WAKTU malam itu terasa sunyi dan panjang. Jam di dinding menunjukkan pukul 10.48 malam. Marissa berkalih tempat tidur. Walaupun kerja dia banyak hari ini dan dia pulang agak lewat, namun mindanya terasa seperti ada kehilangan sesuatu. Matanya juga segar seperti baru bangun dari tidur. Sudah dua hari dia tidak mendengar khabar Eshan. Ke mana perginya lelaki itu?
Dia mencapai telefonnya. Tiada apa-apa notifikasi dari Eshan. Dia memberanikan diri mendail nombor telefon Eshan. Entah kenapa terasa debar di hatinya. Eshan yang sedang leka dengan kerjanya terkejut dengan getaran dari telefonnya. Telefon dicapai dan terpampang nama Marissa di skrin telefonnya. Tanpa berdalih, butang hijau ditekan. Kakinya melangkah ke balkoni bilik itu.
“Assalamualaikum… Eshan.”
“Waalaikumussalam, Mar.” Eshan tersenyum sendirian.
“Buat apa? Kau dah tidur ke? Aku ganggu kau ke malam-malam ni?” bagaikan peluru Marissa menyoal Eshan. Eshan ketawa. Masih belum menjawab soalan-soalan Marissa tadi.
“Kenapa kau gelak? Aku buat lawak ke? Takpelah, aku letak lah macam ni.” Rajuk Marissa.
“Eh eh, nanti dulu. Sensitif betul. Aku tak tidur lagi, ada kerja sikit nak kena siapkan. Esok aku ada presentation.”
“So, aku ganggu kau lah ni?” soal Marissa lagi.
“Tak, kau tak pernah ganggu aku pun lah. Kenapa kau call aku malam-malam ni? Tak tidur lagi? Selalu kau pukul 10 mesti dah tidur.”
Sepi. Eshan melihat skrin telefonnya. Masih on call lagi.
“Hello, Mar?”
“Haa ye. Kau tanya apa tadi?” Eshan pelik. Ada apa-apa yang berlakukah kat pujaan hatinya sepanjang ketiadaannya di Kuala Lumpur? Baru satu hari dia outstation di Ipoh.
“Aku tanya ada apa kau call aku ni? Selalu aku yang call kau. Ini terbalik pulak.”
“Em, kau suka aku ke Eshan?” Eshan terkedu. Soalan Marissa tadi tidak mampu dia jawab.
“Aku… Kau okay tak ni Mar? Jangan buat aku gelabah.”
“Lamaran kau hari tu masih valid lagi ke?”
Eshan dan Marissa diam seribu bahasa. Masing-masing leka dengan perasaan yang mereka sendiri tidak pasti dengan perasaan apakah itu.
- - - - - - - - - - - - - -
Selesai perjumpaan dengan klien tadi, Eshan bergegas menuju keluar dari bilik perbincangan itu. Ramli di belakangnya turut sama mengikutnya.
“Eshan!” Dia menarik lengan Eshan. Eshan berpaling.
“Kau kenapa ni? Tergesa-gesa macam ada something happen? Why? Masa presentation tadi pun kau macam rushing sangat, nasib baik klien okay je. Kenapa ni?” Ramli menyoal.
“Marissa, Li. Marissa.”
“Kenapa dengan dia?” soal Ramli lagi.
“Siapa Marissa?” Belum sempat Eshan menjawab, satu suara muncul dari belakang. Salina. Eshan dan Ramli berpandangan.
“Siapa Marissa? Tak sangka kita boleh jumpa kat sini, macam berjodoh pulak, kan Encik Eshan. Opps, Eshan.” Salina tersenyum manja. Dia membetulkan skirt paras lututnya itu.
“Salina, buat apa kat sini? Kebetulan pulak boleh jumpa kat sini?” Ramli menyoal.
“Oh, I teman bos I meeting kat sini. You all pulak? By the way, siapa Marissa?”
“Oh, Marissa, bakal isteri Eshan.” Ramli menjawab. Sengaja dia menjawab begitu kerana dia tidak mahu Salina terus berharap kepada Eshan. Salina terkedu. Bakal isteri?
“Li, aku kena balik KL dulu. Nanti apa-apa kau call aku ye. Sal, nice to meet you again. Sorry, but I have to go.” Eshan bergegas keluar. Tinggallah Ramli dan Salina di lobi hotel itu.
“Jom, Sal. Saya belanja awak makan.” Ramli cuba memancing ayat.
Salina mendengus. Dia pergi meninggalkan Ramli di situ. Kakinya dihentak-hentak ke lantai. Ramli hanya menggeleng. Sudah dia tahu yang Salina tidak berminat dengannya.
- - - - - - - - - - - - -
Eshan terpacak di hadapan rumah sewa Marissa. Jam ditangan ditilik. Menunjukkan pukul 6.45 petang. Dia masih setia menunggu walau sudah 30 minit berlalu. Kebiasaanya Marissa tiba di rumah sekitar jam 6.30 petang. Mungkin hari ini kerja banyak agaknya.
Tidak lama kemudian, kereta myvi biru berhenti di hadapan keretanya. Marissa keluar.
“Eshan!”
“Marissa.”
“Kau buat apa kat sini?” soalnya.
“Aku nak jawab soalan yang kau tanya semalam.”
Marissa diam. Kerja yang banyak hari ini membuatkan dia terlupa akan perbualan telefonnya semalam dengan Eshan.
“Soalan.. yang mana?”
“Dua-dua soalan kau. Tentang perasaan aku dan lamaran aku tempoh hari.”
Marissa terkedu. Dia benar-benar terlupa tentang perbualannya bersama Eshan semalam tergantung sepi. Dia kaku di hadapan Eshan. Debar hatinya Tuhan saja yang tahu. Dia takut jawapan yang akan diberikan oleh Eshan akan mengecewakannya dan akhirnya akan memalukannya nanti.
“Oh, yang semalam tu. Ha ha ha. Aku bergurau jelah semalam Eshan. Tak payah lah nak take serious sangat pasal ni. Aku saja je semalam nak pillow talk sebelum aku ti….”
“Sampai hati kau kan Mar. Aku tak tidur semalaman fikir pasal hal ni. Kau tiba-tiba senyap semalam dan end call macam tu je. Aku tahu kau tak tidur lagi semalam, malah aku yakin, kau pun tak dapat tidur jugak semalam kan?” Eshan mencelah sebelum sempat Marissa menghabiskan ayatnya.
“Kenapa Mar? Kau ingat aku main-main ke ajak kau kahwin hari tu? Ye, cara aku tu mungkin main-main, tapi aku yakin dengan hati aku Mar, yang aku memang nak kahwin dengan kau. Aku sukakan kau Marissa. Tak perlu kau tanya bila aku mula suka kat kau, sebab aku pun tak tahu bila perasaan tu hadir, yang aku tahu, aku ingin hidup dengan kau.”
Marissa tergamam. Bukan ini jawapan yang dia ingin dengar. Kereta yang lalu lalang di lorong perumahan menjadi saksi kepada konflik perasaan Eshan terhadap Marissa.
“Eshan, aku rasa kau dah salah faham, aku …..” Marissa cuba mendekati Eshan.
“Stop Marissa!” Eshan menghalang Marissa dari mendekatinya.
“Kau anggap jelah pelawaan kahwin aku tempoh hari main-main. Aku tahu kau memang takkan ada hati untuk aku pun. Anggap je aku tak pernah pun buat permintaan bodoh macam tu. Aku doakan kau bertemu dengan lelaki yang baik Mar. Yang lebih mencintai kau lebih dari cinta aku ni.” Eshan menghela nafas panjang.
“Eshan…” Marissa mendekati Eshan. Kini hanya tinggal seinci sahaja jarak di antara mereka. Tubir mata Marissa hangat. Dia menangis kerana terasa dengan kata-kata Eshan.
“Dah nak magrib, aku balik dulu Mar. Jaga diri, dan jangan lupa makan.” Eshan mengundurkan dirinya dan masuk ke dalam kereta. Laju keretanya meninggalkan Marissa yang tersedu-sedan di depan rumah sewanya itu.
Azan magrib di surau berdekatan menyedarkan Marissa dari tangisannya. Segera dia masuk ke dalam kereta dan masuk ke dalam rumahnya. Entah kepada siapa hendak dia mengadu perasaannya ini.
Share this novel