Bab 50

Romance Series 60635

DELISHA baru keluar dari bank. Dia kini berencana untuk segera kembali ke restorannya bagi memantau perniagaannya. Sesekali, wanita itu menguap, seraya menutup mulutnya dengan telapak tangan. Matanya masih menahan rasa mengantuk. Malam tadi, dia sukar untuk melelapkan mata. Sejak semalam, fikirannya sering terganggu oleh Amira. Setelah di desak, Amira akhirnya menceritakan apa yang telah berlaku diantaranya dengan keluarga Rizal kepada Delisha.

Delisha agak terkejut setelah mengetahui kejadian yang menimpa Amira. Kehidupan wanita itu terdengar penuh sadis. Terpaksa bergelandangan kerana tidak disukai oleh ibu mentuanya sendiri. Amira terpaksa melarikan diri kerana terlalu takut untuk menghadapi ibu mentuanya lagi. Malah dia juga tidak ingin mengganggu hubungan lama Rizal dengan Juana. Merasakan dirinya tidak layak buat Rizal, di tambah dengan penolakan daripada ibu mentuanya, Amira terpaksa mengundurkan diri dari keluarga suaminya itu.

Memikirkan keadaan yang ditempuhi Amira membuatkan Delisha termenung panjang. Sepanjang hari dia asyik memikirkan mengenai wanita tersebut. Fikirnya, Amira tidak patut membuat keputusan sendiri secara terburu-buru. Padahal dia sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan Rizal mengenai masa depan hubungan mereka. Perbuatan Amira yang melarikan diri daripada Rizal mungkin bertujuan baik. Namun wanita itu tidak tahu, pilihannya itu sebenarnya adalah satu penyeksaan kepada suaminya sendiri. Dia sendiri tidak jelas dengan kehendak dan pilihan Rizal. Bagaimana mungkin dia berfikir untuk Rizal akan kembali bersama Juana hanya disebabkan pemahamannya sendiri, tanpa mendapat keputusan daripada Rizal.

Namun yang paling mengejutkan Delisha, menurut pengakuan Amira, Rizal selama ini sudah mengalami amnesia dan kehilangan ingatan. Hal tersebut tiada sesiapa yang tahu melainkan ahli keluarga Amira dan Rizal sahaja. Fikir Delisha, wajar sahaja jika Rizal tidak mengendahkan Juana selama masa ini. Lelaki itu langsung tidak mengenali bekas kekasihnya itu. Pengenalan Rizal terhadap Juana hanyalah berpandukan sekeping gambar sahaja tanpa sebarang memori.

Namun dalam rasa kasihannya terhadap Amira, Delisha turut bersimpati terhadap sahabatnya, Juana. Wanita itu sangat tergila-gilakan Rizal dan ingin kembali berhubungan dengan lelaki tersebut. Walaupun Delisha tahu, Juana sebenarnya hanyalah mengincar harta kekayaan yang bakal dimiliki Rizal selepas mengambil alih syarikat Tan Sri Hanafi dan bukannya benar-benar mencintai lelaki itu. Namun sebagai seorang teman, dia juga tidak sanggup untuk membiarkan Juana terus sakit hati dan terpaksa melupakan impiannya. Kini, Delisha agak ragu untuk menyampaikan berita mengenai keadaan Rizal yang kehilangan ingatan kepada Juana. Dengan keadaan lelaki itu yang mengalami amnesia, malah turut mempunyai isteri, fikir Delisha, kemungkinan Juana untuk bersama Rizal semula agak tipis. Namun, siapa tahu, Juana akan mengambil langkah yang lebih bijak untuk mendapatkan semula Rizal ke pangkuannya.

Agak lama berfikir, Delisha akhirnya membuat keputusan. Dia harus mengambil langkah sewajarnya sebagai seorang kawan. Wanita itu mendapatkan telefon bimbitnya dari tas tangan dan segera menekan-nekan layar skrin telefonnya itu. Satu panggilan dibuat.

"Maafkan aku Amira.. kali ni aku takkan bersama kau lagi.. aku perlu tolong kawan aku sendiri.." ucap Delisha sambil menunggu panggilan telefonnya disambungkan.

Sementara itu, di restoran milik Delisha, operasi perniagaan sudah pun bermula. Ketika itu, Amira dan beberapa orang pekerja yang lain sibuk melayan beberapa orang pelanggan yang baru tiba.

Tidak lama kemudian, tanpa di sangka, Juana kembali ke restoran dan berjalan dengan penuh berlagak. Kaca mata hitamnya dilepaskan dan dia segera duduk di salah satu sudut di restoran berkenaan. Wajahnya terlihat dihiasi oleh senyuman sinis. Amira yang menyedari kehadiran wanita tersebut sedikit ragu-ragu untuk mendapatkan pesanan. Namun menyedari dia tiada pilihan, sebagai seorang pekerja di restoran tersebut, dia harus mengutamakan pelanggan dan melayan semua orang. Mahu atau tidak, dia terpaksa mendekati Juana untuk diambil pesanan.

"Nak order apa?" Tanya Amira sambil merendahkan pandangan. Hatinya berdoa agar wanita yang sedang duduk itu tidak lagi menyerangnya.

"Emm.. bagi fettucine carbonara satu, dengan fresh orange.." jawab Juana dengan penuh senyuman dan suara yang lembut. Amira mengangguk dan segera berpaling tubuh, lalu pergi menuju ke arah dapur.

'Pelik.. kenapa dia jadi baik semacam pulak hari ni? salah makan ubat ke? Ah, lantak la.. asalkan dia tak serang, tak maki aku, itu dah cukup baik..' getus hati Amira. Dia benar-benar hairan dengan sikap Juana yang tiba-tiba berubah pada hari tersebut. Padahal baru semalam wanita itu menggila dan menyerang dirinya. Namun pada hari ini, Juana seolah berlagak tiada apa-apa yang pernah berlaku diantara mereka.

Tidak lama kemudian, Amira kembali semua ke meja yang ditempati oleh Juana sambil menatang sebuah dulang yang mengandungi segelas air dan sepinggan makanan yang sudah dipesan oleh Juana sebentar tadi. Sambil menghidangkan makanan dan minum tersebut di atas meja, Amira hanya melihat ke arah menu yang dibawanya itu.

'Hari-hari minum air oren, tak sakit perut ke? Macam takde air lain nak diminumnya..' celoteh Amira di dalam hati. Juana pula hanya memandang ke wajah Amira dan masih tidak pudar senyuman pada wajahnya. Setelah selesai menghidangkan pesanan Juana, Amira cuba membuka langkah kakinya untuk kembali ke ruang dapur, namun segera dihentikan oleh Juana.

"Tunggu! duduk kat sini dulu.." ucap Juana, seakan memberikan arahan.

"Saya ada banyak kerja lagi nak kena buat ni.." Amira cuba untuk menolak.

"Sekejap je.. aku ada benda sikit nak cakap dengan kau.."

"Tapi saya takde apa yang nak dikatakan.. saya masih bekerja masa ni.. lain kali je la.." Amira tetap ingin mengelak.

"Tak payah nak buat alasan.. duduk je dulu.. pasal kerja kau tu, kau jangan bimbang.. aku kawan Delisha.. aku akan pastikan di tak marahkan kau sebab duduk bersama dengan aku.. sekejap je.. lima minit!" Ujar Juana sambil menunjukkan lima jarinya ke arah Amira. Amira serba salah. Dia tidak mampu untuk terus menolak permintaan wanita tersebut. Akhirnya Amira melabuhkan punggungnya di kerusi yang berhadapan dengan Juana. Namun pandangan matanya masih ditundukkan, tidak ingin bertentang mata dengan Juana. Juana pula terus menatap ke arah Amira. Mereka saling berdiam diri buat beberapa detik, tanpa sebarang kata. Tidak lama kemudian, Juana mendengus.

"Jadi, betul la kan, kau ni isteri Rizal?" soal Juana untuk satu jawapan yang dia sudah pasti. Amira tidak terus menjawab. Dia mengangkat sedikit pandangannya, memandang ke arah Juana.

"Saya dah dia dah takde apa-apa.. kalau awak betul nak kan dia, silakanlah kembali kat dia.. saya takkan ganggu hubungan awak dan dia.."

