1. PUTUS

Romance Completed 575904

Tepat jarum jam menunjukkan pukul lima petang, Hana segera mengemaskan barang-barangnya. Mac book ditutup, telefon di dalam laci disambar laju lalu dimasukkan ke dalam beg tangannya. Mekap yang sudah luntur kerana dibersihkan semasa solat Asar tadi, ditambah dengan meletakkan sedikit foundation dan dialas sedikit bedak. Lipstik berwarna merah jambu dioles ke bibirnya, menambah seri pada wajah yang kelihatan agak pucat tadi. Pucat bukan kerana sakit, tetapi kerana kurang mekap.

Setelah berpuas hati, dia bangun lalu mencapai beg tangannya dn terus keluar dari bilik pejabatnya itu.

“Okay guys, I balik dulu ya.” Hana melambai kepada rakan-rakan sejabatannya yang masih belum berganjak dari kerusi masing-masing.

Tiada balasan, cuma beberapa orang kakitangan Jabatan Penjenamaan itu mengangkat tangan dan memberi isyarat bagus kepadanya.

Senyum manis menghiasi wajah Hana mengiringi langkahnya menuju ke tempat letak kereta. Ya, hari ini dia akan dilamar oleh teman lelakinya, Nazeem.

Nazeem tidak memberitahunya secara langsung. Cuma, secara kebetulan beberapa hari lepas, Puva tidak sengaja melihat Nazeem sedang memilih cincin bersama ibunya. Menurut Puva, dia yakin cincin yang dipilih Nazeem itu adalah untuk Hana kerana sepanjang mereka memilih cincin, tidak sekali pun ibu
Nazeem mencuba cincin tersebut. Tidakkah itu bermakna, cincin itu untuk wanita lain? Dan wanita itu, tentunya Hana kerana cuma Hana wanita lain dalam hidup Nazeem selain ibunya.

Dugaan Puva itu terbukti benar apabila pagi tadi Nazeem menghubunginya dan meminta untuk bertemu petang ini selepas waktu pejabat.

Ya, itulah sebabnya Hana pulang lebih awal hari ini. Dia yakin Nazeem mahu melamarnya.

Agak berat sebenarnya untuk memenuhi permintaan Nazeem itu, memandangkan seminggu dua ini mereka agak sibuk merancang penjenamaan semula syarikat mereka selepas diambil alih oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura. Sudah beberapa hari mereka bersengkang mata di pejabat sehingga tengah malam untuk merancang logo baru, slogan, dan berbagai hal yang berkaitan penjenamaan. Bulan depan akan diadakan pertemuan pertama dengan pemilik baru firma ini dan mereka perlu membentangkan perancangan mereka untuk menjenamakan semula syarikat mereka.

Terlalu sibuk dan sangat tertekan kerana bukan mudah untuk merancang penjenamaan semula sebuah jenama yang sudah hampir pupus kerana ketidakcekapan pentadbiran sebelumnya. Hana yang pada asalnya staf di bahagian pemasaran, telah diserap ke Jabatan Penjenamaan dan dilantik sebagai Pengurus. Jabatan Penjenamaan ini diwujudkan sebaik sahaja firma ini diambil alih. Bukan Hana seorang yang diserap ke bahagian itu, tetapi beberapa staf dari bahagian pemasaran dan bahagian jualan turut dipindahkan ke bahagian penjenamaan. Firma tidak mahu mengambil staf baru untuk mengisi kekosongan di Jabatan Penjenamaan bagi menjimatkan perbelanjaan syarikat. Tiga bulan tempoh diberi kepada mereka untuk merangka strategi penjenamaan semula dengan menggunakan segala pengalaman dan kepakaran mereka semasa bekerja di Jabatan Pemasaran dan Jabatan Jualan.

Sangat meletihkan sehingga masa dia bersama Nazeem juga semakin kurang. Sudah agak lama juga mereka tidak keluar makan bersama kerana kesibukan Hana. Namun, Hana tidak menyangka Nazeem akan membuat keputusan melamarnya.

Sambil menghidupkan enjin kereta, wajah Hana masih tidak lekang dengan senyuman, membayangkan betapa romantisnya saat Nazeem melamarnya nanti.

Hana melangkah masuk ke dalam restoran yang ditempah Nazeem untuk pertemuan mereka malam ini. Dari pintu, dia sudah dapat melihat belakang badan Nazeem. Laju kaki Hana menapak ke arah teman lelakinya itu, bimbang jika Nazeem sudah lama menunggu.

“Hai…” Hana menyapa lalu terus melabuhkan duduk di depan Nazeem.

“Dah lama tunggu?” tanya Hana sambil membetulkan duduknya.

“Baru je.” Nazeem menjawab singkat. Nada suaranya tidak seperti biasa. Terkesan dingin dan jauh.

Menjalinkan hubungan dengan Nazeem sejak dari zaman persekolahan, Hana menyedari itu. Namun, dia tidak mahu terlalu memikirkannya. Mungkin Nazeem hanya gugup untuk melamar, fikirnya.

“Sorry tadi Hana balik rumah dulu. Sebab tak selesa nak datang dengan baju pejabat.” Hana menerangkan walaupun wajah Nazeem nampak tidak berminat untuk mendengar.

“It’s okay.” Lagi-lagi hanya jawapan singkat yang diberikan Nazeem.

Hana ingin melanjutkan bicara, namun kedatangan pelayan yang membawa buku menu membantutkan hasratnya.

“Order dulu,” ujar Nazeem sambil membuka buka menu di tangannya.

Hana akur. Terasa aneh, namun dia masih cuba bersangka baik dengan menganggap ini adalah sebahagian prank yang dirancang oleh Nazeem untuk melamarnya.

Hana memesan chicken steak dengan sos enoki, manakala Nazeem hanya memesan minuman.

“Kenapa awak tak makan?” tanya Hana.

“Saya dah kenyang.”

“Oh…” Hana tersenyum.

‘Mesti dia nervous nak propose aku.’ Bisiknya dalam hati.

“Naz, Hana nak mintak maaf sebab beberapa bulan ni Hana memang sibuk sangat sampai Hana tak banyak masa dengan Naz. Naz tahu kan company…”

“Hana…” Nazeem memotong bicara Hana.
“Saya faham,” sambungnya.

Kedua-dua sudut bibir Hana terangkat. Lega kerana Nazeem memahami situasinya. Selepas perancangan penjenamaan semula syarikat tempatnya bekerja diterima oleh majikan baharu, dia akan menebus semula masanya bersama Nazeem. Umur mereka yang hampir menganjak ke angka 3, membuatkan Hana mula berfikir untuk mengikat hubungan mereka dengan lebih serius.

Sehingga makanan yang dipesan Hana sampai ke meja, tiada perbualan ringan antara dia dan Nazeem. Lelaki itu kelihatan sibuk menaip sesuatu pada telefonnya melihat kepada jemarinya yang tidak berhenti mengetuk skrin.

“Awak sibuk ke? Ada kerja?” tanya Hana apabila Nazeem langsung tidak mengangkat muka.

“Awak makan dulu. Saya ada sesuatu nak bagitahu awak.” Nazeem akhirnya meletakkan telefonnya ke tepi.

Hana hanya tersenyum dan mengangguk walau tidak dinafi, debaran di dadanya benar-benar sudah tidak terkendali. Satu sisi, dia mahu berasa bahagia kerana kemungkinan Nazeem akan melamarnya. Namun, di satu sisi lagi, dia rasa tidak enak hati. Ya, Nazeem yang berada di depannya sekarang bukan seperti Nazeem yang dikenalinya selama tiga belas tahun ini. Ya, tiga belas tahun! Bukan suatu jangka masa yang singkat untuk mengenali lelaki di depannya ini. Cara Nazeem mengelipkan matanya pun dia sudah hafal, apatah lagi riak wajah lelaki itu.

Setelah menghabiskan separuh chicken steak, Hana menolak pinggannya ke tengah.

“Kenapa tak habiskan?” tanya Nazeem.

“Tak seleralah kalau makan sorang. Lainlah kalau awak nak suapkan.” Hana pamer seringai nakal yang selalunya tidak pernah gagal mencairkan Nazeem.

“Kalau dah tak selera, baik tak payah paksa.”

Senyuman di wajah Hana mati. Ada rasa nyeri menyentak tangkai hatinya saat mendengar kata-kata itu dari mulut Nazeem. Hampir saja air matanya jatuh kerana dia tidak pernah dilayan sebegitu oleh Nazeem.

Sejenak, keheningan menyelubungi. Hana yang dengan wajah bingung merenung Nazeem, dan Nazeem yang kelihatan beberapa menarik nafas dan menghembusnya perlahan.

“Hana…” Suara Nazeem kedengaran berat.

“Saya tahu apa yang akan saya bagitahu sekejap lagi akan buat awak terkejut.”

Hana tersenyum. Mukaddimah dari mulut Nazeem mengukuhkan keyakinannya bahawa lelaki itu akan melamarnya. Ya, sudah tentu dia akan terkejut jika
menerima lamaran yang tiba-tiba itu.

“Saya bersedia dengar apa saja yang keluar dari mulut awak.” Hana berkata dengan suara teruja.

Lagi-lagi Nazeem menghela nafas berat.

“Hana…Saya nak putuskan hubungan kita.”

Senyum di wajah Hana perlahan sirna. Namun, dia masih cuba mempositifkan fikirannya. Tidak mungkin kan, semudah ini Nazeem memutuskan hubungan mereka yang sudah terbina belasan tahun. Tentu ini helah Nazeem untuk membuatnya sedih sebelum melamarnya.

“Awak…Tipu kan?” Suaran Hana sedikit bergetar. Ya, meski cuba befikiran positif, namun perasaan tidak terima itu tetap ada. Dia sayangkan Nazeem. Sayang sepenuh hati kerana hanya lelaki itu yang bertakhta dalam hatinya sejak tiga belas tahun lalu.

Nezeem menggeleng. “Saya tak tipu. Saya memang nak putuskan hubungan kita.”

“Tapi…Tapi…Awak kan nak…Melamar saya.” Tersekat-sekat suara Hana walaupun dia dia masih berhasil menahan air matanya daripada gugur.

Berkerut dahi Nazeem. “Siapa cakap?”

Boom! Bagai seisi langit jatuh menghempap tubuh Hana. Benar-benar pertanyaan Nazeem itu membuat harga dirinya hancur dan perlahan melebur menjadi debu.

Fahamlah dia dengan nada dan wajah dingin yang ditunjukkan Nazeem malam ini. Lelaki ini benar-benar mahu memutuskan hubungan dengannya.

“Jadi, cincin tu untuk siapa?” tanya Hana. Meskipun perit, dia mahu tahu siapa wanita yang berjaya membuat Nazeem berpaling daripadanya.

“Mana awak tahu pasal cincin tu?”

Hana tersenyum sumbang. “Jadi, betullah awak ada beli cincin. Untuk siapa?”

Nazeem terdiam agak lama. Kelihatan halkumnya bergerak-gerak seolah dia cuba memperkatakan sesuatu, namun yang terdengar cuma dentingan sudu dari meja sebelah dan alunan muzik perlahan yang dipasang di dalam restoran.

“Siapa dia?” Hana mengulangi pertanyaannya.

“Mila. Pilihan umi.”

“Why?” Suara Hana hampir tenggelam. Sekuat dan seteguh mana pun hatinya, tetap dia terluka dengan perpisahan yang tiba-tiba ini. Fikirnya, tempoh
belasan tahun sudah cukup untuk meneguhkan hati mereka dalam hubungan ini, namun dia silap. Nazeem dengan mudah membuang dirinya dan menerima wanita pilihan umi.

“Umi tak suka perempuan yang terlalu sibuk dengan kerjaya. Dia nak saya kahwin dengan perempuan yang boleh fokus pada rumah tangga. Awak terlalu fokus dengan kerja awak sampai kita tak ada masa nak merancang masa depan hubungan kita. Saya dah tiga puluh tahun Hana. Saya nak bina keluarga. Sampai bila kita nak teruskan hubungan yang tak ada hala tuju ni?”

“Hubungan yang tak ada hala tuju?” Hana senyum sinis. “Tiga belas tahun…Baru sekarang awak rasa hubungan kita tak ada hala tuju?”

Diam.

“Awak tak pernah bincang dengan saya tentang kahwin. Sekarang awak salahkan saya yang terlalu fokus dengan kerja? Atau awak memang tak pernah berniat nak memperisterikan saya? Sebab umi tak suka saya, kan?”

“Jangan libatkan umi dalam masalah kita.”

“Awak yang cakap awak akan bertunang dengan pilihan umi. Kalau umi boleh terima saya, kenapa dia tak suruh awak lamar saya? Dia bukan tak tahu hubungan kita. Kenapa dia cari perempuan lain untuk awak?”

Nazeem kedengaran mendengus. “Sikap awak yang buat umi tak suka. Dan awak tak pernah berusaha untuk buat umi suka awak.”

Hana memandang Nazeem dengan wajah tidak percaya. Kenapa semua berbalik kepadanya? Dia tidak berusaha? Huh, cuma syaitan yang akan percaya.

Dia sudah usahakan berbagai cara untuk mengambil hati umi Nazeem, namun tidak berhasil. Umi Nazeem terang-terang menunjukkan rasa tidak suka kepadanya. Dia tidak ambil hati kerana cintanya pada Nazeem mengatasi segalanya. Dia yakin, seiring dengan berlalunya waktu, dia akan berjaya menawan hati umi Nazeem. Sayangnya, dia silap. Dia bukan silap menilai umi Nazeem, tetapi dia silap kerana terlalu yakin dengan cinta Nazeem.

“Dan awak pernah tak berusaha untuk buat umi suka saya? Umi awak sendiri, pernah tak berusaha untuk terima saya? Yang saya nampak, setiap kali awak bawak saya jumpa dia, dia tak pernah cuba bermesra dengan aya. Saya yang terhegeh-hegeh cuba bertegur sapa, cuba bercakap dengan dia. Jadi, sekarang adil ke awak tuduh saya yang tak pernah berusaha?”

“Sudahlah Hana. Saya ajak awak jumpa, bukan nak berdebat. Saya cuma…” Nazeem memberi jeda. “Nak tamatkan hubungan kita. Lepas ni kita jangan berhubung lagi.”

Hana memandang Nazeem dengan mata berkaca. Dia wanita. Dia punya hati dan perasaan. Dia akan terluka jika disakiti, jadi jangan salahkannya kalau dia menangis.

“Thank you for the wonderful thirteen years. Saya doakan awak bahagia dengan pilihan umi awak dan semoga awak dapat ganjaran syurga sebab jadi anak yang soleh.”

Tiada jawapan daripada Nazeem. Lelaki itu bangun lalu meninggalkan Hana yang memandang langkahnya dengan tatapan nanar. Saat lelaki itu melangkah ke pintu, seorang wanita menghampirinya, merangkul lengannya sambil melirik sekilas ke arah Hana dengan senyum yang…Entah. Senyum perli mungkin, kerana berjaya menakluk lelaki yang tiga belas tahun menjalin cinta dengannya.

Hana tersenyum sumbing. Jadi, itulah wanita pilihan umi Nazeem? Tidak jauh beza dengannya. Tidak juga jauh lebih cantik daripadanya. Biasa sahaja. Kalau setakat rupa semacam itu, di pasar malam boleh beli timbang kilo. Sisi jahat Hana mula mengutuk wanita yang dia tidak tahu nama itu.

Tangannya terkepal. Tiga belas tahun berlalu dengan sia-sia. Kalaulah dia tahu begini kesudahannya kisah cinta dia dengan Nazeem, tentu dia yang akan memilih memutuskan hubungan mereka terlebih dahulu supaya rasanya tidak sesakit ini. Sakit kerana terasa seperti diperbodohkan, dan dipermainkan selama bertahun-tahun. Hatinya patah berkeping-keping.

Bukan sedikit kenangan yang mereka lalui bersama. Tetapi, Nazeem dengan mudah memutuskan hubungan mereka.

Hana bangun. Dengan langkah gontai, dia meninggalkan restoran menuju ke tempat letak kereta. Lama dia berdiri dengan kedua-dua tangan di sisi dan
tatapan kosong ke arah kereta yang diparkir bersebelahan keretanya.

Sekuat mungkin dia meyakinkan hatinya yang Nazeem bukan tercipta untuknya, namun tetap juga perlakuan manis Nazeem dan kenangan indah antara mereka hadir dan memporak-perandakan suasana hatinya.

Kenapa rasanya begitu sakit, Tuhan?

Hana bersandar pada keretanya dengan satu tangan dilekapkan ke dada. Merasa degupan jantungnya yang tidak berdetak normal sejak Nazeem melafazkan kata perpisahan.

Sedih, geram, marah, benci berbaur menjadi satu membuat dia semakin mebenci dirinya sendiri. Benci kerana terlalu setia dalam hubungan ini. Bukan tidak ada lelaki yang cuba mendekatinya semasa di universiti dulu, tetapi kesetiannya kepada Nazeem membuatkan dia menolak setiap lamaran perkenanlan yang datang.

Bodoh Hana! Bodoh!

“Aaarrrggghhh!!!” Hana menjerit nyaring. Bergema suaranya memenuhi tempat letak kereta bawah tanah yang sunyi itu, tanpa dia sedar ada seseorang memerhatikannya dari dalam kereta yang diparkir bersebelahan keretanya.

“Tak guna kau Nazeem!!!!!!!! Aku benci kau! Aku sumpah kau mandul. Aku sumpah kau mati pucuk. Aku sumpah kau takde keturunan sampai kiamat!!” Hana memaki-maki Nazeem sambil mengelilingi keretanya, menganggap kereta itu adalah Nazeem.

“Aku nak tengok, sejauh mana baiknya perempuan yang mak kau pilih tu. Agak-agak perangai lebih kurang mak kau tak? Hah heloklah tu, kau hidup dengan dua perempuan yang sama perangai. Tengok selama mana kau boleh tahan. Jangan kau datang merayu, menangis, melutut nak balik dengan aku pulak. Bo layan!! Ke nerakalah kau tanpa hisab sebab menganaiayai wanita yang baik, setia dan mulia macam aku, huh!” Tayar keretanya dia sepak dan kereta Honda Jazz miliknya itu ditolak-tolak, walaupun kereta itu langsung tidak bergerak akibat tolakannya.

Puas menjerit, memaki, dan menyumpah, dia melompat-lompat sambil memukul-mukul keretanya dengan beg tangan, membayangkan kereta tidak berdosa itu adalah Nazeem.

Selesai melampiaskan rasa marah dan geramnya, dia membuat senaman tarik dan hembus nafas sambil mendepangkan tangannya, sebelum bertinggung mengutip barang-barangnya yang berterabur keluar dari beg tangannya semasa dia melibas-libas kereta tadi. Sambil mengutip, dia menyedut hingus dengan lelehan air mata. Terasa malang sekali hidupnya. Dengan masalah kerja yang masih belum selesai, kini ditambah pula dengan bebanan perasaan akibat ditinggal teman lelaki.

“Mak…..” Dia mengongoi memanggil emaknya di kampung.

Selesai memungut semua barangnya, dia masuk ke perut kereta, lalu menghidupkan enjin dan memandu keluar dari kawasan parkir itu.

Aariz yang berada di dalam kereta sejak tadi, membuka cermin. Sekeping kad dengan lanyard berwarna kuning di atas petak parkir kereta gadis tadi menarik perhatiannya. Pintu kereta dia buka, lantas kakinya yang beralas kasut berjenama A Diciannoveventitre menapak ke arah benda yang menarik perhatiannya tadi. Perlahan dia bertinggung lalu mengutip kad id tersebut.

“Hana Kamelia binti Azman.” Dia membaca nama pada kad tersebut.

“Brand Manager of Stilvoll.” Dia tersenyum, mengingat aksi gadis tadi yang melompat-lompat dan melibas beg tangan ke keretanya seperti orang gila, tetapi pada masa yang sama terlihat agak comel terutama ketika dia meniup rambutnya yang berjuntai ke depan selepas amukannya.

“Hana…” Lagi-lagi dia menggumam nama itu.

Assalamualaikum dan hai semua. Disebabkan MB hampir melabuhkan tirainya, saya perkenalkan novel baru ni dulu ya. Happiest reading semua..❤️❤️❤️ MB akan kembali bersiaran esok atau lusa ya?

Share this novel

Siti Shakinah
2022-12-30 16:56:02 

best

Ainul Mardiah Hasani
2022-10-05 20:49:07 

Ada jual dkt kedai buku x

Saphire
2022-03-17 07:41:30 

jemput baca novel sy yg berjudul cinta yang tak didendangkan. Jgn lupa support dan komen yaa, Trima kasih


NovelPlus Premium

The best ads free experience