Chapter 1 – A Room for One

Romance Series 17063

Tahun 2131 – Archadia, Hereven

Empat tahun telah berlalu sejak Greg dan Xavier meninggalkan gitar kepunyaan Nicholas kepada seorang kanak-kanak kecil yang dijumpai seorang diri di bawah jambatan Archadia. Dalam tempoh empat tahun, mereka berdua kerap kali singgah ke jambatan tersebut untuk melihat keadaan budak lelaki itu.

Hasil daripada risikan Nicholas, nama budak lelaki itu ialah Michael. Nama akhirnya tidak dikenalpasti.

Dari menyediakannya katil besi dan keperluan asas seperti makanan dan pakaian, mereka juga telah memecahkan sebahagian bawah dinding Archadia untuk dibina menjadi sebuah bilik kecil untuk Michael.

Secara senyap, mereka telah membesarkan Michael tanpa pengetahuan pihak kerajaan dan Michael sendiri. Untuk mereka menyediakan sebuah rumah adalah agak mustahil kerana keadaan Grimshire yang padat.

Sementara Xavier dan Greg menyiapkan bilik untuk Michael, mereka sekali lagi menyebabkan tugas Nicholas terbengkalai kerana dia telah diarahkan untuk melengahkan Michael yang berkeliaran di sekitar kawasan Midford, bermain gitar tanpa menyanyikan apa-apa lagu.

“Korang boleh cepat sikit tak? Budak ni dah tak puas hati aku asyik mintak lagu je.” Nicholas membisikkan kemarahannya melalui panggilan telefon. Apa yang didengarinya hanyalah bunyi bertukang.

TANG! TANG! TANG! TANG!

Suara Greg hanya kedengaran perlahan, ditenggelami bunyi ketukan besi di belakangnya. Geram, Nicholas menamatkan panggilannya dan kembali bertentang mata dengan Michael. Wajahnya masih masam sambil bermain gitar. Tekniknya bermain gitar sangat kemas namun wajahnya yang tidak gembira itu membuatkan dirinya bermain gitar secara tidak rela. “Pakcik nak saya main gitar berapa lama…?” soal Michael, tidak memberhentikan tangannya langsung dari memetik tali-tali gitar.

“Jangan la panggil pakcik, dik. Abang ni baru je 32 tahun…” Nicholas mencangkung di hadapan Michael. Michael hanya merenung wajah Nicholas dan menghabiskan lagunya tanpa melakukan sebarang kesilapan.

Gitar itu ditongkat ke lantai. “Abang tak takut ke dekat dengan saya?” soal Michael. Soalan Michael menyebabkan kedua-dua kening Nicholas terangkat, pelik.

“Kenapa pulak nak takut? Adik ni kaki pukul ke? Soalnya. Michael menggeleng kepala. “Dah tu, kenapa abang kena rasa takut dengan adik?”

“Orang Ploriat kan kotor, selalu sebarkan penyakit,” kemudian dia menoleh ke arah gelang lengannya. Kelabu. “Saya orang Ploriat,” tambahnya lagi.

Nicholas tersenyum pahit. “Abang tak kisah adik ni Ploriat. Lagipun,” Nicholas melabuhkan punggungnya ke atas konkrit, masih lagi tersenyum. “…adik nampak sihat je,” senyuman pahitnya bertukar manis, sama seperti semasa eranya sebagai Viper.

Michael mengendahkan kata-kata Nicholas dan menyimpan gitarnya. Nicholas panik. “Eh, adik nak balik dah ke?” nada sedih diselit dalam persoalannya.

“Abang ni nak apa sebenarnya. Saya tak percaya yang abang ni betul-betul baik. Orang Gentri dengan Guoris Cuma bercakap dengan orang Ploriat macam saya sebab nakkan sesuatu je.” Ujar Michael malas.

“Adik, tak baik kata abang macam tu.” Dia terdiam seketika. “Cuba adik duduk dulu. Abang nak tanya sesuatu la,” ujarnya, menepuk-nepuk lantai di hadapannya. Beg gitar itu dizip dan dibaringkan. Entah bagaimana, Michael akur dengan permintaan Nicholas. Sopan Michael duduk bersila di hadapannya.

“Macam mana adik ada dekat Midford ni? Mak dengan ayah mana?” soal Nicholas, cuba sedaya upaya untuk tidak kelihatan dan kedengaran seperti seorang individu yang mencurigakan walaupun di mata Michael, dia sudah pun kelihatan sangat mencurigakan.

Michael mengangkat kedua bahunya. “Dulu mak bawak saya ke sini. Lepas tu mak bawak saya ke bawah jambatan Archadia. Dia kata nak pergi panggil ayah, tapi sejak tu saya dah tak jumpa mak. Mak mati, bunuh diri.” Jawabnya tanpa secebis perasaan sedih.

Hampir tercabut rahang Nicholas mendengar penceritaan Michael. Bukan disebabkan penceritaannya yang ringkas, dia juga sudah tahu perkataan ‘bunuh diri’ walhal dia baru sahaja berumur 12 tahun. “A-ayah adik sekarang dekat mana?” soalnya, tidak mahu kelihatan amat terkejut.

“Tak tau,” jawabnya ringkas.

“Ha…? Tak tau? Apa maksudnya?”

Michael menggaru kepalanya. “Ayah tak pernah balik sebelum mak bawak saya lari dari Grimshire. Saya tak ingat muka ayah saya macam mana.” Keluhnya bersahaja.

“Hmm… Jadi adik ni tinggal sorang-sorang je?” Michael mengangguk tanpa rasa sedih. Sebaliknya, dapat dilihat di wajahnya yang dia mahu pulang ke bawah jambatan Archadia pada waktu itu juga. “Tak takut?”

Wajah Michael berubah, aneh dengan soalan yang dilontarkan oleh Nicholas. “Kenapa saya nak kena rasa takut pulak? Ada hantu ke bawah jambatan tu?” Nicholas tidak menahan tawanya langsung.

“Tak, bukan hantu…” ketawanya perlahan-lahan mati. “Adik kan budak lagi. Maksud abang, biasanya budak-budak macam adik ni takut tinggal sorang-sorang.” Tambah Nicholas lagi.

Michael menggelengkan kepalanya. “Pelik-pelik je. Orang macam abang lagi seram.”

“Eh! Kenapa pulak?”

“Sebab tak pernah orang halang saya nak balik.” Michael berkata jujur.

Nicholas tertawa kecil. “Adik ni cakap macam orang bekerja pulak. Adik nak balik ke?” soalnya, menggaru-garu pipinya, resah sedikit.

“Ya.” Singkat jawapannya.

Keresahannya bertambah. “Sekejap, dik. Bagi abang dalam… lima minit.” Ujarnya sambil menunjukkan kelima-lima jarinya. Michael mengangguk, akur walaupun keliru.

[Nicholas: Dah siap ke belum?]

[Greg: Kenapa?]

[Nicholas: Budak ni malas nak layan aku, dia nak balik.]

[Greg: Dalam satu jam lagi,]

[Nicholas: Tengkorak kau satu jam. Budak ni macam mana?]

[Greg: Pandai-pandai kau la. Ajar dia main gitar ke, mainkan dia lagu ke, hiburkan la budak tu. Budak senang terhibur.]

[Nicholas: Senangnya cakap,]

[Greg: Baik kau buat je. Lambat siap, kau marah jugak.]

Nicholas menyumbat telefon bimbitnya ke dalam poket. “Saya dah boleh ba…” kata-kata Michael lekas dipotong oleh Nicholas.

“Cuba adik main gitar tadi balik, abang nyanyi. Nanti adik dapat duit, adik ambik la.”

Michael menggaru kepalanya, buntu. “Yakinnya boleh dapat duit,”

Nicholas mencungap dengan dramatik. Tangannya diletakkan di dada seperti jantungnya diserang. “Adik, jangan la takde keyakinan sangat…! Aduh, maruah abang tercalar…!” ucapnya, meneruskan lakonan dramatiknya itu.

“Satu lagu je.” Michael memberi amaran.

“Ala, kalau banyak pun takpe kan? Nanti abang hantar la adik balik,” Michael menjadi teragak-agak dengan pelawaan Nicholas. “Abang tak culik la, janji,” Nicholas menolak dirinya untuk bangun dari lantai stesen kereta api itu.

Tangannya dihulur ke Michael. Untuk beberapa saat, Michael hanya melihat tangan Nicholas tetapi dia enggan untuk menyambut tangan lelaki itu. Tanpa bertukar kata, mereka berdua hanya bersiap-siap untuk membuat satu persembahan umum.

* * *

“Kan abang dah kata, sekejap je dah dapat duit banyak.” Ujar Nicholas sambil memandu keretanya yang berwarna metallic blue.

“Terima kasih…” ucap Michael sambil memegang erat balang berisi duit syiling dan duit kertas. Hampir penuh balang yang dipegangnya walhal pada kebiasaanya, dia hanya dapat mengisi satu per empat ruang dalam balang yang dipegangnya.

Melihat senyuman kecil Michael menyebabkan hatinya menjadi tenang dan aman. “Abang selalu je dengar pasal adik main gitar sorang-sorang dekat stesen tu. Ingatkan orang nak tipu abang, rupanya betul. Pandai adik main gitar tu,”

Tiada jawapan yang keluar dari mulut Michael. “Mana adik belajar main gitar?” soalnya lagi, benar-benar ingin tahu.

“Sendiri,” jawab Michael ringkas.

Terbuntang mata dan ternganga Nicholas mendengarnya. “Dik, biar betul,” ujarnya, hampir tidak percaya mendengarnya.

“Betul la. Siapa je yang nak ajar?”

Kepalanya dipusingkan, benar-benar tidak percaya tahap kemahirannya bermain gitar dengan lancar adalah diasah dan digilap dengan usahanya sendiri tanpa meminta sesiapa pun. “Bagusnya,” ujar Nicholas, kagum. “Nak jadi penyanyi?” soalnya lagi.

Michael menggelengkan kepalanya. “Tak mahu?” Nicholas menjeling Michael yang sedang melihat ke luar tingkap. “Kenapa?”

“Takde sebab,” ujar Michael selamba. Mata Nicholas terlihat sebuah van yang sering dilihatnya dipandu di sebelahnya. Mata pemandu van tersebut bertemu dengan matanya. Hatinya lega.

“Ah, abang lupa nak tanya nama adik tadi,” ujar Nicholas. “Nama abang Nicholas Kirkland. Boleh panggil abang, abang Nick,” tambahnya, mesra.

“Michael,” ujar kanak-kanak lelaki itu. “Michael je,”

Nicholas mengangguk. “Okey, abang panggil Mikey je la, ya?”

“Mikey…?” Michael memandang Nicholas dengan wajah yang berkerut. Lelaki itu hanya tertawa melihat wajah Michael. Déjà vu.

“Senang kalau panggil macam tu, kan?” kereta yang dipandunya di dihentikan di tepi jambatan Archadia, berhampiran dengan sudut dimana Michael tinggal. Wajah Michael bertukar pucat. Barang-barangnya hilang. Dia bergegas keluar dari kereta, tidak lupa membawa balang duit dan beg gitarnya.

Yang tinggal hanyalah kucing hitam peliharaannya, Solomon, dan sekeping kertas. Dia bergegas untuk mengambil kertas itu. Nicholas turut meninggalkan keretanya dan berlari ke arah Michael. “Kenapa ni?”

[Barangan anda telah kami alih ke sebuah bilik di bawah jambatan ini. Sila jangan panik dan gunakan bilik yang telah kami bina untuk anda. Sila jaga diri dan jaga keselamatan anda.]

-Anon.

“Bilik…?” ujar mereka serentak. Kepala mereka mendongak dari kertas, cuba mencari bilik yang dikatakan di dalam kertas.

“Ada bilik ke dekat sini?” soal Nicholas. Michael mengangkat kedua-dua bahunya. Matanya melilau. “Kejap, selama ni Mikey duduk mana?” soalnya, keliru. Daripada apa yang dilihat, tiada langsung jejak sesiapa pernah tinggal disitu.

“Duduk dekat sini je, tapi…” matanya melilau semula. “Mana pernah ada bilik.” Dia terdiam lalu berlari panik secara tiba-tiba. “Solomon…? Solomon!” jeritnya, tercari-cari. Wajahnya berubah menjadi risau. Jeritannya hampir ditenggelami bunyi ombak yang memukul-mukul platform konkrit yang dipijaknya. “Solomon!” jeritnya sekali lagi, lebih kuat.

“Mikey,” Nicholas bergegas ke sisinya. “Mikey cari siapa? Siapa Solomon?” risau, dia lantas bertanya.

Micheal menggeleng kepalanya. “Kucing saya,” jawabnya, mengetap bibir, menahan kekecewaannya. Tangan Nicholas tanpa sedar telah diletakkan di bahu Michael. Matanya diangkat ke dinding jambatan.

Ngeow…

Suara ngiauan seekor kucing kedengaran samar-samar. Bunyi itu kedengaran jauh dan tenggelam. “Solomon,” Nicholas dan Michael berlari ke arah dinding dan menekap telinga mereka ke dinding konkrit. Perlahan mereka cuba menjejak bunyi si kucing milik Michael.

KKOK KKOK…!

Dinding yang diketuk oleh Nicholas kedengaran kosong. Tangannya meraba-raba dinding, cuba untuk mencari di mana pembukaan ruang tersebut. “Mikey, sini,” panggilnya. Michael bergegas ke sisinya dan cuba menekap telinganya ke dinding.

Mew…!

Tangisan Solomon kedengaran dari luar. Michael memandang Nicholas yang sedang mencari lagi pembukaan pintu. “Ah,” lelaki itu menolak dinding tersebut dan ternyata, cara untuk membuka pintu tersebut adalah dengan menolak dinding itu kedalam.

Sebaik sahaja pintu ditolak, pintu itu menggelongsor ke kanan. Seekor anak kucing bersaiz kasut kanak-kanak berlari memanjat kaki Michael. Nicholas tersenyum kecil melihat kedua mereka bersatu semula setelah dipisahkan oleh sebuah pintu.

Michael memegang Solomon erat. Dia melihat ke dalam bilik yang dikatakan di dalam surat tadi. Michael dan Nicholas memasuki ruang tersebut. Katil Michael berada di dalam bilik tersebut.

Ruang bilik itu tidaklah besar tetapi cukup untuk dijadikan satu tempat perlindungan untuk Michael. Lengkap dengan almari kecil, dan beberapa compartment lain untuk memudahkan penyimpanan barang. Boleh dikatakan biliknya itu agak canggih, hampir sama dengan teknologi yang sering diperkenalkan di sekitar bandar Midford. Matanya terpandang sekeping kertas terletak di atas katilnya.

[Tahniah kerana berjaya masuk ke bilik ini. Kami berharap agar bilik ini akan menjadi satu kemudahan untuk anda. Sila gunakan bilik ini dan anda dilarang keras daripada memberitahu mana-mana pihak tentang kewujudan bilik ini. Jaga diri dan semoga anda sihat sepanjang masa. Terus berusaha.]

-Anon.

Michael memandang Nicholas. Dia sudah tahu lokasi bilik itu. Wajahnya membatu. Seperti memahami isi hati Michael, dia tersenyum dan ketawa sendiri. “Jangan risau, abang akan rahsiakan pasal bilik ni.” Ujarnya sambil mencekak pinggang. “Abang gembira dapat tengok sendiri Mikey perform hari ni.”

“Saya selalu ada dekat situ,” kata Michael, menggosok lengannya, berasa janggal sedikit. Nicholas tersenyum.

“Apa kata Mikey masuk rehat? Sekarang ni dah malam. Abang rasa baik abang bagi ruang untuk Mikey buat apa yang patut. Okay?” Michael mengangguk sepi. Nicholas berasa berat hatinya untuk meninggalkan kanak-kanak berusia 12 tahun ini seorang diri tetapi itulah apa yang harus dilakukannya. Identiti baharunya ini perlu dirahsiakan.

“Nah, abang tambah sikit duit Mikey,” katanya mengeluarkan sekeping duit kertas berjumlah besar.

Michael terkejut melihat nombor yang berada di atas wang kertas yang dihulur kepadanya. “Eh, untuk apa ni?” soalnya, ragu-ragu untuk mengambil duit tersebut.

“Tadi kan abang mintak Mikey main banyak lagu. Takpe, ambik je. Abang memang nak bagi,” ujarnya lagi, meletakkan duit tersebut ke dalam tangan kecil Michael. Kulit mereka bersentuhan. Cepat-cepat Michael menarik tangannya. Nicholas sudah agak Michael akan berbuat sedemikian. “Mikey, dengan abang, Mikey tak perlu takut tersentuh atau apa-apa. Mikey nampak sihat, abang tak takut,”

Kata-kata Nicholas menenangkan Michael sedikit. Benar, dia meragukan sentuhan disebabkan layanan yang diterimanya oleh kebanyakan Gentri dan Guoris, tetapi kata-kata Nicholas benar-benar menyentuh hatinya.

“Terima kasih, abang,” ucapnya, menundukkan kepalanya untuk beberapa saat.

“Jaga diri ya? Ada masa, kita jumpa lagi. Nanti Mikey pulak menyanyi, abang mainkan gitar,” Nicholas merehatkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluarnya. Michael hanya mengangguk. Melihat Michael untuk beberapa saat, dia sekali lagi tersenyum dan mengeluarkan tangan kanannya untuk melambai budak lelaki itu dan beredar.

Bunyi tapak kasutnya semakin pudar sehingga tidak kelihatan lagi. Kereta birunya dihidupkan dan dipandu pergi, hilang dari pandangan mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience