Bab 7

Humor Completed 15666

“Cik Sleeping Beauty, saya akan masukkan ubat cik ke saluran ni memandangkan beg air dah habis. Giliran untuk masuk ubat pula. Mungkin cik Kira akan rasa pedih dan kebas sedikit. Tapi, kalau cik masih tidak dapat menggerakkan apa-apa anggota, saya rasa, cik takkan terasa ubat ini masuk ke saluran darah cik,” dia membebel. Memang doktor dan jururawat di sini ramah-ramah betul, ya? Beruntung aku dijaga staf-staf di sini. Dengan orang koma pun mereka berbual! Beberapa ketika kemudian, aku sudah mula rasa bagai di alam mimpi. Suara garau Dr. Irfan tidak lagi kedengaran…

“CIK Sleeping Beauty, saya perlu tengok keadaan dada cik. Saya minta maaf sekali lagi. Bukan nak mengambil kesempatan tapi saya perlu buat pemeriksaan lanjut,” suara Dr. Irfan kedengaran lagi. Dia nak tengok dada aku? Kedengaran tirai ditarik. Aku berusaha menggerakkan tubuhku. Semakin kuat aku berusaha, semakin lemah keadaan dalaman aku! Demi Allah, aku tak mahu dirawat oleh Doktor Irfan. Dia lelaki!

Aku tak tahulah bagaimana ibu yang bersalin boleh berhadapan dengan doktor sakit puan lelaki. Perkara sebegitu lebih memalukan tambahan pula si ibu sudah pun menikah dan menjadi milik lelaki lain. Kadang-kadang aku tak faham! Kenapa? Kenapa mesti doktor lelaki? Terasa hendak menangis bila kedengaran langkah kaki si doktor semakin menghampiriku. Aku bertarung dengan diri sendiri. Sedarlah! Sedarlah, Kirana! Sedarlah! Tolong jangan bagi dia lihat sesuatu yang tak sepatutnya dia lihat! Sedarlah, Kirana! Sedarlah! Bangunlah!

Tanganku terasa diangkat. Eh? Aku dah boleh merasa? Alhamdulillah! Akhirnya! Walaupun sudah kepenatan akibat bertarung dalam diri, namun aku bersyukur yang aku sudah boleh merasa. Mungkin aku semakin hampir dengan kejayaan untuk melihat dunia semula! Kuatkan semangat, Kirana. Bangun!

Badanku sudah merasa sakit. Sakit yang amat sangat! Lega. Walaupun sakit itu terlalu sakit namun sekurang-kurangnya, badanku tidaklah sentiasa kebas lagi. Tak ada rasa numb lagi. Pergerakan, angin, semua juga aku sudah boleh merasa. Alhamdulillah! Takkanlah dia berdua denganku sahaja? Mana pergi jururawat lain? Benarkah dia tak mahu mengambil kesempatan padaku? Kenapa tiada suara jururawat?

“Cik jangan risau. Tak ada apa yang doktor ni boleh buat pada cik sebab kami menjadi pemerhati. Hehehe,” suara jururawat bagaikan memahami ketakutanku. Mungkin Melur. Lega. Jururawat lain juga mengiyakan dengan tawa kecil. Aku semakin tidak keruan! Aku tak nak dirawat doktor ini lagi. Aku malu! Ya Allah! Jauh-jauhkanlah dia dariku!

“Eh! Awak semua ni ingat saya ni gatal sangat ke?” soal Dr. Irfan membalas selamba. Jururawat-jururawat tergelak kecil. Boleh mereka bergurau dengan keadaan aku yang macam ni? Aku tak suka keadaan begini. Aku tak mahu! Aku tak selesa. Aku tak suka! Memanglah Doktor Irfan ni tak ada gaya macam lelaki gatal… melalui percakapannya. Tetapi… aku tetap rasa, dia tak patut merawat aku! Takkanlah hospital ini sudah kehabisan doktor perempuan?!

“Doktor, apa kata doktor kahwin sahaja dengan Cik Kirana ni? Ibunya cerita, Cik Kirana ni baik. Tapi calon tak ada lagi. Samalah macam doktor, ha!” seorang jururawat menggiat! Kenapa aku yang terasa blushing?

“Eh awak ni! Kalau padankan saya dengan orang lain tak apalah juga. Cik Kira ni dahlah Sleeping Beauty. Dia selayaknya dengan Prince Charming dia. Tak padanlah dengan saya yang banyak rongak-rongak ni,” si doktor membalas dengan gurauan.

“Haha. Rongaklah sangat. Pelik saya dengan doktor ni tau? Doktor Syah dah kahwin. Doktor aje yang single sampai sekarang. Rugi tau kahwin lewat-lewat sangat. Nanti dah nak tua baru belajar dukung anak,” si jururawat membebel pula. oh! Jururawat yang sudah bertunang dulu. Aku kenal suara dia.

“Heee, tak payahlah cakap pasal jodoh ni depan Cik Kira. Kalau dia sedar nanti, puas saya digelakkan dia sebab tak laku. Awak semua pun, jangan tahu nak matching-matchingkan saya dengan sesiapa erk. Kalau saya jatuh cinta nanti, payah saya nak buang! Dah-dah merepek. Melur, awak buka baju Cik Kira. Cik Kira, saya minta maaf. Saya hanya nak awak sihat cepat,” Doktor Irfan bersuara. Aku terasa mahu menangis apabila butang bajuku dibuka satu persatu oleh jururawatnya. Semakin ke bawah tangannya, semakin aku rasa nak meraung!

Tangannya ingin sekali menepis! Jangan! Jangan buka aib aku di hadapan doktor lelaki ini lagi! Tolonglah! Ya Allah! Kenapa mesti aku? Kenapa mesti doktor lelaki ini? Kenapa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience