benda yang betul. Abang risau selagi baby H tak keluar.” Haris dapat lihat Dara memilih untuk mengabaikan nasihatnya.
Tadinya, Dara ingin melawan. Tetapi pujukan Haris itu sedang menghakis sedikit demi sedikit rasa memberontaknya.
“Tapi…Abang kena pergi tengok pekerja kita dekat Café. Kebetulan ada dua orang staff sedang cuti. Tinggal dua orang. Stok barang pun sampai hari ni.” Dara rasa dia tidak mampu nak pentingkan diri. Dia ingin menjadi majikan yang bertanggungjawab.
Dara dan Haris sepakat membuka café sebagai sumber kelangsungan hidup mereka. Apatah lagi café mereka baru saja beroperasi selama dua bulan. Perniagaan mereka terlalu baru sangat, dan banyak yang perlu dititik beratkan untuk lebih bertahan lebih lama dalam zaman yang penuh dengan persaingan.
Dalam banyak-banyak nama, Husben & Wife Café yang menjadi pilihan Haris. Puas dia beri cadangan nama yang lebih hipster, lebih menarik. Tetapi Haris sanggup bergaduh dengannya demi nama tersebut. Kata Haris, baru orang ramai tahu asal usul café mereka dan bonus buat Dara, tiada siapa yang berani nak menggoda pemilik bersama café jika membaca nama tertera di pintu masuk. Hujah Haris itu mengundang jelingan buat dia.
Namun harus Dara akui, jaminan Haris sememangnya tidak boleh diguna pakai. Dia belum buta berapa ramai mata yang memandang Haris yang sering berada di kaunter depan. Tapi sayang, setakat pandang dan bercakap itu tidak berjaya membangkitkan rasa cemburunya selagi Haris pandai jaga diri.
“Hei!”
Laju Dara mengerdip mata bila ada bayang yang lalu berkali-kali di depan matanya.
“Dah sampai mana?”
Dara tertangkap mengelamun.
“Pergi tengok-tengok keadaan mereka. Walaupun mereka boleh handle, mereka akan lebih gembira kalau ada abang bantu apa yang patut. Sekejap pun dia orang akan rasa dihargai.”
Tangan Dara melekap pada pipi Haris. Sentuhan merupakan senjata terakhir yang dia ada untuk memujuk suaminya.
“Hari ni baby tak banyak ragam. Sangat behave macam Daddy H.” Ini juga termasuk dalam senjata terakhir Dara.
“So, don’t worry…Just go Haris. Kalau baby nak keluar nanti, D akan cari abang.” Dara beri jaminan supaya menghapuskan terus rasa bimbang suaminya.
Namun lDara sentiasa sedar. Bukan mudah dia memujuk Haris. Dia perlu sentiasa berusaha lebih, dan lebih lagi. Petunjuk yang sangat jelas bila tiba-tiba Haris berdiam diri. Petunjuk yang Haris akan menurut perintahnya.
“Abang bukan saja bos di rumah. Abang bos di tempat kerja juga. Seorang bos perlu berikan contoh yang baik. Tak boleh curi tulang. Tak boleh bagi alasan. Tak boleh lepas tangan…Tak boleh…”
Tak sempat Dara ingin menghabiskan bicaranya bila ada yang sudah terasa.
“Enough with ‘tak’!” Haris beri amaran melalui renungannya.
“And also fine.” Kata Haris lagi.
Dara tidak berani senyum lagi. Tetapi ayat Haris itu sudah berikan kejayaan cukup besar buatnya.
“Abang akan pergi.”
Rasa gembira ditutup rapat-rapat dari pandangan mata suaminya. Dia tidak akan sesekali meraikan kegembiraannya terlebih dahulu. Biar Haris beri jaminan yang lebih kukuh, yang meyakinkan dia bahawa Haris itu akan menerima segala usulnya tanpa prejudis.
“Abang akan tengok-tengokkan keadaan mereka, dan bantu apa yang patut.”
Dara berikan senyuman seinci. Suaminya memang seorang lelaki budiman. Lelaki yang boleh diharapkan oleh kaum Hawa.
“Abang shoot ke sini lepas selesai semuanya. Abang nak tidur dengan anak.”
Cebikan Dara menyusul. Bukan anak, tapi Haris itu sengaja nak pantau keadaan dia. Semestinya Haris masih ragu-ragu dengan segala penyampaian maklumat tentang kandungannya. Takut kalau dia tidak jujur.
“Jangan risau sangat, please? Kejap lagi mama pun datang. Dua-dua mama. Mama abang dengan mama D.”
Barulah Dara nampak Haris itu mampu tarik nafas lega. Serasa dia, ini kali ke tiga Dara memberitahu Haris tentang kedatangan orang tua mereka. Haris lupa agaknya.
“Just take your time. Lagipun baru 2cm. Hospital dengan café kita pun tak jauh mana.” Dara beri jaminan terakhir.
Setelah dua jam berhempas pulas memujuk, akhirnya kelibat Haris itu hilang juga. Baru sepuluh minit Haris beredar, Dara menerima panggilan daripada orang tua mereka yang tidak dapat datang untuk menjenguk dia. Namun mereka berjanji akan menyusul sebaik saja urusan selesai.
Pastinya Dara tidak kisah. Awal-awal lagi dia sudah belajar untuk berdikari. Dia sedia jika terpaksa melahirkan anaknya tanpa sesiapa di sisi.
Bibir Dara melengkung saat terpandang telefon di tangan. Haris berkeras supaya telefon tersebut berada di sampingnya dua puluh empat jam supaya mudah suaminya menghubungi dia. Malah, banyak hal-hal yang ditekankan Haris sebelum suaminya pergi.
Tergeleng perlahan kepala Dara saat memikirkan ragam suaminya. Telefon tadi di letak ke tepi.
“Kita keluar, ya?” Dara mengusap perutnya. Mula terasa bosan bila tiada suara Haris berceloteh.
Dara ingin ambil angin luar. Dia perlu banyakkan berjalan untuk mempercepatkan proses bersalin nanti. Rasanya tak perlu dia bawa telefon kerana dia tidak akan mengambil masa yang lama untuk berbuat demikian.
Lima minit turun anak tangga, Dara sudah rasa nafasnya semakin pendek. Dia tetap saja melangkah cuma tidak selaju tadi. Cukup tiga langkah, dia rasa ada yang tidak kena. Ada sesuatu yang menekan dari bawah perutnya. Tekanan yang membuatkan dia rasa ingin ke tandas.
Dara rasa kurang pasti sama ada dia ingin membuang air besar atau apa. Ini pengalaman pertama dia melahirkan anak. Tentunya dia keliru dan tidak tahu sakitnya bagaimana.
Puas berperang dengan andaiannya sendiri, Dara memilih untuk naik semula. Dia perlu berjumpa dengan jururawat yang bertugas. Tadinya, dia dipesan supaya maklum pada jururawat bertugas jika berlakunya contraction dua minit sekali.
Dara tidak tahu bagaimana sakitnya contraction. Apa yang dia tahu rasa sakit dan tekanan di bawah perut itu semakin kerap, impaknya seluruh tubuhnya sakit. Dia tidak mampu berdiri tegak sehingga memaksa dia tunduk sedikit, sempat tangan dia berpaut pada besi tangga. Keringat dia mula tumbuh bagai cendawan.
“Hold on…Mommy naik atas untuk beritahu daddy.” Bisik Dara pada anak di dalam kandungannya sambil tangan mengusap bawah perut. Dia ingin sampaikan hal ini pada Haris. Itu janji dia sebelum membiarkan suaminya pergi.
Barulah rasa sakit itu menghilang. Kesempatan ini digunakan Dara untuk mendaki anak tangga. Dia gagahkan diri melangkah walaupun setiap langkah itu menbuatkan tulang belakangnya sakit, dan rasa sakit itu menjalar turun sehingga ke hujung kakinya.
“Sikit lagi…” Dara hampir sampai ke tangga terakhir.
Namun perlu Dara akui, sekuat mana pun dia, rasa sakit yang mencengkam itu membuatkan dia hampir terduduk. Mujur ada sepasang tangan yang menahan. Memaut kuat lengannya. Lantas Dara menoleh.
“Jom! Rasanya, baby dah nak keluar. Kita check laluan dulu.”
Itu yang Dara dengar. Selebihnya dia tidak dengar kerana rasa sakit itu lebih meraja. Lebih menyakitkan.
“Dah 7cm…”
“Kita kena bawa ke labour room sekarang.”
“Call sana, kosongkan satu katil.”
Itu antara ayat-ayat yang Dara dengar. Dia hanya mampu baring mengiring melayani sakit yang berterusan. Bukan lagi datang setiap minit. Kesakitan itu membuatkan Dara mencengkam kuat hujung bantal dan matanya terkatup rapat.
Dia celik mata bila ada sesuatu yang menggosok kuat belakangnya. Gosokkan itu berjaya meredakan sedikit rasa sakitnya.
“Banyakkan istighfar…”
Bagaimana Dara lupa hal tersebut? Sedangkan, Haris juga berkali-kali pesan begitu.
“Tarik nafas dalam-dalam…Lepaskan melalui mulut.”
Dara menurut. Dalam waktu yang sama, bibirnya terkumat kamit. Dia ingin menebus kealpaannya. Tiada yang lain dapat membantu dia ketika ini melainkan Dia. Nyawa dia dipertaruhkan demi melahirkan umat Adam.
“Laa ila ha illa anta, Subhanaaka Inni Kuntu Minazzolimin…”
Dara celik mata. Terdengar suara Haris membaca zikir menyapa telinga. Tapi sayang. Puas mencari, tiada siapa di situ melainkan beberapa orang jururawat yang ada. Kebiasaaannya, Haris sentiasa mengalunkan zikir itu untuk amalan dia. Dalam diam bibirnya bergerak-gerak mengalunkan zikir itu tanpa henti. Diulang lagi, dan lagi. Sambil mengingatkan Haris.
Melihat keadaan dirinya yang semakin tenang, barulah dia merasakan gerakkan. Dia sedang dibawa ke labour room. Sempat dia mencengkam lengan jururawat yang banyak membantu dia sejak dari tadi.
“Tolong beritahu pada suami saya.” Titip Dara. Andai Haris tidak dapat menemani dia sepanjang proses melahirkan zuriat mereka, sekurang-kurangnya Haris perlu tahu.
Jururawat tadi merenung Dara lama sebelum bibirnya melengkung dan kepalanya mengangguk sekali.
“Terima kasih.” Ucap Dara perlahan.
Tanpa sedar dia menitiskan air mata. Tidak tahu mengapa dia menangis. Sepatutnya dia perlu bergembira kerana bakal melahirnya cahaya mata sulungnya. Namun dia dilanda kesedihan. Lebih buruk, dia merasa semakin jauh dari Haris. Ketika itu matanya perlahan-lahan mengatup. Sempat dia dengar namanya disebut sebelum dia lena. Dunianya gelap.
Share this novel