Loceng berbunyi, menandakan tamatnya waktu persekolahan sesi pagi. Kelas 6A2 masih meneruskan pengajiannya. Di belakang kelas, Nurayumi leka memerhati gelagat pelajar pelajar yang sedang melangkah pulang menuju asrama. Perut masing-masing sudah berkeroncong minta diisi.
Sesekali matanya menjeling ke hadapan. Encik Naquib sedang sibuk menerangkan topik Belanjawan Negara. Dia bosan mendengar penerangan penglipur lara dari bumi Indera Kayangan itu.
"Nurayumi! " pen ditangannya hampir terpelanting. Baru mahu menenangkan fikiran, sudah dipanggil. Hatinya merungut geram. Nurayumi bangkit perlahan-lahan. Apalah yang akan disoal oleh Encik Naquib. Nurayumi pantas menyelak lembar lembar bukunya ke helaian topik Belanjawan Negara.
"Tak payah tengok buku. Terangkan apa yang kamu faham. " Encik Naquib bersuara tegas. Nurayumi berasa seperti mahu menjerit. Mampuslah aku, getus hatinya mendongkol.
Nurayumi memandang Syikin yang sedang tunduk menikus apabila Encik Naquib memulakan sesi soal jawab. Tangan Syikin disikunya.
"Aku tak tahu ," jawab Syikin perlahan takut kalau didengari oleh Encik Naquib. Nurayumi mengeluh berat. Dia tunduk memandang meja yang dipenuhi dengan nota-nota Ekonomi. Tidak sanggup dia hendak bertentangan mata dengan guru yang berketurunan 'harimau berantai ' itu. Hatinya mengutuk-ngutuk guru muda di hadapannya. Macamlah tidak ada orang lain yang hendak disoalnya, gerutu Nurayumi.
"Senyap saja, sudah mati? " Mata Nurayumi terkebil-kebil memandang buku teks yang sudah tertutup rapat. Dia menarik nafas panjang, seakan-akan ingin mengumpul tenaga.
"Saya tak dapat menjawabnya. "
"Bagaimana kamu tak dapat menjawab soalan saya? Saya sudah terangkan dengan panjang lebar. Kamu tak dapat jawab atau kamu sedang berangan angan ?" Satu pukulan hinggap di tangkai hati Nurayumi.
Share this novel