Bab 56: Berderai

Romance Series 20066

LANGKAH berat diatur menuju ke meja makan. Muka yang sudah sedia penat dipasang tak berperasaan. Sekarang ni tujuannya hanya satu. Iaitu kenyangkan perut yang dah menjerit minta diisi.

Kalau tak disebabkan lapar, memang tak adalah Damia tu nak makan sekali dengan Syafiq kat ruang makan ni. Tapi dia kena juga ikutkan kehendak perut. Lantaklah tengah marah kat suami pun.

Suami panggil makan berkali-kali, Damia buat tak endah. Tapi akhirnya Damia kecundang juga. Bila si suami ada sebut makanan yang diidam, mulalah ego Damia jadi goyah. Last sekali, apa yang dia buat? Kena hadaplah makan sekali dengan encik suami walaupun seharian dia tunjuk rajuknya tu kat Syafiq.

Kelmarin, lepas suaminya tu pulang dari jaga Pak Ya di hospital, sanggup tu Damia berkurung dalam bilik. Yang dia makan pun, hanyalah stok keropok dan roti berinti. Bolehlah untuk alas perut.

Semalam tidur pun, asing-asing. Bila Syafiq nak masuk bilik, tiba-tiba pintu terasa dikunci dari luar. Nak tak nak, terpaksalah Syafiq tidur kat atas sofa di ruang tamu. Itu denda yang Damia tuju kat kau, Syafiq.

Tapi untuk malam ini, Damia dah tak tahan. Damia terpaksa bersemuka dengan suaminya. Perutnya mahukan sesuatu yang lebih mengenyangkan.

Tak apa, untuk malam ni, Damia kasi peluang makan dengan suaminya. Semuanya sebab nafsu lapar dan rasa mengidam yang dah lama membakar dalam hati. 

Damia labuhkan punggung di atas kerusi. Suaminya tu dah layan dia macam tuan puteri pulak. Siap tarikkan kerusi sambil cedokkan makanan. Mestilah demi memohon maaf dan menebus kesilapan diri. 

Syafiq pun sedar silapnya. Lebihkan orang lain daripada isteri sendiri. Tapi dah sedia maklum kan yang dia tu terpaksa? 

Bukan sengaja dia memilih Pak Ya mahupun Najihah. Bukan sengaja dia abaikan Damia. Tapi, dia juga kena bertanggungjawab sama rata kepada mereka. Mereka semua tu, keluarga Syafiq.

Kalau dia tak bawa Pak Ya kat hospital kelmarin, entah apalah yang jadi nanti. Nasib baiklah kecederaan Pak Ya tu tak terlalu kritikal. Kena tahan wad untuk sehari aje. Tu pun sebab tulang kakinya retak.

Pak Ya tu penghidap diabetes. Jadi, sendi, tisu dan tulang kaki memang dah sedia lemah. Kalau terhentak atau terlanggar sesuatu dengan kasar, memang senanglah nak cedera.

Okeylah. Pasal isu Pak Ya, Syafiq akan ketepikan dulu. Najihah pun ada pesan, yang dia sendiri akan uruskan Pak Ya sepanjang Pak Ya sakit ni. Sekarang Syafiq perlu mulakan langkah untuk mencantum semula segala yang berderai. Ya, hubungan dengan isterinya.

Damia masih senyap tapi matanya tepat memanah ke arah mangkuk yang tersedia di atas meja. Mangkuk berisi bubur pulut hitam. Makanan yang dia idamkan sejak bulan lepas.

Pandai kau, Syafiq. Nak pujuk hati isteri, hidanglah makanan yang isterinya hajatkan. Sampai sanggup tu dia memecut mencari bahan memasak walaupun dah lewat petang. 

Bila Syafiq sebut je ada hidangan tu tadi, memang runtuhlah keegoan Damia. Sebab tu la dia macam dah kena pukau, ikut aje Syafiq tu. Tapi takkan sekali-kali dia biarkan Syafiq tu lupa akan kelakuannya.

Damia makan bersama-sama ni, bukan bermaksud dia mengalah. Dia masih marah dengan suaminya tu. Minta maaflah sampai kehabisan suara pun, Damia takkan peduli. Damia datang ke meja makan ni hanyalah menurut kehendak perut, bukan kehendak hati.

"Makan, sayang. Nanti kosong perut tu." Syafiq terus pelawa makan. Sekarang ni, dia biarkan dulu isterinya tu menjamah makanan yang sedia ada di depan mata. 

Damia tak hiraukan suaminya. Kena pelawa atau tak, dia mesti bedal punya hidangan kat depan tu. Jadi, tangannya laju aje capai mangkuk yang berisi dengan bubur pulut hitam. Kunyahan dimulakan dengan bismillah dulu.

"Bubur tu abang masak tau. Sedap tak?" sambung Syafiq lagi. 

Sedap. Memang sedap. Damia tak nafikan itu. Tapi Damia takkan akui depan-depan. Biar ajelah Syafiq tu jawab soalannya sendiri. Ingat Damia nak layan?

Memang bertuah betul Damia dapat suami macam Syafiq tu. Pandai masak. Bubur pulut hitam tu, semua Syafiq sediakan sendiri. Lepas aje balik dari rumah Pak Ya, terus dia bersilat kat dapur. Dapatlah seperiuk kecil bubur tu. Kalau tak habis, bolehlah tahan sampai pagi esok. 

Sebab tu la Damia jadi macam berat punggung nak memasak. Kadang suaminya tu dah sediakan semuanya dah kat dapur. Damia tu hanya tinggal makan aje. 

Syafiq hela nafas. Terguris jugalah hatinya apabila soalannya disambut sepi tapi tak mengapa. Tengok isterinya menjamah air tangannya sendiri pun, itu sudah cukup buatkan dirinya lega. 

"Pak Ya sihat dah ke? Kenapa abang tak jaga dia?"

Syafiq terus angkat wajahnya. Tumpuan diberi kepada isterinya. Tadi tu, memang soalan tu terpacul dari mulut isterinya tu. Akhirnya Damia buka juga suaranya.

Tapi ... soalan yang ditanya tu penuh dengan nada sinis sekali. Ketara Damia mahu memerli.

Tapi Syafiq tak ambil hati. Dia akan jawab dengan sebaik mungkin. Dia sendiri yang nakkan hubungan mereka berbaik semula, takkan kena perli dengan isteri, terus nak melenting, kan?

"Pak Ya retak kaki aje. Keadaan dia tak adalah teruk sangat. Lepas ni abang pergi rumah dia dan jaga dia setiap petang macam biasa." Lembut Syafiq menjawab. 

Damia macam tak ambil peduli langsung dengan jawapan suaminya. Matanya kekal fokus ke arah mangkuk bubur yang tersisa separuh. Nampak lapar betul dia sampaikan dah nak habis bubur tu. Mengidam punya pasal.

"Err ... sayang. Boleh abang tanya satu benda?"

Damia masih lagi tak beri reaksi. Angguk tak, geleng pun tak. 

"Sayang pergi scan kelmarin tu, ada apa-apa yang boleh abang tahu? Anak kita sihat tak? Jantina pun abang nak tahu jugak." Walaupun tak dapat apa-apa 'green light' daripada isteri, Syafiq tetap terus ajukan soalannya.

Sambil kunyah, Damia angkat kening. Hmm ... peduli pun pasal anak sendiri. Ingat dah lupa tanggungjawab.

"Baby sihat je. Pergerakan dia, semua normal. Lepas scan, doktor bagitahu yang baby kita tu baby boy. Damia pun ada rakam pergerakan baby tu dari skrin. Video tu ada dalam phone." 

Syafiq nampak tersenyum dengan berita yang disampaikan isterinya. Alhamdulillah! Memang dia betul-betul gembira sekarang ni. Dan mesti, isterinya tu lagi gembira. Ye la, isterinya tu kan nak anak lelaki sebagai anak sulung. Jadi, hajatnya bakal tercapailah nanti.

Bila isterinya mampu menjawab soalannya tu, nak aje Syafiq bagi pelukan hangat kat isterinya. Dan cakap pasal video kandungan tu, Syafiq nak juga tengok walaupun bukan secara langsung. Tengok recording melalui telefon Damia pun, sudah cukup.

"Tapi macamlah abang nak tengok video anak kita tu. Abang kan macam dah tak peduli kat Damia dan baby. Jadi Damia record video tu, untuk tatapan sendiri ajelah jawabnya," tambah Damia lagi padahal suaminya tu baru nak menyambut rasa gembira.

Senyuman Syafiq terus melekang. Serta-merta. Berganti dengan wajah yang penuh sedih dan kecewa. Isterinya memang sinis dengannya dari tadi. Tak habis menyindir.

Marah sangat ke dia kat aku sampaikan dia buat aku macam ni? Aku cuba berbaik dengan dia, tapi sebab apa dia layan aku acuh tak acuh? Rintih Syafiq dalam hati.

Salah ke dia berbuat baik kepada Pak Ya? Salah ke dia mahu rasa terhutang budi kat keluarga Pak Ya? 

Senyap. Kedengaran di sekitar itu hanyalah bunyi kipas berpusing aje. Dentingan sudu di mangkuk, hanyalah menjadi selingan.

"Abang minta maaf sebab dah banyak sakitkan hati sayang," ucap Syafiq tiba-tiba. Getar suaranya kedengaran jelas. 

Beku. Perkataan tu menggambarkan kedua-dua wajah dan tingkah laku Damia sekarang ni. Wajahnya tak beriak apa-apa. Tangan yang menggenggam sudu, juga kaku tak bergerak lepas aje Syafiq tuturkan ucapannya.

Huh! Maaf lagi? Buat salah berkali-kali, tapi minta maaf hanya sekali saja? Ingat dengan sekali maaf tu, mampu memadamkan api amarah yang terbakar dalam hati Damia ke? 

Damia ketap bibir. Sepatutnya kalau orang minta maaf, lembutlah hati yang mendengar. Tapi Damia? Makin berasap telinga dia.

"Tak payahlah minta maaf berjuta kali kat Damia. Damia dah muak. Ye la, Damia ni kan isteri je. Jadi isteri pun, bukannya sempurna sangat. Sebab tu la suami sendiri sanggup lebihkan orang lain daripada isteri sendiri," sindir Damia lagi. Memang tajam sindirannya tu. Mampu menusuk dalam hati.

Tak peduli perasaan suami. Tak ambil kisah akan posisinya sebagai isteri. Sanggup dia berkata begitu kepada seorang suami. Menjawab itu satu. Lepas tu dengan cara sarkastik lagi. Dia pun malas nak tengking dan tinggi suara dah. Buat sakit tekak aje nanti.

Syafiq kepulkan kesabaran yang tersisa dalam hati. Anggap ajelah ni hukuman buatnya. Ya, kalau dia tak biarkan isterinya pergi scan ditemani Zaid kelmarin, mungkin hal macam ni takkan berlaku.

"Abang mengaku abang salah pasal hal kelmarin. Tapi sayang jangan macam ni. Jangan marah lama-lama kat abang. Abang masih lagi suami sayang. Abang masih ingat akan tanggungjawab abang dan takkan sekali-kali abaikan sayang dan anak kita. Cuma kelmarin aje abang terpaksa."

Terpaksa. Itu ajelah perkataan yang diulang-ulang. Eleh, terpaksa atau diri sendiri yang memaksa? Nak bagi alasan pula. Getus Damia dalam hati. Geram.

Malas nak dengar suaminya menceceh lebih-lebih, Damia bangun dari kerusi. Tangan kiri dibawa mengusap perut. 

Bila tengok aje mangkuk buburnya tadi, sudah licin. Hmm ... jadi urusan makannya kat atas meja ni dah selesai walaupun rasa lapar masih tersisa. Ingat nak tambahlah lagi bubur tu tapi dia tak gamaklah nak berlama kat sini dengan suaminya. Rasa rimas! 

"Terima kasihlah untuk bubur tu. Damia masuk bilik dulu." Damia beredar pergi dari dapur. Apa yang suaminya ucapkan, semua tak dibalas. 

Syafiq terus sandarkan badannya pada kerusi. Kalau nak hentikan, memang takkan berhasil. Jadi dia biarkan ajelah isterinya tu pergi. 

Damia tu, kalau Syafiq minta maaf, memang dia paling tak suka. Tapi kalau tak minta maaf, nanti Damia tu fikir apa pula, kan? Mesti dia fikir Syafiq ni tak mengakui kesalahan.

Mangkuk kosong isterinya yang ditinggal begitu saja dipandang lama. Sedih tapi mangkuk licin tu mampu membantutkan rasa sendunya. Sekurang-kurangnya, bubur yang dihidang khas untuk isterinya tu habis dijamah.

Apa lagi yang Syafiq boleh buat? Takkan nak hadap aje semua macam ni? Kalau dia anggap semua ni hukuman, tapi sampai bila hukuman ni berlangsung? Dia pun tak sanggup berlama macam ni. Dilayan dingin dengan isteri sendiri.

Boleh jadi gila jawabnya. Buat itu tak kena, buat ini tak kena. Tapi dia tak boleh berputus asa. Setiap masalah, pasti ada cara selesaikannya.

Syafiq tetap yakin, yang hubungannya dengan Damia pasti boleh diperkukuhkan semula. Marah Damia tu masih membara. Jadi Syafiq akan tunggu sehingga amarah isterinya meluntur. Waktu tu, Syafiq akan mulakan langkah.

Tak kisahlah nak minta maaf ke, nak berpujuk rayu ke, janji dia akan buat sesuatu untuk isterinya. Untuk hubungan mereka. Itu saja.

*****

Rasa pening tiba-tiba macam nak pengsan. Nasib baiklah rasa tu kunjung tiba sebelum Damia pergi kerja. Kalau dah sampai kerja nanti, mesti huru-hara jadinya kat sana. Macam apa yang pernah dia alami masa mula-mula mengandung dulu.

Mujur ada suaminya tu. Syafiqlah yang bawakan Damia ke klinik berdekatan. Tengok isterinya tu, dah lemah semacam. Muka pucat tak bermaya padahal dah agak lama Damia tak alami simptom sebegitu.

Pergi klinik, doktor cakap Damia tu hanya alami hipertensi aje. Secara tepatnya, Damia alami tekanan darah tinggi ketika hamil. Punca, mestilah sebab stres dan kurang makan. 

Gila tak stres? Bergaduh dengan suami tak berpenghujung, lepas tu makan pun ala kadar aje. Memang diserang sakitlah Damia tu. Bukan diserang, tapi diri sendiri yang sengaja cari penyakit. Mungkin ini balasan untuk dia? 

Kalau tak disebabkan Syafiq, mungkin dah terlentang pengsan Damia tu. 

MC dari doktor pun sudah dapat. Jadi hari ni Damia tak perlu bekerja. Syafiq pun dah beritahu kat Zaid pasal hal ni walaupun dia macam tak senang nak berbual dengan Zaid tu melalui telefon.

"Sayang lepas ni berehat je tau. Jangan skip makan. Tahu sayang masih marahkan abang lagi tapi tolonglah pedulikan pasal kesihatan sayang dan kesihatan baby." Keluar je dari pintu klinik, Syafiq terus bagi nasihat. Tangannya kekal memimpin si isteri yang masih separa lembik tu.

Kesian dia tengok isterinya macam tu. Tahu isterinya dah banyak sakitkan hatinya tapi rasa macam apa yang isterinya lalui, terlalu berat pula. 

Dahlah tengah pregnant. Lepas tu berat memikul masalah kerja dan rumah tangga lagi. Syafiq pun tak naklah tambahkan beban isterinya tu. Buat masa sekarang, dia tak nak bincang dan berbual tentang perkara yang boleh mendatangkan peperangan.

Damia sebenarnya masih marah dan meluat dengan suaminya tu. Tapi tengok suaminya tu macam caring kat dia sikit, menempellah juga Damia tu di sisi suami. Ye la, takkanlah dia nak menangkan ego, lepas tu berjalan seorang diri tanpa bantuan suami, kan? Dahlah badannya terasa lemah lagi.

Syafiq hentikan langkahnya seketika. Sontak Damia pun menjeda juga langkahnya. Dia pandang muka Syafiq di sisi, nampak wajah lelaki tu terteleng-teleng terhala ke arah tempat letak kereta.

"Sayang tunggu sini kejap boleh? Abang nak ambil kereta datang sini sekejap." Syafiq segera seluk kunci di dalam poket. 

Tadi waktu datang ke klinik ni, dia ada letak keretanya tu kat parkir. Tapi tulah, jauh dari klinik tu. Sebabnya, tadi parkir kat depan klinik tu penuh. Jadi, jenuhlah mereka suami isteri nak berjalan. Dahlah cuaca tengah panas. 

Damia hanya angguk, tak keluarkan suara. Walaupun lemah, tapi setakat nak berdiri, bolehlah diterima lagi. Dia sanggup berdiri kat tempat teduh dari berjalan tengah panas menuju masuk ke dalam kereta. Tak pasal-pasal rasa pening datang menjelma kembali.

Fuh! Bahangnya tak terkata. Inilah bumi Malaysia.

Syafiq terus berjalan tinggalkan isterinya bersendirian. Sambil bersandarkan bahu di dinding, Damia rehatkan tubuhnya sambil menghantar panahan anak matanya ke arah suaminya tu. 

Suaminya tu memang sayangkan dia tapi betul ke apa yang suaminya buat sekarang ni semata-mata kerana sayang? Bukan kerana nak raih kemaafan Damia? Mulalah Damia bergelut dengan diri dalamannya. 

"Damia."

Kurang dari 0.01 saat Damia segera toleh ke belakang. Reaksi terkejut dan tindakan refleks bergabung sekali gus. Namanya dipanggil seseorang, habis fikirannya yang bercelaru tadi segera melayang.

Bila dia toleh ke belakang, matanya membesar sedikit. Itu ... Hanim!

Tak sampai seminggu dia bertemu dengan Hanim kat klinik yang dia pergi scan baby hari tu, hari ini dia bersua semula dengan kawannya tu. Dunia ni memang kecil aje, kan? Alih-alih dan pusing-pusing, jumpa orang yang tu jugak.

Damia bukan apa, dia okey aje kalau nak berjumpa Hanim secara tiba-tiba macam ni. Tapi tengok keadaan jugalah. Sekarang ni, dia tengah datang sini dengan suaminya. Tu yang buat Damia rasa cuak semacam.

"Hanim. Ka ... kau buat apa kat sini?" tanya Damia berlakon mesra. Tapi rasa cemas tak dapat diselindung.

"Aku beli makanan. Singgah beli nasi kandar kat hujung kedai tu jap. Tapi tak sangka boleh terjumpa kau kat sini," ujar Hanim. Damia pun hanya angguk aje.

Haraplah perbualan mereka tamat sampai situ. Dia pun tak nak bersembang dengan Hanim lama-lama. 

Kalau suaminya tu datang sini balik, habislah Damia. Dia tak boleh biarkan Hanim bertemu Syafiq. Nanti mesti banyak soalan keluar dari mulut Hanim ni.

Siapa laki tu?

Ha, waktu tu memang menggelabah kuasa dualah Damia. Takkan nak mengaku suami? Sudahlah dia dah mengaku yang Zaid tu sebagai suami 'palsu'nya tempoh hari. Nanti tak pasal-pasal Hanim tu fikir yang Damia ni simpan skandal.

"By the way tadi masa aku keluar kedai, aku ada nampak sorang laki pimpin kau. Mana dia?" Kepala Hanim terus menerewang ke segala arah. Ya, dia tak salah ada seorang lelaki bersama Damia tadi. Siap berkepit berdua-duaan lagi.

Tengok gaya, memang rapat. Dah macam suami isteri. Tapi nak kata tu suami Damia, macam lain pula. Suami Damia yang datang sekali kat klinik hari tu, nampak tinggi lagi daripada lelaki yang Hanim nampak tadi.

Muka Damia terasa kejung. Urat kat wajahnya terasa berselirat. Dia tak mampu pancarkan sebarang reaksi sekarang ni. 

Otaknya pun dah macam kena block dari melontar segala jawapan. Terpaksalah dia menipu lagi.

"Err ... lelaki? Ada ke? Aku rasa kau silap tengok ni."

"Eh? Mana ada. Memang tadi aku nampak kau dengan sorang laki. Nak kata suami kau, tapi macam bukan. Kawan kau ke?" 

Lagi sekali Hanim serkap jarang. Selagi tak dapat jawapan, selagi tu dia takkan beredar. Bukan apa, saja mahukan kepastian. 

Kalau Damia tu datang seorang, bolehlah dia tumpangkan Damia balik. Kalau Damia tu datang dengan orang lain, batalkan sajalah niatnya tu. Senang.

Damia makin cuak. Otaknya menggerutu cuba meraih kata jawapan. Lebih tepatnya, jawapan palsu. Kalau dia cuba mengelak menjawab, nanti makin menjadi-jadi pula syak wasangka Hanim ni. Dahlah Hanim ni jenis kepoh sikit.

"Aaa ... umm ... tadi tu abang aku." Damia jawab tanpa berfikir panjang. Sekarang ni dalam hatinya dia dah berdoa panjang-panjang. Semoga Hanim tu tak banyak tanya.

Kening Hanim terjongket ke atas. Hampir bertemu kedua belah keningnya tu. "Abang? Sejak bila kau ada abang? Bukan ke kau ada kakak je ke?"

Macam kena tembak Damia ketika itu. Sekarang ni Damia rasa macam dia nak terjun sungai aje. 

Bodoh! Kenapalah aku main cakap Syafiq tu abang aku? Kan dah mendapat. Maki Damia sendiri.

Hanim tu kan pernah datang sekali dua ke rumah Damia masa sekolah dulu. Mereka pun agak rapat juga sebab tulah Hanim tahu juga tentang susur galur keluarga Damia. 

Kematian ayah semasa berumur 13 tahun. Lepas tu ada seorang ibu dan seorang kakak. Mana mungkin Hanim lupa. Damia kan pernah bercerita perihal dirinya tentang tu.

"Sayang?"

Lagi sekali mahu luruh jantung Damia dengan suara yang menerpa itu. Dia paling kenal tuan empunya suara tu. Suara tu jelas, datang dari arah belakangnya.

Damia rasa macam dia nak mengeras aje kat situ. Tak nak kalih pandang si suami. Tak nak bergerak walau seinci. 

Secara tak langsung, kini Hanim, Damia dan Syafiq saling bersua muka.

Damia kerling wajah Hanim di depannya dulu. Hanim tu nampak jelas matanya terbeliak. Dia tak salah dengar kan yang lelaki tu panggil Damia dengan panggilan 'sayang'?

"Siapa ni?" Syafiq terus bertanya isterinya. Isterinya tu, masih kekal diam. Tak bergerak.

Suaminya tu ada dengar ke apa yang Damia cakap tadi? Dengar Damia mengaku yang Syafiq tu sebagai abangnya!

"Saya Hanim. Kawan sekolah Damia," jawab Hanim bagi pihak Damia. Sambil-sambil tu, dia tunduk sedikit kepalanya tanda hormat. 

Damia dah pejamkan matanya. Okey, dengar suara suaminya yang dah bertukar dingin tu, rasanya macam suaminya dah dengar apa yang dia cakapkan tadi. Sungguh, dia tak perasan pun suaminya ada berdekatan tu.

Sekejap sangat suaminya ambil kereta dari tempat parkir. Damia pun tak expect hal tu. Jadi apa yang perlu Damia buat? Hadap ajelah apa yang bakal berlaku.

"Saya suami dia. Syafiq," balas Syafiq pula. Wajahnya tak berperasaan.

Damia teguk liur payah. Pernyataan suaminya tu, memang cukup membuktikan yang dia dah dengar perbualan Damia tadi. Damia dah tak mampu buat apa-apa.

Sanggup Damia tak mengaku Syafiq sebagai suaminya ...

Biji mata Hanim dah macam nak tersembul keluar. Mulutnya pun separa melopong. Dia pandang lama wajah Damia, mahukan penjelasan.

Mesti Hanim tu fikir yang Damia ni ada dua suami. Semua sebab Damia punya tembelanglah.

"Betul ke, Damia?" Hanim mahukan kepastian. Bukan apa, takut juga kalau Syafiq ni memandai-mandai claim dirinya sebagai suami. Tapi bila diingatkan kembali tadi, betullah Syafiq lelaki yang berjalan bersama Damia tadi. Takkanlah lelaki tu sengaja mengaku suami, kut.

Damia masih tertunduk. Masih memikirkan tentang pernyataannya tadi. Tentang pernyataan palsu, mengatakan Syafiq tu ialah abangnya. Ish ... memang tak patut.

"Habis, lelaki yang datang dengan kau masa kat klinik tu siapa? Bukan ke kau kata dia tu suami kau?" Bila tengok Damia membisu macam tu, Hanim terus ajukan lagi pelurunya. 

Dia ingat lagi dengan siapa Damia tu datang ke klinik tu beberapa hari lalu. Wajah dan gaya memang berbeza dengan lelaki di depannya ni.

Lelaki di depannya ni, berjanggut kemas dan berkumis nipis. Kulit pun kuning langsat. Style pun, bolehlah. Biasa-biasa saja. Tapi yang penting, handsome. Sempat tu Hanim tilik sepintas lalu.

Memang hidup Damia ni ditakdirkan untuk berkepit dengan orang good-looking je ke?

Damia terus angkat wajahnya. Matanya memerah. Nak aje dia menjerit nama kawannya tu sekuat hati sekarang ni!

Kenapa perlu cakap pasal benda tu? Bendulnya kau ni, Hanim! Menyesal aku jumpa kau. Damia tanam kebencian dalam hati. 

Hanim tu hanya mahukan jawapan aje. Tapi Damia masih mahu salahkan Hanim tu padahal salahnya sendiri. Lain kali menipulah lagi. Mengaku orang lain sebagai suami. Bila tembelang dah pecah, tahu menggelabah.

Damia rasa tak puas hati tapi rasa takut macam mendominasi rasa yang mencengkam dalam hati. Ya, takut dengan suaminya.

Bila Hanim cakap pasal hal tu tadi, mestilah ulahnya sudah terbongkar. Hal tu, sampai juga ke pengetahuan Syafiq.

Damia tak terus menjawab persoalan Hanim tapi dia cuba untuk menoleh ke belakang. Mahu tengok suaminya. 

Dia rasa seram sekarang ni.

Bila dia pandang aje wajah suaminya, Damia segera tertunduk semula. Maafkan Damia, abang.

Wajah Syafiq sudah berubah. Dingin yang diselubungi awan amarah. Seluruh mukanya menjadi merah. Nafasnya pun turun naik laju.

Dia memang marah dan kecewa sekarang ni.

Bersambung...

Sendiri buat sendiri tanggunglah ye, Damia. Lain kali berfikir dulu sebelum bertindak haha ><

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience