BAB 3 part 2

Romance Series 8815

“INI KAK NOUR.” Kak Ruhaya segera memperkenalkan wanita yang baru sampai ke bilik mesyuarat. Dalam sejam juga Misya dan rakan-rakan sekerja yang baru masuk hari ini mendapat serba sedikit pendedahan tentang SightWorld.
Rakan-rakan yang lain sudah pun bergerak ke stesen masing-masing. Cuma dia saja yang tertunggu-tunggu seorang diri di bilik ini.
“Lama ke tunggu? Maaflah. Akak tadi sibuk sikit,” ujar Kak Nour kepada Misya dan Ruhaya dengan nada bersalah.
“Sibuk projek apa tu, kak?” soal Kak Ruhaya menongkat dagu. Selepas memberi penerangan kepada lima orang pekerja baharu tadi, dia terus duduk di sini sehingga para mentor mengambil pekerja-pekerja baharu untuk ke jabatan masing-masing.
“Pukul 11 ni mesyuarat kat tingkat 10. Big boss nak go through terbitan bulan 11 ni. Macam biasalah Tuan Jo tu selagi tak puas hati, selagi tu dia minta editorial team semak balik. Tadi lepas submit je kerja akak, akak turun terus ke sini.” Kak Nour menghela nafas.
Misya cuma memerhati. Dia teringatkan Naemah yang bekerja sepanjang hujung minggu lepas. Mungkin projek itu juga melibatkan Naemah. Sebab itu Naemah kelihatan terlalu sibuk menghadap komputer riba.
“Good luck, kak. I pun nak turun. Ada kerja lagi nak buat kat HR.” Ruhaya bangun dari duduknya. Sempat dia menepuk bahu Misya dengan mesra tanda sokongan terhadap gadis manis itu.
“Editorial team orangnya hebat-hebat. Good luck, Misya.”
Misya ikut bangun daripada duduknya. Apabila Ruhaya hilang dari pandangan mata, wajah Kak Nour pula yang ditatap oleh Misya.
“Misya ya nama you?” soal Kak Nour.
“Misya Khalida. Tapi orang panggil Misya aje.”
“Lawa betul nama. Macam orangnya juga.” Kak Nour mengusik.
Walau pun Misya tahu Kak Nour sekadar mengambil hatinya, namun perasaan Misya sudah berbunga-bunga. Sekurang-kurangnya Misya tahu kehadiran dia di sini ada yang mengalu-alukan.
“Misya PA baru Tuan Jo kan? Akak nak confirmkan saja...”
Misya mengangguk.
“Kalau macam tu, jom... Kita naik ke tingkat 9.” Kak Nour memulakan langkah. Bibir wanita itu tidak lekang dengan senyuman lebar.
Misya mengambil beg tangan dan terus mengikut langkah Kak Nour.
“Kak Nour tahu bidang kerja saya tak?” soal Misya teragak-agak.
Kak Nour menekan punat lif. Pintu lif terus terbuka tanpa ditunggu-tunggu.
“Jom, akak cerita bila kita sampai ke atas. You dah sarapan ke tadi?” soal Kak Nour.
Misya mengangguk.
“Akak rasa, semua leader dah naik atas untuk mesyuarat. Nanti petang kut baru Misya dapat jumpa dengan Tuan Jo.”
“Err... Saya ada terserempak dengan Tuan Jo tadi pagi.”
Kak Nour sedikit terkejut. “Misya kenal ke Tuan Jo?”
Misya mengangguk. Tidak sukar untuk dia mengenali pelukis komik yang pernah terkenal dengan adaptasi di skrin TV satu ketika dulu.
“Kenal tu taklah, tapi tahu sebab Tuan Jo banyak hasil seni... Lagi pun Kak Ruhaya ada beritahu pasal Tuan Jo dalam taklimat tadi. Jadi saya perasan yang terserempak dengan saya pagi tadi tu Tuan Jo,” jelas Misya.
“Bagus juga Misya ada buat homework pasal Tuan Jo. Tak perlulah akak terangkan banyak pasal Tuan Jo.” Kak Nour tergelak.
“Tuan Jo tu okay tak ya?”
Kak Nour termangu sebentar. “Okay dan tak okay ni bergantung kepada orang. Kalau dengan staf yang main-main, dia memang akan jadi tak okay.”
Misya tertunduk. Nampaknya jawapan Kak Nour langsung tidak membantu dia untuk menyesuaikan diri di tempat ini.
Untuk bertanya dengan lebih terperinci, dia tidak berani. Sudahnya, Misya hanya mengekori Kak Nour sampai ke tingkat 9.
Di tingkat 9, dia lihat ada 6 kubikel. Kosong tiada sesiapa. Kubikel-kubikel itu agak besar. Dan setiap meja ada komputer meja serta tempat duduk.
“Misya duduk kat sini...” Kak Nour menghantar Misya di kubikel yang berdekatan dengan pintu keluar masuk utama.
Misya mengangguk seraya meletakkan begnya di atas meja.
“Akak editor majalah... Yang duduk kat sana tu Ahmad Safwan, panggil Wan aje. Dia editor komik dan webtoon. Yang pakai cermin mata tu, Luna... Dia editor Bahasa Inggeris. Yang paling hujung tu editor novel. Riah pula editor Bahasa Melayu. Sebelah tempat duduk you, Fattah. Proof reader kita. Untuk you pula, PA sebelum ni, tugas dia agak banyak juga sebab kerjanya lebih kepada cover tugas-tugas Tuan Jo. Arrange mesyuarat, arrange jadual kerja Tuan Jo, sentiasa update dengan bahagian-bahagian lain untuk persediaan penerbitan dan content... Banyak kerja-kerja yang you kena uruskan dengan team lain... Contohnya perjanjian penulis yang dibuat oleh unit human resource, Kak Ruhaya tadi... You kena tahu content sebab kadang-kadang ada writer yang tak setuju penukaran content dan sebagainya. Atau berapa cetakan yang kena dicetak supaya Tuan Jo tahu info-info tu sebelum mesyuarat penerbitan berlangsung. Lagi contoh, you kena rapat dengan bahagian pemasaran sebab Tuan Jo ni dia nak semua hasil kerja dapat dipasarkan dengan baik. Kadang-kadang dia nak pelan pemasaran tu. Banyak lagilah sebenarnya sebab tugas you agak menyeluruh. Selama ni kami bahagi-bahagikan kerja tu tapi bila you dah datang, ringan sikitlah tugas kami.”
Penerangan Kak Nour membuatkan Misya terkebil-kebil tanpa bicara. Kerja Misya seperti banyak melibatkan ‘perhubungan awam’ pula. Dia ada membaca serba sedikit berkenaan tugasan personal assistant. Tapi tidak punya banyak rujukan tentang penerbitan. Misya juga belajar business management di universiti. Maka dia langsung tidak punya apa-apa pengalaman bekerja dalam bidang seni.
Semakin berselirat otaknya demi memahami bidang tugas yang akan dia hadapi nanti. Pasti bukan senang. Dan dia yakin tidak senang. Misya jadi bimbang. Teringat kata-kata Naemah malam semalam, hatinya kian berat. Tapi untuk mengundur diri, dia tidak mahu mengalah sebegini awal.
“Jangan risau. Kalau tak tahu nanti, tanyalah kat kita orang ni. Belajar sikit-sikit. Permulaan mesti susah. Nanti dah lama-lama, Misya biasalah...” Kak Nour menepuk lengan Misya apabila menangkap riak gusar pada air muka gadis itu.
“Thank you, kak.” Dia agak lega apabila Kak Nour menepuk lengannya.
“Yang sana tu, bilik Tuan Jo.” Kak Nour menunjuk ke arah satu pintu yang terletak di sebelah kiri.
Bilik itu berdindingkan kaca lutsinar, tetapi gelap. Mungkin di sebelah dalamnya, boleh melihat keluar. Tetapi di luar tidak dapat melihat keadaan bilik tersebut.
“Jom, akak bawa ke pantri.” Kak Nour melangkah sambil menolak lengan Misya.
“Depan ni tandas.” Kak Nour menunjuk ke arah pintu tandas sebelum dia masuk ke dalam pantri.
Di dalam pantri itu, ada dua orang yang sedang duduk bersembang di meja rehat yang tersedia.
“Budak baru ke, Kak Nour?” soal lelaki berkemeja putih.
“Ni Misya, PA baru Tuan Jo. Akak ingat tadi you all ikut Tuan Jo naik tingkat 10.” Kak Nour mendekati mereka berdua dan duduk di sebelah lelaki itu.
“Riah dan Wan aje yang ikut. I dan Fattah duduk kat sini,” balas gadis berambut perang, blaus biru tua dan skirt paras lutut. Cantik pada mata Misya.
“Misya, ni Fattah, ni pula Luna.”
“Luna...” Luna menghulurkan tangan, terus disambut oleh Misya.
Misya duduk di sisi Luna dengan senyuman di bibir.
“She is sweet.” Luna mengerdip mata ke arah Fattah.
Fattah diam saja. Dia renung raut wajah Misya. Nampak masih muda.
“Do you have any working experience?” soal Luna.
“Saya fresh graduate,” balas Misya cepat.
“Oh, great...” Luna mengangkat keningnya.
“Dulu belajar kat mana?” soal Fattah.
“Saya lepasan UKM.”
“Misya, we use ‘I dan you’ kat sini. Got it?” Luna tersengih lebar.

follow ig @rinsyachasiani

follow ig @rinsyachasiani

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience