BAB 5

Romance Completed 7439

Bermula satu kisah…

Penglihatannya bertambah jelas dengan adanya cermin mata baru yang diganti oleh Leo. Tidaklah lagi terpaksa mengecilkan mata untuk membaca perkataan yang ditulis oleh guru pada papan hitam. Namun, dalam pada itu hati kecilnya tak lepas daripada memikirkan keadaan Natalia. Belum sekali pun dia melawat gadis itu. Mungkin petang ini, dia akan mengajak Met menemaninya menziarahi rakan sekelas mereka yang sedang terlantar. Walaupun bergaduh, namun dia tak harus membiarkan sengketa menyingkirkan rasa kemanusiaannya. Mereka hanyalah anak remaja yang punya hala tuju masing-masing. Pergaduhan itu sekadar sebahagian daripada rencah meniti alam persekolahan. Mungkin bakal menjadi kenangan manis apabila dikenang kelak.

Di saat begini, Natalia akan membaling kapur kepadanya yang ralit membaca. Ketiadaan guru di kelas menjadikan bilik darjah mereka bagaikan dilanda ribut. Sekelip mata sahaja, kapur dan gumpalan kertas berterabur di merata tempat. Roket kertas pula akan meluncur tak mengenal sasaran. Perbuatan nakal ini adalah hobi lazim kumpulan Tak Kisah. Dan bagi Nerd Dun Care!, mereka akan keluar daripada kelas. Menghindari suasana hiruk pikuk yang tentu sekali menganggu keamanan.

Chaz berkira-kira sendiri. Hendak ataupun tidak? Dia terpandang pula kelibat Met yang sedang asyik membelek buku rujukan yang baru dibeli tempoh hari. Kebetulan sangatlah Met lalu di depannya. Boleh tahan sekejap. Dia memerlukan sedikit bantuan daripada sahabat karibnya itu.

“Eh Met, kau ada kerja tak petang ni?” Jejaka itu meletakkan tangan ke dagu. Mencongak-congak aktiviti yang bakal mengisi harinya sehingga malam nanti.

“Lepas ulangkaji aku nak tidurlah. Letih ni, semalam tidur lambat. Tolong Zcha siapkan rumus Matematik,” Chaz tak jadi nak memaksa. Kesian melihat mata sembap sahabatnya. Nampak sangat tak cukup tidur. Nak ajak Leo dengan Din, macam diorang tu nak jumpa makwe masing-masing. Pergi sorang je lah. Bukannya salah pun. Akhirnya kata putus telah dibuat. Anak jantan kena yakin dengan diri sendiri!

Chaz serba salah untuk memulas tombol pintu wad yang menempatkan Natalia. Sekejap dia berundur, sekejap dia ke depan. Tangan masih tak lekang memegang tombol. Setelah beristighfar banyak-banyak dan menyakinkan dirinya sendiri, dia melangkah masuk. Dia duduk di sisi gadis itu. Sayu melihat keadaan Natalia. Wajahnya pucat, kepalanya berbalut. Alat bantuan pernafasan menjadi peneman setia gadis ini. Hampir menitis air mata Chaz. Tidak dia mengerti mengapa terlalu hiba tatkala melihat sendiri dengan mata kepalanya keadaan Natalia. Mungkin benar kata orang, kawan kelahi itu akan dirindui. Meninggalkan nostalgia yang bukan sedikit. Sebetulnya, dia kagum dengan kesungguhan dan kerja keras Natalia dalam memastikan Gadis Matahari berada pada kedudukan sekarang.

“Chaz,” satu suara lembut menyapa pendengarannya. Sentuhan pada bahunya membuatkan tubuhnya serta merta merasa sejuk. Jejaka itu berpaling.

“Terima kasih datang melawat aku,” Chaz menggigil. Dia hampir tergigit lidah kerana terkejut. Kaget tahap ekstrem. Perempuan yang memakai dress putih ini sebiji macam Natalia! Matanya tersalah pandangkah?

“Kau…kau…kau… siapa? Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Terputus-putus. Nafasnya tak tentu hala.

“Aku Natalia,” jawapannya gadis itu langsung membuatkan Chaz membuka langkah. Lintang pukang dia berlari meninggalkan wad tersebut. Sampai nyaris nak tersembam kerana terlalu panik.

Gadis ini mengeluh. Dia sendiri bingung, mengapa perlu memunculkan diri di hadapan Chaz? Sedangkan lelaki ini sama sekali tidak menyenangi dirinya. Malah, mereka selalu bertelingkah hingga menyakitkan hati antara satu sama lain. Dia merenung pula tubuhnya yang kaku itu, tergeleng tanpa harapan.

“Kesian Natalia,” ujarnya sebelum melangkah keluar dari situ. Merenung diri sendiri yang terbujur lesu buat kali terakhir.

Berpeluh-peluh jejaka ini berlari di tengah panas. Takut punya pasal sampai tak ingat nak tahan teksi. Renik peluh pada wajah disapu perlahan. Dia menghela nafas, cuba mengumpul ketenangan.

“Aku mimpi, memang mimpi. Mana boleh Natalia bangun. Kan dia tengah terbaring,” seketika kemudian Chaz tergelak sendiri. Dia ingin memujuk dan mengembalikan semangat diri yang hampir melayang tadi. Sedang asyik tergelak sendiri, terasa bagai pahanya ditepuk. Tawanya herhenti. Matanya membuntang. Lidah terkelu tak mampu berkata. Dia kejung buat seketika.

“Chaz!” Natalia menampar lembut pipi jejaka itu. Risau pula melihat rakan sekelasnya yang keras sampai begitu. Dia sudah mendapat jawapan yang pasti, mengapa dia hanya boleh dilihat oleh Chaz. Segalanya berpunca daripada keikhlasan jejaka itu yang sering berfikir mengenai dirinya. Mungkin faktor ini yang mendorongnya bangun, meninggalkan tubuh buat sementara waktu bagi memohon bantuan Chaz memastikan satu perkara. Agar dirinya tidak tersilap menyalahkan sesiapa di atas kemalangan yang telah menimpanya sewaktu pertandingan pasukan sorak kebangsaan.

Matanya terpandang sebotol air mineral yang berada dalam pegangan Chaz. Segera dia mengambil botol itu dan merenjiskan air ke muka Chaz. Barulah terkerdip-kerdip mata jejaka itu.

“Han….Han…Hantu….Hantu!” Jerit Chaz. Matanya dipejam rapat. Kakinya mula memecut sehingga terlupa bahawa dirinya sedang memejamkan mata. Tanpa sempat brek kecemasan, kepalanya terhantuk ke tiang. Hampir pitam dibuatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience