“KENDERAAN dah sedia Puan.”
Dara yang leka dengan kerjanya, panggung kepala. Senyuman tipis diberikan pada Heliza yang sedang siap sedia di muka pintu menunggu dia.
“Sekarang?” soal Dara yang sibuk mengemas meja kerjanya yang sedikit berselerak. Baru sedar, meja yang tadinya kosong penuh dengan fail sana sini.
“Sekarang puan, takut tak sempat nanti.” Heliza melirik pada jam dinding.
Dara turut sama merenung ke situ. Jam baru menginjak ke angka sembilan. Baru satu jam berlalu, sibuknya mengalahkan orang yang telah melakukan kerja berjam-jam lamanya. Sempat dia membuat pengiraan untuk ke IPK yang makan masanya tiga jam. Memang patut pun Dara bergerak sekarang. Takut nanti tersangkut kesesakkan jalan raya pada waktu tengahari. Boleh jadi malam baru sampai ke rumah.
Laptop miliknya dimatikan. Tangan mencapai dokumen penting yang perlu dihantar segera.
“Jom.” Beg sudah disangkut di bahu. Dara membuka langkah besar menghampiri kereta yang sedang menunggu di luar.
‘Tak perlu rushing. Itu bahaya untuk awak dan baby.’
Dara perlahankan langkah bila suara Haris itu terngiang-ngiang. Haris selalu begitu. Pantang dia kelam-kabut, mulalah sang suami bertazkirah. Tazkirah yang sedap didengari tanpa adanya unsur-unsur kurang sihat. Tiada unsur sindir menyindir.
‘Awak mungkin berhati-hati, tapi bukan orang lain.’
Ya.
Kata Haris itu tidak salah. Mungkin Dara cukup berhati-hati melakukan apa saja demi kandungannya, tetapi bukan orang lain. Boleh jadi, Dara bakal menjadi mangsa orang yang tidak memikirkan keselamatan orang sekeliling.
Dara duduk di hadapan, bersebelahan dengan pemandu. Sejak berbadan dua, dia tidak selesa duduk dibelakang kerana merasakan pandangan matanya tidak meluas. Dan mulalah dia merasa pening kepala.
Skrin telefon yang hitam, menyala. Turun kepala Dara melihat telefon yang diletakkan atas peha sejurus melabuhkan punggung pada kerusi.
Tiada yang lain mengganggu waktu kerjanya kecuali Haris selalu berbuat demikian. Haris yang mana pernah kisah jadual padatnya. Haris cuma kisah, jawapan balas Dara tanpa mengira waktu.
Bibir Dara melengkung melihat gambar yang baru dihantar Haris. Gambar kaki Haris yang elok terletak steering kereta berserta ayat yang menggambarkan apa yang sedang dirasai suaminya.
+ What a boring day without D.
Semestinya Haris bosan bila terpaksa keluar awal pagi untuk memulakan operasi. Dan pasti Haris sedang melakukan intipan. Boleh jadi Haris akan pulang keesokkan harinya, atau beberapa hari lagi.
+ Where are you going?
Belum sempat Dara membalas, dia menerima lagi pesanan daripada Haris. Suaminya memang sejenis yang tidak tahu menyabar.
+ Otw to IPK. Serah laporan kes.
Dara menekan butang sent.
+ Alone?
Dara rasa, Haris sudah mula soal siasat. Jadi, ada baiknya dia bubar dari perbualan.
+ Nope!
Sengaja Dara biarkan Haris berteka-teki. Dan telefon di simpan semula bila merasakan kepalanya mula memberi petanda pening bakal melanda bila-bila masa saja.
“Puan!” Heliza yang berada di belakang Dara bersuara.
Dara menoleh bila Heliza sudah berada di tengah-tengah kerusi sambil menghulurkan sesuatu.
“Tuan Haris.”
Panjang helaan nafas Dara. Rupanya, Haris menghubungi Heliza semata-mata untuk bercakap dengannya.
“Yes, Sir?”
“Sanggup awak kan?"
Dara menahan ketawa. Dia memang sanggup biarkan mesej Haris itu sepi.
“I’m working right now. Dengan seorang pemandu bernama Arif dan PA bernama Heliza.” Kalau Haris tidak berpuas hati juga dengan laporannya, memang dia akan sekat terus nombor Haris. Biar suaminya tidak dapat menghubungi dia terus.
“Careful.” Barulah suara Haris mengendur.
“Don’t worry.” Bagi Dara, Haris itu terlalu risau. Sedangkan, Dara sudah biasa. Bezanya dia hanya perlu lebih berhati-hati seperti yang dititipkan Haris. Selebihnya, masih terkawal.
Sempat Dara mendengar suara Haris menyebut ‘love you’, dan tak mungkin Dara akan membalas dengan adanya dua pasang telinga yang mendengar. Boleh jadi esok dirinya menjadi bahan ketawa mereka.
Setengah jam pemanduan, kereta di pandu Arif kian perlahan. Dara melirik jam di pergelangan tangan. Kalau diikutkan, tak sempat mereka sampai waktu tengahari memandangkan kereta dinaikinya belum lagi masuk ke kawasan lebuh raya. Mereka masih tersangkut di bandaraya yang sibuk mengalahkan hari minggu.
“Sempat ke kita sampai?” Dara bertanya pada Arif disebelah.
“Mungkin tak.”
Jawapan Arif sama dengan jangkaan Dara. Apa perlu dia maklum pada pegawai bertugas tentang kelewatan mereka? Takut mereka tertunggu-tunggu ketibaannya.
Fokus Dara terganggu bila ada bayang yang berdesup lalu sebelah kirinya. Tak jadi dia ingin membuat panggilan. Tak sampai beberapa saat, muncul lagi satu kereta yang memecut dari sisinya . Mengejar kereta yang baru saja berlalu.
Sejurus itu, kedengaran satu bunyi dentuman yang tidak terlalu kuat.
“Accident ke?” Dara berura-ura untuk keluar.
“Puan! Biar Arif yang keluar.” Tegah Heliza bila merasakan Dara bakal mendedahkan diri dalam bahaya.
Dara akur. Sememangnya dia perlu duduk diam dan membiarkan Arif melihat keadaan yang baru saja berlaku.
Sepuluh minit Arif menghilang, sepuluh minit itu juga Dara resah. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu rasa begitu.
“Puan!” Cermin kereta di ketuk dari luar.
“Kenapa?” Soal Dara sebaik cermin kereta diturunkan sepenuhnya. Dia cuba bersangka baik biarpun wajah Arif itu nampak sedikit cemas.
“Julia accident.”
Berita yang disampaikan Arif itu membuatkan detak jantung Dara tidak keruan.
“Tapi dia selamat.”
Ada sedikit kelegaan mendengar berita seterusnya. Tapi, kelegaan itu hanya bertahan untuk sesaat. Terus fikirannya melayang pada Haris dan beberapa anggota lain sedang menjalankan tugas. Kalau Julia kemalangan, Haris juga pasti begitu.
“Tuan Haris tak ada…Julia dan dua orang lagi anggota yang ada di dalam kereta tu.”
Laporan seterusnya bikin kening Dara hampir bercantum. Jadi, ke mana perginya Haris? Sepatutnya mereka bersama. Dara mula syak ada yang tak kena.
“Macam mana keadaan mereka?” Sebelum itu, Dara perlu tahu seteruk mana kecederaan mereka sebelum dia mencari tahu keberadaan suaminya.
“Luka. Tapi tak terlalu serius. Dan bantuan akan tiba sepuluh minit dari sekarang.”
Dara tarik nafas dalam-dalam. Hal mereka, tak perlu dirisaukan. Apa yang dia perlu risaukan, Haris. Nanti-nanti dia cari tahu punca Julia dan yang lain-lainnya terlibat dalam kemalangan.
Boleh jadi juga mereka sedang mengejar suspek lalu terbabas. Sempat Dara membuat andaian sendiri.
“Macam mana puan?” Arif menunggu jawapan balas Dara.
Dara sedang mengerah otaknya berfikir sebaik mungkin sebelum membuat keputusan yang tepat. Tersedar sesuatu, telefon bimbit yang berada di dalam begnya dicapai. Tadi elok detak jantungnya menemui kestabilan, sekarang kembali menggila. Lebih gila denyutannya dari tadi.
Laju Dara menekan mesej yang dia terima daripada Haris sejak sepuluh minit yang lalu. Dan apa yang dia terima itu hanyalah perkataan ‘SOS’ daripada Haris. Mulalah Dara menyalahkan dirinya kerana tidak peka kerana suaminya sedang meminta bantuan. Laju dia mendail nombor Haris. Baru tiga kali berbunyi, panggilan Dara terus ditolak. Itu sudah memadai bahawa suaminya tidak boleh menjawab panggilan dia.
“Liza…Call IPK…Minta tunda ke hari lain. Cakap ada urgent case, atau kita akan hantar orang lain.” Sempat Dara memberi arahan pada Heliza yang sejak dari tadi menjadi pemerhati. Mata Dara hanya tertumpu pada skrin telefon.
Tak sampai seminit telinga Dara telah pun mendengar bait-bait bicara Heliza membuat rundingan dengan pihak IPK. Sementara Dara masih sibuk menekan skrin telefonnya. Dia cuba mengakses keberadaan Haris. Dan ketika itu dia berjaya mengenal pasti di mana suaminya berada berdasarkan live location yang telah Haris hidupkan. Berdasarkan pergerakkan tersebut, Dara dapat rasakan Haris sedang memandu agak laju.
“Get in, Arif.” Dara tidak tunggu lama untuk mengarahkan Arif masuk ke dalam kereta.
Terkoncoh-koncoh Arif ke pintu bahagian pemandu. Tali pinggang keledar di tarik sebaik punggung mencecah kerusi.
“Awak boleh pandu laju?” Dara pandang muka Arif. Dia perlu tahu tahap pemanduan lelaki ini sebelum dia memberi arahan. Tapi tak mungkin Arif tidak diberikan latihan memandu dalam keadaan darurat? Memang dia akan cari tahu in charge Arif selepas ini.
“Saya guide!” Dara buat keputusan drastik bila Arif nampak teragak.
“Cepat.” Arahan kedua Dara menyusul bila mata dia masih tidak lepas pandang live location. Jarak kedudukan mereka tidak terlalu jauh. Adalah dalam sepuluh minit. Sempat lagi kalau Dara ingin mengejar.
Dara berharap, Haris akan bertahan sampai dia tiba.
“Liza…Bagi saya pinjam telefon awak.” Tangan kanan dihulurkan pada Heliza di belakang. Sedikit pun Dara tidak menoleh.
Sepantas kilat telefon yang diminta sudah berada di tangan. Laju jari Dara menekan nombor yang sememang yang tersimpan di dalam kepala.
“Sarjan Shahiran!” Seru Dara sebaik panggilan dia bersambut.
“Tolong hantar unit MPV ke zon Delta. Haris perlukan bantuan.” Mulut Dara sibuk memberi arahan, hanya mata dipakukan pada skrin telefon miliknya. Dia sedang meramalkan pergerakkan Haris.
“Dan mereka sedang menuju ke zon Charlie.” Itu yang Dara nampak berdasarkan pergerakkan. Dan situ adalah kawasan bandar yang mungkin ada banyak kereta yang bertali arus.
“Ada apa-apa berita dari unit ronda?” usai menyampai arahan, Dara bertanya. Mungkin ada yang tahu apa sedang berlaku. Boleh jadi unit peronda terserempak dengan Haris yang sedang memandu agak menggila.
Dua minit Dara menunggu di talian. Pendengaran dia disapa suara-suara melalui walkie talkie yang menghubungkan semua unit peronda.
Jangakaan Dara tepat bila mendengar butir bicara Sarjan Shahiran.
“Ada kejar mengejar dengan kereta yang mencurigakan. Kereta tersebut melarikan diri dari sekatan, dan bertembung dengan kereta milik Tuan Haris.”
“Dan bantuan telah dikerah ke sana.” Kata Sarjan Shahiran lagi.
Ada sedikit kelegaan bila mendengar tindakan pantas dari unit Sarjan Shahiran.
Usai mengucap terima kasih, Dara kembali fokus pada jalan. Sesekali dia mengerling Arif. Boleh saja Dara ambil alih tugas memandu, namun dia perlu juga menjaga air muka Arif yang satu-satunya kumbang di dalam kereta ini. Boleh jatuh saham Arif di depan Heliza juga yang masih bujang. Setakat ini, pemanduan Arif masih terkawal. Cuma Dara kesuntukkan masa.
“On lampu, Arif.”
Arif menurut.
Tangan Dara segera menghidupkan lampu strobe. Sempat dia mengerling ke cermin sisi. Ingin pastikan kereta yang dinaiki dia itu punya lambang untuk memudahkan pergerakan mereka.
Barulah perjalanan mereka berjalan dengan lancar bila kereta di depan mula memberi laluan setelah Arif berkali-kali membunyikan hon dan menembak lampu tinggi.
Telefon milik Dara diletakkan pada holder di tengah-tengah cermin untuk memudahkan Arif mengikut laluan live location tersebut.
“Follow location.”
Berdasarkan jarak kasar, tak lama lagi dia bakal bertemu dengan Haris dan penjenayah tersebut. Berbaki beberapa minit saja lagi. Dalam masa beberapa minit itu juga Dara buat keputusan mendadak.
“Kita terus ke plan B."
Ikutkan pandu arah, mereka sepatutnya belok ke kanan dan mengekori Haris dari belakang. Tetapi Dara memilih untuk memintas dari depan untuk menghalang kereta yang dikejar Haris.
“Tapi, Puan…” Arif was-was. Dia takut bakal membahayakan semua penumpang dalam kereta.
“Trust me.” Dara memberi sedikit keyakinan biarpun dia sendiri kurang yakin dengan keputusannya.
Tangan Dara sudah sedia memegang apa saja yang dapat mengurangkan impak jika bakal bertembung dengan kereta Haris ataupun kereta milik penjenayah tersebut.
Kurang seminit kereta mereka akan tiba di hujung lorong yang menjadi laluan Haris. Dara mengemaskan genggaman. Kepala dia menoleh ke kanan memandang bangunan tinggi yang menjadi penghalang dan tenang menanti kemunculan kereta tersebut. Sebaik tiba di bangunan terakhir, ada kereta yang terlebih dahulu berada di depan mereka sekali gus menjadi penghalang kereta hitam yang dikejar menghentam kereta di naiki Dara.
Kesannya, kereta yang menyelamatkan Dara dan yang lain-lain menerima impak yang agak kuat sehingga beberapa kali berpusing lalu menghentam dinding bangunan sebelum berhenti. Sejurus itu, muncul beberapa buah kereta peronda MPV menghalang di setiap penjuru kereta hitam yang telah berhenti gara-gara mengalami kebocoran berdasarkan keadaan keretanya yang remuk teruk dibahagian hadapan.
Kurang daripada lima minit, cermin kereta telah pun dipecahkan bila pemandu kereta hitam tersebut enggan memberi kerjasama bila diarahkan keluar. Dan tiada apa yang boleh dilakukan kalau hampir sekeliling keretanya dikepung oleh anggota yang muncul dengan senjata lalu dihalakan pada pemandu tersebut.
Dara hanya turun dari perut kereta setelah memastikan keadaan selamat dan kenderaan yang membawa penjenayah tersebut pun telah berlalu.
“Haris…” Dara menghampiri kereta Haris yang berada tidak jauh dari sini.
Dia sedang mencari kekuatan untuk melangkah menghampiri kereta Haris yang nampak tidak sempurna lagi keadaannya. Setiap langkahnya terasa goyah. Tubir matanya juga terasa hangat.
Haris suruh Dara menjaga diri. Tapi kenapa dia rasa Haris yang sedang belot? Haris tidak menjaga dirinya. Haris rela dirinya cedera demi keselamatannya.
Haris itu tidak adil! Jerit hati Dara.
Share this novel
???... tq update..best ceritanya... nak lagi