Bab 29

Romance Series 59840

SEBUAH kereta proton saga flx berwarna merah melalui lorong berhampiran kebun. Sampai di pekarangan rumah, kereta tersebut berhenti dan enjinnya di matikan. Rizal dan Amira keluar sambil membimbit beberapa beg plastik dan beg kertas yang berisi barang-barang yang dibeli oleh mereka. Perlahan-lahan langkah kaki mereka diatur, mendaki anak tangga dengan hati-hati. Mata Amira melihat ke arah muka pintu rumah. Daun pintu pada rumah kayu itu sudah pun terbuka. Begitulah keadaan rumah di kampung. Pintu depannya sentiasa terbuka pada siang hari jika penghuninya berada di dalam rumah. Mungkin bertujuan untuk ventilasi pengudaraan, agar udara luar dapat masuk dan menurunkan hawa di dalam rumah, malah mungkin juga sebagai simbolik agar rumah mereka sentiasa menerima rezeki yang berpanjangan iaitu dengan kesediaan mereka menerima tetamu. Dengan keadaan pintu yang terbuka, itu menandakan jika mereka bersedia untuk menerima kunjungan daripada tetamu dan mereka percaya setiap tetamu yang bertandang itu pasti mendatangkan rezeki berserta keberkahan.

"Assalamualaikum.." Amira dan Rizal melangkah masuk ke dalam rumah.

"Waalaikumussalam.." Shiela dan Halimah menjawab serentak salam suci yang diberikan.

"Eh, Ibu.. kenapa balik tak bagitau? dah lama ibu sampai?" Amira terkejut melihat keberadaan Shiela di sana. Dia bergegas menuju ke arah ibunya itu untuk bersalaman dan berpelukan.

"Ibu baru je sampai.. ada la dalam sejam.." Shiela menjawab. Dia kemudian bersalaman pula dengan menantunya, Rizal.

"Laa.. kenapa tak bagitau.. padahal kami pun duk kat pekan tadi.. kalau tahu ibu nak balik, boleh je jemput ibu sekali.. dah tu, ibu balik ke rumah ni dengan apa?" Amira bertanya lagi.

"Naik prebet sapu je.. saja je ibu nak try naik prebet sapu.. dah lama tak naik.. dah la sekarang susah dah nak dapat." balas Shiela.

"Itu la.. jangankan prebet sapu.. teksi pun dah susah nak jumpa sekarang ni.. orang zaman sekarang dah pakai grab je.. tak kena duk cari kereta, panggil guna telefon je.."

"Lama ke ibu balik ni?" Rizal pula bersuara, berbicara dengan mentuanya.

"Hmm.. balik sini untuk selamanya dah.. ibu pun dah berhenti kerja.. dah pencen.. balik duk kat kampung je la.. takde dah duk kena sewa rumah kat sana.. Anas pun dah duk kat UM sekarang.. takkan ibu nak duk sorang-sorang kat sana.." Jawab Shiela. Mereka kemudian melabuhkan punggung masing-masing ke sofa usang yang terletak di ruang tamu rumah tersebut.

"Habis tu, barang-barang kat rumah sana macam mana?" Amira bertanya kepada ibunya.

"Hmm.. nanti kita pergi punggah la, bawa balik ke sini.. sewa lori.. nanti tunggu Anas cuti semester, boleh la.."

"Elok la ibu balik duk sini.. boleh jugak temankan tokma.. Mira dengan Rizal sekarang sibuk sikit.. kesian Tokma, bosan duk sorang-sorang kat rumah."ujar Amira.

"Takdenya aku nak bosan.. kalau takde kerja, aku pergi ke kebun Rizal tu.. kau tu Mira, jangan duk kerja kuat sangat.. jaga sikit anak dalam perut kau tu."

"Eh, Mira mengandung ke?" Shiela terkejut dengan ucapan emaknya. Wanita itu dengan pantas menatap wajah Amira yang duduk di sebelahnya.

"Hehehe.. baru tahu dua, tiga hari lepas.. tak sempat lagi nak bagitau ibu.." Amira tersengih.

"Alhamdulillah.. dah berapa lama?" Shiela melafazkan rasa syukur. Dalam hatinya, dia sangat gembira dengan perkhabaran tersebut. Dia kini bakal bergelar seorang nenek.

"Baru nak masuk dua bulan.."

"Ya, Allah.. benda macam ni pun tak nak bagitau ibu.." Shiela merungut, lantas tangannya mencubit lembut lengan Amira.

SEHARI berlalu. Rizal menghantar Amira ke restoran untuk memulakan operasi perniagaan mereka. Setelah semua persiapan dibuat bersama para pekerja, restoran mereka mula dibuka untuk menerima pelanggan. Baru beberapa minit dibuka, pelanggan pertama langsung masuk menjejakkan kaki ke dalam restoran. Kemudian disusuli lagi oleh beberapa orang lain. Rizal dan Amira pula masih sibuk di ruangan dapur. Seketika kemudian, Amira teringatkan sesuatu.

"Bang, gelas yang kita beli semalam, ada kat mana?" Amira bertanya kepada Rizal.

"Ah, ada kat dalam kereta.. lupa nak bawa turun tadi.." Rizal membalas.

"Bagi kunci kereta, biar sayang ambilkan.."

"Eh, takpe la.. nanti abang ambil.." balas Rizal sambil tangganya masih sibuk menyusun periuk belanga.

"Bagi la kunci dulu.. biar sayang ambil dulu sikit.. yang berat-berat, sayang tinggal kat abang.." Amira tersenyum sambil menghulurkan tangannya. Rizal tiada pilihan selain menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan kunci kereta. Kunci tersebut segera diberikan kepada Amira. Setelah mendapat kunci kereta, Amira langsung meninggalkan suaminya di ruangan dapur dan keluar menuju ke arah kereta mereka.

Setelah tiba di kereta, Amira mengambil satu beg plastik yang berisi gelas yang baru dibelinya semalam bersama Rizal. Beberapa dozen gelas terpaksa ditambah di premis perniagaan mereka memandangkan gelas yang sedia ada tidak mencukupi untuk digunakan oleh para pelanggan yang kian bertambah. Selain gelas, pinggan dan mangkuk baru turut dibeli sebagai tambahan oleh mereka ketika membeli belah semalam.

Amira kembali ke dalam restoran sambil membawakan satu kotak yang berisi gelas dan meletakkannya di ruangan dapur.

"Gelas ni basuh dulu ya sebelum guna.." pesan Amira kepada pekerjanya. Si pekerja mengangguk patuh. Amira kemudian beralih ke arah Rizal yang masih sibuk mengemas di dapur tersebut.

"Gelas ada satu kotak lagi.. yang tu biar sayang je bawa.. nanti abang ambil pinggan dengan mangkuk ye.." ujar Amira kepada Rizal.

"Okey." Rizal membalas singkat tanpa melihat ke arah isterinya itu. Mata dan tangannya masih fokus kepada pekerjaan yang sedang dia lakukan. Amira kemudian kembali keluar dari ruangan dapur untuk mengambil satu lagi kotak yang berisi gelas di dalam kereta. Namun baru sahaja dia sampai di meja kaunter, Amira terserempak dengan Shahira yang baru masuk ke dalam restoran.

"Hai.. datang lagi awak ke sini ye.." Amira menyapa pelanggan yang baru dikenalinya kelmarin dengan berbekalkan senyuman. Shahira membalas senyuman.

"Ah, hari ni last dah saya kat sini.. dah selesai kerja kat sini.. sebelum pergi, nak merasa dulu makanan kat restoran awak ni. Takut nanti duk teringat, tak pasal-pasal kena datang balik ke sini.." Shahira berjenaka seraya tergelak. Amira turut tertawa. Mereka semakin rancak berbual. Tanpa Shahira sedari, Rizal yang baru keluar dari ruangan dapur berjalan di belakangnya. Lelaki itu hanya melihat dari ekor matanya ke arah gadis yang sedang berbicara dengan isterinya itu.

Setelah mengambil barang-barang di dalam kereta, Rizal kembali semula ke dalam restoran dan sekali lagi melintas di belakang Shahira. Setelah lelaki itu masuk ke ruangan dapur, dia segera mengeluarkan pinggan mangkuk yang berada di dalam kotak dan menyusunnya di atas meja. Pinggan mangkuk tersebut harus di cuci terlebih dahulu sebelum digunakan untuk mengisi makanan para pelanggan nanti.

Amira dan Shahira selesai bersembang. Amira meminta diri untuk melanjutkan urusan pekerjaannya dan Shahira juga turut mendapatkan tempat duduk untuk menikmati juadahnya sebentar lagi. Amira segera keluar menuju ke arah kereta. Ketika itu Rizal yang sudah menyelesaikan tugasannya mula keluar dan berdiri di hadapan meja kaunter. Kedua belah tanggannya ditongkatkan pada meja pembayaran tersebut untuk merehatkan diri.

Tatkala itu juga Shahira yang baru melabuhkan punggungnya itu terpegun. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang sedang diihat oleh matanya. Perasaan rindu mula membuak-buak di dalam jiwanya. Lelaki yang telah hilang dan di carinya lebih dari dua tahun yang lalu kini berdiri di depannya. Penglihatan Shahira semakin kabur dek genangan air yang bertakung di kolam matanya. Gadis itu bangkit berdiri dan berjalan perlahan-lahan menuju ke arah Rizal. Jantungnya berdebar semakin kencang. Dadanya seakan hampir pecah menanggung rindu.

"Abang..." suara Shahira kedengaran bergetaran. Bendungan matanya sudah tidak mampu menahan takungan tatkala menatap Rizal dari dekat. Air matanya mulai melimpah membasahi pipi.

Rizal pula terpinga-pinga. Dia langsung tidak mengenali gadis yang menghampirinya itu sambil menangis. Fikirnya, gadis itu mungkin tersalah orang.

"Abang Riz.. kenapa abang tinggalkan kami?" Shahira semakin sebak. Abangnya itu seolah langsung tidak mengendahkannya. Pandangan mata lelaki itu terlihat kosong.

"Siapa awak ni?" Rizal kebingungan. Shahira tersentak. Dia tidak menyangka, abangnya itu telah melupakan dirinya. Walaupun lebih dua tahun tidak bertemu, tetapi Shahira sangat yakin, lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu adalah abang kandungnya, Rizal.

"Abang Rizal! Abang Riz dah tak kenal Ira? Ini Ira, adik kandung abang!" Shahira tidak mampu menahan emosinya lagi. Dia lantas memeluk erat Rizal dan membenamkan wajahnya ke dada lelaki tersebut.

"A..adik?.. Ira?.." Rizal masih tidak dapat menggali memorinya mengenai gadis tersebut.

"Sampai hati abang! Abang tinggalkan Ira.. tinggalkan papa dan mama.. kami macam orang gila duk cari abang selama ni.. tapi abang.. abang sanggup lupakan kami.. tinggalkan kami tanpa berita.." Tangisan Shahira semakin lebat, malah baju yang dipakai oleh Rizal juga mulai basah dengan air mata adiknya itu.

"A..abang.. maaf.. dulu abang kemalangan.. abang tak tahu siapa diri abang.. abang tak kenal sesiapa pun.." Rizal memberi penjelasan terhadap gadis yang mengaku sebagai adiknya dan sedang memeluknya dengan erat itu. Pada masa yang sama, lelaki itu masih memeras otaknya untuk mendapatkan kembali ingatan mengenai latar belakang dirinya yang sebenar. Mendengarkan ucapan Rizal, Shahira semakin terkejut.

"Abang.. abang hilang ingatan?" Shahira seolah tidak percaya dengan apa yang telah berlaku terhadap abangnya. Kedua telapak tangannya ditempelkan ke pipi Rizal. Gadis itu menatap dalam ke mata abangnya itu.

"Ya Allah, apa dah jadi kat abang aku ni.." Shahira terus menangis tersedu-sedan dan kembali memeluk Rizal. Hidungnya kembang kempis, mengendus bau badan lelaki yang sangat dirinduinya itu. Setelah lebih dua tahun pencarian, akhirnya Shahira berjaya menemui abangnya itu. Namun yang mengganggu fikiran gadis itu sekarang, abangnya itu sudah kehilangan ingatan dan langsung tidak mengenalinya. Shahira keliru. Air mata yang terbit dari hatinya itu bergelumang diantara gembira dan sedih.

Rizal yang dapat merasai kegalauan hati Shahira kemudian membalas pelukan adiknya itu. Satu kucupan dari bibir lelaki itu singgah ke ubun-ubun Shahira dan melekat diam di situ.

Pada masa yang sama, Amira yang kembali ke restoran mula melihat adegan berpelukan tersebut. Tanpa berfikir panjang, wanita itu langsung tersalah sangka. Setelah sekian lama bersama Rizal, Amira terlupa bahawa suaminya itu kehilangan ingatan sebelum ini. Dia langsung tidak terfikir jika lelaki itu akan bertemu kembali dengan ahli keluarganya. Di sebabkan pengaruh emosi, Amira hanya memikirkan jika suaminya itu kini sudah mulai mencari perempuan lain. Perasaan cemburu yang menyelubungi hatinya menyebabkan fikirannya terganggu. Gelas kaca di tangannya terlepas.

Mendengar bunyi deraian kaca, Rizal lantas berpaling melihat ke arah Amira. Shahira yang hanyut dalam kerinduannya pula langsung tidak mengendahkan persekitaran. Dia asyik mendakap abangnya dan masih ingin terus melepaskan kerinduannya melalui pelukan tersebut. Amira pula sudah tidak mampu menahan emosi. Rasa cemburunya semakin membuak-buak apabila melihat suaminya berpelukan dan mencium perempuan lain. Amira segera berpaling punggung dan bergegas menuju ke arah keretanya kembali. Kunci kereta ditangannya lantas digunakan untuk menghidupkan enjin kenderaan tersebut.

Melihat keadaan Amira yang bergegas berlari menuju ke arah kereta, Rizal mulai sedar jika isterinya itu sudah tersalah anggap. Dia cuba mengejar, namun pergerakannya tersekat dek kerana pelukan Shahira yang masih kemas melingkari tubuhnya. Gadis itu masih menangis. Rizal semakin bingung. Dia tahu isterinya sedang salah faham dan cemburu melihat dirinya berpelukan dengan perempuan lain. Namun bersamanya kini adalah seorang gadis yang mengaku sebagai adiknya, yang juga ahli keluarganya yang telah lama dia fikirkan. Tidak mungkin juga untuk dia meninggalkan gadis tersebut dengan begitu sahaja.

Amira segera memandu dan meluncurkan keretanya dengan laju meninggalkan kawasan tersebut. Rizal memejamkan mata sambil mengetap bibir. Lelaki itu benar-benar serba salah. Namun kini, dia sudah tiada pilihan. Dia terpaksa bersama adik perempuannya itu terlebih dahulu. Gadis itu perlu ditenangkan. Soal Amira, nanti dia akan berikan penjelasan kepada isterinya itu.

Kereta yang dipandu oleh Amira meluncur laju di atas jalan raya. Cemburu yang membuak-buak di dalam hati masih beraja dan mematikan akalnya. Selama ini dia sangat mempercayai Rizal dan dirinya sama sekali tidak pernah merasa cemburu sebegitu. Namun tanpa di sangka, suaminya itu berani berpelukan dan bersama perempuan lain di depan matanya sendiri. Fikir Amira, jika dia mendengar cerita sebegitu mengenai suaminya daripada orang lain, dia pasti tidak akan percaya. Namun kini matanya sendiri yang menjadi saksi.

"Huh, dasar lelaki.. semuanya sama.. tak boleh senang sikit, terus nak cari perempuan lain!" luah Amira dengan penuh kemarahan. Padahal Amira selama ini adalah seorang gadis yang tabah dan penyabar. Namun disebabkan cemburu yang menguasai diri, perempuan itu mula hilang pertimbangan. Begitulah anehnya cinta. Hanya kasih mendalam yang lahir daripada cinta yang mampu menerbitkan rasa cemburu buta.

Share this novel

Mythic 20 Ronaldojr7
2025-02-10 12:19:27 

nak lg


NovelPlus Premium

The best ads free experience