BAB 5

Romance Completed 4031

“Kau takkan boleh halang aku sekarang. Amirul sedang tunggu aku.” Shafie menghampiri Rania. Lembut tangannya menyentuh bahu Rania.

“Terpulanglah Rania. Keputusan di tangan kau. Aku tak memaksa kau untuk memilih. Kau berhak untuk tentukan kehidupan kau. Cuma aku harap sebelum kau tinggalkan papa kau, kau bayarlah balik apa yang telah dia buat untuk kau selama ini supaya tiada hutang antara kau dengan dia.” Rania terdiam. Dia tunduk memandang lantai. Fikirannya benar-benar bercelaru. Melihatkan keadaan Rania yang serba salah, Shafie menepuk lembut bahu Rania dan dia terus berlalu pergi meninggalkan Rania seorang diri. Dia sangat berharap agar Rania dapat membuat pilihan yang terbaik dalam hidupnya.

Rania duduk memikirkan kebenaran yang tersembunyi di sebalik kata-kata Shafie itu. Mencari makna tersirat yang cuba disampaikan oleh Shafie. Sedang dia memikirkan keputusan yang harus dibuatnya, telefon bimbitnya bergetar. Tanda ada panggilan masuk. Tertera nama pemanggilnya. Amirul. Rania segera mematikan panggilan tersebut. Dia memeriksa telefonnya. Terdapat dua puluh lima panggilan yang tidak berjawab dan sepuluh pesanan ringkas. Semuanya dari Shafie. Shafie berusaha mencari dan mengejarnya di sini hanya untuk memastikan dia tidak membuat kesilapan yang akan dia sesali di kemudian hari. Rania sangat terharu dengan sikap Shafie. Akhirnya Rania membuat keputusan untuk membatalkan rancangannya. Dia menghantar SMS kepada Amirul sebelum berlalu pergi.

‘Maafkan I Amirul. I tak dapat ikut U. Papa I perlukan I. Hubungan kita sampai sini sahaja. Thanks for everything.’

Rania melihat ayahnya yang sedang terbaring di katil hospital. Sudah dua hari ayahnya terbaring tidak sedarkan diri kesan dari kecuaian dirinya. Salinan tiket kapal terbang yang ditempah secara online telah dijumpai oleh ayahnya di dalam bilik pejabatnya. Dia benar-benar terlupa untuk membuangnya. Ayahnya tidak dapat menerima tamparan ini telah mengalami serangan jantung. Rania mengusap lembut tangan ayahnya. Air matanya mula mengalir di pipi. Dia mula menyedari kesilapan dirinya. Maafkan Nia papa.

Setelah hampir seminggu menerima rawatan di hospital, keadaan Dato’ Rashid mula beransur pulih tetapi dia masih tidak dibenarkan pulang ke rumah. Sementara Rania pula sentiasa menemani ayahnya sepanjang masa. Kadangkala dia akan ditemani oleh Shafie yang akan datang melawat selepas waktu pejabat. Kedatangan Shafie sedikit sebanyak dapat memberikan semangat dalam diri ayahnya. Melalui Shafie jugalah Rania menerima pesanan dari Amirul. Amirul masih setia menunggu dirinya. Rania menjadi serba salah. Dia perlu berjumpa dengan Amirul bagi menyelesaikan permasalahan dalam hubungan mereka.

“Sihat Rania?” Tanya Amirul setelah hampir dua bulan mereka berdua tidak berjumpa. Rania hanya mengangguk. Dia perhatikan wajah Amirul. Wajah yang sangat dirinduinya itu kelihatan tidak terurus.

“Sampai sini sahaja hubungan cinta kita. Biarlah kita menjadi kawan sahaja. Itu lebih baik untuk kita berdua.” Mendatar sahaja Rania meluahkannya. Amirul hanya mendiamkan diri. Dia seolah dapat meneka bahawa itulah tujuan utama pertemuan itu diadakan. Setelah agak lama mereka berdua mendiamkan diri, Amirul mula bersuara.

“Dugaan sekecil ini U dah menyerah kalah Rania? U tak yakin dengan I ke?” Tanya Amirul. Rania hanya mempamerkan senyuman. Dia cuba mengawal emosinya.

“Saya yakin dan percayakan awak Amirul. Awak pernah bagitau. Kerjaya yang musnah boleh dibina semula tetapi cinta sejati yang hilang sangat sukar untuk diganti bukan?” Rania menarik nafas sebelum meneruskan kata-katanya lagi.

“Sukar diganti tetapi bukan tidak boleh diganti. Ini bermakna cinta sejati boleh dicari. Tetapi Amirul, ada satu perkara yang tidak boleh diganti, malah ia juga tidak boleh dibeli.”

“Ibu bapa. Bila kita dah kehilangan mereka, kita tidak boleh cari sesiapa pun untuk mengantikan tempat mereka. I sudah kehilangan Ibu. Kehilangannya benar-benar memberikan tamparan dalam hidup I. Dan kini I belum bersedia untuk kehilangan ayah. I tak sanggup untuk membayangkannya pun.” Sambung Rania.

“Ibu bapa tidak pernah memilih kita sebagai anaknya. Mereka terima kita dan pelihara kita dengan baik. Mereka tidak pernah harapkan apa-apa balasan dari anak-anaknya. Mereka hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ini semua adalah kerana kasih sayang mereka untuk kita lahir dari hati yang tulus ikhlas.” Jelas Rania. Amirul menatap wajah Rania.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience