Bab 1

Drama Completed 240250

BUNYI penggera telefon yang entah sudah ke berapa kali ditunda itu, membuatkan dia terjaga untuk ke sekian kalinya. Tangannya dijulur keluar dari selimut mencapai telefonnya di hujung bantal dengan mata yang separuh tertutup untuk mematikan penggeranya.

Matanya dipicingkan untuk melihat jam yang terpapar pada skrin telefonnya. Serta merta matanya terbuka luas seluas alam. "Astaghfirullah!" Kelam kabut dia bangkit daripada perbaringannya dan dia terus melompat dari katil seperti ninja dan mencicit lari menuju ke bilik air.

"Tidur lagi lepas subuh, ha, padan muka! Dah tahu kena keluar awal, gatal tangan sangat nak snooze alarm!" omelnya sambil menyarungkan pakaian di tubuhnya.

Selepas menyarungkan jaket kulit ke tubuhnya, dia terus mencapai beg silang dan kuncinya yang bersangkut di tepi dinding. Tergesa-gesa dia keluar dari bilik menuju ke dapur mencari ibunya.

"Mak, Zara nak pergi ni."

"Tak nak temankan mak sarapan ke pagi ni?" soal Puan Asneh.

"Sorry sangat-sangat, mak. Zara dah lewat ni," balas Izara lalu dia menyalami dan mencium pipi wanita kesayangannya yang berusia pertengahan 50-an tahun itu.

"Haa, yelah."

"Sorry tau. Esok kita sarapan sama-sama ye?" kata Izara dengan nada memujuk lalu dia menepuk punggung ibunya sebelum dia melangkah pantas menuju ke ruang tamu.

"Hisy! Sempat lagi budak ni!"

"Wajib!" balas Izara dari jauh sambil ketawa. Tabiatnya yang satu itu tidak mampu dihentikan. Sudah menjadi kebiasaannya.

"Hati-hati bawa motor tu!" laung Puan Asneh sambil memandang anaknya yang sedang membawa topi keledar jenis full face menuju ke pintu utama.

"Okey, mak!"

Cepat-cepat dia menyarungkan kasut ke kakinya dan dia terus berlari anak menuju ke motosikal berkuasa tinggi miliknya yang berparkir di garaj.

- - - - - -

BERKALI-KALI dia mengerling jam pada skrin meter digital motosikalnya sambil mengeluh dan menggumam memarahi dirinya sendiri. Segala jenis kenderaan yang ada di depannya terus-terusan dipotong tanpa mempedulikan hon yang ditujukan kepadanya. Lagaknya seperti sedang berada di atas litar lumba. Ibarat jalan raya itu, dia yang punya.

Tidak jauh di depannya, ada sebuah motosikal berkuasa tinggi baru keluar dari simpang.

"Hisy! Tak tengok-tengok ke sebelum keluar!" marahnya sambil membunyikan hon panjang dan dia terus mengelak daripada terlanggar penunggang tersebut. Mujur tiada kenderaan dari arah bertentangan. Sempat lagi dia membuat isyarat dua jari yang dihalakan ke wajahnya dan ke arah penunggang tersebut sebagai tanda amaran tidak berpuas hati.

"Sempatlah! Sempatlah!" gumamnya sambil memandang lampu trafik yang sedang menyalakan lampu hijau. Tidak sampai dua kali matanya berkedip, lampu isyarat bertukar merah. "Haaaaih!" Enam harakat panjang keluhannya.

Kurang dari seminit, motosikal berkuasa tinggi yang dihonnya tadi, berhenti di sebelahnya. Melihat kepala yang bertutup penuh dengan topi keledar itu sedang menoleh ke arahnya, dia tahu penunggang itu sedang memandangnya, tetapi dia buat-buat tidak tahu. Dalam fikirannya sekarang, dia harus cepat sampai ke destinasinya.

"Wei! Kau ingat jalan raya ni, mak bapak kau punya ke?"

Izara menoleh sekilas. Serta merta darahnya menyirap. Dia pantang betul dengan orang yang bermain dengan mak bapa. Penunggang itu membuka cermin topi keledarnya menampakkan kening tebal dan sepasang matanya yang berwarna coklat keperang-perangan. Dari cara pandangannya, jelas lelaki itu tidak berpuas hati.

"Haih! Mamat sekor ni! Nasib baik aku kejar masa, kalau tak, memang ada jugalah yang aku flying kick ni!" gerutu Izzara sambil mengetap kuat giginya, malas melayan. Nanti tidak pasal-pasal berlarutan sesi pergaduhan nanti, bertambah lewatlah dia.

"Woih, bro! Kau dengar tak ni? Kau ingat kau ada motor besar, kau boleh suka-suka bawa motor macam kat litar ke? Setakat nak pulas minyak, aku pun boleh buatlah!" bentak lelaki itu lagi sambil memandang motosikal berkuasa tinggi di sebelahnya itu dari hujung ke hujung.

"Poyo!" cemuh Izara dengan suara yang hanya dia sahaja yang dengar sambil memandang lelaki itu dengan hujung matanya yang tertutup dengan cermin gelap topi keledar. Dah hijau! Tanpa berlengah, minyak terus dipulas setelah lampu isyarat bertukar hijau. Beralun-alun bunyi deruman enjin motosikal berkuasa tinggi itu setiap kali dia menukar gear.

"Ooo! Kau anginkan aku ye? Kau tengok kejap lagi aku bagi kau makan asap! Kita tengok siapa lagi hebat!" gumam lelaki itu, lalu dia mengejar motosikal tadi dengan muka yakin.

Izara memandang cermin sisinya dan dia perasan lelaki tadi sedang mengejarnya. Jarak mereka semakin rapat. "Eh, si poyo ni! Tadi cakap orang, sekarang dia pula yang nak tunjuk king atas jalan raya ni!"

Dia membiarkan sahaja lelaki itu memotongnya. Tetapi ketika lelaki itu sedang melepasinya, lelaki itu sempat membuat gaya dua jari seperti yang dia buat tadi.

"Oh! Jadi, memang niat dia nak bakar akulah ni!" Dia rasa tercabar. Lantas, dia memulas minyaknya, tetapi tidak sampai ke tahap maksimum. Setakat 200 kilometer per jam, perkara biasa baginya.

Satu demi satu kenderaan dipotong. Perlumbaan di atas jalan raya yang lurus itu, ditentukan oleh keberanian masing-masing, ibarat nyawa ada dijual dan boleh dibeli di kedai Rm 2.00.

"Haaa! Makan asaplah kau!" ejek Izara sambil ketawa besar sebaik sahaja dia berjaya memotong lelaki itu walaupun pada hakikatnya, motosikal berkuasa tinggi yang dia tunggang itu tiada asap pun, cuma sekadar istilah sahaja. Puas hatinya.

- - - - - -

SETELAH dia memarkirkan motosikalnya di depan sebuah kafe, dia terus berlari masuk ke dalam sambil membuka topi keledarnya.

"Sorry, Niza. Tak sempat tolong kau masak. Aku terlajak tidur tadi lepas subuh. Sorry tau," kata Izara sambil menepuk punggung wanita yang sedang sibuk menyusun bekas-bekas makanan dan minuman yang sudah dibungkus ke dalam bakul raga besar berbentuk segi empat.

"Kelam kabut pun, sempat lagi nak tepuk bontot orang! Takpe, sarapan ringkas je mi goreng dengan ayam goreng. Tu, ada 15 tapau je lagi nak kena buat. Kau siapkan sementara aku susun yang aku dah pack ni," balas Aniza.

"Okey, biar aku siapkan yang 15 tu," kata Izara, lalu dia cepat-cepat membuka sarung tangan dan jaket kulitnya, kemudian dia terus memakai sarung tangan plastik dan memulakan kerja.

"Kau terus gerak sekali dengan aku ke?" soal Aniza.

"Kau pergi dululah. Nanti lewat pula diorang sarapan. Aku terus menyusul lepas aku kemas dapur ni. Tengah hari nanti, kita prepare makanan kat situ je kan?"

"Ha'ah. Untuk makan tengah hari, kita gotong royong masak dengan kakitangan rumah anak yatim dengan penduduk sekitar," jawab Aniza.

Izara mengangguk faham sambil meneruskan kerjanya.

Setelah kerja pembungkusan selesai, Aniza terus menghantar pesanan itu ke rumah anak yatim. Hari ini, kafe yang dikongsi oleh dua bersahabat itu tidak beroperasi seperti biasa, kerana mereka akan berada di rumah anak yatim untuk turut serta dalam program yang dianjurkan oleh pihak penganjur.

- - - - - -

"KAU dah kenapa buat muka macam nak telan orang ni?" soal Johari sambil memicingkan matanya memandang wajah rakannya yang baru tiba di restoran yang biasa mereka kunjungi.

Belum sempat lelaki itu menjawab, seorang pelayan datang ke meja mereka.

"Aku panas betullah dengan samseng jalanan tadi!" bentak Ikhwan sambil menghentak tapak tangannya di atas meja setelah pelayan tadi pergi selepas mengambil pesanannya.

"Wah! panas betul ni," kata Johari sambil tersengih.

"Panaslah! Haihhh!"

"Apa samseng tu buat kat kau? Dia tumbuk kau ke?" soal Johari sambil mengamati wajah rakannya mencari kesan lebam.

Lelaki itu pun mula menceritakan apa yang berlaku tadi. "Kalau aku jumpa lagi budak tu, memang aku tak bagi muka langsung!" bentaknya mengakhiri cerita.

"Kau cakap tadi, motosikal dia sama model dengan kau, kan? Jadi, kalau motosikal korang sama model, bezanya jokilah. Joki kena hati kering, bro! Ni mesti kes kau kecut perut nak pulas habis, kan?" tukas Johari disusuli tawa mengejek.

Ikhwan mendengus. Bola matanya bergerak-gerak menekur permukaan meja. "Kalau aku jumpa lagi budak tu, aku nak cabar dia asah tayar kat jalan ular tu!"

"Kau berani ke race kat situ? Banyak selekoh tu."

"Ni Ikhwanlah, Joe! Jalan tu, tiap hari aku lalu, takda hallah! Jalan lurus tadi, bolehlah dia makan!"

"Itu kalau jumpalah, kan? Ka... lau," balas Johari sengaja menekankan perkataan terakhir.

Tiada balasan daripada lelaki kacak itu. Hanya dengusan sahaja yang terpacul dari mulutnya.

"Hah! Kenapa kau nak jumpa aku ni?" soal Johari.

Ikhwan meraup rambutnya ke belakang sambil menghela nafas panjang. "Aku nak minta tolong kau sebenarnya ni. Urgent!"

"Tolong apa? Kalau aku boleh tolong, aku tolong."

"Kau tahu kan festival peragaan fesyen tu, lusa ni?"

"Haa, kenapa dengan festival tu?"

"Semalam, model aku call aku bagitahu yang dia tak dapat turun nanti, sebab dia kena cacar. Haih! Masa-masa macam nilah nak kena cacar!"

Johari melepaskan keluhan sambil menggeleng. "Kau nak kena panah petir ke persoalkan kerja Tuhan? Dah memang Allah nak bagi dia sakit, nak buat macam mana lagi? Jadi, apa yang kau nak aku tolong? Kau nak aku jadi model baju kebaya dengan baju kurung kau ke?" soal Johari, lalu dia ketawa besar.

"Kalau kau yang jadi model aku, memang tak lakulah baju aku nanti! Tak pasal-pasal aku kena cop geng pelangi. Tak... aku nak kau tolong aku carikan model untuk aku. Manalah tahu ada model-model yang cukup kriteria yang kau kenal, kan?"

"Hmmm..." Johari menyepetkan matanya sambil mengetuk-ngetuk bibirnya menggunakan jari telunjuknya. Wajah seseorang serta merta terbayang di ruang fikirannya. "Aku ada kenal sorang. Kawan lama aku kat uni dulu. Cukup pakej. Cantik, tinggi, body cun dan yang paling penting, dia memang ada pengalaman dalam bab-bab peragaan pakaian ni. Dia selalu ikut peragaan fesyen masa kat uni dulu."

Ikhwan membulatkan matanya kerana teruja. "Serius??? Kau masih berhubung dengan dia ke?"

"Masih. Kadang-kadang, hujung minggu aku lepak kat tempat dia," jawab Johari dengan muka bersahaja.

"Festival tu lusa, sempat ke? Kau jumpa dia hari ni, boleh? Kena confirm awal-awal, takut dia tak nak pula. Kau kena tolong aku, Joe."

"Ya, ya, aku tolong. Esoklah. Hari ni aku tak dapat. Aku out station sampai petang ni. Lepas ni aku gerak dengan bos aku. Jangan risaulah, kalau kawan aku tu tolak tawaran, aku pujuklah dia sampai dia setuju. Demi kawan aku yang bakal dapat gelaran datuk ni," ujar Johari sambil menepuk sisi bahu rakannya yang sudah lima tahun dia kenal itu. "Tapi kau kena ikut aku jumpa dia. Boleh buat tawaran letak harga bayaran dia terus," lanjutnya.

"Hmm, okey, no problem!"

- - - - - -

PROGRAM selesai ketika jam menunjukkan pukul 4.30 petang. Izara dan Aniza tidak terus pulang kerana mereka membantu untuk mengemaskan apa yang patut terlebih dahulu.

"Fuh! Siap pun!" Izara terus duduk di kerusi di tepi pagar untuk menghilangkan kelelahannya.

"Esok kau jadi ke join budak-budak tu picnic kat sungai?" soal Aniza seraya melabuhkan punggungnya di sebelah Izara.

"Boleh ke?" Izara membalas dengan soalan.

"Kenapa pula tak boleh?"

"Yelah, manatahu kau tak boleh handle kafe, kan? Takkan aku sibuk beriadah, kau pula struggle kat kafe tu."

"Pergi jelah. Aku okey je. Kau kan memang selalu spend masa dengan budak-budak tu. Lagipun, Dilah dengan Masni ada. Aku cakap kat diorang, hari ni je cuti," balas Aniza.

"Haa... yelah. Eh! Jomlah balik. " Izara segera berdiri, lalu dia terus menuju ke motosikalnya.

- - - - - -

"HISYYY! Jamlah pula! Kat depan pun ada dua traffic light lagi. Ikut shortcut jalan ular tulah."

Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, Izara terus membelok menuju ke jalan pintas yang dimaksudkannya tadi.

Izara menyanyi-nyanyi sepanjang perjalanan dengan lagak santai. Dia memandu pada kelajuan sederhana kerana dia tidaklah kelam kabut hendak sampai ke rumah, cuma dia malas hendak menunggu lama di persimpangan trafik sahaja.

Tiba-tiba, bunyi deruman enjin motosikal yang dipulas-pulas di sebelahnya membuatkan dia terkejut. Mujur sahaja dia bukan jenis orang yang cepat melatah. Kalau tidak, mungkin menuju ke jalan alam barzakhlah dia... masuk gaung.

Izara mendecit dengan muka meluat. "Haih! Si poyo ni lagi!"

Lelaki itu memulas-mulaskan minyaknya sebagai isyarat hendak berlumba. Bukannya dia tidak faham akan maksud isyarat begitu.

"Tak puas hatilah tu kalah tadi!" gumam Izara, lalu dia membuat isyarat okey dengan tangannya, kemudian dia pun turut memulas-mulaskan pemulas minyaknya. Perlumbaan pun bermula di jalan yang banyak selekoh yang kurang kenderaaan itu.

Pada mulanya, Izara sengaja membiarkan lelaki itu mendahuluinya. "Ajak orang berlumba, ingatkan pro. Tengok cara ambil lap pun macam budak baru merangkak," ejek Izara.

Sampai di selekoh terakhir sebelum keluar ke jalan besar, Izara terus meningkatkan kelajuannya. Dengan selamba dia memotong lelaki itu di selekoh yang paling tajam di jalan itu.

"Makan asap lagi kau, poyo!" ejek Izara, lalu dia mengurangkan kelajuannya ketika dia sudah berada di jalan lurus.

Lelaki tadi membuka cermin topi keledarnya sambil menuding ke arah tepi jalan. "Berhenti kat situ!"

"Eh! Apa hal pula si poyo ni! Nak ajak bertumbuk ke? Boleh juga! Dah lama aku tak praktik seni silat aku ni," gumam Izara, lalu dia pun memberhentikan motosikalnya di tepi jalan yang sunyi itu.

"Kau saja je nak cari pasal dengan aku, kan?" bentak lelaki yang sudah berdiri di sebelahnya. "Buka helmet kau! Aku nak tengok muka pecah rumah mana yang cari pasal dengan aku ni!" bentak lelaki itu lagi.

"Eh! Ikut sedap mulut dia je cakap aku muka pecah rumah!" gumam Izara, lalu dia membuka topi keledarnya. Rambut ikalnya yang panjang hampir separas pinggang itu pun, terurai. Bau wangian rambutnya menebar menusuk rongga hidung. "Siapa yang cari pasal? Kau ke aku?!" bentak Izara sambil meletakkan topi keledarnya di atas tangki minyak, lalu dia turun dari motosikalnya dan dia berdiri tepat-tepat di depan lelaki itu.

"Kau..." Mata lelaki itu tidak berkedip buat sejenak kerana tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya sekarang.

"Kau cakap aku cari pasal? Pagi tadi, siapa yang keluar simpang tak tengok-tengok, hah? Lepas tu, kau rem motor kau di sebelah aku, sengaja nak bakar aku, kan? Sepatutnya, kalau kau biker sejati, habislah di situ lepas kau kalah! Ni, tak... Tadi, kau tiba-tiba muncul entah dari celah mana, tiba-tiba ajak aku lumba lagi. Dah kalah, kau cakap aku pula yang cari pasal? Kalau dah kalah tu, kalahlah!" Panjang lebar Izara menghamburkan ketidakpuasan hatinya.

Ikhwan berdeham. "Perempuan rupanya. Aku ingat mat pecah rumah manalah yang acah-acah king atas jalan ni. Masalahnya, pagi tadi, kau bawa motor tu macam kat litar lumba. Membahayakan orang lain, faham tak?! Kau ingat jalan raya ni kau punya ke?"

"Ya, aku punya! So, what?" balas Izara sambil menjegilkan matanya dan bercekak pinggang. Sengaja menyimbah minyak di atas api yang sedang marak.

"Nilah masalahnya orang perempuan ni! Tak boleh kena tegur. Ego!"

"Okey, kalau macam tu, saya mewakili wanita ego sedunia nak cakap kat kau, jangan tegur orang perempuan. Kau diam je... okey? Dahlah! Buang masa aku je bercakap dengan orang poyo macam kau ni!" Izara terus naik di atas motosikalnya dan memakai semula topi keledarnya.

"Kau cakap aku poyo?" soal Ikhwan sambil menghalakan jari telunjuk ke wajahnya sendiri dengan mata membulat tidak berpuas hati.

"Kau nak aku ulang ke? Po... yo!" ujar Izara, lalu dia menekan butang merah untuk menghidupkan enjin motosikalnya. "Poyo!" ulangnya lagi, lalu dia cepat-cepat menutup cermin topi keledarnya dan dia terus memecut meninggalkan lelaki itu terpinga-pinga di situ.

"Heilah! Kecik besar kecik besar je aku tengok perempuan ni! Nasib baik perempuan! Kalau tak, memang aku dah bagi sebiji ni kat muka!" gumam Ikhwan sambil mengangkat penumbuknya.

- - - - - -

"APA kita buat kat sini, Joe? Kau cakap nak bawa aku pergi jumpa kawan kau, kan?" soal Ikhwan dengan kerutan di dahi sambil memandang Johari yang sudah melepaskan tali keledarnya selepas mematikan enjin kereta.

"Nak jumpa dialah ni. Aku call dia pagi tadi, dia cakap dia kat sini. Dia memang selalu spend masa dengan budak-budak kat sini," jelas Johari. "Dah, jomlah keluar."

Mereka duduk di dalam sebuah pondok kecil di kawasan tempat perkelahan itu. Di depan mereka, ada sekumpulan kanak-kanak dan remaja yang sedang bermandi-manda.

"Mana satu dia?" soal Ikhwan sambil memandang ke arah sekumpulan manusia yang sedang bermandi-manda di depan mereka.

Johari melilau-lilau ke sekeliling mencari sosok tubuh seseorang. "Haa, tu dia. Yang kat lubuk bahagian hujung tu," ujar Johari sambil menuding ke arah yang dimaksudkannya yang agak jauh dari kedudukan mereka.

Spontan Ikhwan membulatkan matanya selepas dia melihat aksi terjunan orang yang dimaksudkan oleh rakannya itu. "Kau biar betul, Joe! Aku nak cari model untuk peraga baju aku, bukan nak cari model terjun air! Tu... siap dengan backflip frontflip lagi. Ahli gimnastik ke apa? Salah model kau ni!"

Terhambur tawa besar Johari. "Kau tak kenal dia lagi, Wan. Dia nilah satu-satunya perempuan yang aku kenal kat muka bumi yang serba boleh. Semua benda dia boleh. Macam aku cakap kat kaulah. Cukup pakej. Cantik, tinggi, langsing dan yang hebatnya, semua yang orang lelaki buat, dia boleh buat. Pendek kata, serba bolehlah," terang Johari panjang lebar. "Kau tunggu sini. Aku pergi panggil dia kejap," ujarnya lagi, lalu dia terus berdiri dan berjalan menuju ke tempat kawan lamanya itu.

Selang beberapa minit, Johari kembali ke pondok. "Tunggu kejap, dia pergi salin pakaian."

"Hmmm... kau rasa-rasa, dia terima ke tawaran aku ni?" soal Ikhwan.

"Kejap lagi kita tahu," balas Johari. Mereka terus bersembang sementara menunggu orang yang dinantikan oleh mereka.

"Haa, Joe. Ada apa yang penting kau nak jumpa ni?" kata satu suara wanita dari belakang, membuatkan dua orang lelaki itu serentak menoleh.

Serentak mereka membulatkan mata masing-masing. Terkejut.

"Kau???" Jari telunjuk dihalakan ke wajah sesama sendiri.

"Korang kenal ke?" soal Johari sambil mengerutkan dahinya memandang wajah dua orang rakannya itu silih berganti.

Share this novel

Hawani Hashim
2023-08-11 23:28:52 

Hari ni xada new chapter ke


NovelPlus Premium

The best ads free experience