DAHLIA Sofea membawa masuk barang pelamin ke dalam rumah Datin Suraya yang juga merupakan kawan baik mamanya. Nurul dan Iskandar membuntutinya dari belakang. Hari ini dia perlu menyiapkan pelamin tunang untuk kawan baiknya, Aisyah.
"Lia, terima kasih tau dah tolong aunty, kalau Lia takda, habislah majlis esok." Bahu Dahlia Sofea ditepuk perlahan.
Senyuman manis dilemparkan kepada Datin Suraya. "Takpalah, aunty. Okay jer ni. Lagipun saya dah siapkan semua bunga-bunga ni, cuma nak letakkan je dekat pelamin."
"Alhamdulillah, nasib baik kan. Esok jangan lupa datang tau. Aunty pun dah beritahu mama kamu. Ajak semua sekali datang."
"Insyaallah, aunty. Nanti Lia bawa mama dengan papa datang."
"Lia…" jerit Aisyah yang baru sahaja turun dari tingkat atas. "Lama betul tak jumpa kau kan." Tubuh Dahlia Sofea dipeluk kuat.
Dahlia Sofea membalas pelukan Aisyah. "Syah, tu lah memang lama betul kita tak jumpa. Rindunya kat kau."
Datin Suraya hanya mampu menggeleng melihat Aisyah dan Dahlia Sofea. Dia membiarkan mereka berdua berbual.
"Nasib baik lah kau guna lagi nombor telefon kau yang lama tu, kalau tak susahlah aku."
Dahlia Sofea mengerutkan keningnya. "Apa yang susah, kau boleh minta dekat mama aku. Kau ni kan, saja buat teruk kan. Mentang-mentang dah nak bertunang…"
"Hihi janganlah marah. Esok kau kena datang tau majlis aku. Jangan tak datang, aku merajuk nanti." Aisyah muncungkan mulutnya.
"Hurm yer lah. Aku mesti datang punya. Aku nak tengok tunang kau handsome ke tak. Lepas ni, aku boleh cari yang lagi handsome pada tunang kau." Seloroh Dahlia Sofea sambil tertawa kecil.
"Hisy kau ni. Tak kisah lah handsome ke tak, yang penting, dia kena bertanggungjawab. Kalau handsome, kira untunglah. Bonus orang kata."
Terhambur ketawa mereka berdua.
"Betul-betul. Semakin bijak kawan aku ni sejak-sejak nak kahwin ni."
"Kau ni…" panjang muncung Aisyah.
Dahlia Sofea semakin galak ketawa apabila melihat riak wajah Aisyah. Sengaja dia hendak mengusik kawan baiknya itu. Mereka sudah terbiasa bergurau sebegitu. Dia meneruskan kerjanya sebaik sahaja Aisyah naik semula ke tingkat atas.
Selesai sahaja pelamin dipasang, Dahlia Sofea minta diri untuk pulang ke butik. Selepas bersalam dengan Datin Suraya dan Aisyah, dia terus masuk ke dalam lori. Perlahan-lahan lori yang dipandu oleh Iskandar meninggalkan pekarangan rumah.
Hampir 30 minit perjalanan pulang ke butik, akhirnya mereka tiba. Nurul dan Iskandar pulang ke rumah masing-masing. Sempat Lia memaklumkan kepada mereka untuk bercuti kerana tiada tempahan yang perlu dibuat.
Dahlia Sofea pula terus naik ke tingkat atas. Dia bergegas masuk ke dalam bilik air dan membersihkan dirinya. Seusai mandi dan solat, dia mengemas pakaiannya pula. Dia perlu balik ke rumah papa dan mamanya malam ini kerana sudah terlalu lama dia tidak berjumpa dengan kedua-dua papa dan mamanya.
Kereta yang baru sahaja masuk ke pekarangan rumah disambut dengan riak wajah masam Datin Zarina. Jelingan tajam dihadiahkan untuk anak daranya itu.
