SUASANA mula sepi antara mereka. Masing-masing mengunci bibir. Tiba-tiba tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Natrah terkejut menerima kedatangan Aliya secara tiba-tiba itu. Sepatutnya Aliya sibuk dengan persiapan perkahwinannya yang bakal berlangsung esok hari. Tetapi dia masih sempat menemuinya di situ. Untuk apa? Untuk memberi arahan agar dia menjauhi Eirfan? Ohh! Tak usahlah Aliya membuang waktunya kerana Natrah awal-awal lagi sudah membuat tembok di antara dia dan Eirfan. Kali ini, tembok itu sangat tinggi sehinggakan Eirfan mahupun mana-mana lelaki tidak bisa menggapainya.
"Sorry, saya datang mengejut" ucap Aliya. Bibirnya dari tadi asyik memekar dengan senyuman. Dia betul-betul sukakan wajah keanak-anakan Natrah itu. Nampak tenang dan comel sahaja. Padan sungguh dengan Eirfan. Mengingati lelaki itu, hatinya turut berasa lega kerana Eirfan sudah punya pujaan hati.
Disebabkan itulah, dia datang menemui Natrah kerana ingin menjelaskan perkara sebenar. Dia tidak tahu apakah Eirfan sudah menjelaskan hubungan mereka kepada Natrah tetapi yang pasti, dia ingin kebenaran terungkap dari bibirnya sendiri agar Natrah mempercayai segala-galanya.
"Ohh it's okay" sahut Natrah, pendek. Dia buntu ketika berhadapan dengan Aliya. Setiap kali berdepan dengan wajah itu, entah kenapa hatinya berbaur cemburu dan terasa perit. Adakah dia benar-benar cemburukan Aliya dan Eirfan? Arghh!! Bencinyalah dengan perasaan ni!
Tidak dinafikan wajah yang putih bersih dan cantik milik Aliya itu bisa menggetarkan hati ribuan lelaki. Jika dibanding dengan dirinya ,jauh panggang dari api! Dia macam jantan, itu yang selalu kak Nabihah kata pada dia. Sedangkan Aliya bak perempuan Melayu terakhir. Arghh!! Dahlah hati. Kenapa suka membanding-bandingkan begini?
"Eirfan mana?" Sengaja Aliya bertanya walhal dia tahu Eirfan ada di mana. Dia mendengar melalui Mikail atas apa yang telah terjadi ke atas diri Eirfan. Kasihan benar dia dengan nasib lelaki itu. Sukar benar gamaknya nak bergandingan dengan kebahagiaan.
Natrah mengerdipkan matanya beberapa kali. Bakal suami dia ,tapi tanya kita buat apa? Karang aku bawak lari si Eirfan tu, gigit jarilah kau esok kahwin sorang-sorang!
"Bukan dia sepatutnya dengan awak ke? Korang nak kahwin esok kan?"
Aliya mengerut dahi. Kahwin dengan Eirfan? Sahlah Natrah sudah salah faham!
"Natrah, sebenarnya..."
"Saya mintak maaf Aliya. Tapi biar saya jujur dengan awak. Saya memang takde apa-apa dengan Eirfan dan takkan pernah ada apa-apa dengan dia. Apa saja benda yang bermain di fikiran awak pasal kami berdua, semuanya salah faham. Saya tak sukakan dia dan dia pun tak sukakan saya. Lagipun, saya ni tak serupa perempuan. Apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan awak yang cantik dan lemah lembut? Jadi jangan risau sebab saya takkan ganggu perkahwinan awak dengan dia esok hari. Dan tolong bagitau Eirfan supaya berhenti call dan WhatsApp saya. And happy wedding" ujar Natrah panjang lebar dalam satu nafas. Meskipun hatinya sendiri terluka dengan bicara itu, namun dia gagahi juga untuk memastikan salah faham itu berhenti.
Aliya tercengang. Dia benar-benar tidak menyangka akan menerima respon sebegitu dari Natrah. Jelaslah memang sudah berlaku salah faham antara mereka. Untuk itu, dia tidak akan berdiam diri kerana dia tahu jauh di sudut Natrah, gadis itu memang mencintai Eirfan. Dan begitu juga sebaliknya.
"Natrah! Awak salah faham"
"Apa yang saya salah faham? Betullah awak nak kahwin dengan Eirfan. Kad undangan tu dah menjelaskan segala-galanya. Saya tahu saya tak cantik macam awak. Saya tak serupa perempuan. Tapi Eirfan takde hak nak permainkan hati saya! Sekasar-kasar saya, sejantan-jantan saya, saya masih seorang perempuan yang ada hati dan perasaan!" Natrah ingin menangis tetapi ditahannya saja air mata itu.
"Kad undangan?" Aliya semakin keliru. Kenapa dengan kad undangan? Bukankah kedatangannya tempoh hari mengundang salah faham antara mereka? Kini kenapa dikaitkan dengan isu kad undangan pula?
"Iya, kad undangan. Nama awak dan dia tertera di situ"
Natrah pelik. Kenapa Aliya nampak keliru?
"Nama saya dan Eirfan? Setahu saya, pengantin lelaki saya bernama Mikail Nur Irfan. Bukannya Wan Amirul Eirfan. Dorang salah cetak ke?" Aliya menggumam sendiri.
Mendengarkan bicara Aliya, Natrah terlopong. Wan Amirul Eirfan?
"Maksud awak, Mikail Nur Irfan tu bukannya Eirfan..."
"Ohh awak salah faham ni Natrah!" Laju saja Aliya memotong percakapan Natrah sambil tersenyum. Kini, dia tahu punca permasalahannya dari mana. Rupa-rupanya hanya kerana sebaris nama!
"Salah faham?"
Dan Natrah semakin kebingungan.
MELIHAT beberapa wajah asing berjalan beriringan Ehsan dan Datuk Elias, Hasma dan Azizah bingung tiba-tiba. Dan kebingungan itu semakin bertambah tatkala wajah sugul Eirfan muncul dari arah belakang mereka.
Azizah dan Hasma saling berpandangan. Apa sudah jadi? Mereka dapat merasakan suasana tegang di antara Eirfan dan mereka semua.
"Kenapa tu?" tanya Hasma kepada Azizah.
"Aku dengar ada meeting tergempar" sahut Fendi yang berdiri di antara mereka.
"Meeting? Pasal apa?" tanya Azizah pula.
"Dengar-dengar pasal saham. Tapi tak surelah kenapa dengan saham" jawab Fendi lagi.
"Masalahnya apa kaitan encik Eirfan dengan dorang?" Hasma pelik. Biasanya pemegang saham dimiliki oleh kaum keluarga sahaja. Tetapi Eirfan bukanlah ahli keluarga Datuk Elias. Dan kenapa pula dia harus terbabit antara mereka? Atau jangan-jangan Eirfan sememangnya salah seorang pemegang saham sekaligus merupakan ahli keluarga Datuk Elias?
"Tu yang aku pelik tu. Takkanlah encik Eirfan ahli keluarga Datuk Elias? Kalau ahli keluarga, kenapa aku tak pernah nampak encik Eirfan dan encik Ehsan jalan sama?" Fendi memuntahkan kebimbangannya.
"Takkanlah ahli keluarga kena jalan sama nyah? Kau ni pun..." Azizah menjawab dengan sindiran.
"Macam aku. Kalau pun Hasma ni ahli keluarga aku, aku tak nak jalan dengan dia. Sebab dia tak secantik aku" kutuk Azizah lagi.
Fendi sudah tergelak sambil tangannya laju menampar bahu itu.
"Yelah! Kau kan diva. Diva manalah nak jalan dengan kita kan?" tempelak Hasma pula. Dia sudah menjuihkan bibirnya.
"Hasma! Azizah! Fendi!" Tercungap-cungap Natrah mendapatkan mereka bertiga. Tiba di hadapan mereka, dia menekan perut yang terasa senak akibat berlari.
"Kau ni apasal?" tegur Azizah.
"Aah. Berlari-lari macam ni. Company takde buat larian marathon ye!" sindir Fendi pula.
Tergelak Hasma dibuatnya.
"Aku cari Eirfan kat department dia takde. Sonia kata, dia kat sini. Korang ada nampak dia ke?" tanya Natrah dengan nafas yang turun naik.
"Dia masuk meeting room" sahut Fendi.
"Dengan encik Ehsan, Datuk Elias dan pemegang saham yang lain" sahut Hasma pula.
Natrah mengerut dahi. Betullah seperti yang diceritakan oleh Aliya sebentar tadi. Natrah sudah mengetahui segala-galanya melalui Aliya. Dan kini, dia hanya ingin ketemu Eirfan dan berada di samping lelaki itu. Hatinya sebak dan sedih mendengar cerita Aliya tentang Eirfan.
Tanpa pamitan, Natrah bergegas ke bilik mesyuarat. Azizah, Hasma dan Fendi tercengang dengan perilaku gadis itu.
"Eh eh! Perempuan ni! Takde angin, takde ribut, dia blah macam tu je. Dia tak tahu ke ,kita ni tengah tunggu gosip panas dari dia" rungut Azizah. Matanya melirik ke arah Natrah yang sudah menjauh nun di hadapan.
"Apa dah jadi sebenarnya ni?"
Hati Hasma jadi tak keruan. Dia tahu persis, ada sesuatu yang sedang berlaku. Namun dia tidak tahu apakah itu.
BERDIRI di hadapan Ehsan, Datuk Elias dan ahli lembaga syarikat yang lain sedikit pun tidak menggetarkan hati lelakinya. Dia sudah bersiap dari segi mental dan fizikal. Kerana dia tahu hari itu pasti akan tiba jua. Hari di mana dia bakal dilucutkan jawatan dan dibatalkan nama untuk pemegang saham. Walaupun sedih dan terasa dipulaukan, namun itulah hakikat hidup yang harus dia hadapi.
"So we all are here now. Shall we start?" Datuk Elias memulakan mukadimah. Riak tenang Eirfan dipandang sekilas. Puas hatinya kerana Eirfan bakal dilenyapkan dari pandangan matanya sekejap sahaja lagi. Kini dia yang berkuasa setelah Tuan Kassim tidak berdaya dan sudah hilang keupayaan untuk mengetuai TK Corporation.
"Okay. We start now" jawab Datuk Harun pula.
Datuk Elias berdiri dan membuka butang kot bajunya. Nafas dihela panjang sebelum memulakan bicaranya. Wajah setiap orang dipandang satu-persatu. Bertemu mata dengan Eirfan, dia senyum puas sebagai tanda atas kemenangannya selama ini.
Eirfan menundukkan pandangan. Jelas terpancar riak kebencian dan puas di dalam anak mata ayah kandungnya itu. Sabar Eirfan!
"Selamat tengah hari semua. Kita berkumpul di sini untuk membincangkan tentang tempat CEO yang baru memandangkan Tuan Kassim yang merupakan CEO sebelumnya kini telah koma dan tidak mampu berbuat apa-apa. Segala kuasa mutlak beliau tidak boleh digunapakai kerana beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri. Begitu juga dengan segala keputusan dalam dan luar syarikat, saya rasa Tuan Kassim tidak layak dalam hal itu disebabkan masalah kesihatan beliau"
Mendengarkan bicara Datuk Elias itu, semua para hadirin mula berbisik dan mengangguk kepala tanda faham.
"Disebabkan keadaan syarikat sekarang tengah kukuh dan tiada apa-apa masalah, saya rasa tidak ada salahnya kalau kita lantik CEO baru untuk menguruskan syarikat"
"Maaf mencelah"
Semua mata tertumpu ke arah Eirfan.
"Tuan Kassim memang sedang koma dan tidak berdaya masa ni. Tapi doktor cakap, dia ada harapan untuk sembuh. Kenapa kita tak tunggu sehingga beliau sedar?"
Itu yang Eirfan dengar daripada doktor yang merawat atoknya. Masih ada peratusan tinggi untuk atoknya sedar dan sembuh seperti sediakala.
Senyuman sinis tersungging di wajah Ehsan. Dia bangkit dari duduk lantas mula bersuara.
"Doktor tu bukan Tuhan yang tentukan ajal maut seseorang.."
"Jadi kau nak nyawa Tuan Kassim berakhir?" celah Eirfan dengan sindiran.
Riak wajah Ehsan mula berubah. Bukan itu yang dia maksudkan.
"Eirfan!!" Datuk Elias sudah menjerit. Radang riak wajahnya dengan kata-kata berbaur sindiran dari lelaki itu.
"The decision should be made by now! Sementara Tuan Kassim sedang koma dan tak boleh buat apa-apa, kita perlukan pengganti untuk menerajui syarikat ni. At least, until he wakes up from his coma"
Semua hadirin mengangguk kepala, seakan bersetuju dengan cadangan Datuk Elias.
"I think that is a better idea. Ini pun untuk kebaikan kita semua" sampuk Datuk Arifin pula.
"Yes, me too. Kalau takde ketua, sukar untuk sesebuah organisasi berfungsi" ujar Datuk Isma pula.
Mendengarkan peratusan dari suara hadirin bersetuju, Ehsan dan Datuk Elias mengukir senyum kemenangan. Impian mereka bakal menjadi kenyataan. Dan itu akan semakin memudahkan mereka untuk mengusir Eirfan dari situ.
SEDARI tadi, Natrah berdiri di hadapan pintu itu. Dia berkira-kira untuk menyerbu masuk tetapi perasaan takut dan gerun tetap beraja di hati. Kalau cuma Ehsan yang dihadapnya, dia tidak kisah sangat. Namun ada beberapa ahli jawatankuasa tertinggi syarikat membuatkan dia harus mengumpul kekuatan terlebih dahulu.
Dia dapat mendengar sedikit sebanyak perbincangan sulit mereka itu. Apatah lagi mendengar jeritan dari Datuk Elias sebentar tadi. Marah betul lelaki itu pada Eirfan. Namun apa yang sebenarnya telah berlaku? Kenapa Eirfan diseret sekali ke dalam mesyuarat itu? Pasti ada sesuatu yang tidak dia ketahui. Namun apa?
Cerita Aliya juga tidak begitu terperinci. Menurut Aliya, Eirfan terlalu banyak memendam perasaan dan kesedihan. Itu sahaja yang dia tahu. Selebihnya, Aliya meminta dia sendiri menggalinya melalui Eirfan. Namun mahukah Eirfan berkongsi dengannya?
Natrah cepat-cepat berlari bersembunyi di belakang pokok bonsai tatkala bunyi derapan kaki kedengaran melangkah keluar dari bilik itu. Dia melihat kesemua ahli lembaga syarikat keluar dan meninggalkan bilik tersebut. Namun wajah dan kelibat Eirfan tiada di situ. Bahkan Ehsan dan Datuk Elias juga tiada kelihatan. Dia menapak semula di hadapan pintu dan mula menguping perbualan mereka.
"NI ada RM300,000 untuk kau survive kat luar sana. Lepas ni, aku tak nak tengok muka kau kat rumah tu lagi"
Datuk Elias mencampakkan sepucuk sampul surat di hadapan Eirfan. Jumlah wang yang cukup besar untuk dia mengusir Eirfan. Dan membuang anak itu jauh dari pandangannya. Buat selama-lamanya.
Ehsan pamer senyum kepuasan. Puas kerana penghalangnya bakal terhapus!
Riak Eirfan tenang sahaja. Dia sudah agak perkara ini bakal berlaku. Sudahlah namanya dilucutkan daripada pemegang saham, kini Datuk Elias pula mengusirnya dengan wang ringgit.
"Takpe Datuk. Datuk boleh simpan je duit tu. Saya tak perlukannya. Terima kasih untuk segala yang Datuk dan Datin serta Ehsan dah buat pada saya selama ni. Saya takkan lupakannya sampai bila-bila. Saya cuma mintak untuk terus berada di samping atok sehingga dia sedar"
"Supaya kau boleh mengadu pada dia atas apa yang kami buat pada kau?" Ehsan angkat kening. Wajahnya sinis memandang tampang Eirfan yang menurutnya berlagak tenang.
"Terpulanglah apa yang kau dan Datuk fikir. Tapi itu saja permintaan aku"
Eirfan ingin segera berlalu. Terlalu sakit rasanya ketika ini. Diabaikan hak dan nama oleh ayah kandung sendiri. Namun dia terpaksa menelannya juga. Kehadiran dan kewujudannya tidak pernah diinginkan. Baiklah! Dia mengalah saja jika itu yang bisa membuatkan Datuk Elias bahagia.
"Tunggu"
Arahan dari suara garau Datuk Elias, Eirfan turuti. Dia menoleh semula. Matanya bertembung dengan mata tua itu.
"Okey, aku izinkan kau untuk jaga atok kau sehingga dia sedar. Dan kalau aku dapat tahu kau mengadu yang bukan-bukan pada dia, nahas kau aku kerjakan!" ugut Datuk Elias. Wajahnya tampak serius. Dia benar-benar memaksudkannya.
Eirfan hanya mengangguk. Ugutan dan ancaman sudah terbiasa dengan dirinya. Dia berniat baik untuk menjaga Tuan Kassim sebagai membalas jasa di atas keprihatinan atoknya menjaga dia selama ini. Dia tiada niat untuk mengadu seperti yang didakwa oleh dua beranak itu.
"And one more thing! Apartment yang kau selalu pergi tu, lepas ni akan menjadi milik orang lain. Aku dah jual apartment tu" kata Datuk Elias.
Berkerut dahi Eirfan dengan apa yang barusan dia dengari.
"Jual?" Eirfan tidak mahu percaya. Walaupun dia tahu lambat-laun perkara itu akan berlaku.
"Kenapa? Daddy aku ada cakap benda lain ke tadi?" sindir Ehsan pula. Entah berapa kali dia senyum hari itu, naik lenguh sudah pipinya! Senyum kemenangan dan kepuasan kerana sudah hampir berjaya menumbangkan seketul Eirfan!
"Tapi kenapa nak jual? Saya dah janji pada Datuk yang saya takkan tuntut hak dari apartment tu. Saya takkan duduk sana, tinggal sana atau buat apa-apa kat sana. Saya cuma nak melawat saja sebab tu je satu-satunya kenangan yang saya ada dengan arwah"
Mata Eirfan sudah hampir berkaca. Jika tadi dia boleh bertingkah tenang, namun tidak kini. Mendengarkan kata-kata Datuk Elias, hatinya sudah mula berkocak hebat.
"Apartment tu masih atas nama aku dan ibu kau. Memandangkan ibu kau dah takde, secara automatiknya hak apartment tu jatuh ke atas nama aku. Jadi aku berkuasa penuh ke atas apartment tu. Dan aku jugak ada hak untuk buat apa yang aku nak. Kau atau sesiapa pun tak boleh nak halang" Datuk Elias segera mengingatkan Eirfan.
"Iya, saya tahu. Tapi kenapa kena jual? Tak cukup ke dengan segala kemewahan dan kekayaan yang Datuk ada? Kenapa nak kaut keuntungan dari apartment tu jugak?"
"Kau jangan banyak cakaplah! Tak dengar ke apa yang daddy aku cakap?" Ehsan naik radang. Kenapa susah sangat si Eirfan nak memahami butir bicara Datuk Elias?
"I am not talking to you!" jerkah Eirfan sambil menjeling tajam ke arah Ehsan. Dari tadi dia cuba bersabar, namun tahap kesabarannya seolah diuji sahaja oleh mereka berdua.
"Eirfan! Don't you dare to yell at my son!" sergah Datuk Elias pula. Kesabarannya juga sudah menipis gara-gara kedegilan Eirfan.
"Anak? Dia saja ke anak Datuk? Saya ni siapa? Saya ni bukan anak yang lahir dari hubungan halal Datuk dengan ibu saya ke?"
Suara Eirfan sudah mengendur. Dia tidak kira, dia akan meluahkan segala-galanya hari ini juga!
"Kenapa Datuk tak boleh terima saya? Kenapa saya tak dikenalkan sebagai anak Datuk? Kenapa semua orang tak boleh tahu yang saya anak Datuk juga? Abang tiri Ehsan? Kenapa Datuk? Kenapa saya kena mengemis kasih sayang Datuk? Jahat sangat ke saya?"
Datuk Elias mengunci mulut. Dia tidak punya jawapan untuk semua persoalan yang Eirfan utarakan. Kerana dari dulu lagi dia sudah tetapkan hanya Ehsan anaknya seorang!
"Kenapa Datuk diam? Saya tak tahu apa salah saya sampaikan Datuk abaikan hak saya sebagai anak Datuk. Saya anak kandung Datuk! Bukan anak pungut seperti yang Ehsan atau Datin selalu cakap! Dan saya jugak bukan anak haram!"
"Cukup!!"
Suara Datuk Elias lantang sehingga mampu menggamit perhatian Natrah dan staf lain di luar sana.
"Cukup untuk kau tahu yang aku takkan terima kau dan emak kau sampai bila-bila. Kalau aku cakap aku bencikan kau dan mak kau, adakah itu cukup untuk buat kau berambus dari rumah aku? Aku rasa ya, sebab aku memang tak sukakan kehadiran kau dari kau dalam perut lagi. Bahkan sejak kau dalam perut lagi, macam-macam cara aku buat untuk bunuh kau. Tapi tak dapat. Jadi kau hadam dan makanlah kebencian aku ni sampai mati!"
Kata-kata Datuk Elias cukup mengguris sekeping hati Eirfan. Matanya yang bertemu dengan mata Datuk Elias segera dia alihkan. Pandangannya kini terarah di lantai saja. Dia sudah lencun dek air mata. Dia benar-benar tidak sanggup untuk berhadapan dengan dunia lagi. Kerana dunianya sudah hancur dalam sekelip mata. Dan semuanya gara-gara Datuk Elias!
Pintu bilik terkuak luas. Wajah serius Natrah terpancul di situ. Mendengar kata-kata Datuk Elias saja cukup membuat hati wanitanya terguris pedih. Apatah lagi ianya ditujukan khas buat Eirfan. Dia tak sanggup membayangkan perasaan Eirfan saat menerima omongan itu.
Kehadiran Natrah di situ mengejutkan Ehsan dan Datuk Elias. Lagi-lagi Ehsan! Otaknya mula berfikir akan hubungan Natrah dan Eirfan. Dan yang lebih parah, pastinya Natrah menganggapnya kejam!
"Sampai hati kan Datuk buat macam ni kat anak Datuk sendiri? Sekarang baru saya faham yang kekayaan duit tak semestinya menjamin kekayaan hati seseorang! Datuk tak perlu risau. Datuk buang anak Datuk, tapi Datuk dah lupa ada sejuta orang dalam dunia ni yang sudi terima Eirfan!"
Natrah segera menarik tangan Eirfan keluar dari situ. Matanya turut berkaca dengan apa yang didengarinya. Biarlah satu dunia membuang Eirfan, namun dia takkan berganjak dari sisi lelaki itu! Biarlah dia dihina, dicaci sekalipun, Natrah tetap bertahan di sampingnya!
Langkah kaki Natrah dituruti oleh Eirfan dalam linangan air mata. Genggaman tangan Natrah dapat dia rasakan. Betapa gadis itu menyalurkan sejuta kekuatan ke dalam dirinya sehingga membuatkan dia kembali hidup dan bernafas. Benar kata Natrah. Jika dia dibuang oleh ayah kandungnya sendiri, dia yakin ada tangan yang sudi menerimanya. Seperti tangan Natrah yang saat ini tak mahu melepaskannya! Dan dia mahu genggaman itu kekal buat selama-lamanya.
Share this novel
nanti kalo datuk Elias ni strok macam ayahnya nak ke ehsan dan datin menjaganya entahkan eirfan yang jaga basuh berak kencing datuk Elias ni...sombong betul buat anak kandung macam tu...