Bab 3

Romance Series 7000

"Ini rancangan ayah engkau ke?" Hanya itu satu-satunya kemungkinan yang masuk akal bagi Tengku Eidlan.

"Dia tak tahu pun aku ada kat sini. Dia tak peduli pun aku kat mana, asalkan bukan kat Majlis tu. Kalau dia tahu aku aku kat sini, bercakap dengan kau, Tengku Eidlan, mesti dia marah,” jawab Aleena dengan jujur.

Tidak ramai yang boleh mengaku pernah melihat anak Dato' Danial dari dekat. Lelaki itu sentiasa memastikan Aleena jauh dari perhatian umum. Baginya, anak perempuannya itu tidak berguna kerana topeng yang dipakainya dan segala khabar angin yang menyelubunginya.

"Apa yang aku cakap sekarang langsung tak ada kena mengena dengan ayah aku. Terpulanglah sama-ada kau nak percaya atau tak. Aku tak berminat langsung nak kahwin sebab cinta. Aku cuma nak keluar, keluar dari tempat ni. Keluar dari rumah ni…”

"Apa yang dia dah buat kat kau? Dia suruh kau kahwin dengan lelaki tua? Atau nak hantar kau ke tempat jauh? Mesti ada sebab sampai kau sanggup minta lelaki yang kau tak kenal kahwin dengan kau," ujar Tengku Eidlan sambil mematikan cerutnya dengan menekannya ke dinding batu.

"Hidup kat sini… menyesakkan. Ayah aku sendiri pun dah lupakan aku. Tengku Eidlan, rupa kau, harta kekayaan kau, atau apa-apa pun yang orang nak dari kau, semua tu aku tak peduli. Terus terang aku cakap, aku cuma nampak kau sebagai jalan keluar je," jelas Aleena tanpa berselindung.

Pertemuan mereka malam ini mungkin tidak dirancang, tetapi Aleena tidak mahu pergi tanpa mencuba mengemukakan cadangannya.

"Kalau kau langsung tak minat hubungan romantik, jadi aku pilihan yang paling sesuai. Aku tak akan ganggu kau, kau boleh buat apa je yang kau nak, dan aku pun takkan pernah jatuh cinta kat kau.”

"Oh, macam tu?" Buat pertama kalinya, Tengku Eidlan tidak menganggap kata-kata itu sesuatu yang mustahil. Namun, dia belum bersedia untuk mempertimbangkan idea berkahwin dengannya. "Tak susah pun aku nak cari orang yang boleh berlakon jadi isteri aku."

"Kalau tak susah, mesti dah lama kau buat," balas Aleena, melihat dengan jelas cubaan Tengku Eidlan untuk mengelak. Dia yakin lelaki itu memerlukan seorang isteri yang masuk akal di mata raja. "Kalau betul Raja buat semua ni untuk main-mainkan kau, pilih aku. Mesti dia menyesal sebab buat kau macam ni."

Hujung bibir Tengku Eidlan sedikit terangkat. "Dah banyak kali aku dengar orang cakap, Aleena Danial Ghaffar ni cuma gadis penakut yang asyik lari bila terserempak dengan orang. Tapi tak sangka, kau ni sebenarnya bijak juga. Orang lain semua percaya bulat-bulat cerita aku tengah cari isteri, tapi kau langsung tak termakan dengan khabar angin tu."

"Orang cakap kau kejam, tapi bagi aku, kau tetap manusia. Aku cuma… nak keluar dari sini. Kalau kau tak nak buat perjanjian dengan aku, tak apa, aku takkan paksa kau." ujar Aleena sambil melangkah setapak ke hadapan, menanti jawapan.

Apabila Tengku Eidlan tidak memberi sebarang reaksi, dia mengambil satu langkah lagi, menganggap lelaki itu tidak berminat dengan tawarannya. Namun, dia terkejut apabila lelaki itu akhirnya bersuara.

"Jumpa aku kat rumah esok. Kita bincang lagi, lepas tu aku akan bagi kau jawapan."

Aleena berpaling dengan tergesa-gesa, hampir tersadung kakinya sendiri. Dia terkejut kerana Tengku Eidlan benar-benar mempertimbangkan cadangannya, tetapi lebih mengejutkan, dia mahu perbincangan diteruskan di rumahnya sendiri.

"Tapi, aku tak boleh keluar dari rumah ni."

"Aku boleh agak, sebab tu lah kau menyelinap keluar. Anggap je ini ujian. Kau cakap kau sanggup buat apa je untuk keluar dari rumah ni kan? Aku nak tengok sejauh mana kesungguhan kau,” kata Tengku Eidlan tegas memandang tepat ke arah Aleena.

“Okay, dah lama sangat aku kat rumah ni. Apa-apa pun, seronok juga ada teman berbual kat luar ni… jumpa esok, Aleena,” ujar Tengku Eidlan sebelum berpaling untuk masuk ke dalam mencari Dato’ Danial.

Aleena mula panik memikirkan bagaimana dia akan keluar untuk bertemu Tengku Eidlan keesokan harinya. Sekurang-kurangnya, lelaki itu serius menimbang cadangannya, melainkan dia hanya mempermainkannya dan akan mengumpulkan orang ramai untuk mentertawakannya kerana percaya bahawa dia benar-benar mahu mengahwininya dengan mengikat kontrak.

"...Jumpa esok," kata Aleena.

"Tengku Eidlan? Awak bercakap dengan siapa?"

Khayla, anak bongsu Dato’ Danial, melangkah keluar dari rumah.

Khayla terdengar khabar bahawa Tengku Eidlan sedang bersendirian dan segera mengambil kesempatan untuk menemuinya. Namun, melihat lelaki itu sedang melangkah pergi sementara Aleena berdiri di luar rumah membuat darahnya mendidih.

Khayla sentiasa memandang dirinya lebih tinggi daripada orang lain. Dengan rupa paras yang diwarisi daripada ibunya, rambut perang keemasan dan sepasang mata biru yang memikat, dia yakin kecantikannya menjadikannya lebih unggul daripada gadis-gadis lain. Baginya, penampilan adalah kunci segalanya, dan dia menggunakannya sebagai senjata untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam kalangan rakan-rakannya. Setiap gerak-gerinya dirancang dengan teliti, setiap senyuman dihitung dengan tujuan. Khayla bukan sekadar ingin menonjol, dia mahu dipuja.

Berpakaian anggun seperti anak patung yang sempurna, Khayla berharap dapat bercakap dengan Tengku Eidlan dan menarik perhatiannya. Dia sudah meminta ayahnya memberi sedikit masa bersendirian dengan lelaki itu, tetapi Aleena telah mencuri peluang tersebut daripadanya.

"Dia kacau awak ke, Tengku Eidlan? Maaf kalau dia buat awak tak selesa. Sepatutnya dia tak keluar dari rumah pun." ujar Khayla dengan nada tajam, memberi isyarat kepada Aleena untuk beredar.

Tengku Eidlan berhenti di sebelah Khayla, memandangnya dengan senyuman tipis.

"Hmm... Tak lah. Selesa je. Tak macam ayah kau tu.”

"Baguslah. Perempuan ni—"

"Perempuan? Bukan kau sepatutnya panggil dia kakak ke? Tapi, apa la yang aku tau kan, aku ni anak tunggal,” Tengku Eidlan dengan mudah menangkap kebiadaban Khayla terhadap kakaknya.

Melihat Tengku Eidlan bercakap dengan adiknya, Aleena segera mengambil peluang untuk melarikan diri sebelum mereka sempat memaksanya berkata sesuatu.

Kalaulah Khayla tak keluar rumah tadi. Sekarang, Khayla sudah tahu dia bercakap dengan Tengku Eidlan. Esok pasti akan jadi huru-hara.

Tengku Eidlan mendengar dengan tenang bunyi tapak kaki Aleena yang menjauh, sementara Khayla cuba mencari jawapan terbaik untuk soalan yang ditanyakan kepadanya. Tengku Eidlan tertanya-tanya, apa yang membuatkan Aleena begitu takut dengan Khayla?

"B-Betul tu. Mungkin sebab awak tak ada adik-beradik. Biasalah, kalau adik-beradik, gaduh sikit, terus tak nak panggil nama, ala, benda remeh je tu. Tapi saya tetap sayang kak Aleena. Dia ni memang pemalu, sebab tu saya risau kalau dia dah buat awak tak selesa,” ujar Khayla, berpura-pura sebagai seorang adik yang baik.

Dia sanggup lakukan apa sahaja supaya Tengku Eidlan melihatnya sebagai seseorang yang baik. Baginya, tiada lelaki lain yang lebih layak menjadi suaminya selain dia.

"Okay, if you say so," balas Tengku Eidlan sebelum melangkah pergi setelah memastikan Aleena sudah cukup jauh.

"Tengku, sebenarnya saya berharap dapat luangkan masa berdua dengan awak. Saya nak tunjukkan yang saya ni adalah pilihan terbaik untuk jadi isteri awak,” ujar Khayla sambil mengekorinya, tangannya menggenggam lengan Tengku Eidlan untuk memperlahankan langkahnya.

Tengku Eidlan menghela nafas panjang, jelas terganggu dengan Khayla yang tidak memahami isyarat halusnya. Dato' Danial dan isterinya telah membesarkan gadis itu seperti seorang puteri yang dimanjakan. Namun, Tengku Eidlan sudah berpengalaman berurusan dengan puteri sebenar sebelum ini, jadi dia tahu bagaimana untuk mengendalikannya.

"Kau ingat aku ni cari isteri cuma untuk puaskan aku dalam bilik tidur ke?" tanyanya sebelum menepis tangan Khayla tanpa ragu.

Jika ada sesiapa yang melihat mereka dalam keadaan ini, pasti akan timbul khabar angin yang tidak diingini. Dia tidak mahu menambahkan satu lagi cerita karut ke dalam senarai panjang gosip yang sudah tersebar mengenainya.

"Sorry," ujar Khayla, tergamam dengan reaksi dingin Tengku Eidlan. Selama ini, ramai lelaki yang akan berebut untuk mendapatkan perhatiannya jika dia menunjukkan minat seperti ini. "Tapi, bukan awak selalu datang kelab…”

Tengku Eidlan mengangkat bahu, tidak nampak apa kaitannya dengan calon isterinya.

"So? Apa salahnya aku datang kelab? Mana tahu aku sebenarnya baca buku kat sana?"

"Tapi… Tempat tu bising."

Tengku Eidlan tersenyum tipis. "Ya. Dalam suasana bising je aku boleh fokus buat kerja. Tapi, macam mana kau tau tempat tu bising?”

Matanya tajam, menikmati saat Khayla menyedari kesilapannya.

"Apa yang anak perempuan Dato’ Danial buat kat sana? Atau… kau kerja kat sana?"

"T-Tak! Awak salah faham!" Khayla segera cuba menjelaskan keadaan. Dia tidak pernah menjejakkan kaki ke tempat seperti itu.

Tengku Eidlan menggeleng perlahan. "Dengar sini Khayla, aku langsung tak tertarik dengan kau. Lagipun, aku dah dapat tawaran yang lagi menarik. Dah, aku pergi dulu.”

Tanpa menunggu jawapan, Tengku Eidlan melangkah pergi, meninggalkan Khayla dalam keadaan keliru dan malu sendiri.

Aleena bersandar pada sebatang pokok, memastikan dia cukup jauh dari Khayla dan Tengku Eidlan. "Menyusahkan betul," gumamnya.

Dia hanya berharap Khayla tidak mendengar perbualannya dengan Tengku Eidlan. Jika dia tahu, pasti dia akan menyebarkan cerita tersebut dan menjadikannya bahan ejekan.

Menghela nafas, Aleena menolak semua kebimbangan ke tepi. Itu masalah esok. Malam ini, dia lapar.

Makanannya tidak dihantar ke bilik, mungkin angkara Khayla atau ibunya.

Dia menyelinap ke dapur melalui pintu belakang, memanggil "Manan," mencari tukang masak yang dikenalinya. Dapur sangat sibuk, pekerja berlarian menyiapkan hidangan. Tiada siapa yang menyedari kehadirannya, dan Aleena lebih suka begitu.

"Ikut aku," Manan menariknya keluar setelah memastikan tiada sesiapa melihat. "Kau tak dapat makanan lagi ke? Ni sebab nenek kebayan tu lah. Buang pekerja, lepas tu buat majlis besar macam ni. Tengok, dah tak cukup pekerja. Bodoh!”

"Sebab Tengku Eidlan datang, orang kata dia cari isteri," Aleena menjawab.

Manan mendengus. "Em… Sebab Khayla la ni. Ish! Tak dapat aku bayangkan perempuan gedik tu! Mesti sibuk nak melekat dekat lelaki tu!”

Aleena tersenyum tipis. "Tadi… aku cakap dengan dia."

“Siapa?”

“Tengku Eidlan.”

Manan terdiam, jelas terkejut. "Pasal apa? Bukan dia tu kejam ke?" tanya Manan lagi, masih ragu.

"Kau dengar la sangat cakap orang. Habis tu, orang kutuk aku, cakap buruk pasal aku sebab pakai topeng ni. Kau percaya?" Aleena membalas, memandangnya tepat.

Manan tersengih. "Hehe, tak."

Manan memang pernah mendengar pelbagai cerita aneh tentang Aleena. Seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat wajah gadis itu kerana Aleena tidak pernah menanggalkan topengnya di hadapan sesiapa. Tetapi dia juga tidak percaya bahawa Aleena boleh menyebabkan seseorang mati hanya dengan mendedahkan wajahnya.

"Sebab tu lah aku bercakap dengan Tengku Eidlan. Esok, dia ajak aku bincang kat rumah dia. Aku harap, firasat aku betul.”

Manan mengamati Aleena sebelum bertanya, "Ini pasal kau nak lari ke?"

"Ya. Aku harap dia boleh tolong. Tapi, takut juga aku esok aku pergi sendiri. Yelah, sebab dah banyak kes gadis hilang. Harap-harap dapat tangkap cepat orang jahat tu… dan harap-harap gadis-gadis tu masih hidup," Aleena berbisik.

Sebelum Manan sempat berkata lagi, seseorang memanggilnya dari dalam, meminta bantuan menguruskan kerja di dapur.

"Manan, minta makanan sikit," Aleena tersenyum kecil.

"Kau tunggu sini, aku masuk dalam, ambil makanan," arah Manan sebelum masuk semula ke dapur.

Aleena menunggu sambil mengetuk jarinya mengikut alunan muzik dari dalam rumah, lagu kegemaran ayahnya yang dimainkan di setiap majlis. Dia menutup mata seketika, membayangkan dirinya menari dan menikmati suasana seperti orang lain.

Kalaulah dia tidak memakai topeng…

Kalaulah tiada khabar angin atau gosip buruk tentangnya…

Mungkinkah dia boleh hidup seperti mereka?

Beberapa minit kemudian, Manan kembali dengan sepinggan makanan dan segelas minuman.

"Nah, banyak makanan aku ambil ni. Kau makanlah sampai kenyang ya," katanya.

Aleena membuka mata, mengambil pinggan itu dengan senyuman kecil. Malam ini, dia akan menikmatinya sendirian, ditemani seekor anak kucing yang baru ditemuinya.

Mereka berdua akan mendengar muzik dari jauh sambil menikmati makanan di dalam biliknya sebelum akhirnya tertidur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience