BAB 29

Romance Series 39528

“Terima kasih abang,” suara Suria sebaik kereta Elman Furqan berhenti dalam perkarangan rumahnya.

Elman Furqan mematikan enjin kereta, wajah Suria yang manis bertudung itu ditatap sekilas. “Sama-sama. Abang pun nak ucap terima kasih juga dekat Suria yang banyak membantu mak usu. Nak harapkan abang memang tak terjaga sangat tambahan pula tugas abang tidak menentu dipanggil,”

“Suria tak kisah fasal itu. Mak usu tu Suria dah anggap macam mak Suria sendiri. Sejak kenal dengan mak usu kali pertama jadi penyelia Suria di hospital Suria sudah sukakan sikap penyayang mak usu tu. Mak usu sangat baik jadi tak hairanlah semua sukakan dia,” berjeda Suria seketika. Elman Furqan mengangguk kecil. Mereka menyepi seketika.

“Tadi...mak usu ada bincang dengan Suria fasal kita. Dia cakap kalau abang setuju dia akan jumpa ayah dalam masa terdekat. Suria takde masalah kalau hendak dijodohkan dengan abang,”Suria mula berbicara soal hati.

Elman Furqan mengeluh kecil. Ingatkan soal jodoh sudah berlalu rupanya masih dibangkitkan lagi.

“Suria bukan abang menolak tapi, buat masa sekarang abang masih belum bersedia. Kalau ada orang lain yang lebih baik ada meminta abang rasa baik Suria pilih dia. Jangan tunggu abang,”

“Suria faham abang. Mak usu ada cakap, dia nak kita disatukan untuk memudahkan Suria selalu datang ke sana temankan dia. Abangkan faham antara kita tiada ikatan jadi tak manislah kalau Suria asyik ke rumah abang selalu,” Suria menatap wajah Elman Furqan. Mengharapkan sesuatu jawapan yang menyedapkan hatinya.

Elman Furqan menyepi seketika. Dia melontarkan pandangan ke luar tingkap sebelum kalih kepada Suria di sebelah.

“Abang balik dulu Suria. Tak elok kita berdua dalam kereta lama-lama,” Elman Furqan mahu mengelak dari terus berbicara soal jodoh. Elman Furqan bukan menolak Suria tapi hatinya. Hatinya sudah ada Afina. Sukar untuk dia mencintai gadis lain selain Afina.

“Abang...” Suria masih enggan beralah.

“Suria, tolonglah. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk kita bincangkan fasal ini, abang harap Suria faham.

Suria mengerti terus saja dia turun dari kereta. Sakit hatinya tika ini. Dia terkilan sedikit. Dia tahu Elman Furqan tak mungkin menerima cadangan mak usu Anis. Mak usu Anis selalu bercerita dengan dia. Elman Furqan masih menunggu kekasih hati yang sudah lama pergi. Entah hidup entah mati. Tidak menunggu lama Elman Furqan terus hidupkan enjin kereta lalu melencur pergi.

Afina masih keras di anak tangga. Kakinya seakan tidak mahu melangkah lagi. Seakan ada sesuatu yang tidak menyenangkan hatinya.

“Silakan Cik Anne, Cik Ruby,” Mak cik Imah mempersilakan. Wajah Afina yang kelihatan gelisah ditatap dengan hiba. Sungguh ketika ini dia mahu merangkul tubuh gadis itu.

“Anne,” Kak Ruby menyapa lembut. Dia menarik tangan Afina untuk melangkah naik ke atas. Kak Ruby faham akan keadaan adiknya itu.

“Cik Anne dah lama berkawan dengan Adry?” Mak cik Imah bersuara ketika mereka bertiga menaiki anak tangga.

“Baru saja mak cik,” Kak Ruby menjawab bagi pihak Afina. Dia tahu Afina sedang berperang dengan dirinya sendiri.

“Adry mahu ke mana mak cik? Nampak macam hendak cepat aje?” Kak Ruby mengubah topik.