"Ha, baru nampak muka anak dara mama sorang ni. Ingat lagi yer jalan balik rumah ni?" Tegur Datin Zarina sebaik sahaja melihat wajah Dahlia Sofea. Anak daranya yang sulung ini selalu membuatnya sakit kepala.
"Hihi… mama. Lia dah balik ni." Dahlia Sofea memeluk Datin Zarina lalu mengucup pipi mamanya itu.
"Isk budak ni kan. Dah dekat sebulan kamu tak balik rumah. Mama ingatkan kamu dah diculik bunian ke. Takda berita langsung."
"Mama, sshhh… janganlah marah-marah. Nanti kang kalau papa dengar habislah Lia."
"Papa kamu tak ada. Dia keluar jumpa kawan dia."
Dahlia Sofea melepaskan nafas lega. "Fuhhh nasib baik. Ni adik mana?"
"Adik kamu tu ada dalam bilik. Tu pun sorang, kalau tak panggil turun, memang tak turun lah jawabnya."
"Ala mama ni, biarlah. Laila tu bukannya pergi mana-mana pun. Ada jer kan dalam rumah ni. Lain la kalau dia suka melepak sana sini." Dahlia Sofea diam apabila ibunya tunjuk muka masam. "Hurm nanti Lia pergi cakap dengan dia, yer. Mama janganlah merajuk..." Tubuh Datin Zarina dipeluk kuat.
Senyuman kembali terukir di wajah Datin Zarina. Kata-kata Dahlia Sofea ada betulnya. Walaupun anaknya seorang yang degil tetapi dia masih berada di rumah, tidak merayau di luar. Namun, sebagai seorang ibu, dia tetap merasa risau.
Dahlia Sofea menapak naik ke tingkat atas sebaik sahaja mamanya berlalu masuk ke ruang dapur. Dia menuju ke bilik adiknya yang bersebelahan dengan biliknya. Pintu bilik diketuk perlahan.
"Masuk, pintu tak kunci…" arah adiknya dari dalam bilik.
Amboi, dah macam boss besar yer kau. Siaplah!
Tombol pintu dipulas dan daun pintu ditolak perlahan. Kelibat adiknya tiada di dalam bilik. Dahlia Sofea berdiri bercekak pinggang sambil menggaru kepalanya.
"Mana budak ni?"
"Cakkk!"
"Opocot… hisy adik ni kan, terkejut akak tahu tak?"
"Hahaha, sorry lah." Tubuh Dahlia Sofea dirangkul. "Bila kak Lia balik?" Rengeknya manja.
Dahlia Sofea membalas pelukan Nurlaila. "Akak baru jer sampai ni. Mama kata adik susah betul nak keluar bilik, ada yang menarik ek dalam bilik ni?" Dia mula berjalan mengelilingi bilik adiknya itu.
"Hmm mana ada apa pun. Kak Lia tahu kan mama tu macam mana. Errr kak Lia, kalau adik nak tinggal dengan kak Lia boleh? Adik penat lah duduk dekat rumah ni, mama tu selalu marah-marah adik."
Tangan Nurlaila ditarik ke arah katil. Mereka duduk dibirai katil. Dahlia Sofea menggenggam jemari Nurlaila. Wajah muram adiknya itu ditatap lama.
"Adik, mama tu ambil berat pasal adik, sebab tu mama tegur adik." Tuturnya lembut.
"Tapi, mama tu dah melampau. Semua benda tak boleh. Adik nak buat tu tak boleh, adik nak buat ni pun tak boleh. Rimas lah."
Tertawa kecil Dahlia Sofea selepas mendengar rungutan daripada adiknya. "Adik nak buat apa tu dan ni?"
Nurlaila mendengus perlahan. Dia tunjuk wajah menyampah.
"Adik, awak tu masih lagi belajar. Kenalah dengar cakap orang tua-tua. Lagipun, adik rasa mama dan papa tu bagi ke adik nak stay dengan akak? Memang tak boleh lah. Hmm so apa yang adik nak kali ni?"
Nurlaila melentokkan kepalanya di atas bahu Dahlia Sofea. "Adik nak beli camera boleh?"
"Camera?" Tersentak Dahlia Sofea.
"Ha ah. Yang terbaru. Cam geng-geng photographer pakai tu. Bulan depan kan adik nak ikut kawan kampus adik nak pergi taman negara, jadi adik nak beli lah camera tu. Ni untuk final project tau, bukan adik saja-saja nak beli…"
"Berapa tu?"
Nurlaila diam. Dia mengulum senyum apabila menatap wajah kakaknya.
Dahlia Sofea mengerutkan keningnya. Pasti ada benda tak kena dengan adiknya ini.
"Berapa harga camera tu?" Soalnya sedikit tegas.
"Errr… hmm… RM5000.00 ringgit jer…"
"Hah?" Ternganga mulut Dahlia Sofea. "Apa mahal sangat dik oi. Patutlah mama marah."
"Hmm kan mama mampu jer beli. Bukannya mahal sangat… pun." Luahnya lambat-lambat.
Kepala Nurlaila diusap perlahan. "Hari tu kan papa dah belikan adik camera, guna jer lah yang tu."
"Hurm tapi kawan-kawan adik semua beli yang baru. Lagi pun yang ni lagi bagus. Boleh lah kak Lia. Please…" rayunya manja dengan mata yang berkaca.
"Kau ni memang lah dik, saja nak pokaikan akak kau ni. Tengoklah nanti akak fikir."
Pipi Dahlia Sofia dikucup. "Thank you, kak Lia. Akak lah kakak yang paling cantik kat dunia ni. Sayang akak ketat-ketat…"
"Yer lah tu. Bila nak apa-apa baru sayang, kalau tak, susah betul nak dekat. Lepas ni jangan buat perangai lagi, kalau tak, kak Lia suruh papa jangan benarkan adik pergi mana-mana program lagi. Faham tak?" Tegas amaran yang diberikan.
"Faham, boss!" Tersengih-sengih Nurlaila di hadapan Dahlia Sofea.
Dahlia Sofea melangkah meninggalkan bilik Nurlaila. Dia masuk pula ke dalam biliknya. Dia terus berbaring di atas katil. Tubuhnya terasa sakit. Mungkin kerana dia tidak dapat rehat yang cukup sejak akhir-akhir ini. Dia mengeluarkan telefon pintar dari dalam beg tangannya. Aplikasi Whatsapp dibuka. Ada pesanan daripada Fakhrul merangkap bosnya sendiri.
Sofea, minggu depan you kena ikut Shah. Datuk Khaled dan wife dia ada event. -Fakhrul
Keluhan lemah keluar daripada mulutnya.
Okay. -Sofea
Telefon pintar diletakkan di sebelahnya. Dahlia Sofea menggeliat membetulkan urat yang terasa tegang.
"Tak habis-habis dengan Datuk Khaled. Dah naik menyampah dah aku ni. Kejap dengan wife, kejap dengan perempuan simpanan. Untung betul jadi orang kaya ni. Janganlah papa macam tu…" bebelnya sendirian.
Penat berguling di atas katil, Dahlia Sofea mengesot turun daripada katil lalu berjalan ke bilik air. Dia perlu segarkan badannya. Nasibnya baik kerana seminggu ini dia tidak perlu bekerja pada waktu malam. Boleh lah dia gunakan masa yang ada ini untuk berehat.
SELESAI sahaja majlis pertunangan di rumah kawan baiknya, Aisyah, Dahlia Sofea terus memandu pulang ke butiknya. Puas Datin Zarina memujuk supaya dia tidur di rumah mereka tetapi dia tetap membantah. Dia perlu menyiapkan tempahan dulang hantaran perkahwinan yang baru sahaja diterima sebentar tadi.
Dahlia Sofea meletakkan keretanya di hadapan cafe yang tidak jauh dengan butiknya. Niatnya mahu membeli makanan dan minuman untuk dibawa pulang. Tidak perlu dia masak di rumah nanti.
Seorang kanak-kanak tiba-tiba sahaja menghampiri Dahlia Sofea lalu menggenggam jemarinya.
"Mama…"
Tersentak Dahlia Sofea apabila dipanggil dengan panggilan begitu.
"Adik salah orang ni…"
"Mama, Aimy nak kek tu," ujarnya sambil menunjuk kek yang berada di dalam cermin di hadapan mereka.
Dahlia Sofea memandang ke arah yang ditunjuk kanak-kanak itu. "Nak yang ni ke? Errr mama adik mana?" Kepalanya bergerak ke kiri dan ke kanan mencari ibu bapa kanak-kanak itu.
"Mama, Aimy nak yang tu." Ulang kanak-kanak itu lagi sambil mengoncang jari Dahlia Sofea.
"Okay, okay. Cik, saya yang kek tu dua tapi asingkan yer." Beritahunya kepada pelayan cafe tersebut. "Adik, adik ni nama apa? Aimy yer?"
Aimy menggangguk. "Aimy Aleesa."
"Sedapnya nama. Aimy nak apa-apa lagi tak?"
Aimy menggeleng.
Dahlia Sofea tersenyum. Dia dongak memandang pelayan cafe semula. "Tambah Caramel Mocha satu. Tu jer. Thank you."
Aimy dibawa ke meja yang tidak jauh dengan kaunter pesanan. Dia dibiarkan duduk di situ sementara Dahlia Sofea mengambil pesannya lalu kembali semula ke meja Aimy.
"Aimy datang sini dengan siapa?"
"Papa…"
"Mana papa Aimy?"
Aimy mengangkat tinggi kedua-dua bahunya.
Dahlia Sofea menggaru kepalanya. Hisy budak ni, mana aku nak cari papa budak ni. Nanti kang kalau orang kata aku culik budak ni, tak pasal-pasal aku kena tangkap. Macam mana ni, tolong!
"Mama nak pergi mana?" Soal Aimy kepada Dahlia Sofea.
"Err ni bukan mama tapi akak Lia. Jangan panggil mama tau."
Aimy menilik wajah Dahlia Sofea. "Tapi Aimy nak mama. Mama Aimy takda."
"Takda? Mama Aimy pergi mana?"
"Hmm…" gumam Aimy sambil meletakkan jari pada dagunya. "Maksu kata mama Aimy dah masuk syurga." Sambungnya lagi.
"Owh…" senyuman Dahlia Sofea tiba-tiba mati. "Hmm Aimy ingat tak nombor telefon papa?"
Aimy menunjukkan beg tangannya kepada Dahlia Sofea. Dahlia Sofea melihat rantai kunci yang ada pada beg tangan tersebut. Terlihat ukiran nombor telefon pada rantai kunci itu. Tanpa berfikir panjang, dia membuat panggilan ke nombor telefon itu.
"Hello…" terdengar suara lelaki dalam talian.
"Hello, encik. Saya Lia. Anak encik, Aimy ada dengan saya dalam cafe yang berdekatan dengan workshop."
"Yer ker, alhamdulillah. Saya pergi dekat awak."
Tut Tut Tut
"Aku tak habis cakap lagi, dia dah letak." Rungut Dahlia Sofea. "Aimy, kejap lagi papa datang yer. Tunggu dengan akak kejap tau. Aimy nak air tak?"
Aimy menggeleng.
Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki mendekati Dahlia Sofea dan Aimy. Lelaki itu memeluk Aimy kuat lalu dikucup kedua-dua belah pipi Aimy.
"Alhamdulillah. Nasib baik jumpa Aimy. Terima kasih, cik tolong jaga anak saya." Ucap lelaki itu sambil melemparkan senyuman kepada Dahlia Sofea.
Eh! Ni bukan encik Harris ke, abang Cik Maisarah.
"Awak?"
"Awak?"
Tegur mereka serentak. Terhambur ketawa Dahlia Sofea dan Datuk Aisar Harris.
"Terima kasih, Cik Lia sebab dah tolong jagakan anak saya. Puas saya cari dekat luar tapi tak jumpa. Tak terfikir pula nak masuk dalam cafe ni."
Dia kenal aku rupanya. Semalam bukan main kau berlagak tak kenal aku yer.
"Takpa, okay jer. Nasib baiklah dia datang dekat saya tadi. Err saya pun terkejut juga sebenarnya tiba-tiba jer dia pegang tangan saya."
"Papa, ni mama baru Aimy ke?" Soal Aimy Aleesa tiba-tiba.
Datuk Aisar Harris memandang wajah Dahlia Sofea. Anak matanya bertembung dengan anak mata gadis itu tetapi Dahlia cepat mengalihkan pandangannya.
"Sayang, bukanlah. Kenapa tiba-tiba cakap pasal mama ni? Maafkan anak saya, dia pantang nampak perempuan cantik ni, semua dia anggap macam mama dia."
"Hah?"
"Eh takda apa. Sorry. Errr saya minta diri dulu. Aimy, ucap terima kasih dekat akak."
Datuk Aisar Harris mendukung Aimy Aleesa.
"Terima kasih, mama." Kata Aimy Aleesa.
"Eh bukan mama. Hurm okay, sama-sama. Jaga diri baik-baik tau. Jangan nakal lagi. Kesian papa nak kena cari Aimy. Ni kek Aimy..."
"Okay." Jawab Aimy Aleesa sambil kenyitkan matanya. "Papa, mama belikan kek untuk Aimy." Dia menunjukkan bungkusan kek di tangan Dahlia Sofea.
Datuk Aisar Harris menyambut huluran Dahlia Sofea lalu melemparkan senyuman kepadanya.
"Terima kasih, Cik Lia."
"Sama-sama."
Dahlia Sofea membalas senyuman Datuk Aisar Harris. Dia memerhatikan mereka meninggalkan cafe tersebut. Dalam diam dia mengukir senyum. Dalam ramai-ramai manusia di dalam cafe ini, dia boleh terjumpa dengan Datuk Aisar Harris. Mungkin ini yang dinamakan jodoh. Menjerit gembira Dahlia Sofea di dalam hati.
SEMINGGU kemudian.
Shah mendekati Dahlia Sofea yang sedang berdiri di tepi dinding. Wajahnya nampak garang tanpa senyuman. Tidak pernah dia melihat senyuman di wajah gadis di hadapannya ini. Walaupun dia nampak garang, namun raut wajahnya kelihatan manis.
"Sofea, kau dah makan ke belum?" Soal Shah yang berdiri di sebelahnya.
Sofea melihat Shah dari atas hingga ke bawah. "Belum. Kenapa?"
"Takda apa pun, kejap lagi Fakhrul kata dia nak tapaukan makanan untuk kita. Lepas Datuk Khaled dan isteri dia balik, shift kita dah habis."
Dahlia Sofea angguk. "Baguslah. Boleh aku rehat malam ni. Badan aku ni dah rasa cam getah scrub kau tahu tak. Dah lembek dah ni."
"Hahaha kau buat apa jer kalau balik. Dah macam ada anak 10 jer kau punya lagak. Aku tahu lah kau bantai tidur sampai esok pagi kan. Lagi nak complain penat ke." Sakat Shah sengaja ingin menaikkan darah Dahlia Sofea.
Dahlia Sofea mencebik di sebalik penutup muka. "Kalau aku takda anak kira aku tak penat lah? Kau mana tahu aku buat apa tiap-tiap hari. Kau bukannya duduk satu rumah dengan aku pun. Kau jangan cari pasal Shah, aku tumbuk kau kang." Semburnya tanpa menjaga hati lelaki itu.
"Rilex ar kau ni. Kenapa garang lain macam jer. Sabar. Aku gurau jer lah. Okay, aku minta maaf."
Dahlia Sofea menjeling ke arah Shah. Malas dia hendak melayan lelaki itu. Asyik menyakitkan hatinya sahaja.
Selepas 2 jam, majlis telah pun selesai. Ramai tetamu sudah beransur pulang. Datuk Khaled dan isterinya masih lagi berbual santai dengan beberapa orang tetamu lagi. Tiba-tiba sahaja Fakhrul mendekati Dahlia Sofea dan Shah.
"Sofea, Shah. Datuk Khaled nak jumpa sekejap."
Shah dan Dahlia Sofea saling memandang.
"Takda apalah. Datuk Khaled nak kenalkan korang dengan kawan dia. Nanti job banyak yang masuk. Jom kita pergi sana."
Shah menjongket keningnya ke arah Dahlia Sofea. Dahlia Sofea mengangkat tinggi kedua-dua bahunya. Mereka perlahan-lahan berjalan ke arah Fakhrul yang sedang berdiri di sebelah Datuk Khaled.
"Ha, dah datang pun. Datuk Aisar, ni I nak perkenalkan bodyguard I yang paling hebat. Shah dan Sofea…"
Datuk Aisar Harris berpaling memandang Shah dan Dahlia Sofea. Dia mengukir senyum.
Alamak! Apa dia buat dekat sini! Mampus aku kalau dia kenal aku! Ya Allah, tolonglah aku!
"Kalau you ada job, boleh contact dia orang ni. Dah lama budak berdua ni kerja dengan I, memang tak ada masalah langsung. Err tapi kalau you nak, ambil Shah pun takpa sebab dia kan lelaki, Sofea ni perempuan, nanti kang nampak lain pula kalau perempuan yang jaga lelaki. Hahaha…"
Datuk Aisar Harris senyum sinis. "Pandai you bergurau, Datuk Khaled. I okay jer kalau perempuan nak jaga I. Benda rare kan. Perkara biasa jer kan bagi orang kaya macam kita ni ambil bodyguard perempuan untuk diri sendiri…" ujarnya sedikit berlagak. Ada maksud tersirat disebalik kata-katanya.
Berlagak lah pulak dia ni. Menyampah aku!
"Sofea…"
"Hah? Yer, saya."
"Temankan datin ke bilik air. Lepas tu bawa datin ke kereta." Arah Fakhrul tegas.
"Baik, boss."
Dahlia Sofea mengiringi Datin Latifah ke arah bilik air. Dia mengetap gigi. Sempat dia menjeling ke arah Datuk Aisar Harris. Menyampah pula dengan sikap lelaki itu. Minggu lepas nampak baik tetapi minggu ini, dah berubah pula sikapnya. Orang kaya sememangnya pandai berlakon. Kalah lakonan artis dekat tanah air.
Selepas menghantar Datin Latifah ke keretanya, Dahlia Sofea kembali berdiri di sebelah Shah. Mereka menunggu arahan daripada Fakhrul sebelum menamatkan tugas mereka malam ini.
Dari jauh Dahlia Sofea dapat melihat figura Datuk Aisar Harris yang sedang berjalan menghampiri mereka. Dia berdiri betul-betul di hadapan Dahlia Sofea. Dahlia Sofea menelan liur.
"I rasa macam pernah nampak you lah." Datuk Aisar Harris mengerutkan keningnya. Dia menilik wajah Dahlia Sofea.
Dahlia Sofea memandang Shah yang berada di sebelahnya sekilas lalu memandang Datuk Aisar Harris semula.
"Hurm saya rasa tak pernah jumpa datuk." Dalihnya tenang.
"Yer ker? Tapi I rasa memang I pernah jumpa you, cuma I tak sure dekat mana. You pernah ke datang majlis perkahwinan adik I?"
Omo omo omo, habislah aku! Kenapalah kau nak kena jumpa dia ni kat sini! Macam mana kalau dia betul-betul kenal aku? Habislah masa depan aku. Tidak!
Share this novel