Juana tersentak. Dia tidak menjangkakan jawapan tersebut daripada Amira.

"Jadi.. kau.. dan Riz dan berpisah?" Juana sedikit bersemangat.

"Pasal saya dan dia, awak tak payah fikir.. kalau awak nak dapatkan kembali hubungan awak dengan dia, tolong pergi cari dia.. jangan ganggu saya dan saya pun tak nak ganggu awak dan dia.." ujar Amira, cuba memberi keyakinan kepada Juana.

"Amboi.. sedap kau bercakap.. jadi, aku ni nanti nak kena pakai laki yang kau dah tak nak la ye? kiranya barang yang kau dah buang, kau nak bagi kat aku?" Juana sedikit melenting. Fikirnya, ucapan Amira itu seakan cuba untuk merendah-rendahkan dirinya.

"Riz bukan barang, untuk ditukar ganti.. Macam yang saya cakap, kalau awak nak kembali semula dengan Riz, silakan.. saya takkan ganggu. Selama ni saya tak tahu dia pernah berhubungan dengan awak.." balas Amira dengan tenang.

"Jadi, kenapa kau tinggalkan dia? ke.. kau yang dah kena buang dengan dia? Heh, pastilah keluarga dia tak nak perempuan kampung macam kau ni jadi menantu kan? Sebab tu kau kena buang dari keluarga dia, sampai merempat tepi jalan." Juana sengaja ingin memprovokasi dan merendah-rendahkan Amira. Baginya, perempuan murahan seperti Amira itu perlu dihina agar segera sedar diri dan tidak terus berangan-angan untuk bersama golongan elit sepertinya dan Rizal.

"Kan saya dah cakap, tak payah campur hal urusan saya.. kalau awak nak kat Riz, pergi la cari dia.. tak payah buang masa cari saya.. saya dan dia dah takde apa-apa." Amira mengeraskan sedikit suaranya berbanding tadi. Emosinya turut bergelora apabila berterusan dihina oleh Juana.

"Perempuan sundal, tak sedar diri!" Juana langsung mencapai gelas di atas meja dan mencurahkan jus oren ke arah muka Amira.

Setelah diserang, Amira hanya memejamkan mata dan menundukkan wajahnya. Bibirnya diketap rapat. Dia cuba menahan amarahnya daripada terlepas. Kesabarannya sudah dicabar berkali-kali. Namun, setelah memikirkan dirinya yang semakin dikawal emosi, Amira segera beristighfar dan berselawat di dalam hatinya.

'Astagfirullah alazim.. sabar Mira.. sabar.. sesungguhnya orang yang benar-benar kuat adalah orang yang mampu menahan kemarahannya..' Amira memujuk dirinya sendiri dengan pesanan di dalam hatinya. Wanita itu segera menghela nafas panjang bagi menenangkan dirinya.

Sedang Amira cuba menahan diri dari dikawal emosi, namun Juana pula masih tidak puas mengenakan lawannya itu. Dia segera menggenggam pasta yang berada di dalam pinggannya, lalu dilumurkan makanan tersebut ke muka Amira.

"Nah, makan ni.. orang kampung macam kau mana pernah makan benda macam ni kan?" Juana masih terus menyerang, dan Amira pula terus beristighfar agar kemarahannya tidak meledak. Namun benteng kesabaran Amira akhirnya roboh. Dia terpaksa melawan daripada terus membiarkan dirinya diperbuat sesuka hati oleh Juana. Wanita itu akhirnya menempis tangan Juana dan menolak Juana agar menjauhi dirinya.

Juana yang terundur sehingga kembali terduduk dikerusinya menjadi semakin geram. Dia lantas mencapai garfu di dalam pinggan dan kembali bangkit dari duduknya. Tangan kirinya dengan pantas mencapai kepala Amira dan menggenggam rambut wanita itu yang terlindung disebalik tudung yang dipakainya. Tangan kanannya yang memegang garfu pula segera digunakan untuk menyerang Amira. Hujung garfu itu dihalakan ke wajah Amira dengan penuh kebencian. Namun Amira juga tidak ingin berdiam. Tangannya segera menempis tangan Juana sehingga tangan kanan Juana yang sedang memegang garfu itu membelok dan mengenai tangan kirinya sendiri.

"Arghh!!" Juana menjerit kesakitan apabila garfu yang ingin dia gunakan bagi melukai wajah Amira akhirnya mencucuk lengannya sendiri.

"Betina tak guna! Mampus kau kali ni!" Juana menjerit kuat. Dia segera mencapai pinggan porselin di atas meja lalu menghayunkan pinggan tersebut sekuat hatinya ke arah Amira. Kepala wanita itu sudah pun menjadi sasaran serangannya.

Tiba-tiba Rizal muncul dan melindungi Amira. Akhirnya serangan daripada Juana itu tepat mengenai kepala Rizal. Amira dan Juana tersentak. Lelaki yang menjadi punca bergaduhan mereka akhirnya muncul secara mendadak dan menerima pukulan daripada Juana. Rizal kemudian berpaling ke arah Juana dengan sorotan mata yang tajam.

"Kau... berani kau cederakan isteri aku.. tak guna!" Rizal melepaskan satu tamparan ke arah Juana dan tepat mengenai pipi wanita tersebut. Juana segera rebah ke lantai. Kini Rizal tidak peduli sama sekali jika dirinya dikatakan dayus kerana memukul seorang perempuan. Baginya, tiada erti kata maaf buat sesiapa sahaja yang cuba menyakiti isterinya walaupun orang tersebut seorang wanita. Rizal hanya memikirkan untuk melindungi Amira semampu mungkin. Segala bahaya yang mengancam isterinya, dia pasti akan hapuskan.

"Abang!" Amira menjerit, cuba mengawal Rizal yang dikawal emosi. Mendengarkan suara Amira, Rizal segera berkalih pandang kepada isterinya itu.

"Sayang.. sayang tak apa-apa?" Rizal bertanya. Namun belum sempat Amira menjawab, Rizal akhirnya rebah ke lantai. Dia yang masih demam sudah tidak mampu bertahan setelah menerima pukulan daripada Juana sebentar tadi.

"Riz!" Tan Sri Hanafi turut muncul bersama Shahira. Mereka bergegas menuju ke arah Rizal dan Amira. Amira pula mula menangis sambil memangku Rizal yang sudah tidak sedarkan diri. Pada masa yang sama, Delisha turut tiba di restoran dan berlarian menuju ke arah kerumunan tersebut. Tadi, Delisha yang tidak dapat menahan diri telah membuat panggilan kepada Tan Sri Hanafi dan memaklumkan keberadaan Amira di restorannya. Dia terpaksa memungkiri janjinya terhadap Amira untuk tidak menghubungi keluarga Rizal. Memikirkan keadaan Amira yang tidak terurus dan keluarga Rizal yang giat mencari wanita berkenaan, Delisha terpaksa membuat keputusan untuk mendedahkan keberadaan Amira. Dia tidak ingin Amira dan Rizal terus terseksa sedangkan mereka adalah pasangan suami isteri yang saling mencintai.

Setelah mengetahui keberadaan Amira, Tan Sri Hanafi segera memaklumkan kepada hal tersebut kepada Rizal dan Shahira yang baru pulang dari kampung Amira. Rizal yang terlalu bersemangat segera menuju ke restoran yang dimaksudkan dan sesampainya dia di sana, dia langsung melihat Juana yang sedang menyerang Amira. Demi melindungi isterinya, Rizal berlari dengan sekuat tenaga dan cuba menghalang serangan yang ditujukan oleh Juana kepada Amira.

"Cepat, bawa Riz ke hospital!" arah Tan Sri Hanafi. Lelaki itu kemudian memandang pula ke arah Amira yang sedang memangku kepala Rizal pada ribaannya. Shahira pula memandang tajam ke arah Juana yang terjelepok di atas lantai.

"Kalau jadi apa-apa kat abang aku, kau tunggu la akibatnya.." Shahira menyampaikan satu ancaman kepada Juana. Manakala Juana pula kebingungan, seolah kehilangan akal. Dia masih tidak mempercayai jika dirinya telah memukul Rizal dengan begitu keras dan menyebabkan lelaki itu pengsan, tidak sedarkan diri. Delisha pula hanya diam memerhati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience