Hulu pisau yang diperbuat daripada besi pejal berukiran corak naga itu direnung lama. Sebutir permata nilam berkilau menghiasi mata ukiran naga tersebut. Pada mata pisau itu pula terukir satu perkataan. Perkataan yang telah sebati dengan si pemilik pisau itu, 'Ruthless Z’. Pembunuh upahan yang tidak mengenal erti belas kasihan.
“Mana Wani dapat belati ni?” suara Zulfaqar Warid bergetar direngkungan.
“Pisau belati itulah penyebab Wani jadi buta abang...” Harum Zawani tertunduk. Wajahnya sayu. Zulfaqar Warid seakan ditampar. Terkejut benar dia apabila mendengar apa yang telah diperkatakan oleh Harum Zawani. Dia merenung wajah isterinya dalam-dalam. Wajah isterinya disentuh penuh simpati. Tiada apa yang mampu diucapkan olehnya selain daripada keluhan sesalan. Akhirnya air mata lelaki Zulfaqar Warid gugur jua ke bumi.
“Wani tak akan pernah lupakan malam itu bang. Wani takut sangat. Wani nampak leher ibu dikelar di hadapan mata Wani. Wani nampak perut ayah dirobek rakus...” Harum Zawani jadi sebak. Dia menyembamkan wajahnya ke dada suaminya. Tangisan dihamburkan semahu-mahunya di situ. Zulfaqar Warid mendakap erat isterinya. Matanya dipejam rapat. Sungguh dia tidak menyangka berat benar penderitaan yang ditanggung isterinya.
“Kerana mata Wani yang melihat semua tu, dia tikam mata Wani abang! Wani benci dia! Wani benci!” Harum Zawani membentak keras dalam esak tangisnya.
Lama mereka berkeadaan seperti itu. Masing-masing tenggelam dalam perasaan sendiri. Setelah emosi mereka menjadi terkawal, Zulfaqar Warid bersuara memecahkan hening suasana.
“Wani kalau orang itu insaf dan mahu bertaubat, mahu tak Wani maafkan dia?”
“Tak akan! Wani takkan maafkan dia! Kalau Wani maafkan, boleh ke dia kembalikan ibu dan ayah Wani?” redup mata Zulfaqar Warid memandang isterinya. Dia terkilan dengan jawapan yang diberikan itu.
“Sudah la Wani. Malam pun dah makin larut. Wani tidurlah. Abang nak ke depan sekejap. Nak hisap rokok. Nanti abang datang.” Zulfaqar Warid menidurkan isterinya. Selimut ditarik menutupi tubuh kecil molek milik Harum Zawani. Sebelum melangkah keluar, Harum Zawani menarik tangannya lalu dicium. Zulfaqar Warid tersenyum tawar. Dia membalas dengan mencium dahi isterinya.
“Selamat malam abang...” Zulfaqar Warid tidak menjawab. Pisau belati yang diberikan oleh Harum Zawani dibawa bersama ke ruang tamu.
Share this novel