BAB 11

Romance Completed 20321

Berdebar-debar jantungnya entah mengapa. Tudung bawal dibetulkan kedudukannya. Durrah mencuri-curi pandang ke arah satu susuk tubuh yang sedang khusyuk membaca novel misteri di atas buaian. Buku novel di tangannya dipeluk kemas dengan nafas yang dihembuskan perlahan. Sejak akhir-akhir ini Raid seperti mengelak daripada berbual kosong dengannya dan Raid hanya mengukir senyuman tanpa sepatah kata. Mungkinkah dia ada melakukan kesilapan hinggakan Raid tidak ingin berbual dengannya?

“Raid…”

Tersentak. Raid bingkas bangun dan mengatur langkah untuk masuk.

“Raid, kenapa awak elakkan diri daripada saya? Apa salah saya?”

Lelaki itu menghentikan langkah dan mengeluh lemah. Tidak ada apa-apa lagi yang perlu dikatakan dan dibincangkan bersama-sama Durrah. Wajah Durrah tidak mampu untuk dia pandang, bimbang ego setinggi gunung yang dibinanya akan runtuh dan seterusnya dia akan hanyut dengan perasaan yang sudah lama dia pendamkan. “Awak tak buat salah pun, dan saya rasa saya tak perlu berbincang apa-apa dengan awak. Sepatutnya, awak jumpa dengan Imtiyaz! Bukankah awak cintakan dia? Bukankah awak ambil berat soal dia selama ni? Awak sendiri tahu yang dia masih menunggu jawapan sebenar daripada mulut awak tapi kenapa awak tak luahkan perasaan awak tu? Binalah hidup baharu dengan dia. Binalah hidup yang lebih bahagia dengan lelaki seperti dia,” katanya tenang walhal sakitnya hati hanya Allah yang faham.

Luluh. Hancur. Hatinya tersiat kejam mendengar ayat demi ayat seperti pisau yang menikam tepat ke dada yang semakin sebak. Durrah yang tidak dapat mengawal esak tangisnya pantas menghampiri dan berdiri betul-betul di hadapan Raid. Air mata usah dikata, sememangnya akan gugur pada waktu-waktu sebegini.

“Awak ingat saya ni apa? Saya bukannya barang yang senang-senang boleh diserahkan kepada sesiapa! Saya pun ada hati dan perasaan, jadi tak akanlah saya nak paksa diri sendiri untuk menerima orang yang telah buang saya? Lagi satu, tiada apa yang berbeza di antara Imtiyaz dengan lelaki-lelaki lain. Semua orang tak sempurna, Raid. Begitu juga dengan Imtiyaz sendiri,” tuturnya hiba. Kecewa kerana Raid tegar menyuruhnya untuk rujuk dengan Imtiyaz sedangkan nama lelaki itu sudah terpadam dari hati.

“Saya tak cakap pun yang awak tu barang, apa yang saya cuba katakan ialah saya nak awak bahagia! Bahagia dengan kehidupan awak, Durrah! Saya tak sanggup tengok awak menangis kerana seorang lelaki yang tak reti menghargai. Saya tak rela tengok perempuan yang saya anggap seperti adik saya sendiri terseksa dan menderita kerana ditinggalkan. Imtiyaz itu baik, awak sendiri yang cakap macam tu kepada saya. Jadi saya nak awak hidup dengan dia… mulakan hidup baharu dan tutup buku lama…”

“Bukan semudah itu,” sampuk Durrah. “Saya tak akan kembali kepada dia.”

“Kenapa awak degil sangat?! Kenapa awak tak nak dengar apa yang saya cakapkan dan mulakan hidup baharu, hidup yang jauh lebih bererti daripada sekarang? Siapa lagi yang awak tunggu sampai awak tak nak terima Imtiyaz semula?” soal Raid tidak puas hati. Inilah satu-satunya sikap yang dia kurang senang tentang Durrah. Degil, ya Rabbi!

Durrah memandang anak mata Raid. Lama. “Awak nak tahu siapa yang saya tunggu? Awak… awak tahu tak yang saya… saya tunggu awak? Orang yang saya tunggu selama ini bukannya Imtiyaz, tetapi lelaki seperti awak.”

Terlepas buku novel dari genggaman, jatuh mencium tanah. Dunianya seakan-akan gelap sejenak dan Raid hampir sahaja terjelopok di situ juga. Bibirnya terketar-ketar dan suara tersekat di kerongkong. Ya Tuhan, adakah aku sedang bermimpi dan semua ini hanyalah mainan tidur semata-mata? Mata Raid sedikit berkaca namun segera dibuang jauh-jauh perasaan aneh yang sekali lagi mengetuk pintu hati yang dikunci. Raid tersenyum sinis sebelum mengutip semula novelnya. “Kalau itu jawapan awak, saya rasa awak dah tersalah pilih lelaki untuk ditunggu. Awak tak akan dapat jawapan daripada saya, dan itu adalah muktamad.”

Durrah mengalirkan air mata.

“Awak cakap awak tak nak saya menangis, kan? Tapi awak yang buat saya menangis kerana menunggu awak. Kenapa awak perlu layan saya dengan baik di hospital sedangkan awak tahu, layanan sebegitu boleh membuatkan saya jatuh hati dengan tingkah awak?” balasnya sebak. Pipi yang basah diseka. Wajah Raid yang ternyata terkejut dengan jawapannya menjamah ruangan mata. “Imtiyaz ialah masa silam saya. Allah dah tulis yang dia bukan jodoh saya tapi Allah tetapkan hati saya untuk tertarik dengan perbuatan awak, dan bukannya kerana paras rupa awak semata-mata. Saya minta maaf tapi… saya sukakan awak, dan saya dah anggap awak seperti abang saya sendiri. Sejak awak jaga saya di hospital, saya mula sukakan awak, lebih daripada seorang kawan.”

Abang? Gugur juga jantung dan organ-organ dibuatnya. Suara lunak itu mendatangkan debaran yang menggila di jiwa. Raid terdiam lama. Tidak tahu hendak memberikan respons. “Saya… saya tak layak untuk awak,” jawabnya untuk memastikan agar Durrah tidak menabur sebarang harapan terhadapnya. Harapan palsu yang mungkin akan menghampakan Durrah setelah dikecewakan oleh Imtiyaz. Sungguh! Dia tidak mahu Durrah bersedih lagi.

“Mana awak tahu? Awak ada buat ujian DNA ke?” Durrah memerli.

Raid mengeluh berat. “It’s not funny. Just hate me and love someone else.”

“Awak tahu tak yang saya tak boleh? Kalau bukan kerana awak saya dah lama hanyut dengan kesedihan saya, Raid! Kalau bukan kerana semangat dan nasihat awak, mungkin saya tak akan jadi setabah ini untuk berjumpa dengan Imtiyaz. Awak sumber kekuatan saya. Awak yang tolong dan menghulurkan bantuan kepada saya sejak beberapa bulan yang lepas. Salahkah untuk saya wujudkan perasaan suka untuk awak?”

Sekali lagi lelaki itu terkedu. Terkedu kerana Durrah begitu berani meluahkan semuanya. “Saya tolong awak kerana awak tu kawan saya, tidak lebih daripada itu.”

Durrah yang mendengar semakin terhiris sekeping hati miliknya. Jawapan ringkas yang begitu mencucuk-cucuk jiwa dan dada dan memaksa dia untuk menganggung kesakitannya. Terus dia berlari masuk ke dalam rumah, meninggalkan Raid yang masih berada di halaman. Raid meraupkan wajahnya dan memandang ke langit. Apa yang harus aku lakukan, ya Jabbar?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience