Bab 16

Romance Series 106380

JUWITA ke pejabat seperti biasa. Meskipun apa yang berlaku semalam sangat menyakitkan hati, dia harus kuat.

"Ju... walau apa pun jadi selepas ini, baba nak Ju kuat. Jangan pernah mengalah. Ju perlu jadi wanita hebat." Kata-kata babanya masih terngiang-ngiang ditelinganya dan kerana itu jugalah dia kuatkan hati dan dirinya.

Ya... aku perlu kuat. Walau apa sekalipun dugaan yang mendatang, aku perlu kuat dan terus kuat. Aku tak boleh lemah. Aku tak boleh tunduk dengan sesiapa pun.

Begitulah Juwita cuba mengutip semangatnya, setiap kali dia hampir tewas dengan perasaan sendiri.

Kenangan lima tahun lalu tak mungkin dia lupakan. Kenangan yang telah meragut senyumannya. Kenangan yang telah membuatkan dia kehilangan babanya. Kenangan yang semakin dia cuba untuk buang, semakin kuat ingatannya pada peristiwa itu.

"Nok... kau ni asyik termenung je tau. Jom keluar lunch. Hari ni aku belanja kau." Zailani tersenyum manis. Tangan kirinya diletakkan di atas bahu kiri. Lenggangnya mengalahkan ratu cantik.

Adakalanya sikap Zailani mampu mengundang senyum dibibir Juwita.  Siapa sangkakan? Dalam Miss Singa kita asyik nak mengaum je, ada pula Mr. Kurita yang berjaya mencuit hati kecil Miss Singa.

Tapi itulah, Miss Singa ni tetap dengan ego dia. Asal boleh tak nak tunjuk senyuman di bibir tu. Ish... kalau siapa tengok Juwita senyum, pasti tak tidur malam. Senyuman yang bisa mencairkan hati mana-mana jejaka. Kalau tak masakan playboy seperti Zack tergila-gilakan Juwita.

Walau hanya tersenyum nipis, Juwita tetap mampu mencairkan hati Zack. Alahai... Zack ni mana perempuan yang dia tak layan. Asal dahi licin, semua dia nak sapu. Apa hebatnya entah Zack tu. Cuma sebab dia orang berharta je jadi kegilaan perempuan kat luar sana.

Tapi sayang, dia tak mampu membuatkan Juwita tergila-gilakannya. Malah Juwita sering kali menjauhkan diri. Tapi Zack tetap Zack, takkan mengalah selagi tak dapat apa yang dihajati.

Kehadiran Zailani di situ sedikit sebanyak mencabar ego Zack. Walaupun Zailani digelar pondan, namun kemesraan yang ditunjukkan oleh Zailani terhadap Juwita tetap mencabar kelakiannya.

"Aku nak makan western hari ni. Kau nak belanja jugak ke?" soal Juwita dengan wajah ketat. Kening kirinya dijungkit tinggi.

Fuh... dah macam Ziana Zain la pulak.

"Kau mesti nak makan kat restoren baru buka tu, kan? Tau la mamat-mamat kat sana hensem, gatal pulak tekak kau nak makan western." Celupar mulut Zailani menepek Juwita.

Tanpa sebarang amaran, dahi Zailani ditepuk kuat. Buntang mata Zailani melihat Juwita yang sudah bercekak pinggang.

"Kau kalau kedekut, jangan sibuk cakap nak belanja. Tak payah nak perli-perli aku macam tu. Kau ingat aku ni minah gedik macam kau? Nampak jantan hensem terus kena histeria. Nak pecah ovari segala bagai ni?" Juwita dah mula mencekak pinggang.

Zailani tersengih. Dia tahu Juwita bukan begitu. Adakalanya dia terfikir kenapa Juwita selalu menjauhi lelaki. Muka dah lawa. Pakej idaman lelaki tapi sayangnya, garang nak mati.

"Tak payah nak berkerut sangatlah muka kau tu. Aku tahu kau tengah mengata aku dalam hati, kan?" Tercengang Zailani mendengarnya.

Juwita mencebik lalu berjalan meninggalkan Zailani setelah mengambil tas tangannya. Melihat Juwita berlalu pergi, segera Zailani mengejar.

ZAITUN termenung di ruang tamu. Usai memasak untuk makan tengah hari, dia terus merehatkan diri di situ.

Entah mengapa hari ini, rindu buat arwah suaminya bagai tidak dapat dibendung. Setitis demi setitis air matanya mengalir dan akhirnya dia menangis. Menangis melepaskan rindu di hati.

Sakitnya apabila merindu. Lebih-lebih lagi bila merindukan dia yang telah tiada.

Hampir lima minit dia begitu. Apabila terasa lega, dia mengesat air matanya. Sekilas matanya melirik jam didinding.

Zaitun segera bangun menuju ke bilik air. Wajahnya perlu dicuci. Sebentar lagi kembar akan pulang, dia tak mahu mereka tahu dia menangis. Makan tengah hari juga telah siap terhidang.

Begitulah selalunya. Jika mereka tiada aktiviti selepas waktu persekolahan, Zaitun akan menunggu mereka untuk makan bersama. Jika tidak, terpaksalah dia makan sendirian.

Andai saja arwah suaminya masih ada, pasti harinya tidak sesunyi ini. Pasti ada saja gurau senda mereka.

Sazali...

Nama itu masih tersemat utuh dalam hatinya. Tidak mungkin akan ada pengganti.

Biar saja rasa kasih sayang dan cinta itu terus mekar di hatinya. Andai diizinkan Allah SWT, pasti mereka akan berjumpa semula di sana nanti.

Sazali...

Lelaki yang penuh dengan kasih sayang. Penuh dengan rasa cinta. Tidak pernah sekalipun Zaitun merasa kurang.

Betapa hebatnya kasih sayang dan cinta lelaki bernama Sazali itu. Kerana rasa cinta itulah mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Penat mengurus mereka, langsung tidak terasa apabila Sazali sama-sama membantu menguruskan mereka. Bahkan, Sazali juga tidak kekok membantu Zaitun menguruskan rumah mereka.

"Mak!" Jeritan kembar mengembalikan Zaitun ke alam maya. Jelas wajah cemberut Junaidi dan Junaida. Tersenyum Zaitun melihatnya.

"Mak ingat boyfriend eh sampai kami balik pun tak perasan?" Junaidi cuba serkap jarang. Namun hanya ketawa Zaitun yang diterima sebagai balasan.

"Sudah... pergi mandi. Lepas tu solat. Dah solat turun makan." Mereka segera menurut arahan Zaitun.

Syukur... hasil didikan dan sikap tegas Sazali dalam mendidik anak-anak mereka, jarang sekali mereka menimbulkan masalah.

Mereka adalah pengubat dikala kerinduan semakin mencengkam hati. Mereka adalah buah hasil dari cinta suci mereka. Kerana mereka jugalah dia masih di situ. Meneruskan sisa-sisa hidup sebelum kembali kepada pencipta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience