BUNYIAN runut lagu Taylor Swift memenuhi ruangan dapur. Taufiq perlahan-lahan menuju ke dapur dan melihat isterinya baru sahaja habis memasak dan berpakaian sangat kemas seperti mahu keluar.
“Hai, selamat pagi.” Suara ceria Ameena membuatkan Taufiq mengerutkan dahinya. Ameena tidak seperti selalu yang sentiasa membuat muka berpura-pura untuk ceria dan tersenyum hambar.
“Nak keluar ke?” tanya Taufiq dan menghirup air kopi panas buatan Ameena.
Air kopi buatan Ameena sentiasa sedap dan kena dengan tekaknya. Tidak boleh dapat di mana-mana. Kata Ameena uminya yang mengajar untuk buat kopi.
Ameena senyum dan mengangguk. “Saya nak jumpa Clara dengan Yuzi.”
Taufiq mengangguk. Akhirnya, ada juga aktiviti luar rumah yang dilakukan oleh isterinya.
“Saya dah masak so nanti kalau awak balik kerja nanti. Inilah makanan dia tau,” pesan Ameena dengan senyuman manis.
Entah kenapa Taufiq melihat Ameena sangat lain pada hari ini. Lebih ceria, lebih bersemangat dan lebih cantik.
Cantik seperti dulu mereka bertemu atau mungkin lebih cantik.
“Saya keluar dulu.” Tangan dihulurkan oleh Ameena dan disambut oleh Taufiq. Ameena memandang Taufiq seperti menunggu sesuatu.
Taufiq hampir terlupa sesuatu. Lalu, Taufiq kucup dahi Ameena.
“THANK you korang sebab sudi datang jumpa aku. Ambil cuti lagi tu nak tolong aku. So, tawaran masih dibuka ke untuk aku?” tanya Ameena memandang sahabat baiknya ini. Kawan dari sekolah menengah lagi.
Clara tersenyum dan mengangguk. “Of course lah. Ini impian kita. Kau tu je yang tak nak. Nak duduk dengan suami dan melayan suami je.”
Ameena senyum gembira.
“Suami kau tahu ke kau nak kerja dengan kitorang ni?” tanya Yuzi sambil memotong kecil kek yang berada di hadapan mereka.
Perlahan Ameena menggeleng. “Aku rasa…”
Semua menanti apa yang hendak dikatakan oleh Ameena.
“Aku entahlah. Aku rasa Taufiq langsung tak membantu lepas kitorang jumpa pegawai agama hari tu. Dia macam entahlah, ada perubahan tapi semalam ada ke patut dia cakap kat aku yang aku tak ada life nak melekap je dengan dia. So, aku rasa apa kata aku buat macam dia nak sangat. Aku cuba jauhkan diri. Mungkin isteri yang macam tu dia nak?” luah Ameena dengan sedikit kesedihan.
Yuzi gelak kecil seperti sakit hati mendengarnya.
“Jantan bodoh. Sorry eh.”
Ameena tersenyum, dia tahu sesiapa yang mendengar kisahnya pasti akan memarahinya kerana masih dengan suaminya sekarang.
“Dia masih berkepit dengan mak dia ke?” tanya Clara.
Ameena mengangguk. “Dah kena tegur pun masih buat.”
“Argh! Stresnya aku!” Yuzi menggelengkan kepalanya.
“Sampai bila kau nak bertahan?” tanya Clara pula. Kasihan dia melihat Ameena yang meninggalkan semua kejayaannya untuk seorang lelaki bernama Taufiq.
“Selagi boleh bertahan. Dan, ini cubaan yang terakhir untuk aku.” Ameena kesat air mata yang mengalir.
“Sekurangnya, aku cuba supaya bila aku kena tanya nanti dengan Tuhan. Aku cakap aku dah cuba untuk pertahankan,” sambung Ameena lagi dan esakannya terus menjadi-jadi. Perit yang dia rasakan dengan hubungannya dan Taufiq.
Jika cinta itu sudah hilang dan hanya dia seorang saja yang berusaha. Apa lagi yang boleh dia harapkan pada perkahwinan ini.
Tiada.
TAUFIQ bersandar pada kerusi sofa empuk di rumah emaknya. Kerusi ini dibeli olehnya ketika emaknya mengadu mahu duduk di kerusi sofa yang empuk kerana sakit belakang dan punggung dengan kerusi yang lama.
Nasib baik ketika itu dia mendapat bonus yang sangat tinggi ketika itu. Dapatlah dia berbakti kepada emaknya.
“Ala, kalau Fiq balik rumah pun bukan ada apa pun kat rumah sana. Teman mak kejap. Mak stress hadap cucu-cucu ni. Bukan tak nak jaga nak kosongkan kepala ni,” adu Puan Leha sambil tersenyum memandang anak bongsunya ini.
“Suruhlah alang tu cari babysitter. Mak pun dah tua nak jada budak. Anak-anak dia tu boleh tahan nakalnya,” balas Taufiq. Dalam kepalanya masih memikirkan isterinya.
Seharian isterinya tidak menghantar apa-apa mesej. Hanya memberitahu sudah sampai bertemu dengan Clara dan Yuzi saja. Selepas itu, mesej terus sunyi.
“Susah. Kesian pulak kat alang sebab nak bayar orang lagi. Gaji dia pun cukup-cukup je tu. Fiq nak makan?” pelawa Puan Leha.
Perlahan Taufiq menggeleng. “Meen masak mak kat rumah.”
Terus saja Puan Leha buat muka. “Yalah, dia masak sedap. Lauk sedap. Mak goreng-goreng biasa je.”
“Taklah, mak. Kesian dia dah masak mak. Lagipun, memang dia suka masak untuk Fiq.” Ingatan Taufiq jauh kepada isterinya. Telefonnya dicapai dan dia melihat masih belum ada mesej daripada Ameena.
Dah balik ke belum?
Taufiq terus bangun. “Mak, Taufiq balik dululah. Ingat tadi ada apa-apa yang urgent.”
“Kalau urgent je ke mak boleh panggil kau?” tanya Puan Leha seperti berjauh hati.
Keluhan kecil dilepaskan. “Bukan macam tu. Dahlah, mak. Fiq balik dulu. Penat sangat ni. Mak jangan lupa makan. Apa-apa bagitahu.”
Selepas bersalaman dan berpelukan dengan emaknya, Taufiq terus menaiki motosikalnya dan menuju terus ke rumahnya yang terletak berhampiran juga di situ. Selang beberapa buah taman saja. Masih dikira dekat.
Pintu pagar dibuka dan dia lihat kereta Ameena masih belum ada. “Apa yang lama sangat keluar?”
Taufiq mengeluh dan rasa geram. Terus saja dia masuk ke dalam rumah. Lampu dibuka.
Tap!
Terus saja rumah kelihatan terang, namun sunyi. Tiada yang menyambutnya.
Sebaik saja Taufiq mandi dan menyelesaikan yang wajib, Ameena masih belum pulang lagi. Mesej juga masih tidak ada. Hati Taufiq jadi risau. Atas alasan apa dia mahu menghubungi Ameena. Dia tidak mahu menampakkan seperti dia tertanya-tanya.
Argh, ego selalu menang.
Bunyi pagar dibuka dan enjin kereta menunjukkan Ameena sudah pulang. Kini jam menunjukkan 8.00 malam.
Taufiq pura-pura bertenang dan menonton TV.
“Assalammualaikum,” sapa Ameena sambil tersenyum. Dilihat suaminya sedang leka menonton TV.
“Waalaikumusalam,” jawab Taufiq ringkas tanpa mengalihkan matanya memandang Ameena. Matanya tertancap pada TV walau dia tidak tahu apa sebutir berita yang disampaikan oleh pembaca berita.
Ameena terus saja masuk ke dalam bilik dan membersihkan dirinya.
Taufiq merasakan ada suatu kelainan pada isterinya. Dia hanya perlu bersabar. Selepas setengah jam Ameena keluar dengan berpakaian tidur dan Taufiq merasakan Ameena sangat lain.
Ameena yang tahu dia sedang diperhatikan, tersenyum sumbing.
“Awak curi-curi pandang saya ke?”
“Mana ada,” jawab Taufiq menafikan.
“Saya baru buat rambut tadi. Cantik, kan? Sorry saya balik lambat sebab banyak nak kena uruskan. Nanti saya akan kerja semula dengan Clara dan Yuzi tau. Lusa start. So, nanti kita kena bincang hal rumah bersama,” kata Ameena dan terus bangun menuju ke dapur.
Taufiq yang memandang dari belakang Ameena tertelan liur. Isterinya sangat-sangat cantik malam ini. Entah kenapa dia merasakan dia tidak pernah lihat sisi isterinya yang semakin cantik atau dia tidak menghargai kecantikan itu.
Share this novel