BAB 2

Humor Completed 774

ANDY masih lagi mengemas peralatan di kedai minyak wangi Donut Perfume
House, fikirannya terimbau pada peristiwa petang tadi. Dengan tiba-tiba
sahaja wanita yang berpakaian elegan itu menjelingnya. Apakah salahnya?

Sebelum ini dia pernah juga tersalah jangka usia seseorang itu, dia
dengan tidak sengaja memanggil wanita yang lebih muda darinya kakak,
tetapi tidak pula wanita itu melenting dan menjelingnya seperti wanita
tadi. Lain manusia, lain ragam. Ada sahaja rentaknya.

“Andy! Kerja dah settle belum? Asyik termenung aje? Ingat girlfriend
ke?” tegur Nash dengan suara yang lantang. Fikiran Andy terus mati.
Serta merta dia memandang Nash yang sedang mencempung lengan kekasihnya
dengan mesra.

Inilah yang paling Andy tidak gemari tentang sikap Nash yang tidak segan
silu bersentuhan antara bukan muhrim di hadapannya. Bukanlah Andy mahu
berlagak baik, tetapi sebagai seseorang yang mempunyai agama, Nash harus
sedar akan dosa dan pahala.

Apa pula yang bakal dikatakan oleh orang yang memerhatikannya? Tidakkah
nanti Nash akan dikritik hebat?

Pernah juga dia meluahkan perkara tersebut kepada Nash, tetapi nampaknya
sahabatnya itu tidak mendengar langsung nasihatnya. Apa yang dikatakan
hanya masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Tidak memberikan apa-apa
kesan langsung!

Jika diikutkan mahu sahaja Andy memarahi Nash di hadapan khalayak ramai,
tetapi dia sedar maruah seseorang itu harus dijaga juga. Justeru, dia
hanya menasihati Nash dengan cara yang baik. Tetapi nampak gayanya,
sahabatnya itu tetap tidak berubah.

“Dah nak siap. Nak apa?” soal Andy, acuh tak acuh. Bukanlah maksud dia
cemburu dengan kemesraan antara dua kekasih di hadapannya itu, cuma dia
kurang berkenan dengan aksi mereka yang bagaikan orang yang sudah
mempunyai ikatan yang sah sahaja.

“Nak ajak kau makan. Nak ikut tak?” pelawa Nash sambil mencubit pipi
kekasihnya. Andy segera menggeleng. Malas pula Andy mahu mengikut. Tidak
pasal-pasal aje pahalanya berkurang hari ini. Eloklah kalau dia duduk
sahaja di kedai ini.

“Okey. nak kirim apa-apa?” soal Nash lagi. Buat kali kedua Andy
menggeleng, dan Nash segera mengatur langkah, meninggalkan Andy yang
sedang sibuk menyusun minyak wangi yang baru sahaja sampai pagi tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience