Series
2647
"ED, kau kenapa ni? Macam tak ada mood je aku tengok. Kau okay tak?” Sapa Katrina yang sejak tadi melihat wajah monyok sahabatnya itu. Bukan dia tidak kenal akan perangai sahabatnya yang seorang ini, jika tiada apa yang menyesakkan fikiran wanita itu pasti riak wajahnya tidak akan sekeruh itu.
Arissa Edrea masih lagi diam membisu. Hanya merenung kosong gelas yang berisi jus oren di hadapannya. Pertanyaan Katrina langsung tidak diendahkan. Melihat tiada sebarang respon daripada Arissa Edrea, Katrina mengeluh halus lalu tangan Arissa Edrea disentuh lembut.
“Ed, kau dengar tak ni? Kau janganlah diam macam ni. Aku risaulah.” Ujar Katrina dengan nada gusar.
Tersedar dari lamunan yang panjang, Arissa Edrea menoleh ke arah Katrina yang masih merenungnya.
“Kau tanya apa tadi, Kat? Sorry, aku tak dengar.”
“Macam mana kau nak dengar kalau kau asyik mengelamun je sejak tadi. Kau ada masalah ke, Ed? Kalau kau ada masalah, kau sharelah dengan aku. Jangan pendam seorang diri. Nanti boleh jadi penyakit.”
Arissa Edrea hanya menggelengkan kepala. Tiada niat untuk berkongsi cerita. Dalam tidak mahu memikirkan masalah yang melanda, kata-kata si ayah masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Terdengar keluhan berat meniti di bibirnya. Tanpa sedar ada titisan jernih mengalir di pipi.
"Ed, kau buat aku risau. Kenapa kau menangis tiba-tiba ni?" Katrina cemas. Jarang dia melihat air mata sahabatnya yang seorang ini kerana Arissa Edrea bukan seorang yang murah dengan tangisan.
Arissa Edrea senyum segaris sambil menggeleng kecil. Masih seperti tadi hanya mengunci mulut tanpa sebarang bicara. Pantas hujung jarinya laju menyeka air mata. Tanpa berlengah dia bangkit dari duduknya, ingin segera beredar dari situ. Tidak mahu membuat sahabat baiknya semakin risau akan dirinya. Namun, baru setapak dia melangkah, tangannya sudah dilelar oleh Katrina. Spontan langkah kakinya terhenti. Perlahan-lahan dia menoleh memandang sahabatnya itu dengan kening yang sedikit berkerut.
"Ed, kau nak pergi mana? Air kau tak habis lagi minum. Tiba-tiba nak gerak macam tu je. Baik kau beritahu aku, apa yang terjadi sebenarnya? Ed yang aku kenal bukan macam Ed yang ada dekat depan aku sekarang ni. Serius aku cakap, kau nampak lain sangat. Kalau aku dan Jannah boleh kongsi semua masalah kita orang dengan kau, kenapa bila kau ada masalah, kau tak nak share dengan aku mahupun Jannah? Kita bff kan?" Katrina kembali menyoal kerana dia benar-benar bimbang dengan sikap sahabatnya yang seorang ini.
Arissa Edrea menghela nafas berat. Lambat-lambat dia kembali ke tempat duduknya semula sebelum melabuhkan punggung di situ. Katrina sekadar memerhati dan menanti dengan sabar.
"Sorry. Aku tak ada niat nak buat kau risau Kat. Entahlah... Aku sendiri tak pasti nak mula dari mana. Yang aku tahu sekarang ni otak aku tengah serabut sangat." Riak wajah Arissa Edrea kelihatan keruh.
"It's okay. Take your time. Aku boleh tunggu. Yang penting kau jujur dengan aku. Aku tak suka tengok keadaan kau macam ni." Ujar Katrina sambil menepuk lembut bahu sahabatnya itu.
Arissa Edrea menarik nafas panjang sebelum menghembus perlahan-lahan. Wajah Katrina ditatap sayu.
"Ayah aku paksa aku kahwin."
"What?" Terbeliak mata Katrina saat mendengar bicara Arissa Edrea.
"Kahwin? Are you serious? Arissa Edrea 'kahwin'? Lelaki? In your life? Ayah kau bergurau je kot. Tapi yang buat aku hairan tu, kenapa tiba-tiba dia muncul dan paksa kau kahwin?" Soal Katrina bertalu-talu.
Arissa Edrea sekadar mengangkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu.
"Habis tu kau terima?" Tanya Katrina inginkan kepastian.
"Aku? Terima? Huh, lambat lagi!" Balas Arissa Edrea.
"Kalau macam tu, kenapa kau serabut? Kau dah yakin dengan keputusan kaukan?"
"Aku pun tak tahu. Aku tak nak pun fikir pasal semua tu. Tapi telinga aku ni, asyik terngiang-ngiang suara ayah aku suruh aku kahwin. Aku jadi stress."
"Kau jangan fikir sangatlah. Ayah kau x boleh paksa kau kalau kau tak setuju. So, kau tak payah nak sesakkan kepala. Just chill." Nasihat Katrina.
"Aku tengah cuba nak tenanglah ni. Sebab tu aku ajak kau keluar. Tapi aku tetap fikir juga pasal hal tu. Kat, sorry tau. Aku tak ada niat pun nak sorok hal ni daripada pengetahuan kau."
"Tak ada apa, aku faham. Aku cuma risau sebab kau jarang macam ni. Setahu aku, Edrea yang aku kenal seorang yang kuat. Hati kental. Bukannya dalam hati ada taman." Sempat Katrina berseloroh.
Arissa Edrea sekadar tersenyum nipis. Bahu Katrina ditolak lembut.
"Ada-ada jelah kau ni, Kat."
"Ala... Gurau manja pun tak boleh ke?"
"Boleh. Aku tak marah pun. Kat... Apa kata lepas ni kita pergi..." Belum sempat Arissa Edrea menghabiskan kata-kata, terdengar telefon pintarnya berbunyi. Arissa Edrea pantas mengangkat sebelah tangannya tanda meminta ruang daripada Katrina untuk menjawab panggilan tersebut.
Katrina sekadar mengangguk kecil. Lalu, Arissa Edrea terus menjawab panggilan itu saat dia melihat nama yang tertera di skrin telefon.
"Assalamualaikum, ibu." Ujar Arissa Edrea memulakan perbualan.
Nadia tidak membalas salam anaknya, sebaliknya dia terus sahaja memberitahu hal yang sedang berlaku di rumah ketika itu. Mendengar sahaja berita yang disampaikan oleh ibunya, Arissa Edrea yang sedang duduk terus sahaja bangkit dari kerusi. Dadanya berombak laju. Beg tangan yang berada di meja pantas dicapai sebelum dia mengorak langkah laju meninggalkan sahabatnya, Katrina. Katrina yang melihat perlakuan Arissa Edrea turut merasa cemas. Belum sempat dia menghalang untuk bertanya, bayangan Arissa Edrea sudah hilang dari pandangan mata. Katrina mengeluh halus.
"Tak apalah. Nampak macam ada kecemasan tadi. Nanti dia ceritalah tu." Monolog Katrina sendiri sebelum dia kembali menyambung menyedut minumannya.
"Nenek, Ed dah pesan banyak kalikan? Kalau nak apa-apa minta tolong Ed atau ibu. Ni nasib baik terseliuh je. Kalau patah tadi, macam mana?" Soal Arissa Edrea dengan riak risau.
"Nenek tak apa-apa pun. Ed ni, dari rumah sampailah dah jumpa doktor, tak habis-habis lagi ke bebelkan nenek? Ya, nenek tahu nenek salah. Lain kali nenek akan lebih berhati-hati. Nenek ingat almari tu tak tinggi sangat, sebab tu nenek panjat. Mana nenek nak tahu kaki kerusi tu nak patah? Kalau nenek tahu, nenek taklah panjat kerusi tu tadi." Ujar Puan Habsah membela diri. Sakit telinganya mendengar Arissa Edrea membebel sejak tadi.
"Sebab tu Ed pesan dekat nenek supaya minta tolong ibu atau Ed. Nenek janji jangan buat macam ni lagi. Berderau darah Ed bila ibu cakap nenek jatuh. Nenek tahukan Ed sayang nenek?"
Puan Habsah senyum segaris. Kepala cucunya diusap lembut.
"Ya, nenek tahu. Nenek pun sayang sangat dengan cucu nenek ni. Nenek minta maaf sebab dah susahkan ibu dan Ed."
"Nek, janganlah cakap macam tu. Ed tak rasa terbeban pun. Ed cuma nak ingatkan nenek. Ed bising bukan sebab Ed marah. Ed sayang nenek. Ed tak nak perkara buruk terjadi pada nenek dan ibu. Ed minta maaf kalau kata-kata Ed dah buat nenek tersinggung."
"Taklah,Ed. Nenek faham Ed risaukan nenek. Nenek janji tak buat macam tu lagi."
"Okay, Ed pegang kata-kata nenek. Nenek jangan banyak bergerak. Doktor dah pesan tadi. Nenek kena banyak berehat kalau tidak nanti kaki nenek boleh bengkak."
"Ya,nenek tahu."
Arissa Edrea senyum senang setelah mendengar balasan daripada Puan Habsah.
"Nenek tunggu sini sekejap. Ed nak pergi farmasi ambil ubat."
Puan Habsah sekadar mengangguk kecil. Lalu, Arissa Edrea pantas bangkit dari duduknya dan berlalu ke arah farmasi. Puan Habsah sekadar memerhati pemergian cucunya itu. Tanpa sedar, ada sepasang mata yang sedang memerhati tingkah mereka sejak tadi.
"Assalamualaikum, puan. Boleh saya tumpang bertanya?" Sapa seorang wanita muda.
Puan Habsah yang leka memerhati orang lalu-lalang di situ pantas menoleh.
"Waalaikumsalam, ya nak ada apa?"
"Dekat mana tempat ambil ubat, ya? Tadi nurse dekat kaunter tu minta saya ambil ubat dekat farmasi. Tapi saya lupa arah yang dia tunjuk. Puan tahu ke tempatnya? Maaf, saya baru dekat sini." Ujar wanita itu lagi.
"Ooh... Tak perlulah berpuan-puan dengan mak cik. Panggil je Cik Habsah. Farmasi yang anak nak pergi tu tak jauh sebenarnya. Dekat dengan lobi hospital. Anak nak pergi sana sendiri ke?" Soal Puan Habsah saat melihat keadaan wanita itu yang berkerusi roda. Jatuh kasihan pula dia terhadap wanita muda di sebelahnya itu. Jika kakinya tidak sakit dan berbalut ketika ini, sudah pasti dia membantu wanita itu mengambil ubat di farmasi. Malangnya, keadaan dirinya tidak mengizinkan dia bertindak sebegitu.
"Tak, suami saya ada. Kejap saya mesej suami saya. Dia pun tercari-cari juga tadi. Terima kasih Cik Habsah sebab beritahu."
"Tak apa. Itu je yang cik mampu tolong. Maaflah, Cik Habsah pun tak berdaya. Kalau tidak, Cik Habsah dah tolong bawa anak ke sana."
"Eh, tak apa. Ini pun dah membantu saya. Saya dah mesej suami saya. Terima kasih lagi sekali."
"Sama-sama, nak." Balas Puan Habsah dengan senyuman.
"Cik Habsah boleh panggil saya Min. Nama saya Yasmin. Maaf nak tanya, kenapa dengan kaki Cik Habsah tu?" Soal Yasmin dengan ramah. Ingin menghilangkan rasa kekok antara mereka.
"Cik jatuh tadi. Nasib baik tak ada apa-apa. Terseliuh sikit. Tapi cucu cik membebel dekat cik macam kaki cik ni patah." Balas Puan Habsah. Tidak mahu dikatakan sombong. Orang mahu kawan berbual, apa salahnya? Bisik hati Puan Habsah.
"Ooh yang cantik tadi cucu Cik Habsahlah, ya?"
Puan Habsah sekadar mengangguk.
"Manis orangnya. Sejuk mata yang memandang." Puji Yasmin ikhlas.
"Alhamdulillah Cik Habsah dapat cucu yang baik macam Ed tu. Dialah yang selama ni jaga cik dan ibu dia. Tu yang dia bising bila cik kena macam ni. Dia risau sangat."
"Kalau saya jadi dia pun saya akan buat perkara yang sama. Itu tandanya dia sayang sangat dengan Cik Habsah."
Puan Habsah angguk-angguk kepalanya tanda setuju dengan kata-kata Yasmin.
"Tapi itulah, tak tahulah sampai bila dia nak terus hidup membujang. Penat kami nasihatkan dia cari pasangan hidup. Tapi nasihat kami langsung dia tak endah. Katanya dia boleh hidup tanpa lelaki."
"Mungkin dia belum bersedia lagilah tu, cik. Berapa umur cucu cik tu?"
"Dah nak masuk dua puluh tujuh tahun. Sepatutnya waktu umur macam tu sekurang-kurangnya dah ada pilihan hati. Tetapi cucu cik tu langsung tak nak berkawan dengan lelaki. Semua yang cik dan ibu dia kenenkan dia tolak mentah-mentah. Takut pula jadi andartu. Hahaha..." Seloroh Puan Habsah.
"Orang perempuan zaman sekarang cik dia orang nak berjaya dulu. Soal kahwin tolak nombor dua."
"Cik rasa cucu cik tu anti lelaki. Yalah, salah ayah dia juga. Kalau bukan sebab sikap ayah dia, cucu cik tak akan jadi macam tu. Bagi dia, lelaki ni macam musuh. Tengoklah macam tadi, seboleh-boleh nak cik dirawat dengan doktor perempuan. Dia kata doktor lelaki ni tak boleh percaya. Pening dibuatnya." Keluh Puan Habsah dihujung bicara.
Yasmin sekadar mendengar luahan wanita yang berusia itu. Terjentik rasa simpati saat mendengar luahan wanita itu. Setiap orang ada ujian mereka sendiri. Sama sepertinya juga.
"Maaflah cik dah melalut pula. Min, kalau Cik Habsah nak tanya sikit Min jangan marah, ya? Min sakit apa sebenarnya? Muka Min nampak pucat sangat." Tertib Puan Habsah menyusun bicara takut jika kata-katanya akan menyinggung perasaan wanita muda itu.
Yasmin angguk perlahan-lahan sambil bibirnya mengukir senyuman kecil.
"Saya pesakit kanser, cik." Balas Yasmin pendek tetapi cukup menyentak hati sesiapa sahaja yang mendengar.
"Ya Allah! Maafkan cik, Min. Cik tak tahu. Semoga Min kuat dan Cik doa Min cepat sembuh." Ujar Puan Habsah dengan rasa simpati.
"Tak apa, cik. Saya dah biasa dengan soalan tu semua. Terima kasih atas doanya, cik. Tapi penyakit saya ni tiada ubatnya. Mungkin tunggu masa je cik."
Pantas tangan Yasmin disentuh lembut oleh Puan Habsah.
"Jangan cakap macam tu. Semua penyakit ada ubatnya kecuali mati. Kita jangan pernah putus asa untuk usaha dan berdoa. Yang penting Min kena kuat dan terus bersemangat untuk sembuh." Nasihat Puan Habsah.
"Insya-Allah... Cik. Terima kasih atas doanya. Cik, nampaknya suami saya dah siap tu. Saya minta diri dulu. Panjang umur kita jumpa lagi." Ucap Yasmin sebelum dia bersalaman dengan Puan Habsah lalu meminta diri untuk pulang.
Puan Habsah sekadar memerhati dari jauh hingga bayangan Yasmin dan suami wanita itu hilang dari pandangan. Tidak lama kemudian, Arissa Edrea kembali mendapatkan Puan Habsah. Selesai segala urusan, mereka kembali pulang ke rumah.
Share this novel