“Dia cakap ada hal dekat pejabat untuk dia uruskan. Fasal apa dia takde cakap pula jangan risau nanti cakap dia pergi sekejap je,”

Afina hanya mendengar. Sungguh. Dia hilang suara untuk berbicara. Ketika melintasi satu bilik, kakinya berhenti melangkah. Lama dia memandang pintu kamar itu. Kamar yang penuh dengan peristiwa hitam. Kamar di mana kesuciannya hampir dirampas oleh Tuan Haris.

“Ini biliknya,” Mak cik Imah bersuara, dia menunjukkan sebuah bilik tamu kepada mereka berdua.

“Terima kasih mak cik. Anne jom,” Kak Ruby kalih, kelihatan Afina tiada di situ.

“Anne?” serunya bila melihat Afina berada hampir disebuah pintu bilik yang lain.

Mak cik Imah menapak mendekati Afina, “Cik Anne, bilik cik bukan dalam ini tapi dalam sana. Bilik ini kepunyaan Cik Alia, adik kepada Adry,”

“Alia...” suara Afina perlahan. Wajahnya langsung tidak beriak. Tidak lama di situ dia terus melangkah untuk mendapatkan Kak Ruby.

Mak cik Imah mengeluh sedikit. Sengaja Mak cik Imah menyebut nama Alia. Dia mahu melihat reaksi gadis itu tapi, Afina bijak mengawal situasi.

“Kak, mana Izzue dari tadi Anne tak nampak dia?” tanya Afina sebaik Kak Ruby keluar dari bilik air.

“Dia ke rumah kawannya. Dia cakap dah lama tak jumpa kawan dia, tu yang dia nak menginap dekat rumah kawannya. Anne..” Kak Ruby berhenti bersuara. Dia turut memanjat katil untuk mendapatkan adiknya. Afina hanya menjungkit kening.

“Kak Ruby bersetuju dengan cadangan Adry tadi. Lagi cepat lagi bagus,”

Afina nampak terkejut sedikit. Lidahnya kelu. Dia turun dari katil dan menuju ke balkoni bilik itu. Dia mengeluh sedikit sambil berpeluk tubuh sebelum kalih memandang kakak angkatnya.

“Kalau Anne tak mahu kahwin dengan Adry boleh tak kak?” perlahan saja suaranya.

“No!” laju Kak Ruby membantah. Dia turun dari katil terus mendapatkan Afina.

“Kak Ruby tak benarkan! Anne dengar sini. Kita dah rancang semua ni tak akan senang-senang Anne nak berundur. Kenapa?”

“Anne dah jumpa Elman Furqan kak... Dia masih cintakan Anne,”

“Elman Furqan...? Lelaki yang tinggalkan Anne tu? Anne cuba buka mata. Anne tahu tak disebabkan dialah Anne jadi begini! Kalau dia datang pada masa itu Anne tak akan jadi begini. Kak Ruby tak akan benarkan Anne kembali pada lelaki itu tak akan! Kedua belah bahu Afina dicengkam kuat sambil mengoncangkan tubuh gadis itu, sebagai isyarat untuk menyedarkan gadis itu.

“Kak...”

“Pilih. Sama ada lelaki yang membuat Anne begini ataupun Kak Ruby?”

Afina mengeluh sendiri. Kak Ruby masih tidak puas hati.Tubuh Afina dirangkul seketika sebelum melepaskannya kembali.

“Anne, Kak Ruby nak Anne balas dendam apa yang mereka telah buat pada adik kakak ni. Tadi masa Puan Halisa muncul...kakak lihat ketakutan dalam diri Anne. Kakak lihat betapa seksanya Anne bila berhadapan dengan dia. Kakak yakin kerana dendam Anne bangkit dan tidak mahu mengalah dengan perempuan itu. Kakak lihat semangat Anne untuk membalas dendam. Terimalah Adry, kahwin dengan dia. Semuanya akan selesai bila Anne berjaya masuk ke dalam keluarga ini. Lepas Anne masuk dalam keluarga ini dendam kita dapat dilaksana dengan mudah. Bila dendam terbalas kita bebas sayang. Kita akan pergi dari sini, percayalah,”

Afina menatap wajah Kak Ruby yang sudah mencecah 35 tahun itu. Dan bakal menamatkan bakal bujangnya dengan seorang duda berbangsa Rusia dalam masa 3 bulan lagi, sedalam-dalam. Tiba-tiba air matanya menitis turun. Wanita itu sangat sayangkan dia sebagai seorang adik walaupun mereka tiada ikatan kekeluargaan. Afina rasa serba salah untuk melukakan hati Kak Ruby.

“Lihat dekat bawah sana. Perempuan yang pernah menghalau Anne dari rumah ini. Perempuan yang selalu pukul, herdik Anne. Masih ada rasa belah lagi dalam diri Anne untuk perempuan macam tu? Berpelukan dengan lelaki. Cium sana sini tanpa rasa segan. Anne masih nak dia bebas begitu? Anne nak biarkan dia bersuka ria lagi sedangkan Anne masih dalam ketakutan?” lurus jari Kak Ruby menghala ke bawah. Afina turut sama melihat.

Kelihatan Puan Halisa yang sedang berpelukan sambil menari-nari dalam pelukan seorang lelaki di taman rumah itu sambil minum. Mereka kelihatan sangat bahagia. Mabuk dalam neraka dunia.

“Tengok! Mereka masih berseronok sedangkan Anne menderita sendiri, ada mereka tahu semua tu?” Kak Ruby masih bersuara lagi. Dia menarik wajah Afina supaya menatap wajahnya.

“Kak Ruby tak akan biarkan Anne terus menderita. Lupakan Elman Furqan. Hapuskan nama dia dalam hati Anne tu. Selesai di sini kita akan bina hidup baru. Bukan di sini tapi di Rusia. Tiada siapa yang kenal kita,” habis bicara Kak Ruby terus merangkul tubuh Afina sekali lagi.

Air mata Afina semakin lebat. Mata Afina mencari kelibat Puan Halisa dengan pasangannya di bawah. Kebahagian yang terpancar wajah mereka telah menimbulkan rasa amarah dalam dirinya. Segala perbuatan Puan Halisa bersama anaknya terlayar di benak fikirannya. Perlahan-lahan dia memejamkan mata seraya mendongak ke atas. Sesaat kemudian dia membuka mata melihat dada langit.

‘Elman, kalaulah awak tak tinggalkan saya masa itu ini semua pasti tidak akan berlaku. Kenapa awak tinggalkan saya Elman? Kenapa?’

Elman Furqan mematikan enjin keretanya. Dia keluar lalu bertengkek di bonet hadapan keretanya. Kopiah di kepala dibuka seraya diletakkan di sebelah. Bunyi air sungai yang mengalir di waktu malam mendamaikan hatinya yang kesedihan tika ini. Angin malam yang kedinginan membuat dia memeluk tubuh sendiri.

Dia memperbetulkan kain pelekat sedikit. Pandangan dari air sungai terus didongakkan ke dada langit. Seakan ada satu suara menyeru namanya, “Fina, di mana awak? Kalau awak masih bernyawa tolonglah kembali pada saya. Saya tak mahu dengan perempuan lain kecuali awak. Saya berdoa kalau awak sudah kahwin harap awak jodoh awak tak lama dengan suami awak. Saya nak awak dengan saya. Walaupun doa saya berbunyi kejam saya tetap mahukan awak. Saya masih tak dapat nak maafkan diri saya sendiri kerana biarkan awak dihalau oleh keluarga itu.” kata-kata Elman seakan orang tidak waras sahaja. Itulah penangan cinta.

“Mak usu bukan Elman tak mahu turut permintaan mak usu tapi...tapi Elman taknak sakiti hati perempuan lain. Dalam hati Elman hanya Fina saja yang lain menakhlukinya. Elman tak mampu untuk mencintai orang lain selain Fina. Elman nak tebus segala kesilapan Elman dengan dia. Elman tinggal dia tanpa berita. Elman mungkir janji Elman untuk selamatkan dia dari Tuan Haris. Elman gagal...Elman kehilangan dia...” Elman Furqan berhenti seketika.

“Kalaulah masa ini boleh diputarkan kembali aku ingin membawa Fina pergi dari sini tapi, masa itu cukup sukar bagi aku. Antara keluarga dengan cinta mana yang paling utama, aku harap Afina mengerti akan itu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience